Patung Ditumpangi Jin

Sebuah kisah benar tentang bahayanya kutip barang dari luar.

Nama aku Airis, 19 tahun. Aku mempunyai tiga adik perempuan, aku namakan mereka Angah, Lang dan Acu. Manakala aku Along panggilan sejak aku mendapat adik.

Usia Angah setahun beza dengan aku, manakala Lang pula beza tiga tahun. Acu ni beza jauh dengan aku, 12tahun.

Setelah setahun negara kita dilanda wabak Covid19, ayah telah diberhentikan kerja dari sebuah syarikat pengangkutan. Ramai rakan ayah di awal pandemik telah diberhentikan disebabkan syarikat bas tersebut telah berhenti perkhidmatannya.

Nasib ayah agak beruntung kerana dia diberi kepercayaan dari pihak majikan untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan di bengkel penyimpanan bas syarikat itu. Sedangkan ramai pekerja syarikat itu terpaksa diberhentikan.

Lebih mudah ku nyatakan ayah telah dipilih sebagai sekuriti di bengkel bas tersebut. Seorang lagi kawan ayah ialah Pakcik Manaf. Walau pun gaji diberi tidak terlalu tinggi namun ayah tetap bersyukur kerana masih diberi rezeki untuk bekerja.

Dari seorang pemandu bas ekspress yang bergaji agak selesa untuk menyara kami sekeluarga, kini ayah telah diberi gaji kurang dari sebelumnya. Ayah tetap gembira kerana kami tak perlu berlapar.

Pada suatu hari majikan ayah telah meminta ayah ke Kelantan untuk mengambil bas yang tersadai di sebuah stesen bas. Ayah akan diberi surat dari pihak majikan untuk dia memohon surat pelepasan merentas negeri.

Seorang lelaki bernama Junaidi akan menjemput dan menghantar ayah ke Kelantan. Maka ayah tinggalkan sedikit duit belanja pada mak dan duit saku untuk aku.

“Belilah makanan apa adik-adik nak makan.”

Mungkin disebabkan aku anak sulung, maka ayah lebih banyak berkomunikasi dengan aku berbanding adik lain.

Setiap hari ayah pulang lewat malam dan bila sampai di rumah ayah akan tidur sehingga tengahari. Mak pula sibuk dengan pdpr Lang dan Acu.

“Ayah, lusa harijadi Acu.”

Acu datang menunjukkan mukanya yang manis sambil merenung ayah dengan harapan ayah akan melayani kehendaknya.

“Lusa ayah kena bayar sewa rumah. Kalau tak bayar kita kena duduk kaki lima kedai tayar nuh,”

Aku melihat muncung Acu mula menajam. Hanya dia seorang yang mahu berbicara manja dengan ayah. Kami bertiga tidak berani mendekati ayah kerana sifat ayah menjadi pendiam sejak tukar ke bahagian sekuriti.

“Acu, sini. Ayah penat tu,” mak memujuk si bungsu yang mukanya mulai merah.

Keesokan malamnya ayah dijemput seorang lelaki berusia lewat 20an dengan sebuah van pekerja. Kami hanya memandang ayah dari koridor di tingkat dua.

Acu melambai ayah sehingga kereta yang ayah naiki hilang dari pandangan. Sedih airmuka Acu. Esok aku akan belikan dia air sedap 7E.

Hairan juga kenapa Junaidi tidak jemput ayah lebih awal? Harap ayah dan Junaidi tak mengantuk sepanjang jalan.
.

Kisah ayah
————–

Tepat jam 10 malam aku dan Junaidi telah memasuki lebuhraya Karak. Suasana jalan yang gelap, sunyi dan berselekoh tajam. Ia membuatkan Junaidi sedikit cemas.

“Bang, cuak saya macam ni.”

“Kenapa? Kereta tak banyak apa yang kau cuak?”

“Kalau banyak kereta saya santai je, bang. Ni macam kita berdua je dari mula masuk lebuhraya ni?”

Aku baru perasan keadaan sekeliling begitu menyeramkan bila di atas lebuh raya hanya van kami yang bergerak solo. Dari awal masuk tol Gombak aku cuba pejamkan mata, ingin merehatkan badan.

Selalunya aku yang memandu, kali ni ada pilot apa salahnya aku berehat.
Tak sangka pula malam ni sunyi lain macam.

Bam!!!

“Opocot, mak kau meletup!!!”

“Allah,” itu je sempat aku sebut.

Kereta senget ke sebelah kiri dan melilau tanpa dapat dikawal. Satu masalah oula bila aku sedsr si Junaidi ni kuat melatah rupanya.

“Jangan tekan minyak lagi! Slow-slow main break! Aduuu..” aku berteriak.

Junaidi bila aku pekik bertambah pulak melatah dia. Aku pegang stereng kereta agar terkawal sedikit hala tujunya. Tadi terasa macam naik speedboat!

Kenapalah Mr. Lee bagi pilot macam ni kat aku? Dalam hatiku mula bengang.

“Bang Mus!!!!”

Aku tak sempat menjawab, kereta bahagian belakang menghentam pembahagi jalan. Bunyi cermin kaca pecah berderai memecah kesunyian malam.

Terdiam aku dengan Junaidi Latah ni seketika. Enjin kereta terpadam sendiri. Matilanakkk!!!

Bunyi cengkerik dan katak beradu suara. Nak tak nak aku ajaklah Junaidi keluar check enjin kereta.

Malam masih muda, tapi kereta yang lalu masa tu boleh dibilang dengan jari. Aku cuba juga nak tahan, tapi semuanya laju berdezup macam pelesit.

“Jap, bang. Aku nak cari air belakang bonet. Kena minum dulu baru sejuk hati ni,”

“Sekarang hati kau panas ke?”

“Tak. Aku rasa nak demam, bang.”

Baru eksiden sikit kau dah nak demam. Aku tergelak dalam hati. Menggigil pula mamat ni. Terpaksalah aku teman dia ke bonet belakang.

Agak payah juga nak buka sebab kemek teruk bontot kereta Hyundai Atos mamat ni. Tayar belakang sebelah kiri meletup rupanya. nasib baiklah kereta tak terbalik.

“Eh, bang. Ni absng punya ke?”

Junaidi yang sedang meneguk air mineral di seat kereta bahagian belakang menghulurkan sesuatu. Kotak berwarna merah.

Aku sambut dan suluh dengan lampu picit.

Kotak berisi anak patung.

Cantik.

Berambut perang dan berbaju biru.

Terus aku terbayangkan Acu, si bungsu aku yang melambai aku dengan wajah sedih.

“Bukan ayah tak sayangkan kau, Acu. Ayah tak mampu. Duit beli patung tu ayah boleh belikan anak-anak ayah sekampit beras. maafkan ayah,”

Perasaan kesal tu datang sejak Acu dipanggil Mira isteriku. Nampak muncung anakku. Dengar langkahnya berat, menghentak lantai. Kuat merajuk kali ni. Air oren Mira hulur pun tak diminumnya.

Lama aku termenung depan patung bersaiz dua kaki tingginya. Matanya hijau. Mesti Acu suka. Aku duduk bersandar pada tayar ganti. Nantilah aku selesaikan kau.

Ku keluarkan handphone dan buka applikasi whatsapp. Aku cari grup ‘MY FAMILY❤’, Along yang cipta grup ni. Yang ada dalam tu cuma aku, Mira dan along.

Di bawah terang bulan aku tersenyum sendiri. Kotak patung aku letak atas riba. Dan aku klik untuk hantarkan gambar ke dalam grup.

Tak lama pun, 5 saat lepas tu Along dah seen. kemudia dia mula menaip.

Along : Patung siapa ni?

Aku : Nanti tunjuk Acu.

Mira : Cantiknya patung Acu.

Aku : Ya. Nanti bagi Acu tengok.

Along : Acu dah tengok. Dia melompat-lompat atas katil macam monyet.

Along : Cepat balik Acu kata🤣

Aku tersenyum. Bahagia tu susah nak dizahirkan bila berjaya buat anak aku gembira.

Kemudian aku simpan semula handphone ke dalam poket. Kotak di tangan aku hulurkan pada Junaidi.

“Patung ni muka sedih semacam je? Scary siot!” Junaidi laju meletakkan kotak tu di atas beg pakaianku.

“Diamlah. Anak aku suka sudahlah,”

Selesai menggantikan tayar kereta kami pun menyambung perjalanan ke Kelantan.

Sepanjang perjalanan aku banyak melelapkan mata. Biarkan Junaidi memandu dengan tenang. Orang melatah ni jangan diajak sembang sangat.

Risau nanti dia terkejut dengan cerita aku yang entah apa-apa. Cerita yang aku ada cumalah pengalaman aku sepanjang menjadi pemandu bas sejak Hentian Bas Pudu hinggalah aku bertukar kerja di TBS.

“Bang Mus, berat lain macam kereta sport aku ni?”

Aku terdiam. Toleh ke belakang memandang sekeliling. Tiada apa yang aneh kecuali cermin belakang yang sudah hancur. Melopong.

“Harap-harap tak hujan malam ni. Kalau hujan habis jadi akuarium kereta sport ni,”

Sempat juga dia berseloroh.

Alhamdulillah. Sampailah ke destinasi dengan selamat. Bas ekspress milik syarikat yang akan ku bawa pulang ke KL masih elok tidak mengalami kerosakan.

Aku mengeluarkan kunci pendua dan hidupkan enjin. Sementara menunggu enjin panas, aku menghisap rokok bersama Junaidi.

Sebelum aku lupa, beg pakaian dan kotak berisi patung di tempat duduk belakang kukeluarkan dahulu.

“Untuk harijadi anak abang ke?”

“Ya. Untuk anak bungsu aku,”

Kemudian Junaidi menghulurkan dua keping note ke dalam poketku.

“Eh, tak payahlah. Kereta kau ni nak pakai duit jugak,”

“Tak apa, Mr. Lee janji tanggung beres apa-apa terjadi kat kereta aku. Ini hadiah aku untuk anak abang. Muka dia sedih masa abang naik kereta tadi.”

Aku terbayang semula wajah Acu. Anak yang paling manja dan jarang buat perangai. Senang memahami keadaan sukar yang aku hadapi sejak aku bergaji kecil.

“Dia tak pernah minta macam-macam sejak aku tukar kerja. Mungkin bini aku dengan kakak sulung ajar dia jangan meminta. Aku memang tengah sesak sekarang,”

“Belikan patung lain, bang. Lain macam seram muka patung ni,”

Aku tergelak mendengar kata-kata Junaidi. Jauh di sudut hati aku, sangat berterima kasih kerana dia bermurah hati berkongsi rezeki RM100. Besar nilai seratus tu bagi aku.

Puntung rokok aku campakkan ke parit di belakang kami. Aku bawa beg pakaian dan patung tadi letak di belakang tempat duduk pemandu.

“Oklah, bang. Aku nak ke Kota Bharu tidur rumah kakak ipar dengan abang aku. Abang bawak bas tu elok-elok,”

“Baiklah, bro. terima kasih hantar aku. Terima kasih bagi hadiah untuk Acu,”

Kami bersalaman dan masing-masing memasuki kenderaan sendiri. sekejap lagi sesuai untuk mencari sarapan sebelum aku teruskan perjalanan balik ke KL.

Ketika aku memulas stereng cuba keluar dari tempat itu, Junaidi telah membunyikan hon beberapa kali.

Aku toleh. Junaidi memberi isyarat supaya aku call dia. Aku angguk kemudian terus mengangkat tangan dan memberi satu senyuman.

Bila memandu atas jalanraya, Junaidi memberi high beam beberapa kali. Aku anggap dia cuma ingin bergurau. Sampai di satu persimpangan lampu isyarat, kami terpisah membawa haluan masing-masing.

Mencari surau untuk solat subuh dan seterusnya aku ingin mencari nasi kerabu.

Perjalanan menuju ke KL lancar tanpa ada halangan, walau pun menempuh beberapa roadblock seperti waktu aku bersama Junaidi. Hanya soalan lazim dan aku dibenarkan teruskan perjalanan.

Perut aku mula berbunyi. baru aku sedar selain dari bersarapan nasi kerabu, aku cuma singgah makan di Temerloh waktu tengahari sebelum singgah mengerjakan solat zohor.

Waktu asar tadi aku singgah di surau R & R Genting Sempah. kemudian aku terus bergerak balik. Tak sabar nak tengok reaksi Acu bila dapat hadiah nanti.

Syukurlah aku sampai sebelum azan maghrib berkumandang. Bas syarikat ku biarkan parking di luar kawasan rumah flat bersama beberapa buah bas kilang.

“Yeay yeay!! Ayah balik! Ayah bawa hadiah Acu,”

Kedengaran suara Acu dari tingkat dua menjerit keriangan. Kemudian suara dia berlari di anak tangga dari atas ke bawah.

Gembiranya anak ayah. Bersyukur dapat ‘rezeki terpijak’, cantik pula patungnya. Duit seratus yang Junaidi bagi akanku belikan Acu buku cerita dan pensil warna Luna kesukaan dia. kali ni aku nak beli yang kotak besar.

“Ayah! Mana hadiah Acu?”

Acu berlari memeluk pinggangku.

“Acu tadi cakap nak cium ayah dulu,” Lang mengusik dari belakang.

Aku tunduk dan mencium dahi si manja. Lebar senyumannya dengan sepasang mata bersinar penuh pengharapan.

Tak sampai hati membiarkan dia menunggu lama. Kotak merah ku keluarkan dari beg pakaian.

“Terima kasih ayah. Sayangggg ayah!!”

Alhamdulillah.

Airis
——-

Aku memandang dari tingkat atas dengan mak dan Angah. Kami semua tersenyum.

“Mak, siapa belakang ayah tu?” Angah memanjangkan lehernya menjenguk ke bawah.

Siapa? Aku juga tercari-cari siapa yang Angah maksudkan. Tapi waktu ini ayah telah bergerak ke tangga flat, terlindung pandangan kami dengan awning rumah bawah.

Tidak lama selepas itu bunyi pintu dibuka. Suara Acu menangis kuat membuatkan kami terkejut. Suara Acu menjerit memarahi Lang berselang seli dengan jerit tangisnya.

“Lang nak tengok je, tu pun tak bagi. Kedekut!” Lang membebel.

Rupa-rupanya Acu tak benarkan Lang menyentuh patung barunya. Ayah tersenyum sinis melihat gelagat Acu yang terlalu sayangkan patungnya.

Malam itu selepas ayah masuk kerja jam 12 malam, aku menyimpan lauk yang tak dihabiskan ayah. Esok masih boleh dipanaskan untuk sarapan pagi pula.

“Along. Lapar,”

“Along baru simpan lauk, sayang.”

Sambil menutup langsir di cermin tingkap, aku menutup suis lampu bilik air.

Lapar pula adik bungsuku. kenalah gorengkan telur mata lembu untuk dia.

“Goreng telur mata boleh tak….” aku menoleh ke belakang.

Mana Acu? laju betul budak tu lari.

Sebelum aku gorengkan telur, baik aku tanya dulu apa yang dia nak.

Ketika aku menuju ke bilik, terdengar bunyi tapak kaki kanak-kanak sedang berlari. Lampu di ruang tamu sudahku tutup sebelum mengemas dapur.

Bunyi tapak kaki berlari ke belakang sofa. Acu nak main-main agaknya. Lampu dinyalakan dan aku mengintai di sebalik sofa. Kosong.

Masuk ke bilik tidur kami empat beradik. Kunyalakan lampu. Semuanya tidur nyenyak.

Aku hampiri Acu yang tidur sambil memeluk patumg barunya. Lena dah adik manja. Tadi kata lapar? Dahinya kuusap lembut.

“Hello, how are you!”

Allah, terkejut aku bila patung Acu berbunyi. Tak dengar pula ada bunyi masa Acu main sejak ayah bawa balik.

“Comel juga kau ni,” jari kelingkingku mengusik hidung si patung.

“Hello, how are you?”

Sekali lagi ia berbunyi. Aku hanya tersenyum lucu.

Setelah ku padamkan lampu, aku cuba pejamkan mata. Tidurku sedikit terganggu kerana Acu mengigau bercakap sendiri. tapi aku biarkan.

Ketika bangun subuh, Acu dan patungnya tidak ada di atas tilam. Hairan pula bila Acu yang liat tu mampu bangun awal pagi ini.

Lalu aku menuju ke bilik air untuk mandi dan mengambil wudu’. Mak sedang membuat sarapan pagi.

“Kenapa Along tak tutup pintu peti sejuk ni?”

“Along tutuplah, mak”

“Lagi satu, kenapa kunci pintu bilik? Kesian Acu tak boleh masuk. Mujurlah pintu bilik mak tak kunci,”

Aku tercengang mendengar kata-kata mak. Mak mengigau atau aku yang bermimpi?

Bukankah malam tadi Acu tidur di sebelah Angah?

Suatu petang ketika anak-anak jiran datang bermain di rumah, aku nampak sikap Acu semakin berubah. Acu dingin dengan kawan-kawan dia. Tidak bercakap dengan sesiapa kecuali patungnya.

“Humaira, mari main teka-teki. Siapa salah jawab kena conteng muka,” suara Norisya riang mengajak Acu main.

Acu menggelengkan kepala.

“Kita main blok, aku ada bawa ni. Siapa jatuhkan menara kita jentik telinga,”

Giliran Azrul pula memujuk Acu main bersama. Jawabannya tetap sama. Acu gelengkan kepala. Tumpuannya hanya pada si patung berbaju biru.

Kawan-kawan Acu aku jamu cucur ikan bilis bersama sirap. Mereka hanya bercerita sesama sendiri, Acu tidak hirau langsung.

Sehinggalah jam enam petang mereka pun balik ke rumah masing-masing.

“Acu, mandi dulu. Nak senja dah ni,” mak bercekak pinggang di depan bilik.

“Dari pagi main benda alah tu je, apa pun tak buat.” Mak membebel lagi.

Aku juga perasan perubahan Acu sejak dia dapat patung tu dia tidak seperti selalu.

Tidak banyak bercakap, leka sampai lupa makan, mandi, solat dan juga tidak lagi melayan kawan-kawan baiknya.

“Ayah, tengok Acu ni. Tak dengar cakap mak,” Lang mengadu.

Mata Acu menjegil tajam ke arah Lang. Tak pernah Acu bersikap macam tu. Matanya sarat dengan perasaan marah.

Suara ayah berdehem dari bilik. Lang mula menjelirkan lidah mengejek Acu.

“Siapa tak mandi lagi nanti ayah gantung luar tingkap!” Ayah pula bercekak pinggang mengambil alih tempat mak.

“Simpan patung tu! Lepas mandi buat homework baru main,” mak meninggikan suaranya.

Jelingan tajamnya masih melekat di muka Lang. Seperti helang yang mahu menerkam pada mangsanya.

“Padan muka!” Lang mengejek lagi.

Aku mendekati Acu dan memujuk dia supaya bangun, memang bertimbun kerja sekolah tidak disiapkan.

Tapi diluar dugaanku bila Acu menolak aku dengan kuat. Badanku tercampak di atas lantai.

Tergamam dibuatnya, sebab aku tak sangka Acu mempunyai tenaga sekuat lelaki dewasa.

“Melampau budak ni!”

Ayah terus mencampak patung ke atas almari di dalam biliknya. Menangislah si Acu berlari ke bilik air lalu menghentak pintu.

Pada malam harinya sebelum ayah pergi kerja, ayah alami perkara aneh. Ada gangguan di dalam bilik. Waktu itu mak berada di ruang tamu menemankan Acu siapkan kerja sekolahnya.

AYAH
——-

Malam ini terasa panas membahang luar biasa. Aku mandi setiap kali mengambil wudu’. Tingkap telahku buka luas agar anginnya masuk ke dalam bilik.

Entahlah, selesai solat jam 9 tadi aku cuba rehatkan badan. Dapat lelap dua jam pun segar dah. 12 malam aku akan masuk kerja.

“Hello, how are you?”

Aishh! Baru ku tekan suis lampu, patung Acu di atas almari baju sebelah suis tiba-tiba berbunyi.

Aku rebahkan badan dan baring menghadap ke almari. Sekeliling gelap, selesa untuk aku lelapkan mata. Dalam lima minit mataku terpejam.

“Hello. Hello. Hello,”

Mindaku dalam keadaan separa sedar. Namun suara itu jelas. Tetapi seakan ianya berada di tepi katilku.

“Where are you?”

Oii, lain bunyinya kali ni. Aku pantas membuka mata. Kelibat seorang kanak-kanak berlari ke hujung katil. Aku dapat rasakan tangannya bergesel dengan lenganku.

Pergerakannya terlalu pantas. Sekelip mata dia menyorok di hujung kakiku pula. Mata aku agak bermasalah kalau waktu malam. Sebab aku rabun malam.

“Siapa tu?”

“Hikhikhik. Hell…looo”

“Acu!” Aku menjerit.

Ketika ini,
Bunyi ketukan pintu bertalu-talu. Suara isteriku dengan Along menjerit meminta tolong.

Hilang terus rasa mengantuk tadi dek gangguan suara tadi.

Pintu berkunci? Sejak bila pula aku kunci pintu bilik?

Setelah terbuka pintu, Along menangis menyuruh aku tengok keadaan Lang. Mira pula tidak mengeluarkan suara lagi, cuma menangis macam kena pukul.

“Lang sawan, ayah.”

Sawan? Tak pernah pun anak-anak aku kena sawan sejak kecil. Allah, ujian apakah yang KAU beri. Anak aku…masa tu aku cuma terbayang wajah Lang.

Berlari ke depan tv tengok keadaan Lang yang kejang seluruh badan dengan mulut berbuih. Angah sedang memeluk adiknya yang kurus melidi.

“Along, panggil Imam Rahim. Sekali dengan Ustaz Sham,”

Bukan kali pertama aku tengok orang kena sawan. Lain macam sawan Lang ni. Matanya merah menyala, tebuntang memandang wajah seorang demi seorang.

Orang kena sawan mana sedar siapa depan mata dah? Suara dia pun dah bertukar garau macam jantan. Apalah yang ganggu anak aku ni?

AIRIS
——-

Walau pun telah hampir jam 10 malam, ramai yang dah tutup pintu rumah dan berehat. Aku terpaksa juga turun ke tingkat bawah panggil Ustaz Sham dengan Imam Rahim.

Tersiksa aku tengok Lang mengerekot tangan dan kakinya.

“Janganlah Lang tinggalkan kak Long,”

Baru menuruni lima anak tangga, bahu aku disentuh sesuatu. Aku menoleh dan tak nampak apa pun. Anak tangga kesembilan bahuku dicuit lagi.

“Hello, hello..”

Aku kenal suara tu. Suara patung Acu!? Kemudian suara patung itu tergelak kecil.

“Airis, apa kau tercegat di situ? Ayah kamu suruh kami ke rumah kamu,” suara Imam Rahim.

Alhamdulillah, ayah dah call rupanya. Aku berlari naik ke atas dengan laju.

Sampai di dalam rumah, Imam memegang kepala Lang sambil mrmbaca sesuatu. Ustaz Sham juga mulai membaca ayat Kursi dan memegang kedua pergelangan kaki Lang.

“Lepaskan akulah! Aku suka dengan Acu!” suara Lang berubah garau seperti lelaki tua.

“Kalau kamu suka budak tu kenapa kamu ganggu kakak dia?” Soal Ustaz Sham.

“Sebab dia tak sukakan aku. Bapak dia pun tak suka aku. Memang cari nahas!!”

“Kami semua tak suka kamu. Kamu iblis yang sesat! Kalau tak keluar dari badan budak ni, kami akan hapuskan kamu,”

Ustaz Sham mulai meraba tapak kaki Lang kemudian dipicit ibu jari Lang sampai terjerit-jerit Lang menahan sakit.

“Aku bosan duduk tepi hutan…aku nak kawan. Aku sunyi tak ada kawan. Tolonglah aku,” suaranya mula syahdu memujuk agar dirinya dilepaskan.

“Kamu datang ikut siapa? Macam mana kamu boleh sampai ke sini?”

Lalu dia ceritakan asalnya dia jin di hutan daerah Bentong. Tempat tinggalnya dijadikan lebuhraya. lalu dia merayau mengganggu pemandu yang nasib tidak baik.

Minggu lepas dia terjumpa patung yang tercampak keluar dari sebuah kereta. Mungkin ada budak kecil yang terlempar keluar.

Kebetulan malam itu ayah dan Junaidi berhenti di tepi lebuhraya kerana tayar meletup. Dari situlah dia mengikut ayah balik. Patung itu sebagai penarik untuk ayah membawa dia balik ke rumah kami.

Imam Rahim memberi kata dua, samada tinggalkan badan Lang atau dia akan hapuskan jin tersebut. Tanpa berlengah, jin itu terus meninggalkan badan Lang dan lenyap begitu sahaja.

Malam itu juga Ustaz Sham bakar patung tersebut di kawasan lapang di tepi flat. Dia tidak mahu ada budak lain pula diganggu oleh jin.

Acu pula lepas lihat semua kejadian tu dia terus demam. Ayah terpaksa menghubungi Junaidi minta gantikan kerjanya pada malam tersebut.

“Kenapa baru nak call aku?”

“Kenapa apa?”

Junaidi membuka cerita. Sebenarnya pagi subuh itu dia ternampak ada seorang lelaki tua duduk di belakang ayah. Junaidi cuba hon, ayah cuma senyum.

“Aku bagi kau high beam, bang. Suruh abang call. Benda tu yang aku nak cakap,”

Ayah terdiam terus selepas Junaidi bagitahu hal sebenar.

Syukurlah semuanya kembali normal. Patung yang dibakar telah ditanam oleh ustaz. Aku pun tak tanya apa tujuannya. Yang penting keluarga kami tak diganggu lagi.

Sekian. Sebuah kisah benar seorang pemandu bas dan anaknya kongsikan untuk Panda olah semula.

Pesanan ikhlas : Jangan sembarangan bawa balik patung yang tak tahu dari mana asal-usulnya.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Mizs Panda

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 28 Average: 4.9]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.