Portal

Terlihat seorang ibu muda termanggu di hadapan sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan. Dia sepertinya tampak cemas, kadang berdiri sambil melontarkan pandangan sejauh mungkin kadang bermundar-mandir. Perasaannya tidak enak, anaknya yang menduduki darjah 2 tahun ini semakin lama semakin lewat pulang berbanding sebelumnya.

Apabila ditanya, diberikan alasan bahwa rakannya mengajak untuk bermain seketika. Namun aneh, sementelah ditanya kepada rakan sekelasnya; tiada satu pun yang menemaninya bermain setelah tamat waktu persekolahan di sebelah petang tersebut. Walaubagaimanapun, ibu muda tersebut tetap berfikiran positif. Mungkin anaknya mempunyai kawan berlainan kelas.

“Ibu!” Jerit seorang anak kecil yang berlari-lari anak.

“Ismail! Lewat sungguh kamu pulang hari ini! Bukankah ibu sudah berpesan jangan sesekali bermain usai tamat waktu persekolahan?”

“Tapi bu, kawan Mail tu.. Dia paksa-paksa Mail..”

“Dimana kawanmu itu? Biar ibu nasihatkan dia,” kata ibu muda itu lagi sambil matanya meliar mencari susuk tubuh anak kecil.

Anehnya, tiada. Sepertinya anaknya sahaja yang terakhir pulang.

“Puan, boleh kita bercakap sebentar? Hanya kita berdua.” Tiba-tiba seorang pengawal keselamatan wanita menegur ibu muda tersebut daripada belakang usai selesai menjaga laluan trafik.

Ibu muda tersebut bersetuju. Setelah memimpin anaknya masuk ke dalam perut kereta, mereka berdua berbincang tidak jauh daripadanya.

“Ibu, borak apa tadi? Macam penting je?” Tanya Ismail kehairanan setelah melihat raut wajah ibunya yang resah gelisah.

“Tiada apa-apa Ismail. Pakai seat belt, kita bertolak sekarang,” ringkas jawab ibu muda tersebut lalu beredar daripada perkarangan sekolah.

Hatinya benar gelisah setelah mendapat perkhabaran daripada pengawal keselamatan tersebut. Dia menduga-duga beberapa kemungkinan atas kejadian tersebut.

“Abang, macam mana ni?” Panik ibu muda itu bertanya kepada suaminya. Anaknya meracau, berkali-kali menyebut mahu pulang.

“Sabarlah. Sementara menunggu Ustaz Ali datang, kita tahan dia. Pegang tangannya, jangan sampai dia terlepas.”

Ismail mula meracau selepas berjemaah bersama keluarganya. Pada mulanya, dia tampak normal hinggalah ke rukun terakhir solat, mengucapkan salam.

“Assalamualaikum Warahmatullah..” Ismail memberi salam saat kepalanya menoleh ke kanan. Selesai, kepalanya berpaling ke kiri pula.

“Assalamualaikum.. Kum.. Kum.. Kumm.. Hi.. Hihi.. Hihihihi..”

“Astghafirullah! Ismail! Solat jangan dibuat senda gurau!” Bentak ayahnya menyangka Ismail bermain saat bersolat.

“Bang! Lain macam ni! Inilah yang saya ceritakan tadi bang!” Panik ibu muda itu berkata-kata.

Mana tidaknya, wajah Ismail tepat memandangnya dengan senyuman yang mengerikan. Matanya terbuntang bulat seolah-olah ingin melahap ibunya.

“Awak call Ustaz Ali sekarang juga!” Ibrahim memberi arahan lalu mendapatkan anaknnya.

Pantas Ibrahim mengiringkan anaknya. Dihadapkan telinga kanan Ismail ke arah wajahnya lalu diazankan.

“Arghhh! Aku nak balik! Aku nak balik! Tolong! Mak! Mak! Aku mahu pulang!” Teriak Ismail sambil meronta-ronta. Hampir sahaja dia terlepas daripada pelukan ayahnya.

“Wahai Muhammad Ismail bin Ibrahim, sedarlah akan dirimu! Aku ayahmu! Kamu berada di rumah nak, kemanakah kamu mahu pulang?”

Ismail melepaskan diri daripada pelukan Ibrahim lalu menjauhkan diri. Diamati wajah Ibrahim sambil berdengus dan pandangan yang tajam lalu dia berkata, “Kau bukan ayahandaku! Kau bukan ayahandaku! Argghhh!!!”

Ismail melompat ke atas almari yang tinggi. Ibrahim terlompat ke belakang akibat panik lalu terduduk melihat lagak aksi yang tidak masuk akal tersebut.

“Ismail, ini ayah nak. Sedarlah nak, lawan! Lawan dia Ismail! Sedarlah Ismail!”

“Astghafirullah Ismail! Bagaimana kamu bisa di atas almari itu! Turunlah Ismail, bahaya!” Sahut ibunya pula yang meluru masuk ke dalam bilik setelah mendengar kekecohan yang berlaku.

“Ustaz, tolonglah cepat Ustaz! Saya tidak rasa kami mampu menghadapi ini semua sendiri!” Kata ibu muda itu lagi melalui corong telefon bimbitnya.

“Saya sudah dalam perjalanan! Sementara itu bacakan Surah Al-Qursi buatnya! Saya tamatkan panggilan ya!” Ringkas Ustaz Ali memberi arahan lalu dengan tergopoh-gopoh dia memandu.

“Cis, aku patut dah boleh agak perkara ini terjadi!” Kata Ustaz Ali lagi sendirian lalu memecut laju.

Entah dari mana datang tenaga dan keberanian, Ibrahim melompat lalu menyambar l Ismail yang berada di atas almari tersebut lalu dipeluknya sebelum mendarat dengan mendahulukan tubuhnya.

“Astghafirullah, abang! Abang tak apa-apa ke?”

“Abang okay! Lekas ke mari! Pegang tangan Ismail!” Kata Ibrahim usai meletakkan Ismail di atas katilnya.

Sementara menunggu kehadiran Ustaz Ali, Ibrahim dan isterinya; Siti Sarah membacakan Surah Al-Qursi bagi menenangkan anaknya. Berjurai air mata Siti Sarah melihat keadaan anaknya.

“Abang, mungkinkah benar janji tersebut?” Siti Sarah bertanya sambil bibirnya terketar-ketar menahan sebak.

“Sayang, sabarlah!” Ringkas jawab Ibrahim. Sebenarnya dia juga menduga perkara yang sama cuma ia terlalu pahit untuk dinyatakan.

Hanya tiga orang sahaja yang tahu kebenarannya. Ibrahim, Siti Sarah dan Ustaz Ali. Segalanya bermula saat Siti Sarah hampir keguguran akibat disihir oleh birasnya sendiri. Ini kerana sebelum menikah dengan Ibrahim, Siti Sarah telah dipinang oleh Salman; seorang pemuda berbangsa Iran yang akhirnya menikah dengan adik perempuan Ibrahim.

Salman dan Salma, adik perempuan kepada Ibrahim belajar di kampus yang sama. Kedua akrab namun Salman mula memerhatikan Siti Sarah oleh kerana kecantikan semula jadinya. Kulit yang putih gebu, tinggi namun mempunyai potongan badan yang menawan, amat manis berbaju kurung dan bertudung litup saat Ibrahim melawat adiknya bersama Siti Sarah.

Tujuan kedatangan Ibrahim adalah demi memperkenalkan bakal isterinya kepada adik perempuannya. Ibrahim yang tidak pernah bercinta usai remaja amat memeranjatkan Salma. Mana tidaknya, yang diperkenalkannya sebaik bidadari. Galak mereka bertiga berbual sambil Salman memerhatikan daripada jauh. Jauh disudut hatinya, dia memendam perasaan walau dia tahu Salma telah menyatakan cinta kepadanya.

“Kenapa kamu tolak cintaku?! Aku punya rupa dan harta! Malah selepas ini ijazah kedoktoran juga! Masa depan kamu jauh lebih baik jika kamu bersamaku! Sanggup kamu mempermalukan keluargaku yang datang daripada jauh!” Bentak Salman hingga mengejutkan pelanggan lainnya di sebuah cafe yang terletak di tengah ibu kota.

“Sabarlah Salman. Kamu juga bersalah di dalam hal ini. Kamu tidak berbincang denganku terlebih dahulu!” Tegas Siti Sarah mempertahankan dirinya namun agak malu apabila diperlakukan begitu di khayalak ramai.

“Bukankah itu tradisi orang Melayu? Aku hanya mengikut tradisimu tanda aku menghargai dirimu!”

“Benar ya Salman namun ia bukanlah sebuah janji atau sebagainya. Kamu juga tahu yang aku bakal menikah dengan Ibrahim, mengapa kamu melakukan perkara ini?” Siti Sarah mula membentak. Penat.

“Bagaimana dengan Salma? Jika dia tahu akan perkara ini, bagaimanakah perasaannya? Kamu bukan tidak tahu dia amat menyukaimu! Sanggup kamu menolak cintanya hanya kerana orang asing sepertiku!” Kata Siti Sarah lagi. Kali ini dia sudah hilang sabar saat kaum wanita dipermain-mainkan begini.

“Persetankan dia, persetankan Ibrahim! Mari kita kahwin!”

“Salman!”

Satu tamparan hinggap ke muka Salman lalu Siti Sarah terus berlalu pergi. Teragak-agak, dia berhenti lalu menoleh ke arah Salman dan berkata, “Kamu jangan sesekali hubungiku lagi! Jika tidak, aku akan laporkan pada polis!”

Siti Sarah terus berlalu pergi meninggalkan cafe tersebut. Pelanggan disitu semuanya terkesima lalu bercakap-cakap sesama sendiri membuat spekulasi sambil memandang Salman yang berdiri keseorangan.

“Kalian pandang apa?!” Jerit Salman lalu membaling cawan kopi yang kosong ke lantai. Bersepai. Dia mengeluarkan beberapa not lalu dilemparkan sahaja sebelum keluar daripada cafe tersebut.

“Biadap! Memang patut pun kena dump dan penampar!” Kata salah seorang pelanggan.

“Lepaskan aku! Lepaskan aku! Aku mahu pulang! Aku mahu pulang!!!” Teriak Ismail. Suaranya perlahan-lahan bertukar garau dan kasar. Kedua ibu bapanya terdiam lalu berpandangan sesama sendiri.

“Lepaskan aku!” Ismail berkata lalu meronta dengan kuat hingga kedua orang tuanya tercampak ke dua sisi. Kiri dan kanan.

“Ismail!” Teriak Ustaz Ali yang tiba-tiba muncul di muka pintu bilik.

Ustaz Ali menghalakan tapak tangan kirinya ke arah Ismail manakala tapak tangan kanannya digenggam garam kasar berdekatan bibirnya saat dibacakan Ayatul Qursi.

“Kamu mahu mencabar aku wahai manusia?” Begitu garau sekali suara Ismail saat dia berkata.

Tiba-tiba Ismail terapung lalu mendongakkan kepalanya. Matanya melirik ke arah Ustaz Ali. Ismail kini tampak sombong sambil mendengus.

“Astghafirullah! Ismail! Sedarlah Ismail!” Teriak Siti Sarah yang hampir tidak percaya dengan kejadian yang dilihatnya.

“Engkau diam! Engkau bukanlah ibuku! Kalian bertiga telah melakukan dosa dengan menarik ruh aku ke dunia! Kalian tahu dengan baik apa yang telah kalian lakukan! Kini tiba masa janji itu dipenuhi!”

“Sesungguhnya kami tidak menyangka ia akan menjadi begini! Maafkan kami! Kami khilaf, kami dangkal, kami tahu! Tapi jangan engkau bawa tubuh anak ini! Tolonglah, kami merayu!” Rayu Siti Sarah lagi. Ibrahim masih tidak sedarkan diri akibat anjakan tenaga yang luar biasa dilepaskan oleh Ismail sebentar tadi.

“Allahuakhbar!” Teriak Ustaz Ali lalu membaling garam kasar yang digenggamnya. Tiada apa-apa terjadi.

“Tiada daya upaya kalian melainkan dengan izin Allah! Hentikan sahajalah Ali. Perhitunganmu akan dihitung oleh Allah kemudian hari kerana menipu kedua manusia yang tersesat ini!” Teriak Ismail sambil mendepakan tangan kanannya ke arah Ustaz Ali. Tidak semena-mena, Ustaz Ali tercampak ke belakang.

“Allahuakhbar! Sedarlah Ismail! Tolonglah sedar!” Teriak Siti Sarah lalu memandang ke arah Ibrahim. “Abang, bangunlah abang! Anak kita bang! Anak kita!”

Ismail mendepakan tangannya sekali lagi. Keduanya. Tiba-tiba terlihat cahaya putih yang bersinar-sinar bergemerlapan muncul di tengah-tengah bilik. Ibrahim mulai sedar akibat panahan kilaunya cahaya tersebut.

“Ismail?” Katanya sambil memegang kepalanya. Sakit.

“Terima kasih kedua orang tua kerana membesarkan anak ini. Kini aku akan ambil kembali hak kepunyaanku. Ini anak aku.”

Selesai hujah Ismail, Ismail terbang ke arah cahaya lalu hilang bersama cahaya tersebut. Suasana kembali kelam. Siti Sarah terpinga-pinga dengan air matanya masih mengalir membasahi pipi.

“Ismail? Ismail! Ismail! Anakku! Abang! Mana anak kita?! Ismail!!” Siti Sarah melolong kesedihan lalu pengsan.

Ibrahim tidak percaya akan matanya namun dia bingkas bangun mendapatkan isterinya. Air matanya jatuh berguguran mengenangkan nasib keluarganya. Suara Ismail masih terngiang-ngiang kerana dia masih mendengar dalam keadaan separa sedar. Tiada daya upaya melainkan dengan izin Allah. Ia benar. Benar sekali..

“Kemana kau bawakan kami ini ya Ali?” Tanya Ibrahim cemas ketika melihat Ali memandu deras ke arah hutan tebal.

“Aku mendapat alamat, kita perlu bawa Siti Sarah ke dalam gua yang terletak di tengah-tengah hutan ini.”

“Tapi untuk apa?!” Suara Ibrahim agak tinggi. Siti Sarah yang dilarikan daripada hospital masih tidak sedarkan diri.

“Kau nak anak kau selamat atau tidak? Hanya ini caranya!”

“Tapi..”

“Sudah! Kau pastikan keadaan Siti Sarah stabil dibelakang tu!” Hampir sahaja Ali berteriak. Yang sebenarnya dia juga gugup.

Usai tiba dihadapan gua, Ibrahim mengendong isterinya sambil mengekori Ali masuk ke dalam perut gua. Setelah tiba di lokasi yang ditetapkan, Siti Sarah diletakkan. Beberapa kemenyan dan setanggi dinyalakan. Ali mula membaca beberapa potong ayat Al-Quran yang seperti dicampur adukan.

“Sekarang, kita kena tinggalkan isteri kau disini buat sementara. Jika alamat yang aku dapat ini benar, dia akan keluar dengan sendiri daripada gua ini. Mari, kita perlu tunggu diluar!”

“Kau gila Ali! Ini isteriku! Tidak mungkin aku akan tinggalkan dia berseorangan di gua ini!”

“Kau perlu dengar kata-kata aku!” Teriak Ali lalu menghembuskan nafas ke wajah Ibrahim.

Tidak semena-mena, Ibrahim setuju lalu berjalan keluar daripada gua bersama Ali. Mereka menunggu di luar. Menunggu dan menunggu hingga hampir dua jam. Ibrahim bermundar-mandir di perkarangan pintu masuk gua.

“Abang?”

Akhirnya Siti Sarah muncul di pintu gua dalam keadaan tidak bermaya. Ibrahim lantas mendapatkannya lalu isterinya rebah dalam pelukannya. Ali yang berada di belakang tersenyum sinis. Diraba uncang yang berwarna emas berbalut kain kuning yang tersikat kemas dipinggangnya.

“Berisi!” Bisik Ali perlahan. “Menjadi! Ikut berat, mungkin lebih satu kilogram!” Katanya lagi, perlahan.

22 tahun kemudian. Arab Saudi.

Kelihatan seorang pemuda yang segak lagi tampan bermundar-mandir. Matanya sering meliar seperti mencari sesuatu. Tidak lama kemudian, rombongan bas yang rata-rata membawa jemaah daripada Malaysia tiba di perkarangan Masjid Nabawi. Usai jemaah manusia itu turun daripada bas, pemuda tersebut lantas mendapatkan mereka.

“Assalamualaikum semua, saya Ismail. Hari ini, saya akan menjadi tour guide kalian semua. Selamat berkenalan!”

Ibrahim dan Siti Sarah berpandangan di antara satu sama lain. Seakan-akan tidak percaya apabila melihat raut wajah pemuda tersebut. Dia seperti, Ismail!

“Syaratnya, tatkala anak itu genap berumur lapan tahun; aku akan ambilnya kembali! Dan atas khidmatmu, akan aku kurniakan engkau seuncang emas.”

Tamat.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.cm/submit

Leave a Comment