Assalamualaikum. Nama aku Suraya (bukan nama sebenar). Aku hendak kongsi cerita aku diganggu penunggu rumah. Aku tinggal di rumah sewa dua tingkat dengan kakak aku di sebuah negeri di Selatan tanah air. Sudah lama aku dan kakak aku tinggal bersama. Maklumlah, aku ini boleh dikatakan sudah dalam kategori anak dara terlajak dan kakak aku pula “berPJJ” dengan suaminya yang berkerja di ibu kota. Kakak aku pula masih belum dikurniakan zuriat. Jadi, memang kami berdua sahaja yang tinggal di rumah itu. Abang ipar aku pula akan balik dua atau tiga kali sebulan. Itupun pada hujung minggu sahaja. Setiap kali abang ipar aku balik, kakak aku kebiasaannya akan balik ke rumah mertua atau ke rumah ibu bapa aku di kampung. Waktu itu, aku akan seorang diri di rumah kalau aku tidak ke mana-mana. Bergantung kepada keadaan.
Untuk pengetahuan, aku ini dari kecil aku sudah biasa nampak benda-benda atau perkara-perkara yang orang lain tidak nampak. Tapi, tidaklah setiap masa aku boleh nampak. Cuma aku rasa aku lebih sensetif bila melibatkan perkara-perkara ghaib ini. Kalau aku pergi ke sesuatu tempat, aku rasa macam tidak sedap hati atau berat, kalau bermalam pulak aku susah hendak tidur atau badan aku tiba-tiba jadi sakit-sakit, dekat tempat itu selalunya akan ada “benda” yang menunggu, menjaga atau lalu-lalang.
Aku sebenarnya berkali-kali juga kena ganggu dekat rumah sewa aku itu. Banyak kali aku ternampak kelibat-kelibat lalu lalang. Tapi ada satu kejadian yang menyebabkan aku sakit sampai pergi berubat.
Masa itu hujung minggu aku tinggal seorang sebab kakak dan abang ipar aku balik kampung. Aku tinggal sebab aku rancang hendak kemas rumah dan bilik aku. Hari makin lewat, aku rasa susah betul nak tidur. Padahal aku penat sangat seharian mengangkat dan mengemas barang-barang, mengemop, menyapu dan menyusun atur semula perabot. Mata aku mengantuk sangat tapi aku tidak dapat tidur. Aku tengok jam dekat “phone” aku sudah pukul 3.20 pagi. Aku pun bangun dari katil, pergi ke bilik air nak ambil wudhu. Masa aku dalam bilik air, aku dengar suara orang berbual, nyaring tapi halus. Sesekali dengar suara tu mengekek-ngekek ketawa. Aku fikir mungkin suara jiran-jiran. Maklumlah malam minggu. Mungkin ada yang berjaga malam. Aku malas hendak berfikir banyak. Aku habiskan ambil wudhu dan bila aku keluar dari bilik air, aku duduk sekejap atas katil. Suara tadi masih kedengaran sayup.
Selepas itu, aku dengar anjing di rumah jiran aku menyalak. Kuat macam dia nampak sesuatu. Aku sudah tak sedap hati. Deria aku jadi lebih peka dan tak semena bulu roma aku tangan dan tengkuk berdiri seiring dengan bau yang amat tidak menyenangkan. Bau busuk hanyir memenuhi ruang bilik aku.
Aku terus baring dengan selimut menutup sampai hidung aku. Aku tutup mata rapat-rapat. Mulut aku terkumat kamit baca ayat-ayat Al-Quran yang aku tahu. Anjing jiran aku berhenti menyalak. Aku teruskan membaca ayat-ayat Al Quran, tapi suara yang aku dengar tadi jadi semakin dekat, macam bunyi itu datang dari sebelah katil aku sahaja. Aku beranikan diri aku hendak buka mata sambil aku teruskan bacaan aku.
Bila aku buka mata, jantung aku macam nak berhenti bila aku nampak ada “benda” tengah memandang dan merenung tajam aku dari sudut bilik. Benda tu bentuknya bukan macam orang, lebih kepada binatang. Badannya berbulu lebat, matanya besar terkeluar, lidah panjang bercabang, bergigi tajam, kukunya panjang. Sekali pandang seakan seekor mawas. Mulut aku yang tadi membaca terus terkunci tidak terkeluar suara. Badan aku menjadi kaku. Aku tergumam diam. Benda itu perlahan-lahan datang dekat ke sebelah katil aku. Aku ingin menjerit tapi suara aku tidak boleh keluar. Aku cuma jerit “Allahuakbar!!” banyak kali di dalam hati. Dari situ aku dapat kekuatan, suara aku keluar sikit aku baca ayat kursi. Waktu aku sebut “Allahu la ilaha illa huwal hayyul qayyum…”benda tu datang terkam aku dan dia cucuk perut aku dengan kuku dia yang panjang. Muka dia dekat dengan muka aku sambil mata dia terjegil keluar. Aku tutup mata aku. Aku habiskan bacaan, makin aku baca makin kuat dia pulas perut aku. Aku ingat aku sudah hampir mati. Aku menangis. Aku minta Allah tolong aku. Perut aku rasa sakit sangat. Benda itu macam marah sangat dekat aku. Aku dah lemah, tenaga aku sudah habis. Aku sudah tidak kuat lagi masa itu. Dengan sisa kekuatan yang masih ada aku mengucap dua kalimah syahadah, “Lailahaillallah Muhammadarrasulullah.. Tolong aku Ya Allah, tolong Aku Ya Allah! Hasbunallah wa nikman wakil! Allahubakbar!” aku jerit sekuat hati. Aku terasa angin berdesup laju. Aku buka mata, benda tu sudah tiada. Jantung aku berdegup kencang. Peluh membasahi badan aku. Aku pegang perut aku yang sakit. Aku capai telefon bimbit dan call tunang aku (suami aku sekarang). Aku sempat cerita dekat dia apa yang berlaku sebelum aku tidak sedarkan diri.
Bila aku sedar, ramai yang sudah ada di keliling aku. Keluarga aku semua ada. Tunang aku telefon mak aku di kampung dan ceritakan apa yang berlaku. Mereka semua bergegas datang jenguk aku. Masa mereka masuk bilik aku, bau busuk dan hanyir masih melekat lagi. Mereka nampak aku terbaring atas katil, muka aku pucat lesi. Emak aku tengok perut aku dan nampak ada kesan lebam sebesar penumbuk di bahagian hulu hati aku. Mereka terus panggilkan ustaz yang pandai merawat datang. Malam masa aku berubat itu, aku di ruqyahkan oleh ustaz dan perawat-perawat dia yang lain. Aku muntah-muntah dan menangis-nangis. Semasa proses ruqyah tu, badan aku rasa macam ada arus elektrik yang mengalir.
Selesai sesi malam tu, ustaz yang rawat aku beritahu benda itu memang sudah lama ada di rumah tu. Bilik-bilik dalam rumah jangan selalu dibiarkan kosong. Disarankan untuk kita tidur beralih-alih tempat. Solat dan mengaji di setiap bilik. Sebab aku selalu tinggal seorang dan aku pula ada kelebihan deria dia hendak “menguji” aku dengan memunculkan dirinya depan mata. Ustaz minta aku banyakkan bersabar dan selalu baca ayat-ayat pendiding diri. Memang bukan mudah menjadi orang yang terpilih, tetapi ustaz pesan aku perlu selalu bersabar dan dekatkan diri dengan Tuhan. Itulah pengalaman aku yang amat sukar untuk aku lupakan. Sesungguhnya aku redha dengan takdir Tuhan dan aku akan terus mencuba memperbaiki diri aku agar terus dekat dengan Tuhan walaupun sehingga kini, aku masih lagi diganggu makhluk-mahkluk ghaib yang berniat jahat terhadap manusia.