Assalamualaikum, Aku nak cerita kisah seram yang pernah berlaku di rumah sewa Semi-D satu tingkat di Ampangan, Seremban. Aku satu keluarga pernah diusik oleh BENDA yang duduk di rumah ni. Benda ini dah berlaku lama dulu pada tahun 2004. Sebelum itu nama aku Fizs dan ini kisah aku….
Kejadian ini bermula bila kami sekeluarga berpindah ke rumah itu disebabkan ayah aku dihantar untuk bertugas dikawasan tersebut. Sudah sahaja selesai berpindah, kami adik beradik pada masa tu cukup gembira kerana dapat berpindah di rumah yang besar dan cukup selesa disebabkan kami semua ramai mempunyai 7 orang adik beradik dan semuanya masih bersekolah rendah dan ada yang masih kecil. Rumah itu bagaikan taman permainan kami adik beradik sebab cukup luas dan kami sering bermain permainan nyorok-nyorok disebabkan banyak ruang yang boleh kami sembunyi disitu.
Kegembiraan kami terhenti apabila selang beberapa hari kami dikejutkan dengan kejadian yang agak pelik. Pintu balkoni di bilik utama (bilik ayah aku) sering terbuka. Bila ayah aku kunci pintu itu akan terbuka selang beberapa minit ditinggalkan. Sehinggakan ayah aku marah kami adik beradik disebabkan mengesyaki salah sorang dari kami yang buka pintu tu. Bila ditanya semua tidak ngaku. Yela siapa je nak mengaku kalau memang tak buat. Benda ni terjadi berulang-ulang kali sampaikan ayah aku biarkan saja pintu itu tak berkunci dan tahan dengan batu bata.
Selepas dari kejadian itu, kakak aku pulak yang diganggu oleh satu susuk yang selalu mengintai dia dari jendela pintu. Katanya dia sering perasan seperti ada BENDA yang menghendap dia ketika dia sedang menyiapkan kerja rumahnya dibilik. Tapi dia kuatkan diri dan menganggap itu mumgkin adik-adiknya yang cuba mengusiknya. Tapi bila ditanya pada malam kejadian semua adik-adiknya sudah tidur sebab perlu bangun awal untuk ke sekolah esok. Kakak aku diamkan je perkara ini sebab risau akan menakutkan adik-beradik yang lain.
Kini, tiba giliran aku pula diusik oleh BENDA yang dah lama menetap dirumah tu. Pada hari kejadian, aku lena tidur dibilik bersama abang ku pada malam tu. Tiba keesokan paginya, aku bangun dengan keadaan yang sungguh gembira kerana esok adalah hari cuti dan tak perlu bersekolah. Tapi yang membuatkan aku terkejut apabila aku bangun dibilik bawah iaitu berdekatan dengan dapur. Bilik itu memang tidak digunakan untuk tidur dan hanya untuk simpanan barang-barang yang tidak digunakan. Walhal aku tidur semalam dengan abang aku dibilik kami ditingkat atas. Tapi bangun dibilik bawah. Bila aku tanya ayah, dia dengan pelik menjawab “Ayah lagi marah kalau kamu tidur dibawah. Kenapa pulak lah ayah nak angkat kamu dan hantar kebilik bawah?” kalau ikutkan aku pada masa tu ada logik juga alasan ayah aku. Sebab memang waktu malam, semua akan berada diatas untuk tidur. Tiada seorang pun yang ayah aku benarkan tidur di bawah dan semua lampu dibawah akan ayah aku tutup supaya kami adik beradik tidak turun kebawah.
Sewaktu ayah dan umi tiada dirumah, kami adik beradik bermain Jutaria bersama-sama dibilik kakak sehingga lewat malam. Waktu tu kakak aku memasang radio sambil bermain Jutaria. Selang beberapa lagu, akhirnya dj radio memutarkan lagu yang sangat menyeramkan kami adik beradik. Lagu ‘Pulangkan’ daripada filem seram Pontianak Harum Sundal Malam. Waktu tu kami tak berasa takut sangat kerana kami berlima dan lebih fokuskan permainan jual beli tanah kami. Habis sahaja dirangkap terakhir lagu, tiba-tiba keluar suara “PULANGKAN!!” dicorong radio. Kami adik beradik semua terus terdiam dan saling berpandangan. Kakak aku cepat-cepat menutup radio tu. Kami semua putuskan untuk terus tidur memandangkan semua dalam ketakutan pada masa itu.
Banyak lagi kejadian-kejadian yang menyeramkan berlaku sepanjang kami menyewa dirumah itu. Sehingga sampai satu tahap adik aku yang bongsu baru lahir beberapa bulan sering ditarik(Sawan) ketika tinggal disitu. Selalu saja menangis siang dan malam tanpa henti. Kakak aku juga sering bermimpi yang dihalaman rumah itu ada banyak BENDA yang berkumpul seperti marah akan kehadiran kami sekeluarga dirumah itu.
Hampir setahun kami menyewa disitu. Akhirnya ayah aku ditugaskan semula ke negeri asal ku iaitu di Selangor. Selepas sahaja memindahkan barang-barang ke lori utk dipindahkan, ayah aku memutuskan untuk menziarahi jiran sebelah rumah kami untun kali terakhir sebelum berpindah jauh ke selangor. Saat itu kami semua terkejut pabila jiran kami membuka cerita bahawa rumah yg kami sewa itu memang sudah lama tidak berpenghuni. Adapun penyewa disitu menyewa hanya beberapa bulan sahaja kemudian terus berpindah keluar kerumah lain. Jiran kami agak terkejut kerana keluarga kami adalah yang paling lama menyewa disitu. Mereka juga memberitahu yang rumah itu memang keras dan sering seperti BERPENGHUNI walaupun tiada yang menyewa ketika itu. Yang paling mengejutkan kami sekeluarga, mereka selalu terlihat kelibat kain putih yang terbang ke arah balkoni rumah itu. Jadi selama ini pintu balkoni yang sering terbuka disebabkan BENDA itu yang keluar masuk? Cuba anda fikirkan..
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Rumah semi D satu tingkat kat Ampangan? 🙄 Hmmm… Kt mana lokasi rumah tu ye? 🤔 Aq nk g tgk. Nk selfie skli. Heehehe…
Mula-mula dia cakap rumah semi-D satu tingkat…lepas tu kat jalan cerita seterusnya dia cakap ada tingkat bawah lah tingkat ataslah..