Pendamping

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua peminat FS. Terima kasih admin sekiranya menyiarkan penulisan dari Gentala Merah yang serba kekurangan. Penulisan bergenre seram bukanlah sesuatu yang mudah terutamanya untuk menggambarkan situasi berkenaan benda-benda halus. Selamat membaca semua!

Sudah hampir setahun Nyang Kesuma terlantar sakit. Badannya susut mukanya cengkung. Makan tidak, hanya minum sahaja. Bercakap pun jarang. Dirinya yang sudah tua kelihatan seperti hanya tinggal kulit dan tulang.

Pada suatu malam…..

“Kesini kamu! Arah Nyang Kesuma kepada Salmah dengan suara yang lantang. Satu bungkusan dalam kain kuning berisi keris dikeluarkan oleh Nyang Kesuma dari sebuah kotak kayu lama yang dipegangnya sambil matanya melirik ke arah Salmah. Salmah terkaku. Terbeliak matanya apabila Nyang kesuma bangkit berdiri di depannya. Bukankah orang tua ini lumpuh? Jantung Salmah berdegup kencang.

“Salmah.. aku mahu memberikan sesuatu milik kau. Benda ini bukan sembarangan. Kamu jaga baik-baik. Dia pendamping kamu. Dia akan bersama-sama kamu. Susah senang kamu! Dia akan sentiasa bersama kau salmah. Terimalah Salmah. Ambil… Ambil.”

Salmah terkejut. Lain benar percakapan Nyang Kesuma ketika itu. “Sa..sa..saya . Saya tak nak Nyang…” terketar-ketar suara Salmah.

“Jangan berani menolak Salmah! Dia akan melindungimu!” Hampir gugur jantung Salmah melihat Nyang kesuma yang berserabai dengan rambut berubannya dan mata yang kian memerah. “Ambillah Salmah… sudah tidak larat aku untuk bersamanya. Aku sudah terlalu tua Salmah. Hanya kau pewarisnya. Kau satu-satunya cucuku. dia hak milik kau. Benda ini akan melindungi kau. Tetapi bersyarat. Tolonglah Salmah…” tiba-tiba suara Nyang Kesuma berubah menjadi sayu merintih memintah tolong kepada Salmah.

“Nyang simpanlah keris tu. Sa… saya tak berminat untuk menyimpannya,” kata Salmah.

Hujan lebat dan kilat sabung menyabung. Salmah kedinginan hingga ke tulang. Lututnya menggeletar. Ingin berlari langkahnya kaku. Lidahnya kelu. dirasakan seperti satu tangan yang sejuk sedang meraba-raba dia dari belakang sementara Nyang Kesuma galak membaca mantera Jawa. Mahu menjerit tetapi suara Salmah tersekat di kerongkong.

“Sa… sa… saya terima Nyang,” Salmah bersuara kerana tiada pilihan melihat Nyang Kesuma merenungnya tajam seperti mahu menerkamnya.

“Ha ha ha ha ha!” Hilai tawa Nyang kesuma seperti pontianak bergema sangat menyeramkan. “Berjanji padaku yang setiap malam jumaat kau akan perasapkan kain ini dan setiap purnama 15 tika bulan mengambang, perlu kau menjamunya dengan darah. sediakan piring kaca dan bagi dia makan! Jika kau gagal, maka darah dagingmu akan musnah! Berjanjilah kau akan menjaganya seperti nyawamu sendiri.”

Salmah semakin buntu. Kini kotak kayu lama bewarna coklat yang menyimpan sebilah keris dalam bungkusan kain kuning sudah bertukar tangan. Gulp! Salmah menelan air liur. Apakah semua ini? Desir angin kedengaran mengganas dan seakan-akan satu ribut akan datang memusnahkan alam semesta. Salmah terhuyung-hayang dirasakan seperti gempa bumi yang dahsyat sedang berlaku. Sedangkan nyatanya tiada apa-apa.

Tujuh Jumaat berlalu. Tujuh minggu berlalu meninggalkan waktu. Salmah terlupa akan janji-janjinya pada Nyang Kesuma. Arwah neneknya sudah meninggal dunia keesokan selepas peristiwa aneh di kampung yang dilalui dan dirahsiakan tanpa pengetahuan sesiapa. Malah kotak lama itu langsung tidak dijenguk. Salmah menjalani hari-hari seperti biasa dan peristiwa itu seakan-akan dilupakan oleh kesibukannya di pejabat. “Ya Allah bodohnya aku! ” keluh Salmah dalam hati. Fikirnya dia tidak patut menerima ‘amanat’ Nyang Kesuma. Hampir setiap malam juga dia bermimpi buruk.

Suasana terasa pelik berbanding dengan malam-malam sebelumnya. Bilik tidur Salmah terasa berbahang panasnya. Salmah menolak pintu gelangsar dan berdiri di beranda. Bulan seakan menyorok di balik awan. Angin yang menjamah lembut tubuhnya langsung tidak memberi kedinginan. Sudah berbalang-balang air juga telah dihabiskan.

Tiba-tiba angin dingin menyentuh wajahnya lalu ke leher turun ke bahu dan ke belakang. Salmah tersentak. Namun rasa dingin yang sungguh nyaman itu menenggelamkan rasa terkejutnya. Salmah tersenyum. Langkahnya menuju ke arah almari lalu mencapai sebuah kotak lama dan dibuka cangkuknya. Jarinya menyentuh fabrik lembut yang berlipat rapi membungkus sesuatu. Lalu diambil dan dirapatkan ke pelukannya. Diciumnya berkali-kali. Dielus lembut. Tiba-tiba kain tadi bertukar menjadi lembut selembutnya seperti kulit manusia. Satu aroma yang begitu wangi memenuhi segenap ruang. Aroma ini belum pernah dinikmatinya. Asyik diulit perasaan, tiba-tiba syair merdu kedengaran di telinga Salmah. Salmah terkaku. Tampan. Ya, pemilik suara itu bertentangan mata dengan Salmah, malah Salmah sedang menyentuh pipinya dan hidung mereka sangat dekat sehingga dapat dirasakan setiap hela nafas. Dada Salmah semakin berombak apabila dapat didengar degup jantung lelaki itu.

“Siapa kamu?” Bisik Salmah.

“Telah lama kita kenal. Aku milik kamu dan kamu milik aku. Sekian lama aku menunggu saat ini, Dewi. Aku rindu padamu. Kamu kesayanganku, Dewi.”  Suara itu berdesir. “Malam ini aku mahu bersama kamu, Dewi.” Berkulit sawo matang, berwajah redup dan ketinggiannya lebih tinggi dari Salmah. Sungguh sempurna. “Aku kesayanganmu. Aku Bagas!” Jari-jemari Salmah diraih… digenggam erat. Liur Salmah terasa kelat tidak mampu bersuara. Hanyut. Mereka hanyut dalam dunia cinta seakan dua jiwa kembali bersatu setelah sekian lama…

Azan subuh kedengaran sayup-sayup. Salmah bangkit dari tidurnya. Adakah malam tadi hanya mimpi? Dia tercari-cari lelaki segak berpakaian seperti pendekar. Salmah mengurut dada. Gila! Semua ini tidak masuk akal.

Sebaik sahaja dia bingkas bangun satu desiran suara menyentuh pendengaran. “Aku datang padamu Dewiku….” terasa hangat tubuh mula memeluk Salmah. Rambut Salmah yang panjang mengurai dielus lembut. Salmah berpusing kebelakang. Bulu tengkuknya meremang. Bau harum mula menusuk ke hidung. Berdiri Bagas gagah perkasa di depannya. Senyuman Bagas sungguh manis. Salmah terpesona. Bagas mendekati Salmah dan mengelus lembut rambutnya. Terpukau. Salmah tenggelam lagi dalam keindahan belaian Bagas. Bagas menarik tangan Salmah lalu berbaring di katil. Dada bidang Bagas sungguh selesa bagi Salmah. Syair indah mula didendangkan. Perasaan sayang dan cinta membuak-membuak kepada Bagas tidak dapat dibendung lagi. Salmah yakin benarlah Bagas yang gagah perkasa memperlihatkan otot-ototnya akan penjadi pelindungnya. Salmah berasa selamat bersama lelaki itu.

Hari berganti hari. Ke mana Sahaja salmah pergi pasti ada Bagas. Malah dia merasakan dirinya begitu selamat disamping Bagas.

Ada juga dalam kejadian tempoh hari dia hampir diragut tetapi Bagas beradu tenaga sehingga melayang nyawa si pelaku. Mati dengan ngeri patah riuk. tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan kerana tiada seorang manusia pun dapat mengesan kehadiran Bagas. Salmah puas, dirasakan dirinya begitu hebat memiliki Bagas. Tidak ada seorang pun yang mampu mengganggunya. Daripada seorang yang lembut, Salmah berubah menjadi seorang yang pemarah dan pendendam. Pantang sesiapa sahaja menyakitkan hatinya pasti “dikerjakan” oleh Bagas atas arahan Salmah. Bagas begitu patuh dengan arahan salmah. Sudah ramai mangsanya. Keperimanusiaan salmah juga semakin hilang bersama jiwanya. Semuanya kelam semakin hitam.

Salmah sanggup menjadi Dewi kepada Bagas. Jiwanya dirasuk gila dengan pukulan cinta yang dirasakan luar biasa. Dia begitu lena dibuai mimpi dalam dunia Bagas dan Dewi. Dirinya kini bukan Salmah yang dulu. Dia seakan-akan terpisah dengan dunia luar kerana banyak menghabiskan masa untuk bersendirian. Jiwa raga Salmah kini hampir sepenuhnya bertukar menjadi Dewi.

Dalam dunia dewinya tidak ada sesiapa, hanya dia dan Bagas. Tidak banyak masalah seperti dunia yang nyata. Malah kekasih hati di dunia nyata turut diabaikannya. Jika dahulu Syakir jejaka kacak ialah buah hati yang mampu menawan hati Salmah, tetapi kini tidak lagi. Kerana hatinya berubah kepada Bagas. Hanya milik Bagas.

Salmah semakin lupa kepada Yang Maha Pencipta. Dia semakin lalai. Malah tanggungjawab lima waktunya terus dilupakan semakin gelap jiwanya.

Satu perasaan hangat yang tiba-tiba menyapa membuatkan hati berkocak kuat. Tubuh disebelahnya yang hanya berselimut separas pinggang mendedahkan sebahagian badan tampak seksi itu membuat Sabardi telan liur. Naluri yang diidamkan oleh lelaki tetap ada padanya. Dia juga seperti manusia. Tidak mampu melawan keinginan, jari jemari yang masih lembut mengusap rambut Dewi terus dijatuhkan ke pinggang. Wajah polos yang hanya seinci jaraknya itu dipandang dan satu kucupan diberikan. Kemudian kucupan itu meleret jatuh ke mata yang sedang tertutup rapat dibawa ke puncak hidung, kepipi dan akhirnya ke arah dua ulas bibir merah jambu yang begitu memikat. Terasa hangat bibirnya disapa, Salmah tersentak.

Pandangan mata bundar Bagas yang bersinar itu seperti memukau Salmah tenggelam dalam perasaan cinta. “Aku cinta padamu kangmas… aku sanggup lakukan apa sahaja demimu. Aku dewimu,” bisik Salmah. Leher Bagas dirangkul. Mereka tenggelam dilautan cinta antara manusia dan bukan manusia.

Jika ada persoalan bolehkah Jin atau Iblis menyetubuhi manusia, jawapannya Ya, boleh. Memang ada kes begini lagi-lagi Jin atau Iblis ini mengubah rupanya kepada manusia. Jin juga adakalanya ‘jatuh cinta ‘ kepada manusia’. Nauzubillahiminazalik.

Berkenaan dengan pendamping pula, adalah sejenis daripada iblis atau jin yang mengikuti seseorang kerana mungkin sejarah keluarga mempunyai saka atau mempelajari sesuatu ilmu yang tidak dikenalpasti pengisiannya atau jin menyukai manusia atau di atas suruhan manusia. Saka? Kebiasaannya digunakan untuk pelbagai tujuan tetapi kebiasaannya untuk kepentingan peribadi. Berumah di dalam keris adalah salah satu ciri-cirinya dan mungkin keris itu mempunyai sejarahnya yang terdahulu.

Malam ke 15…

“Tuan, tolong aku tuan… aku haus…” desir suara garau menyentuh pendengaran. Berkepul-kepul asap kemenyan memenuhi ruang. Kilat menyabung dan angin bertiup kencang. Salmah semakin kuat membacakan mantera.

Berupacaralah dia demi menjadikan Bagas pendampingnya yang paling ampuh, dia sanggup mengorbankan darahnya. Salmah membuka bungkusan kain kuning dan sebilah keris berukiran satu tulisan yang Salmah sendiri tidak tahu bahasa apa, digunakan untuk menghiris telapak tangannya lalu darah merah pekat menitis ke atas bara dan berbau hapak. Turut dititiskan ke dalam satu piring. Bercangkung Bagas di depan Salmah tetapi lidahnya amat panjang menjilat-jilat darah di dalam bekas. Lama kelamaan wajah Bagas bertukar menjadi bengis dan bentuknya berubah.

Bercangkung seekor makhluk hitam legam dengan mata terkeluar, bertaring, lidah panjang berlendir dan kukunya panjang. Kerana terlalu terkejut dengan rupa sebenar Bagas, Salmah berlari menuju ke anak tangga dan nasib tidak menyebelahi Salmah apabila dia tergelincir dan bergolek ke bawah. Kepalanya terasa berat. Matanya tidak mampu dibuka.. dalam penglihatan yang samar-samar, kelihatan seeokor makhluk menghampirinya dan menjilat-jilat darah di kepala dan bibir Salmah. Bau hanyir darah mula meloyakan tekak Salmah. Lendir-lendir hitam dari lidah makhluk itu menitis atas mukanya. Bau busuk seperti bangkai mampu mengeluarkan isi perut sesiapa sahaja yang menghidunya.. pandangan salmah semakin kelam. Ingin menjerit namun tidak terdaya…

Puan Mahani bertambah risau melihat keadaan anaknya Salmah. Tubuh salmah semakin kurus, mukanya pucat dan cengkung. Langsung tiada ceria. Sudah lima hari puan mahani membawa Salmah anak tunggalnya tinggal bersama. Kepala Salmah masih berbalut. Kesan lebam di seluruh badan juga belum hilang. Dia menghampiri Salmah yang duduk berseorangan di buaian halaman rumah. ” Sal.. sal duduk la dengan mama lama sikit. Mama risau tengok keadaan Sal. Hari tu nasib baik mama terdetik nak pergi rumah sal sebab mama tak sedap hati. terkejut mama tengok sal jatuh tangga . Nasib baik mama cepat. Kalau tak, tak tahulah apa yang jadi..duduk dengan mama lah Sal, kalau nak harapkan Sal balik sini jenguk mama hmmm setahun sekali..” bebel puan mahani sambil menjeling ke arah salmah. “maa. Sal ok. Sal cuma tergelincir je. lantai licin. Sal nak balik rumah sal “bersahaja Salmah membalas kata-kata puan mahani. “Ish Sal jangan degil boleh tak? Mama rasa rumah Sal tu semacam je. Nasib baik mama jumpa sal dan sempat bawa Sal ke hospital. Kalau tak?? “. Marah puan mahani. Salmah terdiam dan pada masa yang sama hatinya dilanda ombak teringatkan kejadian tempoh hari. ” Sal, Sal dah banyak berubah. Mama nak tanya pasal syakir, kamu berdua ada masalah ke? Sal ni makin pelik..kesian Syakir. Masa dekat hospital haritu pun dia yang teman mama tau. Mama panik, jadi mama call la dia. Dia risau sangat dengan keadaan Sal…” puan mahani melepaskan dengusan… tangan Salmah diraih dan digenggam erat. “Sal…jika dah tak ada rasa cinta sekali pun, berbincanglah dengan baik. Syakir tu Mama dah anggap macam anak mama sendiri. Baik budaknya. Kamu berkawan dah lama…” belum sempat puan Mahani menghabiskan kata-kata, mereka dihampiri seseorang.

“Assalamualaikum” … “waalaikumussalam”.. serentak Puan Mahani dan salmah menjawab Salam dari seorang pemuda. “Hah Syakir panjang umur kamu. Elok la kamu datang. Makcik tinggalkan kamu berdua dulu. ” kata puan mahani sebelum beredar. ” Awak dah sihat?” Syakir memulakan bicara. Salmah hanya memandang kosong. Terasa jauh benar antara dirinya dengan Syakir. rindu sungguh untuk menatap wajah itu. Apakah yang sudah berlaku? Dia sendiri tidak pasti. “Ehemmm” syakir berdehem menghentikan lamunan salmah. “Syakir saya minta maaf” spontan Salmah menuturkan kata-kata. ” Sal,kenapa awak putuskan hubungan kita? Lepastu awak selalu mengelak dari saya.. langsung tak bagi ruang pada saya dan tak nak berjumpa dengan saya. Apa salah saya?” tidak dapat ditahan lagi Syakir mengeluarkan segala isi hati. Berkerut dahi salmah mendengarkan kata-kata syakir. Lidahnya kelu untuk membalas. “Awak bukan lagi Salmah yang dulu. Awak dah banyak berubah.” Salmah semakin bingung. “Okey macam nilah.. saya tak tahu apa masalah awak tetapi boleh tak kalau kita ok macam dulu? Tolonglah awak.. saya cintakan awak. apa kurangnya saya? Atau sebenarnya awak dah ada orang lain?? ” desak Syakir. ‘Ya, aku cintakan Bagas..’ bisik hati salmah tetapi jasadnya hanya diam. “Please say something! ” kata syakir yang berang kerana Salmah hanya membatu. ” Syakir saya minta maaf tapi saya memang tak boleh teruskan hubungan kita. Saya dah tak ada apa-apa perasaan pada awak lagi.” tegas Salmah bersuara dan bangun tanpa menghiraukan syakir. Syakir tertunduk. Terkedu. Hatinya bagai dihiris sembilu. Dua tahun menjalin hubungan masakan ini pengakhirannya? Jika Salmah ada orang lain, siapakah dia?? Ahhh jiwa lelakinya tercabar.

Bunyi kenderaan memecah kesunyian jalan raya. Fikiran Syakir berkecamuk. Salmah kenapa kau buat aku macam ni!!!! Bentaknya. Ditumbuknya stereng kereta yang dipandu. “Dia milik aku” satu bisikan halus kedengaran meremangkan bulu tengkuk Syakir. Tiba-tiba ada jari jemari tajam yang busuk mencekik lehernya. Dari cermin, Syakir dapat melihat di tempat duduk belakang ada makhluk hitam berambut panjang warna putih menggerbang, bertaring dan matanya terkeluar meyeringai ke arahnya. Hendak dibacakan ayat-ayat Al quran tetapi dia seolah-olah bisu dan sangat terkejut. Terasa kereta yang dipandu semakin berat. Bumbung kereta kedengaran dihempap sesuatu seperti boleh runtuh bila-bila masa sahaja. Stereng kereta tidak dapat dikawal lagi Lalu Honda civic yang dipandunya merempuh pembahagi jalan dan akibat daripada itu kereta terbabas menjunam ke gaung. Syakir cedera Parah. Saat-saat terakhir sebelum pandangannya gelap gelita, antara sedar dan tidak, dia nampak makhluk tadi berada diatas badannya. semakin berat menindihnya.Nafas Syakir semakin sesak..tersekat dan akhirnya pandangan nya gelap.

“Kau hanya milik aku dewi!” Suara Bagas mendengus kasar. Salmah yang baru sahaja terlelap terjaga. Bagas dihujung katilnya kelihatan bermuka bengis. “Katakan kau cinta padaku Dewi ! ” tambah bagas dengan mata yang mencerlung. “Ya.. ha..hanya kau yang kucinta kangmas.. ” bergetar suara Salmah. “Aku sanggup melakukan apa sahaja demi kamu Dewi. Takkan aku biarkan sesiapa memilikimu selain diriku! Akan ku mencelakakan dia! Kembalinya aku padamu kerna cinta Dewi. Jadi takkan ku biarkan sesiapa merampas cintamu! budak mentah itu sudah aku bunuh!! ” bentak Bagas keras.Jantung Salmah berdegup kencang.. Apakah yang dilakukan Bagas kepada syakir?? “Tukk..tukk.tukk” bunyi ketukan pintu. Bagas menghilang seperti bayang-bayang dan berbunyi seperti desir angin. ada apa ma?? ” tanya Salmah meminta kepastian. “Syakir…. Sal, Syakir kemalangan”…..

Hujan turun renyai-renyai. Walaupun hari sudah hampir gelap, usaha pencarian masih lagi diteruskan. Salmah menggigil melihat keadaan kereta syakir. Dirinya yang basah tidak dihiraukan. Tidak mungkin syakir akan selamat. Dari jauh kelihatan ahli pasukan penyelamat mengusung satu tubuh yang berlumuran darah dalam keadaan begitu menyayat hati. Walaupun ditegah, Salmah tetap berkeras menerkam ke arah syakir dan meriba kepala syakir. “Maafkan Saya. Semuanya Salah saya. ” Tanpa dapat ditahan salmah meraung hiba disitu. Tubuh Syakir sejuk kaku seperti tidak bernyawa. Salmah menyembamkan muka ke dada syakir. “Awak tolonglah bangun… ” rintihan Salmah. Jika bukan kerana kebodohannya menerima “Bagas” semuanya tidak mungkin akan terjadi. Akankah salmah kehilangan Syakir, seorang yang sangat disayangi? Salmah seperti tersedar akan segalanya. sungguh dia tidak sanggup. Betapa bodohnya dia. Apa yang sedang berlaku dia masih lagi tidak dapat hadam dengan baik.separuh gila dia menangis disitu….

Semua ahli keluarga dan sahabat terdekat sudah bangkit meninggalkan tanah perkuburan setelah pengebumian Syakir selesai. Dalam gerimis tinggall2ah Salmah bersendirian. Tanah kubur dipandang kosong. Jiwanya juga kosong. Jauh diselami di dasar hati mencari satu perasaan. Akhirnya air matanya tumpah juga… “Maafkan saya” hanya itu yang terkeluar dari mulutnya. Salmah melangkah kembali ke keretanya. Tanpa disedari, sepasang mata merenung tajam dari jauh. Cemburu.

Jam dinding dikerling. Dengan sabar menunggu mamanya sampai. Dia akan bercerita segalanya tentang peristiwa di rumah nyang Kesuma termasuk kehadiran Bagas. Kotak kayu lama ditangannya direnung sepuasnya. Kangmas.., aku manusia dan kau pula… hmmmm Salmah mengeluh berat. Bebanan yang dipikul sepertinya sudah tidak berdaya ditanggung lagi. Setelah pemergian syakir, Salmah tersedar banyak hal terutamanya dia sudah terjerumus ke dalam permainan syaitan sehingga dia lupa banyak perkara dan paling sedih, dia hilang seseorang yang disayangi kerana taksubnya dia kepada Seekor jin. “Astagfirullahalazim” Salmah beristighfar. Sudah jauh terpesong dirinya. Lupa diri lupa agama. Sudah berbulan lamanya dia tidak ‘memberi makan’ pada pendampingnya. Perlahan-lahan dia kembali mencari dirinya yang dulu. Semakin dicubanya menunaikan tanggungjawab kepada penciptanya. Malah dicubanya untuk menambah amal ibadat. Usai solat,berteleku dirinya meminta ampun pada Yang Maha Esa. Bagas masih muncul tetapi tidak seperti dulu. Hari ini Salmah tekad untuk membuang kotak lama itu. Dia sedar Bagas hanya jelmaan. Wajah sebenarnya adalah makhluk hitam itu.

“Sanggup kau perlakukan diriku begini dewi??” Sayu pandangan Bagas. Kau ingin membuangku? “Aku terpaksa kangmas. kita tidak bisa bersama” jawab Salmah. “Tetapi buanglah kau aku dimana sekalipun, tetap akan aku kembali pada kau Dewiku. Bukankah kau sudah berjanji akan mencintaiku? Setelah apa yang kau lakukan bersamaku sanggup kau mahu tinggalkan diriku? Lupakah kau yang aku ini pendampingmu? ” Bagas bersuara separuh menyindir. “Tetapi aku bukan Dewi! Aku salmah! Siapa dewi dan apa kena mengena diriku dengannya? Tidak aku mengerti semua ini termasuk kewujudan kau Kangmas ! ” bentak Salmah. ” “Kembaliku kerna cinta. Aku wujud dari keturunan pertamamu beratus tahun dahulu. Kau kini tuanku. Kau keturunan yang seterusnya! Kau waris Ajeng dewi! Aku mencium darahnya dalam badan kau! Sudahku bersumpah matiku terabdi bersama cinta keturunan Ajeng dewi dan setia menjadi pelindunya..kerna cinta seharusnya kita bersama tetap bersatu Dewi! seharusnya tidak akan ada lagi alasan untuk kita berpisah. Dirimu dengan dunia mu tetapi aku tetap akan bersamamu! Asal kau menjaga ku maka terjaga dirimu olehku! “.. Salmah terpempan. Apakah semua ini? Kepalanya terasa berdenyut Sukar mahu menerima apa yang diperkatakan Bagas.Tiba-tiba bunyi bising di ruang tamu. Bagas sudah hilang..

Aaaaaaaaaaaaaaaaaa! Salmah menjerit sekuat hati. Sungguh tidak percaya apa yang dilihatnya. Mamanya Puan mahani terbaring kaku dengan mata terbeliak ke atas dan tubuhnya penuh kesan luka. Salmah menerpa ke arah mamanya namun ditolak kasar oleh makhluk hitam berambut panjang. “Kau tak bagi aku makan erghhhhhhh” sungguh garau suara makhluk itu. “Dan kenapa mesti kau cederakan mama aku!! ” pekik Salmah. Puan mahani sudah tidak berdaya. cakaran kuku makhluk yang tidak pernah dilihatnya itu beracun. Mampu membunuh. Nyawanya tinggal nyawa-nyawa ikan. “Jika kau mengkhianati aku, maka darah dagingmu yang lain adalah galang gantinya!!! Lupakah kau panda janji-janjimu!!’ Makhluk itu menderam seperti seekor binatang buas. Dengan sepantas kilat makhluk itu membenamkan taringnya ke perut puan mahani lalu memancut darah keluar. Terburai segala isi perut mangsa terus diratah dengan rakus. kepala puan mahani terpisah dari badannya. Kuku tajam kehitaman makhluk itu mencucuk ganas kepala puan mahani dan dicungkil otak manusia itu lalu dijilat dengan penuh berselera sambil duduk mencangkung. Hanyir darah mula memenuhi rongga hidung. Salmah terkaku. Hanya tangisan kedengaran. belum pernah dia melihat semua ini. Kekejaman yang terlampau! Dunianya seperti dihempap kegelapan. Jantungnya seperti dirobek. Tubuhnya longlai. Mampukah dia keluar dari semua ini? “Ya Allah bantulah hambamu” rintihnya sayu.

Sesungguhnya dalam firmah Allah swt menyatakan bahawa syaitan adalah musuh manusia yang nyata. Janganlah sesekali menyembahnya. Sungguh licik tipu muslihatnya…

Bersambung..

24 thoughts on “Pendamping”

Leave a Comment