PENUNGGU KUARTERS TRANSIT

Assalamualaikum dan Salam sejahtera kepada semua pembaca setia FS.

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak admin kerana sudi menyiarkan cerita saya tempoh hari. Terima kasih juga di atas sambutan dan respon positif yang diberikan oleh anda semua terhadap entri saya yang lalu, mengenai ‘Pengalaman Menginap di Hotel Shah Alam’.

Bagi pembaca yang bertanyakan mengenai lokasi ataupun landmark hotel tersebut, saya ingin memohon maaf kerana tidak dapat memberikan maklumat secara terperinci. Hal ini kerana saya ingin menjaga nama baik hotel tersebut.

Jadi untuk kali ini, saya ingin berkongsi sebuah kisah seram yang dialami oleh kakak saya yang saya namakan sebagai Sarah. Untuk pengetahuan semua, Sarah bekerja sebagai jururawat masyarakat di sebuah klinik kesihatan yang terletak di selatan Semenanjung Malaysia.

Pada akhir tahun 2022, Sarah telah diarahkan oleh pihak atasan untuk menggantikan seorang kakitangan di sebuah klinik desa selama setahun. Memandangkan jarak perjalanan dari rumah Sarah ke klinik desa tersebut agak jauh, Sarah telah membuat permohonan untuk tinggal di kuarters klinik berkenaan sepanjang tempoh itu.

Setelah permohonannya diluluskan dan mendapat kunci dari matron yang bertugas, Sarah bersama suami dan dua orang anaknya, yang berusia 4 tahun dan 5 bulan, telah pergi ke kuarters berkenaan untuk melihat keadaan dan mengemas Kuarters tersebut. Setibanya di sana, Sarah mula merasa tidak sedap hati apabila melihat suasana kuarters yang agak suram. Namun, setelah menyedari bahawa sebelah kuarters itu dihuni oleh beberapa orang staf perubatan lelaki, Sarah cuba mengabaikan perasaan tidak selesa yang timbul.

Setelah Sarah memasuki Kuarters tersebut, dia dapat mengagak yang kuarters tersebut sudah lama tidak didiami, berdasarkan keadaan lantai yang berhabuk dan siling yang dipenuhi sawang di beberapa tempat. Sarah pun segera membersihkan ruang tamu sementara suaminya menjaga anak-anak mereka di dalam kereta. Setelah Sarah selesai membersihkan ruang tamu, suaminya membawa anak-anak mereka masuk ke dalam dan memasang buaian kerana anak mereka sudah mula merengek keletihan. Setelah itu, suaminya meninggalkan anak-anak mereka untuk berehat dan bermain di ruang tamu sementara Sarah dan suaminya membersihkan ruang-ruang yang lain.

Untuk pengetahuan anda semua, Kuarters ini berbentuk seperti huruf “L” dan dibahagikan kepada beberapa ruang utama. Apabila masuk melalui pintu utama, terus sahaja akan nampak ruang tamu, ruang makan dan dapur yang terletak di bahagian kiri rumah. Kemudian, dibahagian kanan pula ada dua bilik tidur. Bilik pertama bersebelahan dengan Bilik kedua dan di sebelah bilik ini ada bilik air. Dibahagian belakang rumah pula, terdapat satu tandas yang terletak agak ke belakang sedikit yang berdekatan dengan dapur. Kuarters ini juga dikelilingi tingkap nako, dengan beberapa kepingan tingkap yang pecah dan menyebabkan ada bahagian-bahagian tertentu berlubang. Manakala di bahagian hadapan Kuarters ini, ada ruang parkir kereta, dan dibahagian sebelah kiri rumah adalah kawasan berbukit dan semak.

Setelah seharian mengemas, Sarah merasa keletihan dan berniat untuk mandi serta membersihkan diri di bilik air yang terletak bersebelahan bilik kedua. Sementara, suami dan anak-anaknya tidur dan berehat di ruang tamu untuk menunggu waktu Asar. Namun, semasa Sarah melalui bilik kedua, dia terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena, terutama apabila pandangannya terarah kepada almari kayu lama yang terdapat di dalam bilik itu. Walaupun perasaan tidak selesa mula menyelubungi dirinya, Sarah cuba menepis perasaan tersebut dan terus menuju ke bilik air untuk membersihkan diri.

Pada sekitar pukul 6 petang, suami Sarah keluar bersama anak sulung mereka untuk mengambil barang-barang keperluan yang tertinggal di rumah dan membeli makan malam. Sarah berdiri di depan pintu kuarters, melambai dan memerhatikan mereka berlalu pergi. Ketika ingin masuk semula, dia terpandang ke arah kuarters sebelah dan mendapati kawasan itu sunyi sepi, tanpa seorang pun kelibat staf perubatan. Namun, Sarah cuba meyakinkan diri dan beranggapan mungkin mereka semua keluar untuk makan malam.

Selepas suami dan anaknya pergi, Sarah menuju ke dapur untuk membuat susu anak bongsunya. Ketika sedang menuang susu, tiba-tiba dia terdengar bunyi seperti orang sedang menebas rumput di luar tingkap dapur. Sarah berhenti seketika dan menjenguk ke luar tingkap, tetapi tiada sesiapa yang kelihatan.

Selepas itu, Sarah kembali ke ruang tamu semula dan memberi susu kepada anak bongsunya. Ketika sedang menyusukan anaknya, tiba-tiba dia terdengar bunyi gegaran dari dalam almari di bilik kedua. Bunyi itu seolah-olah seperti ada sesuatu yang bergerak di dalam almari, membuatkan Sarah terfikir mungkin itu tikus. Walaupun begitu, perasaan tidak sedap hati mula menyelubungi dirinya, walau dia cuba sedaya upaya untuk mengabaikannya.

Apabila jam menunjukkan pukul 7 lebih dan keadaan di luar semakin gelap, perasaan tidak tentu arah mula menyelubungi Sarah. Dia cuba menghilangkan kegelisahan dengan memasang radio al-Quran yang selalu dibawanya. Namun, setiap kali dia menghidupkan radio itu, bunyi surah al-Quran yang dimainkan kerap terhenti, diikuti dengan bunyi statik yang mengganggu. Sarah cuba memeriksa kabel dan plug radio tersebut, tetapi tidak menemui sebarang masalah. Dia semakin pelik kerana sebelum ini radio itu tidak pernah ada masalah bergini.

Setelah masuk sahaja waktu Maghrib, Sarah terus mengambil wudhuk dan meneruskan solat seperti biasa. Sepanjang solat, dia hanya membiarkan radio al-Quran terpasang walaupun suara yang dimainkan sering hilang dan digantikan dengan bunyi statik yang menyakitkan telinga. Namun bagi Sarah, itu sahaja yang sedikit sebanyak dapat memberi ketenangan kepadanya.

Selepas selesai solat maghrib, sekitar hampir pukul 8 malam, Sarah mula melihat seperti ada bayang-bayang hitam bergerak mengelilingi kuarters itu. Yang menghairankan, setiap kali bayang-bayang itu melalui tingkap nako yang berlubang, ia hilang begitu sahaja. Namun, apabila bayang-bayang itu melalui tingkap yang tidak berlubang, ia kelihatan jelas. Bayang-bayang itu bergerak seperti cahaya, tanpa mengeluarkan sebarang bunyi tapak kaki dan hanya bunyi seretan yang kedengaran.

Tiba-tiba, Sarah terdengar bunyi cawan yang digantung di dapur terjatuh. Dia terus menuju ke dapur dan mendapati cawan itu telah pun berada di atas lantai. Serentak dengan itu, anak bongsunya yang sedang tidur tiba-tiba menangis dan Sarah segera berlari ke depan semula untuk memujuk anaknya dengan memberi susu badan dan menenangkannya. Ketika sedang menyusukan anaknya, dia perasan bayang-bayang hitam yang dilihat tadi seperti berlegar-legar berhampiran tingkap yang menghadap bilik pertama dan kedua. Namun, disebabkan keadaan di luar yang agak gelap, dia tidak dapat memastikan dengan jelas apa yang dilihatnya.

Dia cuba berfikiran positif dan tidak mahu memikirkan perkara yang bukan-bukan. Dia menganggap mungkin ada di antara staf perubatan yang menggunakan tandas di belakang Kuarters itu kerana dia mendengar seperti bunyi air mengalir dari tandas itu. Namun, tiba-tiba bunyi itu berhenti, dan Sarah mula terfikir, jika seseorang menggunakan tandas itu, pastinya mereka akan menyalakan lampu, walaupun tiada lampu di situ. Sekurang-kurangnya, mereka mungkin akan menggunakan lampu suluh atau lampu telefon bimbit, memandangkan keadaan di belakang rumah sangat gelap. Tapi, tidak ada apa-apa lampu yang kelihatan.

Semasa dia masih ragu-ragu memikirkan sama ada kejadian-kejadian yang dilihatnya itu adalah manusia atau bukan, tiba-tiba dia terdengar bunyi almari lama di dalam bilik kedua bergegar kuat. Dia segera meletakkan anaknya di dalam buaian dan bergegas ke bilik kedua untuk melihat punca bunyi tersebut. Setibanya di bilik kedua, dia melihat pintu almari itu terbuka sedikit, dan seakan-akan ada kepala yang cuba keluar dari dalam almari itu. Apabila melihat keadaan itu, Sarah terus berlari ke ruang tamu untuk mendapatkan anak bongsunya yang sedang tidur di dalam buaian.

Selepas Sarah mendapatkan anaknya di ruang tamu, tiba-tiba radio yang dipasangnya dan diletakkan dengan elok di atas para terjatuh, dan dia melihat plug radio itu tercabut. Dengan tangan yang mengigil, Sarah cuba memasang semula radio tersebut, tetapi agak sukar kerana ia menggunakan plug dua mata. Jadi, dia terpaksa pergi ke dapur untuk mencari lidi atau sesuatu untuk membantu. Setelah berjaya memasangnya, radio itu langsung tidak mengeluarkan suara, hanya bunyi berdesir kedengaran. Serentak dengan itu, dia terdengar suara lelaki ketawa kecil yang datang dari sebelah tingkap di bilik air. Suara itu kedengaran sangat jelas dan dekat, membuatkan Sarah terkejut dan tubuhnya kaku seketika. Dengan hati yang berdebar, dia segera mencapai telefon untuk menghubungi suaminya dan meminta supaya suaminya segera pulang kerana ketakutannya sudah tidak terkawal. Suaminya memberitahu bahawa dia baru selesai membeli barang dan dalam perjalanan pulang. Selepas menghubungi suaminya itu, Sarah terus memainkan surah-surah al-Quran dari telefon untuk menenangkan dirinya.

Sementara menunggu suaminya sampai, Sarah merasakan masa berlalu sangat perlahan, seolah-olah itu adalah suatu penyiksaan baginya. Dalam ketakutan yang semakin memuncak, dia terdengar bunyi pinggan dan mangkuk terjatuh, diikuti dengan bunyi gegaran dari almari yang tak berhenti. Tiba-tiba, dia ternampak bayang-bayang hitam tadi telah berada di tingkap berdekatan ruang tamu. Serentak dengan itu, terdengar bunyi ketukan di pintu.

Sarah tahu itu bukan suaminya kerana dia baru sahaja menghubungi suaminya itu, dan mustahil dalam masa beberapa saat sahaja suaminya sudah sampai. Dengan perasaan yang semakin gentar, dia cuba menjerit, bertanya siapa itu, menganggap mungkin ada staf perubatan dari sebelah rumah. Namun, tiada siapa yang menjawab.

Kerana tiada sebarang jawapan, Sarah tahu bahawa yang mengetuk itu bukan manusia. Entah dari mana datangnya keberanian, dia menjerit sekali lagi dan mengatakan, ‘Dengan nama Allah, aku takkan buka pintu ini! Aku tahu kau bukan manusia!’ Serentak dengan itu, terdengar suara lelaki ketawa mengejek, diikuti dengan ketukan bertalu-talu di pintu. Tombol pintu pula dipulas-pulas, seakan-akan ada seseorang yang cuba membukanya dari luar.

Disebabkan Sarah tidak membuka pintu tersebut, bayang-bayang itu kembali mengelilingi kuarters tersebut. Dia tidak pasti berapa banyak makhluk itu, kerana sekejap bayang-bayang itu berada di tingkap depan, sekejap di belakang, dan ada kalanya dia perasan bayang-bayang melintas di dapur dan depan bilik. Semua itu diselang-seli dengan bunyi gegaran dari dalam almari, seakan-akan ada sesuatu yang bergerak di dalamnya.

Hampir pukul 9 malam, Sarah terlihat cahaya dan mendengar bunyi kereta suaminya. Serentak dengan itu, segala bayang-bayang dan bunyi-bunyi yang mengganggu terus hilang. Waktu itu, dia hampir menangis kerana ketakutan dengan gangguan yang tak henti-henti. Mujurlah, sepanjang malam itu, anak bongsunya tidur nyenyak dan tidak terjaga langsung.

Tidak lama selepas itu, Sarah terdengar bunyi pintu diketuk dan bertanyakan siapa di luar. Dia mendengar suara suaminya menyahut, tetapi dia masih teragak-agak. Dia bertanya lagi sekali untuk memastikan, dan kali ini dia terdengar suara anak sulungnya berkata, ‘Umi, Hanif dah balik.’ Setelah yakin, barulah dia membuka pintu tersebut. Dan tanpa membuang masa Sarah segera mengemas barang-barang yang perlu, mengambil apa yang patut, dan meninggalkan kuarters itu. Ketakutan yang masih membelenggu mendorong sarah untuk segera meninggalkan kuarters itu.

Semasa mereka berjalan keluar, Sarah baru perasan bahawa kuarters disebelah gelap gelita, dan langsung tidak ada sesiapa di sana. Hatinya berdebar-debar ketika menyedari bahawa sepanjang malam itu, hanya dia dan anak bongsunya sahaja yang berada di situ. Keadaan yang sunyi dan sepi itu membuatkan Sarah tidak lagi mahu berlama-lama dan ingin segera meninggalkan tempat itu.

Selepas kejadian itu, barulah Sarah mengetahui bahawa kuarters tersebut sebenarnya adalah kuarters transit dan tidak pernah ada sesiapa yang bermalam di situ. Staf-staf perubatan disitu hanya menggunakan kuarters itu untuk sementara waktu apabila mereka ada tugasan seperti on-call atau waktu-waktu tertentu. Apabila malam tiba, mereka akan keluar dan tidur di tempat lain, menjadikan kuarters itu kosong tanpa penghuni.

Sekian cerita kali ini. Maaf jika cerita ini terlalu panjang dan gaya penulisannya kurang memuaskan. Insya Allah, jika ada kesempatan, saya akan kongsikan lagi kisah seram yang lain.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 16 Average: 4.7]
SAFA NELIYA

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.