Penangan Belangkas di Malam Raya

Salam Warga FS,

Aku K, dan seorang lelaki. Sebenarnya ni pengalaman pertama aku berdepan dengan benda-benda mistik ni. Pengalaman kedua korang boleh baca kat sini : https://fiksyenshasha.com/proses-rawatan-keluargaku-oleh-darussyifa/ . Kira sepanjang hidup aku baru 2 kali ni jela aku kena sakat, tapi bukan la kategori hardcore pun macam orang lain, sebab tak penah lagi face to face dengan benda-benda macam ni.

(Semua watak dalam cerita ni jugak bukan nama sebenar, takut ada antara diaorang ni kaki FS jugak, boleh kantoi aku.hahaha..)

Masa kejadian umur aku baru 22 tahun, kira dalam 13 tahun lepas la. Waktu kejadian ni betul-betul pada tengah malam raya aidilfitri tahun tu, tak salah aku dalam tahun 2006. Mangsa kejadian termasuk sekali dengan 4 orang member baik dari kampung. Kami berkawan rapat dari sebelum tadika sampai la sekarang. Tahap kamceng(rapat) tu sampai orang kampung pun dah panggil kami ni macam adik-beradik. Sampailah masing-masing dah berkahwin, dah jarang-jarang sangat nak berjumpa. Berhubung pun guna whatsapp ja, sebab semua dah ada komitmenkan. (dekat-dekat nak raya ni tiba-tiba rasa sebak pulak, rindu saat-saat bersama dulu)

Petang Raya di Hari Kejadian

Segala urusan di rumah parents baru ja aku setelkan, yakni mengemas di seluruh pelusuk rumah sempena nak raya pada esoknya. Penat & dahaga jangan dok kata la, dah puasakan. Masa ni aku stay dengan mak ayah lagi. Rumah kampung jenis sebuah-sebuah, 2 tingkat, bawah batu atas papan. Agak layan jugak suasana di siang mahupun di malam hari sebab belakang rumah boleh nampak sawah padi. Kalau bernasib baik dapat jugak merasa angin laut kat depan rumah, sebab dari rumah nak ke tepi pantai jarak dalam 2-3km je. Angin sawah padi + angin laut, fuhhh……memang syahdu gila baqhang.

Jarak rumah antara jiran tetangga pulak ada yang dekat, ada yang jauh sikit. Biasalah kawasan kampungkan. Memandangkan rumah parents aku berada di tengah-tengah antara semua, maka semua telah sebulat suara telah menjadikan rumah ni port untuk berkumpul sebelum nak bertolak ke mana-mana. Bukan kata aku, mak ayah & adik kakak aku turut menjadi mangsa keadaan dalam menjadi tuan rumah port untuk berkumpul & sebagainya. Tapi tak ada masalah pun, kami OK je.

Dalam pukul 5 petang tu…

“K…ooo K…” kedengaran sahutan dari luar rumah.

“Haa..sat sat” aku kembali menyahut.

Kedengaran seperti suara Man, salah sorang dari 4 orang member baik aku tu. Bila aku ke depan rumah kelihatan Man sudah menunggu di atas motosikal model RG 110 biru miliknya. Eh, Din juga kelihatan, juga masih lagi di atas motosikal dari model yang sama & kebetulan warna pun biru jugak. Pada zaman ni agak ramai anak-anak muda yang tergila-gilakan motosikal jenis model Suzuki RG ataupun RGV, termasuklah kami berlima. Sehati sejiwa la katakan, sampai moto pun beli jenis yang sama,tapi beli second hand ja, tak mampu beli yang baru. Tak salah nak dekat RM6000++ jugak la keluar kedai.

“Laa..hang dok ralit (tunggu) apa lagi, pi la dressing lekaih. Satgi lepa (diaorang) sampai kita nak pi teruih..” Din memarahi aku.

Eh, betul la, aku baru teringat yang kami dah planning semalam nak ke tepi pantai lepak-lepak ambil angin di petang raya. Yang sebenarnya lebih kepada nak buat chiwi dengan motosikal masing-masing (menunjuk-nunjuk), tapi dalam bahasa yang lebih tepat lagi, nak pegi ushar-ushar awek yang lalu lalang kat situ la. Cuci-cuci mata.

“Haa..aku nak p salin la ni..dan (sempat) la tera (sementara) lepa semua nak mai..” aku membalas sambil berpusing & berjalan masuk kembali ke dalam rumah. Ketika ini aku hanya bertshirt & berkain pelikat, sebab nak solat asar masa tu. Usai asar & tukar pakaian, aku kembali bergerak keluar sambil mencapai kunci motosikal & topi keledar. Sampai ja kat depan pintu rumah, aku nampak ada 2 kelibat manusia menunggang motosikal sedang menuju ke rumah aku.

“Haa..tu Sim & Cik dok mai dah..” aku menyapa Man & Din yang sedang gigih mengilatkan motosikal masing-masing dengan tuala kecil. Sim & Cik juga merupakan kawan baik aku yang berempat ni, jadi bila dah cukup korum 5 orang, maka sebarang aktiviti yang di plankan inshaAllah akan berjalan dengan jayanya.

Selepas tahap kekilatan motosikal masing-masing dah jadi seperti cermin, maka enjin pun dihidupkan. Kedengaran bunyi ekzos yang agak kuat sebab dah kelima-lima jenis model yang samakan, 2 lejang plak tu. Tanpa berlengah, kami pun bergerak santai dengan hanya berkelajuan 20-30km/j, sebab dekat jakan nak pegi ke tepi pantai tu. Sambil-sambil tu dapat lah tengok permandangan indah di tepi pantai. Kononnya lah.

“Ramai sungguh noo…best la lagu (macam) ni..” Din menyapa ketika kami masih lagi menunggang motosikal. Mungkin kerana niat asal nak ke tepi pantai tu seakan-akan tercapai. Din ni dalam kami berlima, dialah yang paling banyak bercakap. Orang utara selalu gelarkan orang jenis ni ‘suka dok buat ramai’. Sampai sekarang pun perangai Din masih sama, tak berubah-ubah.

“Haa..situ port cantik wei..jom cepat, satgi orang sapu..” sekali lagi Din menyapa sambil tangan kirinya menunjukkan ke arah kawasan yang berbatu besar, betul-betul di tepi pantai. Kebetulan jalan untuk keluar masuk ke pantai tu betul-betul berdepan dengan port yang kami pilih.

“Hang kalau kat bab-bab lagu ni Din, hang memang cukup terrar (cekap)..” Sim memerli Din, membuatkan kami sedikit ketawa.

Pantai ni dulu memang meriah, ramai orang suka datang. Tambah-tambah waktu petang weekend & petang raya macam ni. Kadang-kadang kereta sampai kena Q nak masuk, punya ramai. Cuma sekarang ni dah jarang orang kunjungi sangat, mungkin sebab dah nampak sedikit suram akibat dari pokok paya bakau yang tumbuh terlalu banyak di persisiran pantai. Jadi gelap sikit & nyamuk pun banyak. Kalau aku sebut nama pantai ni, mesti orang utara boleh tahu kat mana.

Kami melabuhkan punggung di atas batu besar yang agak leper, sambil mata meliar ke kiri & ke kanan melihat kelibat orang ramai yang keluar masuk pantai. Kalau di luar bulan Ramadhan, sudah semestinya di tangan setiap orang memegang sebekas rojak buah & air bungkus, selalunya teh o ais la yang menjadi kegemaran. Sambil cuci mata, sambil makan.

Elok aku baru nak memulakan bual bicara sembang kosong, tiba-tiba Din sekali lagi bersuara,

“Haa..Alhamdulillah la..rezeki kita la malam raya ni..” sambil tangannya menunjuk ke arah air laut di gigi pantai.

Kelihatan 2 ekor belangkas sedang bergerak perlahan menuju ke arah laut, mungkin kehadiran kami membuatkan mereka lari mahu menyelamatkan diri.

“Haa apa lagi Din..pi la tang…….” belum sempat aku menghabiskan ayat,

“Bushhh!..” Din terus melompat ke dalam air laut dengan pantas, mungkin risau kedua-dua belangkas tadi dah sampai ke tengah laut & hilang dari pandangan.

“Aku dapat wei..best la malam ni..lama dah tak qasa teloq belangkaih aihh..” sahutan Din dari arah laut sambil kedua-dua tangan memegang ekor belangkas tadi dan mengangkatnya tinggi ke atas. Jeans Levis Thailand yang dipakai Din jugak kelihatan agak basah kuyup di bawah paras lutut.

Setahu aku, belangkas ni orang bakar untuk makan telur dia je, daging dia bukan boleh makan pun sebab ada orang kata beracun. Aku pun tak pasti, sebab bukan penah makan pun. Ni dah sebab 1st time nak rasa, tu yang rasa excited tu lain macam. Tapi kalau belangkas tu betina la, kalau jantan takkan boleh bertelur plak kan. Ntah camna nak bezakan pun aku tak tahu.

Kami yang lain pun turut berkongsi keterujaan dengan Din, sekurang-kurangnya ada jugak aktiviti bbq muda-mudi di malam raya, kalu tak mungkin duduk melepak bual-bual kosong jela.

Kami sepakat untuk pulang saja ke rumah, dengan harapan kedua-dua ekor belangkas tadi dapat hidup sampai malam nanti, baru la freshkan. Kami terus singgah di rumah Cik, sebab selalunya port operasi bakar-membakar ni dijalankan di sini. Pertama sebab peralatan bakar-bakar ni semua dah tersedia, kedua sebab kawasan rumah Cik sendiri jauh sikit dari jiran tetangga yang lain. Risau asap menggangu je. Tanpa membuang masa Cik terus memasukkan kedua belangkas tadi ke dalam besen besar yang berisi air, sambil kami yang lain mengeluarkan arang & tempat bakar dari stor belakang rumah Cik.

“Ok, semua ready dah..tinggai nak bakaq ja..satgi malam kita jumpa lain..hampa jangan tak mai pulak, penat aku pi tangkap tadi..tengok sampai basah seluaq aku..” Din memberi peringatan sekali lagi, dengan harapan aktiviti malam ni berjalan dengan lancar.

Setelah selesai, semua pulang ke rumah masing-masing untuk iftar yang terakhir Ramadhan tahun tu bersama keluarga.

Malam Kejadian

Dalam pukul 11 malam jugak la baru nak cukup korum 5 orang, biasa la janji melayu. Selalu yang suka spoiled bab nak ontime ni, orang yang sama iaitu Din. Bila dah sampai, 1001 alasan diberi. Dan sampai sekarang pun perangai masih tak berubah-ubah jugak.

“Bab api biaq aku yang buat..” aku dengan sukarelanya bagitahu kawan-kawan yang lain.

Ketika ini semua kawan-kawan yang lain sedang duduk di bawah bumbung tempat letak kereta kepunyaan family Cik, incase takut hujan. Tempat letak kereta ni betul-betul bersambung dengan tepi rumah, kira keluar ja pintu depan terus kat bawah bumbung parking keta.

Aku saja masih di luar sedang hidupkan api sorang-sorang. Cik berada di dalam rumah sedang membancuh air sunquick ais. Yang lain dok menyembang apa pun tak tahu la.

Dalam masa sama aku baru perasan yang Man dari kat pantai tadi diam ja, tak cakap sepatah apa pun.

“Hang pasai apa Man..dari siang tadi dok diam ja..hang ada apa-apa masalah ka..” aku terus bertanya pada Man.

“Haa..hang pasai apa Man..esok nak raya hang dok buat muka macam kerang busuk pasai apa..” seperti dijangka, Din akan menyampuk.

Tetapi Man masih mendiamkan diri seribu bahasa, sepatah habuk pun tak cakap. Kami pun agak kebuntuan, sebab selalu Man tak macam ni.

“Haa..nah..ayaq siap dah..sempoi (best) punya..” tiba-tiba Cik keluar membawa 1 dulang air, bersama-sama dengan kerepek bawang yang masih di seal rapi dalam plastik.

Aku yang di luar pun masuk mengejoinkan diri, sementara menunggu arang yang dibakar menjadi bara, baru cepat sikit nak masak bila bakar nanti.

Ketika semua sedang kusyuk meneguk sunquick ais, tiba-tiba Man baru mengeluarkan suara.

“Hampa dah pikiaq habih ka ni?..” sapaan Man membuatkan kami berhenti minum serta merta.

“Awat Man?Pikiaq pasai apa ni?Tak paham aih..” aku mempersoalkan Man. Yang lain turut mengangguk seperti menyokong pertanyaan aku.

“Pasai apa lagi..belangkaih ni la..takkan hampa taktau apa-apa kot..” dengan tegas Man menjawab kembali.

Kami berpandangan sesama sendiri. Ketika ni aku sudah macam dapat menjangka apa yang Man maksudkan. Rasa-rasanya yang lain juga turut berfikiran seperti aku. Yang sebenarnya dari tepi pantai tadi lagi ada terlintas jugak di fikiran aku tentang benda ni, tapi disebabkan oleh ketaksuban aktiviti muda-mudi di malam raya, aku sedaya upaya cuba buat-buat tak endah.

“Hampa tau dak, kita buat ni dah macam kita panggil dia mai kat kita la..memang nahaih la kita satgi..” dengan tegas Man menambah.

“Alaa..releks la Man, hantu jin syaitan semuakan kena ikat bulan posa ni..nak takut apa..lagipun kita bukan niat nak panggil dia mai, kita buat ni sebab nak makan ja..” Din dengan over confidentnya menyampuk.

Mengikut kepercayaan setempat, bila belangkas dibakar, ia akan mengeluarkan satu bau yang agak kuat. Bukan bau busuk pun, tapi ntah la, memang agak kuat bau dia. Mungkin bau telur dia dah masak atau mungkin jugak bau daging dia terbakar. Bau tu dikatakan disukai oleh makhluk-makhluk halus ni. Mengikut cerita & pengalaman orang kampung, dah banyak kali ada orang kena. Bila bakar ja belangkas ni, langsuir ataupun pontianak akan datang join sekali. Aku pun sebenarnya 50/50 jugak nak percaya benda-benda macam ni, kadang-kadang takut orang suka-suka dok tokok tambah cerita ja, biasalah orang-orang tua kampungkan.

“Haa bara dah elok dah tu, kita dah boleh start bakaq ni..” aku mencelah & sekali lagi yang lain mengangguk seperti setuju, termasuk sekali dengan Man. Keadaan Man nampak sedikit pasrah dengan keputusan majoriti kami, tapi beliau seperti tiada lagi pilihan lain & terpaksa bersetuju.

2 ekor belangkas di dalam besen tadi nampaknya masih hidup, bergerak-gerak seperti mahu melepaskan diri. Tanpa membuang masa Cik terus memegang erat ekor mereka & telangkupkan kedua-duanya di atas bara yang sedang panas membara. Kaki kedua-dua belangkas tadi kelihatan bergerak-gerak laju seperti mengelupur kepanasan. Nampak macam kesian, tapi nak buat camna, kita nak makankan, bukan suka-suka nak dera.

“Bole tahan bau belangkaih ni nuu..sedap, tapi bau kuat sungguh..” Sim menyapa setelah 15 minit kedua-dua belangkas itu berada di atas bara.

“Haa..dah boleh dah tera ni..masak elok dah ni..” Cik pula mencelah sambil mengalih belangkas tadi untuk melihat bahagian bawah. Masing-masing seperti menelan air liur, mungkin kerna tidak sabar untuk merasa, termasuklah Man yang merasa takut mula-mula tadi.

“Hmm…sedapnyaa…bukan senang nak rasa ni..cepat wei, tumpang dok panaih-panaih lagi ni..” Din menjadi orang pertama merasa sambil mencicah dengan sos cili keluaran Maggi. Kami yang lain turut mengikuti jejak langkah Din. Alhamdulillah, rezeki kami malam tu, kedua-duanya adalah betina, jadi agak puas jugak la masing-masing dapat merasa dengan kuantiti yang agak banyak.

Jam menunjukkan hampir pukul 1 pagi, kami masih meratah sisa-sisa telur yang ada sampai licin.

“Hang makan last Sim, hang p buang sat..dah la dari tadi tak buat apa-apa, dok melengung (duduk saja) ja..” dengan tegas Din menyuruh Sim menyetelkan segala sisa-sisa belangkas tadi yang tak boleh dimakan.

“Hang p buang kat longgok sampah belakang rumah nuu..” Cik pula menambah sambil mulutnya muncung menunjukkan arah belakang rumah.

Longgokan sampah di rumah Cik ni betul-betul berada di bawah pokok lemuni. Pokok lemuni ni orang guna daun dia untuk buat nasi lemuni, nasi yang warna hitam tu. Selalunya cara memakannya lebih kurang macam nasik lemak la, kena ada timun, telur rebus & sambal ikan bilis. Memang sedap. Pokok lemuni di belakang rumah Cik ni agak tinggi dan rendang, mungkin sebab dah lama tanam kot.

Setelah Sim selesai, kami kembali duduk melepak bual-bual kosong sambil menghabiskan sunquick ais & kerepek bawang tadi.

“Tengok..kan aku dah habaq..takdak apa-apa pun..hang ja dok buat risau lebih..” sekali lagi Din memberitahu Man, dengan level confidentnya sedang berada di tahap paling tinggi ketika itu.

“Hang jangan dok cakap besaq sangat Din..” kelihatan Man masih timbul kerisauan di mukanya.

Dengan tidak semena-mena kedengaran bunyi anjing menyalak di perkampungan cina sebelah, kira-kira 50 meter dari rumah Cik. Kedengaran seperti lebih dari 2-3 ekor anjing yang menyalak. Anjing-anjing tu dibela sendiri oleh penduduk cina di kawasan situ, mungkin lebih kepada security purpose. Tapi kami lansung tak mengendahkan bunyi salakan tersebut, mungkin sebab dah biasakan. Kadang-kadang ada orang tak dikenali lalu lalang, atau mungkin anjing-anjing tu bergaduh sesama mereka.

“Lama betui anjing tu dok salak..hampa tak rasa apa-apa ka..” Man memintas perbualan kami.

“Ishh hang ni..tiap-tiap malam memang lepa dok menyalak lagu tu kan..bukannya hang taktau..dok buat macam tak besa pulak..” Din menyampuk untuk menyedapkan hati kami.

“uuuuuu….uuuuuuu…..uuuuu…” dari menyalak anjing-anjing tu menukar bunyi seperti serigala pulak. Kami berpandangan sesama sendiri, walaupun agak seram, tetapi mulut masih lagi sibuk mengunyah kerepek bawang.

“uuuuu..uuuuuu..uuuuuu…” dari jauh sahutan kedengaran semakin mendekati ke rumah Cik. Kami masih lagi berfikiran positif mengatakan yang anjing-anjing ni masih bergaduh, mungkin sambil berlari-lari sebab tu kedengaran semakin dekat. Dalam kami semua, Man yang terlebih gelisah tak senang duduk, mungkin beliau terlalu imaginkan benda bukan-bukan kot.

“eeeeeeeeee…eeeeeeeee…eeeeeeeee..” kedengaran betul-betul dekat dengan kami. Kali ini bunyi yang berbeza kedengaran.

“Lain macam bunyi ni..tak macam bunyi anjing pun..hampa dengaq dak wei?..” Din membuka kembali bicara setelah semuanya diam agak lama.

Kami masih diam seribu bahasa, sepatah perkataan pun tidak keluar dari mulut sesiapa.

“eeeeeeeeeeeeeee…..eeeeeeeeeeeeeeeeee……eeeeeeeeeeeeeeee….” bunyi betul-betul datang dari arah longgokan sampah tadi. Secara automatik kesemua kami berlima mengalihkan pandangan ke arah situ, tapi memang gelap betul, apa pun tak nampak.

“eeeeeeeeeeeeee….eeeeeeeeeeeeeeeeee….eeeeeeeeeeeeeeee…” sekali lagi kedengaran bunyi yang sama, cuma kali ni agak kuat. Dan bunyi ni datang betul-betul dari atas pokok lemuni tadi.

Gelas air yang masih berisi sunquick ais & lebihan kerepek bawang di tangan di letakkan kembali di atas meja. Masing-masing bangun dah bergerak perlahan menuju ke motosikal. Ketika ini kami agak cemburu dengan Cik, sebab beliau sudah berada di dalam rumah. Tak guna punya Cik.

Motosikal dihidupkan serentak & throttle dipulas semaksimum yang mungkin untuk sampai ke rumah, walaupun tak jauh mana. Alhamdulillah, aku tak kena kacau sampai la aku berada di atas tilam toto. Tidur pun agak lena malam tu, walaupun agak lewat.

Cuma esok pagi tu sebelum nak ke masjid untuk solat sunat raya aidilfitri, aku menerima leteran yang padu dari parents, sebab tertinggal kunci di motosikal, dengan tengkuk pun dibiarkan tak berkunci. Dirisaunya mereka motosikal dicuri, sebab jumlah keahlian penagih agak ramai dikampung aku masa tu. Tapi aku diam seribu bahasa, sambil masih bingung memikirkan kejadian semalam, takut nak cerita kat dorang. Sampai sekarang aku masih merahsiakan perkara ni dari parents aku.

Setelah selesai solat sunat aidilfitri & menziarahi pusara, kami berlima kembali berkumpul di rumah aku. Cuma Din seorang ja yang datang dari rumah sebab dia tidur mampus hanyut tak sedar, mungkin sebab tak boleh lena kot semalam. Dah dia mulut paling celupar. Hahaha..

Dah 13 tahun sejak kejadian ni, pantang kami berkumpul ja waktu raya, mesti topik kejadian ni menjadi bualan paling utama tanpa rasa jemu. Cuma kadang-kadang nak cukup korum berlima tu agak susah, masing-masing dengan komitmen kerja la, raya kampung isteri la & sebagainya. Pokok lemuni di belakang rumah Cik pun masih tersergam indah, dah makin tinggi dan besar pokok tu. Kadang-kadang bila lalu kat area situ, automatik memori akan refresh balik kejadian menakutkan ni, walaupun dah lama berlaku.

Semoga persahabatan kami berkekalan hingga ke akhir hayat. Aminn..

Selamat Hari Raya semua, Maaf Zahir & Batin.

-Pirlo Utara-

Hantar Kisah Anda: fiksyenshasha.com/submit

5 thoughts on “Penangan Belangkas di Malam Raya”

  1. Perghh nasib la x berapa nak minat makan belangkas pasai nak basuh dia banyak qenah (karenah) sangat . Btw bagi aku start seram part nak p tauk kat tempat sampah nu mcm boleh agak apa nak jadi satgi .

    Reply
  2. Boleh makan dagingnya tapi nak kena orang yg pandai siang utk buang bahagian yg beracun. Lupa lak bahagian mana,biasa mkn kat kedai je.

    Reply

Leave a Comment