PENJAGA RUMAH KAMPUNG

Assalamualaikum kepada pembaca Fiksyen Shasha. Korang boleh panggil aku Adra (nama pena). Aku sudah lama teringin nak hantar cerita aku di Fiksyen Shasha tetapi tiada kesempatan. Baru hari ini, aku berpeluang untuk berkongsi cerita aku disini. Berdasarkan tajuk yang korang baca, rumah kampung adalah panggilan kami satu keluarga. Kampung aku di Masjid Tanah, Melaka. Kami menetap di Kuala Lumpur. Makanya rumah kampung sudah menjadi rumah tinggal. Rumah kampung akan digunakan jika ada majlis besar seperti Hari Raya Aidilfitri, Hari Keluarga atau mana-mana event yang kami rasa sesuai, kami gunakan. Aku suka balik rumah kampung.

Kampung aku boleh dikatakan masih ada ciri-ciri kekampungan. Jauh dari kesibukan bandar, berdepan dengan sawah padi, ada perigi tau. Perigi masih ada air dan kami masih gunakan untuk mandi. Rumah kampung aku boleh dikatakan kawasan yang akan dilalui oleh orang kampung untuk keluar masuk. Rumah kampung ni tengah-tengah antara sebuah rumah ke rumah yang lain. Tapi jaraknya jauh la sedikit dalam 100meter. Harap korang boleh bayangkan. Kawasan halaman luas. Kalau balik rumah kampung, memang 10 biji kereta pun muat. Rumah kampung aku separuh batu dan separuh papan. Papan rumah kampung kuat. Kalau ketuk dengan paku, paku pun boleh bengkuk. Kalau boleh aku share gambar rumah kampung aku, mesti korang jealous.

Okay, dah boleh bayangkan suasana rumah kampung? Sekarang aku nak ceri tentang penjaganya pula. Ini berdasarkan cerita ibu aku. Rumah kampung ni dulu, rumah moyang aku. Moyang aku bidan kampung. Orang dulu-dulu kalau namanya bidan, mesti bukan sebarangan orang. Samalah dengan moyang aku. Dia bukan sebarangan ye. Umurnya sudah lanjut pun, masih jalan seperti biasa, tidak perlu tongkat dan kuat. Giginya penuh dan tidak lekang dengan sirih. Aku pernah rasa sirih tu. Kecil-kecil dulu, aku pernah minta moyang aku buatkan sirih untuk aku rasa. Merah oren mulut aku sampai cikgu marah kenapa pakai gincu di sekolah.

Moyang aku ada penjaga. Tetapi aku nak bagitahu awal-awal, semasa umurnya sudah lewat usia, dia sudah buang penjaganya. Ibu aku kata, dibuang di laut. Aku tak tanya pula laut mana. Adakah di Pengkalan Balak atau Tanjung bidara? Aku tak pasti. Kenapa perlu ambil penjaga? Ibu aku kata, orang dulu-dulu gunakan penjaga untuk tolong kerja harian mereka. Moyang aku ni cantik, lelaki dekat kampung ramai minat tetapi moyang aku bukan jenis yang melawa sahaja. Dia pergi ke bendang, jaga kerbau, membidan, dan jaga anak di rumah. Kerja hariannya perlukan tenaga, dan penjaga itulah yang menolongnya. Penjaganya adalah Saka. Macam mana Saka moyang aku?

Saka moyang aku sekarang adalah nenek tua yang sangat berusia. Macam mana aku tahu? Dia pindah pada nenek aku. Allahualam, macam mana saka tu datang sedangkan moyang aku dah buang lama sebelum meninggal. Kami yang duduk bersama nenek, maka kami akan rasa dan lihat perubahan nenek kalau saka tu datang. Aku masih ingat di bangku sekolah, nenek aku jatuh sakit. Dia lemah badan, sengal-sengal dan demam. Nenek aku menangis minta urut. Lepas ibu aku urutkan dia, nenek aku tidur. Selang sejam lepas tu, nenek aku meracau dan mula hilang kawalan. Korang bayangkan 3 lelaki boleh kalah dengan seorang orang tua yang berumur 70 tahun pada ketika itu. Kuatnya nenek aku dirasuki saka. Bila ibu aku tanya, kenapa datang? Nenek aku cakap, lama aku tak datang cu. Cucu aku sakit, kenapa kau tak jaga dia? Ha, itu saka yang jawab. Nenek aku kalau kene rasuk, badan dia mula membongkok seperti nenek si bongkok tua dalam cerita kanak-kanak. Kalau saka datang, maknanya adalah petanda ahli keluarga atau kenalan rapat akan meninggal. Tapi, itu kami anggap kebetulan. Kuasa Allah, hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Aku bukan nak bongkak atau megah, cumanya saka ini tak akan ganggu kami satu keluarga. Ibu aku menjaga nenek aku dari anak dara sampai berkeluarga. Sepanjang hidup aku, aku takkan pernah rasa seram atau nampak kelibat-kelibat aneh dekat rumah kampung. Kami seperti dijaga. Sebab itu, aku seronok kalau diajak balik kampung. Lain pula bagi makcik pakcik aku yang lain. Mereka seakan diselubungi ketakutan bila balik ke kampung. Kami kalau balik rumah kampung, mesti akan ada orang kampung yang singgah penyampai cerita. Ada yang selepas balik dari masjid solat isyak, lalu di depan rumah kampung nampak pocong di serambi, nampak puntianak di atas bumbung. Sampaikan kami dah lali dengan cerita orang kampung. Ibu tau je memang ada, cuma ibu pun tak pernah terserempak. Sebab macam aku cakap, kami aman damai kalau duduk di rumah kampung.

Cerita pakcik aku, dia tidur di rumah kampung, di serambi. Serambi rumah, port yang paling sejuk dan nyaman kalau tidur. Satu malam, sedap dia sedang tidur, serambi rumah seakan berbunyi seperti orang melompat. Tetapi lompatan sangat tinggi dan kuat. Pakcik aku terbangun dan melihat sebungkus mayat dengan muka yang berlubang hitam legam. Terus dia demam dan taubat tidak akan tidur di serambi. Sehingga kini, pakcik aku akan halau adik-beradik aku tidur di serambi. Dia akan tidur di rumah batu di hadapan.

Tidak lupa juga cerita cousin aku yang belajar di UITM Alor Gajah Melaka. Memang dekat ye Uitm dengan kampung aku tu. Cousin aku bagitahu ingin tumpang bermalam bersama kawan-kawan lelaki dia. Biasalah, alam universiti, lepak chill, bakar-bakar, dan berbual sampai lewat malam. Kami pun izinkan. Yela, dari rumah kampung sunyi, baik digunakan. Lagi pun, rumah tu luas, lengkap dengan semua peralatan. Dari bayar homestay, gunalah rumah yang ada. Pada hari kejadian, salah seorang member cousin aku ni pergi ke tandas. Tandas dahulu di luar, ikut peredaran zaman, diubah ke dalam, berdekatan dengan dapur. Tandas tu pula ditutupi oleh zink lut sinar. Memang kita boleh nampak langit. Kalau untung, dapat la monyet skodeng kita mandi. Aku pernah menjerit diskodeng biawak. Kurangasam betul. Gugur jantung aku.

Back to the point, member ni pun seperti dirancang, pergi la ke tandas sorang-sorang. Yela, orang baru, mana nak fikir sangat time tu. Lagipun, semua kawan-kawan duduk rancak berborak di ruang tamu, mana nak hirau yang lain. Anak jantan, tak macho la berteman. Sedap member membuang, dia kata, bulu romanya meremang. Dia tergerak hati menoleh ke atas. Aduh, kesian dia. Demam juga 2 hari. Dia ternampak muka yang hodoh sedang mengendap dia. Aku tak pasti apa. Mungkin terlampau takut, member tu sampai tak boleh digest apa yang dia lihat.

Tetapi itulah, aku hanya boleh mendengar dan bersimpati. Kerana kami di rumah kampung, tiada yang aneh bagi kami. Semuanya normal macam kita duduk di rumah sendiri. Aku hanya takut biawak saja sebab dia mahluk paling ngeri di rumah kampung. Ibu aku pernah cakap, mungkin penjaga ini tahu kita ni jaga nenek, jadi dia dah kenal. Orang baru, mungkin saja nak berkenalan, nak menyapa. Cuma tak kena cara. Tetapi, aku berdoa supaya “DIA” tidak mengintai aku juga dan sampai bila-bila. Banyak lagi perkara aneh yang berlaku, cumanya pada orang lain dan bukan keluarga kami. Mendengar bunyi dan sebagainya, biasa bagi korang yang dah lali dengan cerita hantu. Jadinya setakat ini sahaja perkongsian aku hari ini. Semoga korang sentiasa dibawah lindungan Allah SWT. Aamiin.

Sekian.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Raudhah

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 23 Average: 4.1]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.