Hye salam kepada admin dan pembaca semua, dan juga terima kasih, sekiranya cerita ini disiarkan di laman ini.
Apa yang berlaku ini bukannya fiksyen. Sememangnya kejadian sebenar yang saya alami sewaktu perkhemahan polibriged yang wajib bagi penuntut politeknik di sem 1. (Kecuali yang telah menunaikan PLKN sesudah tamat persekolahan menengah)
Sedikit cerita latar, sy memasuki politeknik pada tahun 2010 di salah satu institusi di bahagian selatan tanah air. Oleh kerana nama sy tidak dipanggil untuk sesi PLKN, maka sy diwajibkan untuk menyertai polibriged, sebagai pelengkap silibus ko-kurikulum di poli. Dan di antara aktiviti yang termasuk di dalam silibus ini adalah perkhemahan polibriged di satu lokasi yang agak terkenal. (Dirahsiakan)
Berbalik kepada cerita saya. Terlebih dahulu, saya memohon maaf di atas flashback yang samar-samar ini, kerana cerita ini sudah bertahun lamanya, dan ada beberapa perincian yang sudah dilupakan.
Buat hari pertama, tiada apa yang perlu diceritakan untuk perkembangan cerita, melainkan adegan adegan tipikal yang biasa dialami di dalam perkhemahan.
Berkenaan peristiwa yang terjadi tersebut, Ia terjadi pada malam kedua (atau ketiga. Maaf kerana sudah terlupa). Kami dikejutkan seawal 2 pagi untuk satu perhimpunan yang tidak diketahui tujuannya. Fasilitator yang terlibat meminta peserta-peserta untuk membawa sekali kain sal/kain good morning/tuala kecil yang tersenarai sebagai salah satu item wajib untuk dibawa dari kamsis sebelum bergerak ke tapak perkhemahan.
Usai roll call untuk memastikan peserta semua hadir, fasilitator meminta semua peserta untuk beratur dan memakai kain yang dibawa tadi sebagai penutup mata. Kami diminta memegang bahu kawan kawan di hadapan dan kemudian bergerak mengikut panduan tangan kami di bahu rakan di hadapan, sementara fasilitator yang terlibat memandu arah untuk rakan yang di hadapan sekali.
Sayugia diingatkan, kami diminta berjalan di waktu 3 pagi (sesudah semua selesai berkumpul) ke lokasi yang kami tidak tahu menahu akan arahnya. Sesudah berjalan yang entah berapa lama, kami diarahkan duduk bersila, dan saya dapat merasakan kami sedang berada di atas jalan aggregate (batu baur kecil atau istilah layman, crusher run). Sesudah duduk, kami diberitahu melalui suara jeritan ketua fasi (senior) yang memecah keheningan malam, bahawa apa yang kami akan lalui adalah satu aktiviti yang dipanggil “Burung Hantu”, atau istilah Inggerisnya, The Courage Test. Juga dikenali dengan nama “Kimodameshi” di negara matahari terbit.
Saya, sememangnya seorang penakut kronik, mula mencari peserta peserta lain di keliling saya untuk berbual, sekadar menghilangkan rasa takut di dada. Oleh kerana perbuatan itu, 2 kali saya dipindahkan tempat, dan menurut fasi yang mengalihkan saya setelah kali kedua saya dialihkan, saya akan bermula di awal sekali akibat tidak mendengar arahan.
Diingatkan juga, penutup mata kami masih belum dibuka di waktu ini. Kami juga diajar kod pada waktu ini, agar dapat kami mengenalpasti samada sekiranya ada terjumpa kelibat rakan di dalam hutan, boleh digunakan untuk mengenali antara satu sama lain. ( Kod yang digunakan telah saya lupa, tapi untuk tujuan penceritaan, saya akan gunakan “Pulau Kapas”, dimana sekiranya terjumpa, haruslah menjerit “Pulau!” untuk permulaan kod, dan sekiranya yang dijumpai berkenaan adalah komrad, haruslah dibalasnya dengan “Kapas!”. Kod ini memainkan peranan di dalam cerita ini.)
Masuk ke permulaan Burung Hantu. Saya sejujurnya skeptikal dengan apa yang diberitahu oleh fasi, menganggap kata kata mereka hanya lah sekadar retorik, untuk mengelakkan peserta riuh berkomunikasi antara satu sama lain. Alangkah terkejutnya saya bila saya diarahkan berdiri dan membuka penutup mata saya, dan saya berdiri keseorangan di hadapan, dan peserta yang lain semua masih di belakang. Memang terkono. Setelah diberikan kata kata perangsang oleh fasi ( “kau reti istighfar tak? Reti azan tak? Tau Kursi an? Kot terjumpa nanti, pepandailah ae. HAHAHA.) Saya diarahkan berjalan mengikuti laluan crusher run berkenaan sehinggalah sampai ke tapak perkhemahan, yang jaraknya 20 minit (menurut fasi).
Maka bermulalah perjalanan saya di dalam gelap malam, hanya ditemani cahaya samar bulan dan bunyian cengkerik dan katak. Sepanjang perjalanan, saya dapat mengenalpasti terdapat beberapa fasi di checkpoint tertentu, melakonkan watak seram, seperti pontianak, pocong, dan tidak kurang bunyi hilaian yang sememangnya dari rakaman handphone. Namun begitu, oleh kerana ketakutan kronik saya ni, jadi orang bodoh akibat ketakutan, dan membaca takbir dan istighfar sepanjang perjalanan sambil menggeletar.
Dan di pertengahan jalan, saya terjumpa…..
Setelah melepasi ‘gangguan’ ketiga (fasi memakai topeng dan merangkak), saya sampai di satu selekoh yang berbukit, dan dalam kesamaran malam, saya perhatikan terdapat sesusuk tubuh kurus sedang menuruni bukit sambil meluncur, sebagaimana pergerakan manusia di atas skateboard, dan semakin hampir saya dengan selekoh berkenaan, sy perlahankan bacaan takbir saya dan berdiri tegak, bertujuan untuk memberi laluan kepada ‘fasi’ berkenaan yang pada fikiran saya ketika itu, sedang meluncur untuk menghala ke checkpoint beliau. Saya dengan tenang terus memberikan kod seperti yang saya mention di awal tadi.
“Pulau!”
Tergamam saya sebentar apabila susuk tubuh yang saya sangkakan fasi berkenaan berhenti tegak, di pertengahan bukit. Walaupun pada awalnya sy nampak dia meluncur sebentar tadi. Itu bukannya pergerakan seseorang yang meluncur dgn skateboard. Sepatutnya ada braking motion yang terlibat, sisa inertia dalam pergerakan, walau perlahan mana pun skateboard itu meluncur. Terus saya perhatikan kakinya. Kosong. Tiada skateboard. Sesusuk tubuh yang hanya boleh diperhatikan dengan bantuan cahaya bulan yang samar, tegak terpaku memerhatikan saya.
Setelah saya berdiri agak lama memerhatikan lembaga berkenaan, saya kumpul sisa keberanian yang ada, menggerakkan kaki saya yg menggeletar teruk, menahan diri sendiri dari terkencing ketakutan, perlahan menaiki bukit berkenaan.
Kamu biasa berjalan berseorangan di waktu malam? Naluri manusia biasanya akan memerhatikan kawasan gelap yang ada di sepanjang perjalanan untuk memastikan tiada mata yang memandang kamu balik dari dalam kegelapan itu, bukan? Ya, itulah perkara bodoh yang saya buat.
Saya berjalan perlahan menaiki bukit berkenaan, terdiam. Hilang segala Kursi, azan dan takbir yang menggembirakan Maha Agung saat saya zikirkan sepanjang perjalanan tadi. Dan pada masa yang sama, sy tundukkan pandangan, hanya pada kasut sy yang basah dek embun malam (bukan air kencing). Dalam fikiran saya ketika itu, hanyalah jalan, pandang bawah, dan tinggalkan lembaga berkenaan yang sy cuma nampak dr hujung mata sy, masih memerhatikan sy. Sedang sy berjalan, naluri bodoh manusia sy terus mainkan peranan. Patutkah sy lihat bagaimana rupa lembaga berkenaan? Haruskah sy pastikan samada ia manusia ataupun seperti yang sy takuti, makhluk Allah yang dihadkan kelibatnya dari hijab manusia normal?
Waktu perasaan itu terdetik di minda, kepala sy terus memandang ke tepi, seperti refleks, memandang wajah lembaga berkenaan yang masih memandang sy. Dan saat sy memandangnya, sy kaget, tapi sy teruskan berjalan. Wajahnya tiada. Botak. Hanya outline mukanya sahaja yang kelihatan. Seperti seseorang yang memakai spandex di seluruh badan, persis pelakon motion capture yang memakai sut hijau untuk menghasilkan animasi yang akan ditambah kemudian, itulah keseluruhan rupanya. Tidak berpakaian, dan sangat kurus. Setinggi saya yang 177cm, dan muka kami memandang satu sama lain yang bagi saya teramatlah lama.
Sejurus melepasi lembaga berkenaan, sy dengan degupan jantung sederas Niagara mula hilang getar di lutut, dan dengan anggapan yang dia akan mula mengejar sy, sy tekadkan semangat dan terus memecut laju untuk sampai ke penghujung destinasi.
Sempat melepasi 2 checkpoint fasi yang menanti mangsa, tetapi sy tak endahkan dan teruskan larian ke penghujung. Dan apa yang sy tiba tiba teringat sejurus menanda nama di roll call fasi yang menunggu di akhir, tiada satu pun fasi yang botak di kalangan mereka. Malahan dalam kalangan pelajar yang terlibat juga tiada. Sempat saya double check dengan fasi, adakah terdapat kehadiran fasi yang lain yang berkepala botak. Fasi menggeleng dgn bersahaja.
Bersyukur saya kerana dapat melepasi dugaan berkenaan dan pada pengakhiran hari perkhemahan tersebut, peserta pertama disebut sebut oleh fasi dalam nada sinis. Mungkin bagi mereka kelakar dan mencuit hati, namun apa yang saya lihat pada malam itu, buat saya nekad untuk tidak mencabar lagi kewujudan makhluk lain di alamNya ini. Cukuplah sekali.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit