Pokok Buloh

Assalamualaikum…. salam kenal buat semua warga pembaca Fiksyen Shasha. Aku akan sampaikan pengalaman seram aku untuk bacaan semua.

*POKOK BULOH*

Kawasan rumah aku terletak di kaki bukit. Jadi, ada kawasan di hadapan rumah aku yang dulunya ada pokok getah, dan di belakangnya ada satu rumpun pohon buloh yang agak besar.

Cerita bermula apabila aku dan keluarga aku baru balik dari luar untuk makan malam. Sampai rumah lebih kurang jam 10 lebih. Mama aku ada beli makanan untuk Tok Wan (arwah) aku waktu tu. Jadinya aku kena berjalan kaki lebih kurang 70-80 meter sahaja dari jarak rumah aku yang terletak di simpang jalan kecil. Jalan agak menurun sebab kaki bukit, tetapi jalan yang berturap tar. Keadaan waktu tu memang sunyi, gelap dan dingin hujan renyai.

Semasa aku sedang menurun jalan ke rumah Tok Wan (arwah) aku, tiba-tiba aku terbau satu benda yang agak keras, menusuk hidung. Kemenyan!!! ya memang sahih bau kemenyan. Memang menusuk hidung seakan melintas di hadapan aku. Aku terus meremang, berjalan laju, fokus tengok hadapan. Selepas sampai rumah Tok Wan (arwah) aku, terus hidang dalam makanan dalam pinggan dan terus minta diri untuk balik.

Dalam hati aku memang nekad untuk berlari naik kaki bukit untuk sampai rumah aku dengan pantas. Pakai sahaja selipar, terus buka langkah seribu tanpa toleh kiri kanan. Bila sampai depan halaman rumah rasa agak lega tetapi agak tercungap-cungap.

Sedang aku berjalan menuju ke pintu rumah, tiba-tiba ada satu panggilan yang seakan-akan memanggil dari arah belakang aku dan agak sayup-sayup….

“Uittt…… Uittt….. Uittt……”

Berderau d***h aku waktu tu, rasa kembang tengkuk jadi besar kepala aku. Dalam hati terdetik nak pusing belakang atau tidak?. Sekali lagi memanggil….

“Uittt…… Uittt….. Uittt……”

Memang dengar jelas di sebabkan keadaan rumah aku yang di kawasan bukit dan waktunya sudah larut malam. Sah! memang dengar jelas dari arah pokok buloh berkenaan. Pokok buloh itu memang boleh nampak jelas dari depan rumah aku yang hanya lebih kurang 80-90 meter.

Waktu tu, terus teringat pesan Tok (arwah) aku, kalau balik lewat malam, dengar orang panggil dari belakang, jangan pusing atau jangan tegur, jalan terus.

Aku tanpa berlengah dengan cepat masuk dalam rumah, kunci pintu rumah. Masuk tandas cuci kaki tangan muka. Bersedia untuk tidur. Aku dari waktu bujang dulu memang jenis tidur di ruang tamu depan TV. Kadang layan bola sepak dulu atau filem sampai tertidur. Lepas tekan satu siaran ke satu siaran, tiada yang menarik untuk di tonton, aku terus padamkan TV.

Beralaskan tilam bujang, mata masih membulat tidak ada tanda mengantuk. Sedang aku melayan mata, tiba-tiba aku terdengar jelas di sebelah luar tepi kawasan rumah aku, macam ada orang sedang berjalan mundar-mandir tak berhenti. Penggerakannya agak laju, ibarat kita berjalan di kawasan berumput yang agak panjang, pasti boleh dengar jelas.

“Sruhhh…sruhhh…sruhhhh…sruhhh….”

“Siapa pulak jalan tepi rumah aku tengah-tengah malam ni?” Bisik dalam hati aku.

Aku cuba betul-betul fokus bunyi tu, memang jelas dari luar tepi rumah aku. Aku tak nafikan dengan kawasan rumah aku yang berhampiran hutan ni sememangnya ada haiwan perosak iaitu b**i hutan, tapi dari bunyi tu aku boleh jamin bukannya tapak kaki b**i hutan. Dan jika betul ianya b**i hutan, pasti akan ada bunyi mendengus atau bau hamis yang mengatakan ianya b**i hutan. Ini memang jelas seperti kaki manusia yang berjalan mundar mandir dengan laju.

Lama kelamaan aku pun tak sedar masa bila aku dah terlelap dan tidur. Tiba-tiba di pertengahan tidur aku terjaga secara mengejut, kepala aku rasa berat semacam, rasa pening, rasa kembang kepala aku, meremang. Bila aku buka mata pandang ke atas, Ya Allah!!!! aku nampak jelas depan mata aku seakan ada satu helai kain yang gelap sedang berpusing-pusing dengan laju. Badan aku lemah, dan aku usaha menjerit….

“Ya Allah, apa benda nih!!! Ya Allah beratnya kepala aku, apa benda ni dok kacau aku nih!” jerit sedaya yang mampu.

Dari bilik Abah aku, aku dengar Abah aku bersuara…

“Amat (nama panggilan) awat hang pasai apa?” soal Abah aku.

“Tak tau lah Abah, pening rasa kembang kepala ada benda dok terbang atas ni dok kacau apa tak tau” jawab aku dalam keadaan badan dah seram sejuk menggigil.

Aku dengar bunyi pintu bilik Abah aku di buka, abah dan mama aku terpinga-pinga tengok keadaan aku. Aku bangun dan bersandar pada sofa. Terus rasa seram sejuk demam mengejut.

Tiba waktu subuh, bangun bersiap-siap untuk ke sekolah waktu tu di tingakatan 4. Hari tu pulak ada peperiksaan. Guru pengawas tengok aku semacam. Muka pucat, lesu, badan seram sejuk. Dia minta aku balik rumah, tinggalkan peperiksaan tu dulu.

Aku balik dalam keadaan seram sejuk badan aku memang lain macam sedangkan aku balik di hari panas matahari dah mula pacak di atas kepala.

Makcik aku tengok aku bukan demam biasa. Dia bawak aku jumpa seorang pakcik bernama Ali untuk rawat aku. Dia ada bagi air bacaan untuk aku buat minum dan mandi untuk pulihkan semangat aku. Aku tak sempat bercerita apa yang berlaku, dia dah tahu awal pasal tapak rumah aku. Katanya rumah aku tu memang ada tanah kubur lama orang dulu-dulu.

Terus aku kenangkan balik nasihat Tok (arwah) aku pernah cakap benda yang sama.

“Hati-hati, tempat ni tak berapa elok. Malam-malam akan dengar orang berjalan tepi rumah.” ujar Tok (arwah) aku waktu dia pernah datang rumah aku dulu.

Ini antara pengalaman yang agak besar la bagi aku kat rumah aku. Sampai sekarang rumah tu masih ada dan Mama Abah aku masih menetap kat situ. Alhamdulillah, alah bisa tegal biasa. Banyak lagi pengalaman aku ingin ceritakan. Sampai di sini dulu semua sahabat.

Assalamualaikum.

-MNS- Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

#AkuBudakPenang
#FiksyenShasha

Mohd NurSalim
Rating Pembaca
[Total: 20 Average: 4.5]

2 thoughts on “Pokok Buloh”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.