PASUNG

Alhamdulillah, jutaan terima kasih kepada admin FS yang sudi berkongsi cerita-cerita yang menarik sebagai sajian pembaca yang budiman. Mohon ampun dan maaf sekiranya cerita yang dikongsikan tidak dapat memenuhi jangkaan pembaca, sekian terima kasih. Without flower-flower:

Sudah lama berlalu, berbelas tahun, bagiku perkara yang tidak menyenangkan memang aku tidak ambil pusing. Namun, terkenangkan “bauan” sebentar tadi membuatkan fikiran aku berusaha mengingati. Bauan ni umpama bau musibah. Terpulang.
Malam itu dihujung paya bakau hanya disuluhi cahaya rambang rembulan. Sesekali terdengar sahutan burung Pucung yang tidak senang dengan kehadiran kami.

Manakala, aku bersama Mat Komando terbongkok-bongkok dibawah beranda. Berhati-hati agar kepala tidak bergesel bucu papan. Bauan kemenyan dupa dan haruman bunga melur berselang-seli. “Huhuhu..hehehe..huhuhu” suara tangisan dan ketawa kedengaran dari atas rumah. “Shhhh”, aku melihat Mat Komando mengarahkan isyarat supaya aku mendiamkan diri. Manakan boleh mendiamkan diri, aku sudah tak tertahan dengan gigitan nyamuk di paya bakau ni, lain bisanya dengan nyamuk di kampung. “Mari kita balik Amin, aku dah dapat,” Mat Komando menunjukkan uncang ditangannya.
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….
“Hendak gugur, gugurlah nangka, jangan ditimpa ranting pauh, hendak tidur, tidurlah mata, jangan dikenang orang jauh,” Mat Komando mengusik aku di kaki tangga. “Eh, abg Mat, naiklah dulu, ayah ada kat tengah rumah,” aku mempelawa Mat Komando yang sedang tersengeh. “Baiklah,”.
“Ayah Chik, kepada Allah SWT yang Maha Besar kita berserah, tiada daya dan upaya selain izinNya Ayah Chik,” Pak Long meletakkan jari telunjuknya tepat di tengah dada Tok Chik yang sedang bersimpuh. “Urghhhhh…urghhhhhh…arghhhhhh!!..arghhhh!!! Mat Nohhh!!!,” pecah gelap malam dengan pekikan Tok Chik. Cukup 100 kali bacaan kalimat “Bismillahirromanirrohim” jari telunjuk Pak Long perlahan-lahan ke pusar pusat Tok Chik. Tidak bertangguh Tok Chik tumbang dilantai berlapik tikar mengkuang. Keras kaku, langsung tidak bergerak.

“Ampuh amalan orang tua ni, bukan kecil anak permainan yang dihantar, tapi masih mampu bertahan,” ujar Mat Komando sambil menggelengkan kepala. Aku hanya mengangguk walaupun tidak jelas apa yang terjadi. Di tepi dinding, sebesen penuh selut yang meloyakan, bauanya cukup busuk lagi hanyir memenuhi ruang tamu.
Tok Chik@ Wan Kechik ialah pangkat datuk saudara bagi aku, yang menetap di Sabak dan berumur lingkungan 80an. Walaupun aku kurang mengenalinya, tetapi hubungannya dengan ayah dan Pak Long cukup akrab.
“Ilmu orang laut, ilmu seberang, bukan main-main lagi ni Mat Den,” Pak Long merenung tajam ke arah ayah. “Esok jemaah Subuh kita jumpa bilal, kita ikhtiar secepat mungkin, langkah kita sumbang malam ini, sudah dihidu,” sambil Pak Long mengusap wajah Tok Chik dengan air sejuk. Tok Chik tersedar lantas terbatuk-batuk, berombak dadanya menahan perit.

“Sabarlah, Ayah Chik, istighfar, kita sudah di penghujung, InsyaAllah semua baik-baik kembali,” Tok Chik tersenyum memandang Pak Long. Ayah menepuk bahuku agar aku menyediakan tilam buat Ayah Chik berehat. Malam itu aku tidur dengan aman, tidak lagi kedengaran batuk dari Tok Chik. Alhamdulillah, syukur Tok Chik sudah beransur pulih.

Keesokkan usai Subuh berjemaah, ayah, Pak Long dan bilal Din berbincang hal Tok Chik. Daripada butir-butir percakapan mereka, Pak Long menjemput bilal dan anak-anak muridnya (Tahfiz) ke rumah selepas Isyak. Bilal bersetuju membantu. Bilal Din, sememangnya anak buah atok maka tidak keberatan baginya membantu. Menurut cerita Mat Komando, bilal Din dahulunya belajar di pondok Bedong bersama Pak Long, kemudian meneruskan pengajian ke Jordan, manakala Pak Long dan ayah ke Pattani. “Aku hendak ke baruh, hang siap-siapkan di darat, kita tunggu Bilal Din semua sampai. Mat, minta hang gantungkan siap-siap daun pauh, jangan ada yang mengganggu malam ini,” lalu Pak Long mencapai golok dicelah dinding bergerak ke hulu kampung.

“Tidak pernah aku melihat Mat Noh cemas macam ini, selalunya dia akan mengajak aku,” Mat Komando melurut misainya yang lentik. Memang sesuai watak antagonis. “Marilah abang Mat, kita kudapan dahulu dengan ayah, mak dah buatkan lempeng nyiur sambal ikan bilis,” aku menarik lengan Mat Komando yang berbulu. Pantang dijemput.
Berkumandang azan Isyak mendayu-dayu ke pelusuk kampung, memanggil umat Islam menyahut seruan bersembahyang, memuji memuja Allah SWT.

“Assalamualaikum tuan rumah,” Bilal Din tersengeh sambal menghulurkan salam. “Waalaikumsalam, bilal, jemput masuk semua, jemput, Alhamdulillah semua ada ya bilal,” lalu Pak Long menyambut salam dimuka pintu.
Aku perhatikan, ramai dikalangan para tahfiz ini yang aku amat kenali. Antaranya Wan Siong (gigi siong) yang dahulunya cukup nakal, cukup berkaliber, dan cukup disegani didalam permainan roundas dan galah panjang. Alhamdulillah dah jadi orang kuat Bilal Din.
“Noh… walaupun rumah hang ni tak sampai pun sepelaung dari surau, aku rasa macam berbatu-batu nak sampai, hang siap-siaplah,” sambal bilal Din menghirup nafas panjang.
“ Ha Mim, ‘Ain Sin Qaf…..”,” Kepunyaan-Nya-lah perbendaharaan langit dan bumi; Dia melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menyempitkan(nya). Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui segala sesuatu,” Ayat 12, surat Asy-Syura.

“Arghhhh…arghhhh…lepaskan aku!!!huhhh!!..huhhh!!..lepaskanlah aku hoi anak-anak Daeng!!,” Tok Chik meraung, mengamuk di atas rumah. Bergegar papan dinding rumah dek tempikkan Tok Chik yang gemuruh. Kecut leher aku dibuatnya. Namun begitu, aku tetap kagum dengan para tahfiz, sedikit pun tidak berganjak, seolah-olah tiada menaruh apa perasaan, dibuai hanyut membaca Al-Quran Nur Karim.

“Hoi, anak Daeng! Bapak hang pun belum tentu lawan aku, inikan pula hang yang sekelumit,” Tok Chik ketawa terbahak-bahak sambil menampar pelepah lutut. “Kalau hang nak menjual, dua belah tangan aku sambut” seloroh Pak Long. “Cukup Noh, jangan dilayan, nanti dibuai, tak menang tangan,” Bilal Din menyambung beberapa bacaan. Bilal Din membaca Surah Al- Hajj, Ayat. 18. “Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada dilangit dan dibumi tunduk sujud kepada Allah dan diantaranya termasukkan matahari, bulan dan bintang-bintang dan gunung-gunung dan pokok-pokok kayu dan binatang-binatang serta sebahagian besar dari manusia? Dan banyak pula diantara manusia yang berhak ditimpa azab disebabkan kekufurannya dan maksiatnya dan ingatlah sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka dia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangNya”.

Gerrrr!!!Gerr!!!! Tok Chik mengetap gigi. Dari luar, kedengaran bunyi gagak berterbangan mematuk atap rumah. Ketakkk!! Ketakk!! Bunyinya cukup kuat. Sesiapa yang berada diatas rumah aku percaya mendengarnya jelas. Pak Long mulai membaca 11x Surah Ar-Ra’d, Ayat. 13. “Dan Dialah juga yang guruh dan malaikat bertasbih memujiNya, kerana takut kepadaNya. Dan Dialah juga yang menghantarkan petir, lalu Dia mengenakan dengan panahannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan mereka yang ingkar itu membantah serta mendustakan Rasul mengenai perkara yang berhubung dengan Allah dan kuat kuasaNya, padahal Dia amat keras azab seksaNya”.

Pangggg!!!! Pangggg!! berdentum bunyi guruh,sepantas kilat menyambar tanah dibelakang rumah. Habis melompat semua yang ada. Aku sendiri memeluk lutut Wan Siong yang bersila kemas. Malah, Wan Siong sendiri mula gugup bacaanya. “Aku rasa malam ini hujan lebat,” ujarku sendirian. Bunyi gagak langsung hilang ditelan kilat yang menyambar sebentar tadi.

“Jangan berbolak-balik dengan aku!! Nanti besar celaka hang!!,” sambil Bilal Din menekan jari kelingkingnya diatas papan. “Ayuh, angkat Tok Chik turun ke tanah cepat sementara belum hujan,” Bilal Din memberi arahan. “Sesiapa yang tidak berwudhu jangan turun, badi nanti,” Pak Long menyambung sambil memapah kaki Tok Chik. Berat yang amat, walaupun tubuh Tok Chik tidak sebesar manapun. “Hamparkan kain putih dan perlahan-lahan dudukkan dia,” Pak Long kelihatan tercungap-cungap penat. Sabar betul aku tengok tahfiz-tahfiz yang membantu. Sedikit tidak merungut.

Kelihatan awan mendung menanti hujan lebat diluar rumah. Namun lain pula gelagat ayah di anak tangga, kelihatan ayah mengira ruas anak jari. Daripada jari kelingking kanan sehingga ibu jari kiri. Setelah itu, ditekan lelangit kerongkong dengan ibu jarinya. “Hujan jadian!, kesini hang Amin. Ambilkan aku jamung, minyak masak dan baju Tok Chik diatas. Cepat. Jangan berlengah,” ayah memberi aku arahan. Segera aku melompat anak tangga mendapatkan baju Tok Chik dan jamung di belakang dapur. Jamung bukan sebarang jamung, jamung daripada hampas sarang lebah.

“Memang orang yang melakukan perbuatan ini tidak berhati perut. Mujurlah Tok Chik kuat bertahan,” ucap Bilal Din perlahan kepada Pak Long. “Mari ayah Chik, kita habiskan, kuatkan jiwa ayah Chik,” Pak Long mengusap dada Tok Chik yang kuat berombak. “Apikan jamung ini,” sambil ayah membaca sepotong Surah Az- Zariyat, Ayat 1. “Demi (angin) yang menerbangkan debu dengan kuat” dan Ayat 51. “Dan juga pada Aad ketika kami kirimkan kepada mereka angin yang membinasakan “lantas ayah menghembus ke arah api jamung yang menyala-nyala. Lalu berterbanganlah kepulan asap jelaga memenuhi laman. “Mari kita bertemu muka, kalau hang anak jantan,” ayah melumuri badannya dengan minyak mentah. Diasap badannya dengan jamung. Memang ayah betul-betul marah dengan orang yang mengganggu keluarganya. Tambah-tambah Tok Chik, iaitu ayah saudaranya yang memelihara dan mendidiknya dari kecil. “Entah berapa banyak orang sudah menjadi korban akibat ilmu hitam ini, bukan lagi kecil anak, ini ilmu yang ditanak daripada mentah, aku berbau hanyir darah ilmu ni,” ayah mendengus sambil memerhati isyarat dari Pak Long dibawah pokok pinang merah.

“Allahuakhbar!!,” Bilal Din menempik kuat menepuk belikat Tok Chik. Lantas, tak bertangguh Tok Chik tumbang menyembah tanah. Menggelupur sambil memegang kepalanya. Kasihan aku melihat Tok Chik. Kakinya menendang tanah dan akar pinang. Kuakkk!!kuakkk!! burung gagak yang tadi mematikan diri semakin galak bunyinya.
“Arggghhh..hakk tuihh…” Tok Chik bangkit muntah darah. Mengalir darah hidup di rongga hidung dan bibirnya. Bauan kapur barus merebak ke laman bersama hanyir darah. “Bismillah,” Pak Long meluruskan kedua-dua tangan Tok Chik yang sedang bersimpuh.

“Tangan ini yang banyak melakukan mungkar, jasadmu aku pasung besi kursani, ilmumu menikam tanah, bermandi mayat bulan mengambang, Ahad..Allahuahad.. hissssshh..hishhhh,” Pak Long memotong pergelangan tangan Tok Chik dengan jari telunjuknya sambil bibirnya membaca Surah Yusuf dan An-Nas berulang kali. Seolah-olah pisau tajam meluncur menghiris tangan. “Arghhhhh!!!..arghhhhh!!..Daeng..ampunkan aku..huh!!..tangan aku..tangan aku!!,” Tok Chik meraung kuat. Bilal Din hanya mendiamkan diri. “Hati-hati, jangan terpedaya bilal,” Pak Long mencuit ibu jari kaki Bilal Din yang sedang mengelamun. “Allah!..nyaris aku Noh..nyaris..Allah,” tersedar Bilal Din daripada lamunan. “Jauh aku dibawa Noh. Dia sudah menunggu. Allahuakhbar, mainan syaitan ni ,” Bilal Din kembali bersimpuh menguatkan zikir. Kepala Bilal Din lentok ke kiri dan kanan tidak memperdulikan Pak Long dan Tok Chik.

Selang beberapa kaki, ayah sedang menutup rapat mata, berpeluk tubuh, bersilang tangan. Seolah-olah sedang meragakan bunga sembah. Ibu jari ayah menekan kejap tanah. Memasak bumi. Baju layang yang disarung basah bermandi peluh. “Jangan diganggu Mat Den, kerjanya belum beres,” Mat Komando menunjukkan isyarat berdiam diri.
Ada seorang dua Tahfiz di belakang Bilal Din meronta-ronta tidak sedarkan diri. Mujur Wan Siong cepat-cepat “tawarkan”. Katanya Wan Siong, sewaktu mereka semakin kuatkan wirid dan mengemaskan bacaan, jiwa mereka melayang-layang ke tengah hutan dan lembah gunung. Duduk seorang diri bersama gangguan makhluk halus yang bercakap bahasa yang tidak difahami. Malah, samar-samar mereka melihat, ayah, bilal Din dan beberapa susuk berpakaian hijau bertungkus-lumus memasung makhluk yang menggerunkan didalam sangkar. Ada yang diseret, ada yang dilibas cemeti, ada yang dipenggal kepala dan ada juga yang melawan. “Setiap kali makhluk berkepala kambing itu cuba mendongak, kepalanya dilempar batu besar, sambil mulutnya mengeluarkan kata makian kepada Bilal Din, namun Bilal Din bertindak mendiamkan diri, mengheret makhluk berbulu ke dalam sangkar,” ujar seorang Tahfiz yang sedang berehat di bucu tikar. Wajahnya basah direnjis air tawar.

“Alhamdulillah, Allahuakhbar..Allahuakhbar..Allahuakhbar,” Bilal Din memaut lengan Pak Long. Hampir tumbang juga aku lihat Bilal Din. Baju kurta yang dipakainya kelihatan hitam belerang. “Ambilkanlah aku sedikit air, panas sangat tekak aku ni Amin,” Bilal Din membisikkan permintaannya pada aku. Walhal, air jarang sudah siap tersedia di sebelahnya. Memang sudah tidak bermaya aku lihat Bilal Din, bersandar di belakang anak buahnya.
Ayah pula kelihatan terduduk di kaki anak tangga ditemani emak dan adikku. Tanah laman yang dipijak ayah tadi dikelilingi belerang, entah dari mana belerangnya aku tidak tahu. Samar-samar kepulan asap nipis keluar dari celah-celah tanah yang merekah.

“Sudahlah Amin, cukup untuk malam ini, saki bakinya nanti kita ikhtiarkan, bawalah Tok Chik semua ke dapur dahulu, biarkan aku disini,” ujar Pak Long masih gagah berdiri disebelahku walaupun ayah dan Bilal Din sudah tumbang keletihan. “Biarkan Noh selesaikan, ayuh kita bersihkan diri dan dirikan solat sunat dahulu. Noh itu kudrat dia sekawan kerbau jantan, sikit tak berundur, tinggi dia tadi menggapai awan, melempar batu dan petir, aku pun tumbang,” Bilal Din ketawa kecil melihat Wan Siong yang terpingga-pingga.

Dari atas rumah, kedengaran suara Pak Long bertempik dibawah laman. Selang seketika bunyi benda berat jatuh ke tanah. “Ampunkan aku Daeng, ampunkan aku!!, betina itu tak guna, aku hanya dibayar kakaknya, bukakanlah rantai ini Daeng, kasihani aku yang tua ini Daeng ,” kedengaran suara wanita merayu-rayu. “Perbuatan hang sudah bersimpang!, ramai yang gugur!, ramai yang berpecah-belah!, ramai yang menderita!, sumpah hang sudah memakan diri!, ilmu hang sudah aku pasak, rasakan hang bagaimana hidup dipasung dikolong!, mengensotlah keluar kampung aku ini!,” suara Pak Long bergetar. “ Hemmm..mana ada orang dibawah tadi, pada siapa Pak Long marahi?,” aku mengintai dari celah jendela kayu. “Amin..sudah cukup. Pergi siapkan alas dan bantal kawan-kawan,” emak memarahi aku yang serupa biawak mengendap anak ayam di reban.
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….
“Kasihan aku melihat dia, walaupun bukan darah daging, berat hati tidak menolong,” jelas Tok Chik di serambi. Seketika Tok Chik memberus giginya dengan kayu sugi. Orangnya abid, butir-butir perbualannya amat perlahan, setiap ayat ditatang dengan penuh hemah dan bijaksana. Agar tiada yang tersentuh dan terasa hati. “Tak sanggup aku melihat dirinya yang kurus-kering, meringkuk dipasung dibawah kolong, kalau jadi kepada anak cucu aku, aku sanggup bergalang-ganti Mat Noh..Mat Den,” Tok Chik tersenyum hingga berkedut dahinya.

“Aku tidak peduli apa yang terjadi pada diriku, aku redha, semoga Allah SWT redha jalan yang aku tempuhi, aku berikhtiar, bertawakal dan berdoa kehadrat Ilahi. Kederat aku sudah tidak segagah dulu, memikul petung pun bangkut, namun simpuh limpang saja pantang aku Mat Den,” Tok Chik melirik mata memandang ayah. “Ilmunya sudah aku tawar, dan orangnya berdendam padaku melihat anak itu semakin pulih daripada busung dan gila, kerana itulah aku datang melihat anak cucu dikampung sebelum aku beransur pergi bersama dendamnya,” Tok Chik tersengeh menampakkan beberapa batang giginya yang putih.

“Hishh..ayah Chik, tak mungkin aku boleh berdiam diri kalau dah melarat begini,” Pak Long mencebik muka sambil menampal daun sireh diatas sopak yang memenuhi leher Tok Chik. “Tengok daun sireh ni, melecur habis. Ilmu ini nak membinasakan mangsa ayah Chik, kalau tak cepat ikhtiar makin melarat bisanya,” Pak Long merungut akan sikap acuh tak acuh ayah saudaranya. Menurut Mat Komando, sewaktu Pak Long dan ayah remaja, Tok Chik lah yang menjaga mereka berdua di sekolah agama pondok Bedong dan Sanglang.

“Amin, bersiap-siaplah, kena cepat, panggilkan aku Mat, katakan padanya hal mustahak, berkenaan ayah Chik, dan mesti diusahakan secepat mungkin, katakan padanya jumpa di surau selepas Isyak, “ ayah memberiku arahan.
Usai Isyak berjemaah di surau, ayah, Pak Long, Mat Komando dan bilal Din sedang bercakap-cakap di surau. Aku tidak mengambil pusing apa yang dibualkan, aku lebih seronok melayan Tok Chik berbual dan mempelajari sirah serta fiqh. “Berapa dekat kepercayaan dan keimanan?” ujar Tok Chik tersengeh. “Hemmm..5 jari saja tidak jauh,” ujar Tok Chik berbisik. “Apa yang hang cari dalam hidup life hang?,” sambung Tok Chik. “Aku nak cari duit, nak buat rumah besar macam orang kaya seberang, nak ada lembu kandang besar-besar Tok,” ujar aku yang tidak tahu apa-apa. “Bagus..bagus..kaya tak salah, ramai para sahabat ra yang kaya-raya, tapi apa yang salah adalah sombong, angkuh, riak, ujub dan takabur, itu salah lagi berdosa.

Tapi, sebesar-besar pencarian kita didunia adalah redha Allah SWT Amin. Tok tak tipu,” sambil tangannya mengusap dadaku sambil membaca beberapa potong ayat suci.
Hal orang yang dipasung itu, aku sendiri melihatnya, dimana mangsa seorang perempuan awal pertengahan 20an (tidak pasti atas sebab keuzurannya). Kasihan orangnya, kurus dan penuh kesan calar ditangan dan kaki. Ceritanya, sewaktu Tok Chik menziarahi keluarganya di Sabak, kebetulan berjumpa keluarga perempuan ini yang mengadu akan penyakit aneh anak bongsunya dan ekoran keselamatan dirinya terpaksa dipasung. Alhamdulillah, selepas beberapa siri rawatan dan pemulihan anak perempuan keluarga berkenaan kembali sihat namun malangnya salah seorang keluarganya pula dijemput Illahi. Sekian, jutaan terima kasih dan selamat menyambut hari lebaran yang dinanti.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

1 thought on “PASUNG”

Leave a Comment