Pengalaman Seram Tuah Ahmad

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pertama, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat saudara/ri admin yang sudi menyiarkan cerita saya ini. Terima kasih juga yang tak terhingga buat para pembaca yang sudi meluangkan masa membaca coretan tak seberapa saya ini. Kali ini saya ingin berkongsi kisah pengalaman seram seseorang yang diceritakan kepada saya. Beliau bernama Tuah Ahmad dan berasal dari negeri Sabah. Tiga kisah di bawah diharapkan mampu menaikkan bulu roma para pembaca sekalian.

KISAH PERTAMA (3 KANAK-KANAK SENJA)

Ia bermula sewaktu beliau berusia lapan tahun. Kisah berlaku di negeri kelahiran beliau sendiri. Suatu petang, beliau dan kakaknya yang ketika itu berusia sepuluh tahun bermain-main di waktu hampir senja. Sekitar jam 6 petang. Perbuatannya tekah ditegah oleh ibu mereka yang menyuruh mereka pulang segera kerana hari hampir senja.

Namun sifat semula jadi kanak-kanak yang gemarkan bermain menyebabkan mereka tidak mengendahkan larangan tersebut. Mereka berlari dan terus berlari. Mengecapi usia kanak-kanak mereka. Bayu senja mula menyentuh tubuh mereka. Mereka leka dalam dunia mereka.

Mungkin kerana kebosanan, lantas mereka meneruskan larian sambil berdekah-dekah keriangan. Tiba-tiba mereka terlihat tiga orang kanak-kanak seusia mereka turut sama ada di situ. Kanak-kanak tersebut membelakangi mereka. Tanpa berfikir panjang mereka cuba menegur :

Tuah Ahmad : Hai. Nak main sama-sama boleh tak?
Kanak-kanak tersebut tidak memberikan sebarang reaksi. Seolah-olah mereka tidak mendengar apa-apa.
Tuah Ahmad masih tidak berganjak dan meneruskan usaha mengajak tiga kanak-kanak senja tersebut bermain bersama-sama.
Tuah Ahmad : Jomlah main sama-sama. Kami bosan ni.
Tanpa sebarang kata, ketiga-tiga kanak-kanak tadi menoleh. Tolehan mereka cukup membuatkan Tuah Ahmad dan kakaknya berlari lintang pukang seolah-olah tidak cukup tanah. Mana tidaknya, ketiga-tiga kanak-kanak tersebut menoleh tanpa memusingkan badan mereka. Mereka membuat 360 darjah pusingan persis burung hantu. Wajah mereka sangat kotor kehitaman. Biji mata mereka tiada. Kosong. Seperti baru dikorek.

Mereka berlari selaju yang boleh sehingga sampai ke rumah. Sejak itu mereka tidak lagi berani keluar pada waktu senja.

KISAH KEDUA (Siapa nenek itu?)

Usianya ketika itu sudah mencapai 22 tahun. Selepas habis pengajian, beliau mengambil keputusan bekerja sementara di salah sebuah kedai terkenal iaitu Seven Eleven di Selangor. Malam tragis itu, beliau bertugas pada waktu malam. Beliau bersama seorang lagi sahabat sekerja pulang bersama-sama yang ketika itu jam menunjukkan pukul 10.00 malam.

Mereka menaiki bas terakhir dan turun di tepi jalan besar. Mereka terpaksa berjalan kaki lebih kurang sekilo meter untuk sampai ke rumah sewa. Sepanjang berjalan kaki, mereka berborak-borak tentang pengalaman kerja mereka sepanjang hari itu. Gelagat pelanggan yang datang menjadi topik perbualan mereka. Hilai tawa mereka memecahkan bongkah kebosanan.

Setelah hampir separuh perjalanan, mereka tiba di sebuah rumah. Jam ketika itu menghampiri 10.30 malam. Sedang mereka rancak berborak, pandangan mereka menangkap sesosok tubuh seorang nenek berambut menggerbang yang memakai baju kurung kedah berkain batik. Nenek tersebut hanya berdiri di celah-celah dua pohon bunga kertas. Pandangannya tunduk ke bumi manakala matanya liar menjeling ke hadapan. Tubuhnya sangat bongkok. Bolehlah sekiranya dikatakan usia nenek tersebut mencecah 90 tahun.

Bak kata orang, benda-benda pelik jangan ditegur. Beliau lupa nasihat tersebut lantas bertanya dengan suara yang agak tinggi :

Tuah Ahmad : Buat apa tu nek malam-malam ni?
Nenek tersebut tidak mengendahkan pertanyaannya. Matanya masih menjeling. Dihantar anak matanya mengiringi perjalanan mereka berdua. Seolah-olah nenek tersebut menyimpan seribu dendam terhadap mereka.

Mereka pelik. Tiba-tiba mereka tersedar :

Tuah Ahmad : Eh! Apa nenek tu buat malam-malam macam ni?
Sahabat : Entah. Bosan kut. Tu yang keluar rumah tu.
Tuah Ahmad : Mungkinlah. Eh. Tapi kan, sekarang jam 10 setengah. Buat apa pula kat luar malam-malam camni??

Sahabatnya tidak berkata apa-apa. Tiba-tiba langkah mereka semakin laju seusai terdengar ada tapak kaki lain yang berlari di belakang mereka. Sekali tolehan telah membuat langkah mereka semakin laju apabila nenek tua yang ditegurnya tadi ikut berlari di belakang mereka dengan rambut menggerbang dan wajah menyeringai. Sepantas kilat mereka terpacak di hadapan pintu dan membuka tombol pintu. Mereka segera masuk ke rumah tanpa mahu menoleh lagi ke belakang.

KISAH KETIGA (Tetamu tangki air)

Beliau ketika kejadian ini berusia 27 tahun. Kisah di mana beliau bertugas di Pelabuhan Klang. Malam itu, beliau diamanahkan bersama seorang lagi staf untuk meninjau-ninjau keadaan di westport tempat beliau bekerja. Sebuah ‘department’ pengurusan. Tugas beliau ketika itu memantau tempat bekerja sebelum semuanya dibenarkan bersurai, Jam ketika itu mencecah 11.30 malam. Mereka menilit setiap dek. Tiada apa-apa yang berlaku. Kosong kecurigaan.

Sewaktu pulang ke pejabat untuk menyampaikan laporan kepada ketua bahagian, tiba-tiba beliau terasa ingin membuang air kecil. Beliau meminta izin sahabatnya untuk ke tandas dan menyuruh sahabatnya tadi pulang terlebih dahulu ke pajabat. Beliau masuk ke tandas berdekatan dan menyampaikan hajatnya. Selesai qadak hajat, bliau keluar dari tandas.

Sewaktu perjalanan ke pejabat, beliau dikejutkan dengan bunyi ketukan di atas tangki air setinggi 15 meter. Puas beliau memerhati. disangkakan kucing atau pencuri. “Siapa pula yang datang tengah-tengah malam begini?”, Getus hatinya.

Nah! Dua biji mata beliau menyaksikan sesosok tubuh wanita berambut panjang. Berpakaian serba putih sedang duduk di atas tangki air tersebut sambil matanya memandang ke arah selat Melaka. Suasana menjadi bertambah seram apabila wanita tadi menangis seperti wanita yang sedang berduka. Tangisan tersebut bertukar ilaian ngeri. Dalam masa tidak sampai seminit itu, entiti putih berambut panjang tadi terbang dan hilang dari pandangan.

Sekian cerita daripada saya. Maafkan saya (Tuah Ahmad) sekiranya anda membaca kisah anda sendiri. Tidak bermaksud mengaibkan. Tetapi serasa wajar bagi saya berkongsi cerita anda bersama pembaca. Sekian terima kasih.

Zik

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.