Pengalaman Seram di Poliklinik di Bandar Baru Bangi

Poliklinik Aina

Hai admin dan pembaca FS semua.. Semoga sihat selalu. Saya antara peminat FS dan ini kali pertama saya menulis untuk FS.

Saya nak kongsikan pengalaman pelik yang saya alami ketika bekerja di sebuah poliklinik. Sebelum itu, nama panggilan saya Suri.

Ini kisah benar yang saya alami dulu, jadi saya minta maaf awal-awal ye kalau pembaca rasa tak seram pun.

Poliklinik ini suatu masa dulu agak terkenal di sekitar Bandar Baru Bangi. Saya letak nama samaran poliklinik sebagai Poliklinik Aina.

Kisahnya begini..

Setelah beberapa tahun saya bekerja di klinik ini sebagai kerani akaun, akhirnya doktor manager klinik iaitu Dr. Aina membuat keputusan untuk bersara.

Urusan penutupan klinik diserahkan kepada saya (sambil dipantau doktor dari rumahnya) kerana rakan sekerja lain sudah pun berhenti.

Satu hari, ketika saya sedang asyik mengira stok ubat dalam bilik doktor, botol air minuman mineral saya tiba-tiba jatuh dari meja seolah-olah ditepis kuat.

Terpaku saya sebab bilik doktor tu tertutup, tiada tingkap, aircond ada la. Mana pula datang angin kuat hingga menjatuhkan botol air saya?

Pelik, tapi saya sambung buat kerja semula.

Kejadian kedua berlaku pada satu petang, seperti biasa saya sedang buat kerja di bilik doktor, jam menghampiri pukul 5 petang. Saya terdengar seperti ada benda terhempas kuat di tingkat atas.

(Untuk makluman, tingkat atas bangunan klinik ni ada pejabat dan rumah doktor. Tingkat atas dan bawah ni pula dihubungkan dengan satu tangga besi yang jarang, curam dan berbentuk spiral. Tangga ni dalam klinik. Selepas doktor buat keputusan untuk bersara, dia sekeluarga terus berpindah ke rumah barunya di Seksyen 7. Jadi kat atas tu memang tiada orang lah.)

Ok, kembali kepada cerita.

Disebabkan perasaan ingin tahu, saya beranikan diri naik ke tingkat atas untuk check apa benda yang terjatuh.

Saya buka pintu pejabat, gelap gelita. Hati berbelah bagi nak buka lampu pejabat ke tidak.

Dalam kesamaran cahaya dari lampu tingkat bawah, saya perasan depan pintu tu ada fail ke kertas, jadi saya cuba nak angkat, tapi berat yang amat.

Bila dah tak mampu nak angkat tu, tiba-tiba je saya rasa meremang. Cepat-cepat saya tutup pintu pejabat dan turun tangga laju-laju, masuk bilik doktor, kemas barang, tutup aircond, tutup komputer, capai beg tangan dan keluar dari bilik doktor.

Berdebar-debar saya tekan alarm, kunci pintu dan tarik shutter klinik.

Bila dah berada di luar bangunan tu rasa lega sikit sebab orang ramai. Saya tarik nafas, cuba bertenang, cari kunci motor dan pulang ke rumah.

Di rumah saya mesej kawan saya, Raihana. Dia ni dulu staff klinik juga, saya minta dia temankan saya ke klinik esoknya. Saya cerita semua kat dia, dan dia kata ok.

Pagi esoknya lepas sarapan, kami masuk klinik dan naik tangga spiral. Bila kami buka pintu pejabat, buka lampu dan YA, memang ada satu beg kertas nipis yang mengandungi fail atas lantai betul-betul di depan pintu pejabat.

Raihana angkat beg kertas tu. Tak berat langsung. Saya pun cuba angkat, memang ringan. Jadi yang semalam berat sangat saya nak angkat tu kenapa ye? Pelik.

Sebelum pulang, kami tinjau-tinjau pejabat itu dahulu sambil mengimbau kenangan kami bersama-sama kerja di klinik. Sedihnya rasa klinik dah tutup.

Baiklah, kejadian pelik seterusnya berlaku pada hari Jumaat.

Begini kisahnya..

Semasa saya sedang buat kerja, Doktor Aina telefon saya, dia nak minta saya tolong carikan sejenis barang elektrik yang dia tertinggal di rumah dia di tingkat atas di klinik ni.

Dia kata sekejap lagi dia sampai dan tunggu kat luar klinik je untuk ambil barang tu.

Saya pun pergilah naik tingkat atas, tapi kali ini saya tak naik guna tangga spiral dalam klinik. Saya naik ke atas guna tangga luar. Tangga luar klinik ni boleh naik terus ke rumah doktor.

Saya pun bukalah pintu rumah doktor, masuk dan mula mencari barang yang dimaksudkan.

Sedang leka mencari, tiba-tiba saya terdengar bunyi tombol pintu pejabat. Saya pandang terus ke arah tombol pintu. Bergerak-gerak seolah nak dibuka dari dalam pejabat.

Gila betul! Mana ada orang kat pejabat sebelah tu? Saya tak fikir panjang, terus berlari ke luar rumah dan kunci pintu cepat-cepat.

Tercungap-cungap saya turun tangga. Dari jauh saya dah nampak kereta Estima doktor sampai depan klinik. Sebaik doktor parking kereta, saya berjalan laju menemuinya.

Doktor minta barang yang dia nak, tapi saya cakap dengan doktor apa yang berlaku. Dalam hati khuatir juga kalau-kalau doktor tak percaya cakap saya. Mana tahu dia ingat saya sengaja mencari alasan sebab tak jumpa cari barangnya.

Tapi mengejutkan bila tenang wajah doktor memandang saya dan sambil tersenyum doktor kata “Saya ingatkan benda tu dah tak ada.”

Saya pelik apa maksud doktor. Benda apa pula ni. Doktor pun bukalah cerita…

Kata doktor, sebenarnya masa awal-awal dia buka klinik tu dulu, ada seorang pekerja dia bekerja seorang diri shift malam.

Lebih kurang jam 12 tengah malam, pekerjanya itu waktu itu sedang mengemas bilik pembedahan kecil, tak tahulah benda apa yang dia lihat, tapi menangis-nangis dia telefon doktor dalam keadaan takut. Dia kata nampak “benda”.

Kata doktor, abang budak tu datang terus ambik dia malam tu dan keesokkan harinya dia terus resign.

Bulat mata saya mendengar cerita doktor. Seram pula bila teringat selama ni saya seorang diri duduk dalam klinik… Aduhai. Entah-entah ada “benda” yang menemani. Gulp.

Doktor kata tak apalah, lepas ni saya tak perlu buat kerja di klinik dah. Doktor nak saya bawa semua kerja dan komputer klinik ke rumah dia. Maknanya lepas ni saya kena pergi rumah banglo doktor lah pula untuk sambung buat kerja.

Itu sahaja dari aku. salam.

#seramsuri.

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

3 thoughts on “Pengalaman Seram di Poliklinik di Bandar Baru Bangi”

Leave a Comment