Pontianak bersuara burung

Hai semua pembaca. Nama aku Iris. Aku pernah menghantar kiriman ke group ini beberapa tahun lepas tetapi disebabkan kekangan kerja, aku tak sempat nak membaca atau menulis di sini. Jadi , hari ini aku ada kesempatan untuk menulis pengalaman seram yang berlaku kira-kira 13 tahun lepas sewaktu aku darjah 5.

Seperti kebanyakan budak-budak, aku turut dihantar pulang ke kampung nenek ketika cuti sekolah. Ramai sepupu, ramai anak cucu jiran yang dapat main bersama. Memang seronok. Aku pula anak tunggal, terubat rasa sunyi apabila tinggal di kampung.

Kampung nenek aku ni jauh di pedalaman. Nak ke jalan besar tu kena melintasi titi gantung dan kebun kiri dan kanan jalan. Waktu siang memang nyaman tetapi waktu malam agak menyeramkan. Lampu jalan pun susah nak jumpa.

“Balik sebelum maghrib. Kang kena sorok dek hantu tahu la engkau semua.” Nenek mengomel apabila melihat aku dan dua orang sepupuku turun tangga.

“Ye, nek. Mana ada hantu. Dalam filem ada la.” Aku menyahut dan disambut gelak tawa sepupuku.

Aktiviti kami ketika itu adalah bermain guli. Tiga orang lagi anak jiran turut datang. Masing-masing seronok, riuh rendah menjerit dan ketawa.

“Bosanlah. Nak main sorok-sorok tak?” Naim ,sepupu aku bersuara ketika kami berenam rehat sebentar di pangkin.

“Kau main tipu , nanti kau tengok belakang.” Darul, anak jiran sebelah menjawab.

“Kali ni aku kira sampai 50. Aku tak pandang belakang. Janji.” Naim tersengih.

Akhirnya semua bersepakat untuk main sorok-sorok. Aku jarang main sorok-sorok. Iyelah, anak tunggal. Mana ada kawan untuk main sekali.

Sementara Naim menghitung, kami semua lari mencari tempat persembunyian. Aku dan sepupu aku yang seorang lagi, Diana namanya terus mencari semak samun yang dapat mengaburi mata Naim.

Sekeliling menjadi sunyi sepi. Aku dapat mendengar derapan tapak kaki Naim yang berlegar-legar di kawasan semak samun. Sesekali dia memanggil nama kami semua.

“Ha!! Darul!” Naim menjerit riang apabila berjaya menangkap Darul.

“Kau tak main tipu kan? Aku sorok tempat rahsia ni.” Darul membebel.

“Kau sorok dekat belakang pokok, rahsia apa benda. Dah , jom cari yang lain.”

Aku dan Diana makin menunduk. Mujurlah tubuh kami kecil, agak susah nak dilihat. Tetapi Naim sangat hebat mencari, akhirnya kantoi.

“Iris, Diana. Dah , kalah. Bangun cepat.” Naim menarik tangan kami berdua.

Selepas beberapa minit, kami berjaya menemui Apiz , salah seorang anak jiran nenek. Tinggal lagi seorang iaitu Udin, adik kepada Darul. Jadi , masing-masing sakan mencari.

“Woi, Udin ! Keluarlah. Kau menang. Nak gelap ni. Kami semua nak balik.” Jerit Naim.

Darul juga beberapa kali memanggil nama adiknya. Kalau dia pulang seorang diri memang kena rotan dengan ayahnya. Nak tak nak dia kena cari Udin sampai dapat.

Hari semakin lewat, kelihatan pak cik Atan yang tinggal berdekatan rumah nenek sudah berjalan ke surau. Pasti tidak lama lagi nak azan Maghrib. Kami semua sudah gelabah mencari Udin.

“Entah-entah dia pergi sorok kat titi tak?” Apiz bersuara. Titi yang dimaksudkan adalah titi gantung yang ada di kampung nenek. Titi itu berdekatan hutan belukar. Jadi , waktu senja begini memang tiada yang berani ke sana.

“Jom la cari. Mana ada orang waktu macam ni. Kalau dia tertidur kat sana , m**i aku kena rotan dengan ayah aku.” Darul mengajak kami semua. Disebabkan kesian , kami semua ikut mencari Udin di kawasan titi.

Beberapa kali kami memanggil nama Udin tetapi tiada sahutan. Kami turun ke bawah,berdekatan anak sungai kerana di situ banyak pokok dan dipenuhi semak yang tebal. Boleh jadi Udin menyorok di situ.

Hari semakin gelap. Aku yakin nenek sedang menunggu di depan pintu dengan penyapu lidi. Walaupun aku tidak pernah dirotan, aku pernah melihat Naim dirotan kerana pulang Maghrib.

Uuukkk…uuuukkkk…

Tiba-tiba kedengaran suara burung dari dalam kawasan belukar yang tebal. Nyaring, jelas kedengaran. Kami semua diam berpandangan satu sama lain.

“Weh, nak gelap dah ni. Jap lagi mesti azan. Entah-entah Udin dah balik rumah.” Naim sudah tidak selesa. Dia nampak takut kerana suara burung tidak berhenti berbunyi.

“Diana nak balik…” Diana pula hampir menangis.

Akhirnya, kami semua mengambil keputusan untuk pulang. Kami terpaksa memanjat semula tebing dan melalui hutan belukar sepanjang jalan nak ke sungai. Lampu jalan tiada , jadi memang agak gelap dan suram.

Uuukkk…uuukkk…

Sekali lagi suara burung itu menyahut-nyahut. Tetapi kali ini bukan dari arah hutan. Kali ini bunyi suara burung itu kedengaran betul-betul dekat.

Kami semua jalan selaju yang boleh. Nak berlari tetapi Diana pula sakit kaki. Memang rumit betul kisah ni ada Diana. Tetapi sekarang dia polis .Hahaha.

Berbalik kepada cerita, suara sahutan burung itu tiba-tiba senyap. Yang anehnya, secara spontan satu demi satu pokok di tepi jalan yang kami lalui bergoyang dengan kuat. Seolah-olah ada gergasi yang menggoncang pokok itu.

Ssshhh…shhhhh… Daun pokok luruh ke bawah. Tetapi bukan semua pokok. Satu per satu pokok jadi begitu.

Uuuukkkk… Uuuukkkk..

Suara burung kembali berbunyi. Entah macam mana, Apiz boleh pandang ke salah satu pokok. Dia terus menjerit sekuat hati.

“Pontianak!!!” Apiz menjerit lalu berlari laju meninggalkan kami semua. Memang biadap betul.

Serentak dengan itu ada hilaian tawa nyaring diselangi suara burung tadi bergema. Kami semua tak tunggu lama , terus berlari sekuat hati. Diana pun terpaksa berlari akibat ketakutan. Masing-masing menjerit.

Sepanjang jalan kami berlari tu ada barisan pokok. Memang jelas di mata aku walaupun aku tengok sipi-sipi, ada kelibat putih yang turut terbang dari satu pokok ke pokok seterusnya. Kelibat itu mendahului kami semua.

Hiihiihiiiihii… Hilai tawa pontianak mengiringi kami semua. Aku sudah lencun menangis. Entah kenapa terasa jauh jarak ke rumah walaupun sudah cukup lama berlari.

Namun, nasib menyebelahi kami semua. Azan Maghrib berkumandang dari speaker surau. Jelas kedengaran.

Serentak dengan itu, suara pontianak, suara burung, kelibat putih, pokok bergoncang, semua lenyap. Sekeliling menjadi sunyi sepi. Hanya laungan azan kedengaran.

“Eh , kamu semua dari mana?” satu suara menegur.

Rupanya pak cik Roslan yang rumahnya paling dekat dengan simpang sedang berjalan ke surau. Dia menyuluh muka kami semua dengan lampu suluh.

“Kenapa semua menangis ni? Dah Maghrib pun kat luar lagi?” Tanya pak cik Roslan.

“Udin hilang… Kami cari Udin. Tapi kami kena kejar dengan pontianak kat titi sungai..” Naim teresak-esak menjawab.

Pak cik Roslan mengucap panjang. Dia menghantar kami pulang. Tepat seperti tekaan aku, nenek sudah menunggu dengan telekungnya.

Mujur Pak cik Roslan terangkan segalanya. Nenek menyuruh kami bertiga masuk mandi sementara Pak Cik Roslan menghantar Darul pulang.

Malam itu selepas solat Maghrib, riuh orang kampung memulakan operasi mencari Udin. Apiz yang berlari pulang terlebih awal tadi demam gigil kata ayahnya yang turut serta operasi mencari Udin.

Sepanjang malam kami dikurung di rumah. Nenek membebel panjang dan menelefon ibu bapa masing-masing. Puas la aku menjawab dengan ayah dan ibu. Mesti esok mereka sudah terpacak di rumah nenek.

“Udin…!!!” Kami meluru ke tingkap rumah nenek apabila mendengar teriakan ibu Udin, mak cik Salmah.

Kelihatan ayah Udin menggendong Udin yang sudah terkulai lemah. Mungkin pengsan.

Esoknya heboh kisah Udin disorok hantu. Rupanya memang betul Udin ada di kawasan sungai. Orang kampung mencari di tempat yang sama tetapi tidak menemui jejak Udin.

Akhirnya imam melaungkan azan. Kata ayah Udin , suasana yang tenang bertukar seperti ribut. Pokok semua bergoncang. Dan secara tiba-tiba kelihatan Udin terbaring di tepi salah sebuah pokok besar.

Selepas kejadian, aku memang trauma nak main sorok-sorok. Kami semua demam berhari-hari. Udin sampai masuk wad.

Sekarang kampung nenek sudah maju, jambatan gantung sudah diganti titi besi. Lampu jalan pun terang sepanjang jalan. Tetapi setiap kali pulang ke kampung, aku akan terbayang kisah menyeramkan bertemu pontianak suara burung.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Iris Khadeeja

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 59 Average: 4.8]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.