PUTIH BERSIH

Hidup m**i seseorang manusia itu rahsia tuhan dan semua orang akan merasai kehilangan dan kematian. Lebih kurang 3/4 tahun lepas aku kehilangan seorang kawan akibat kemalangan jalan raya. Aku & N kemalangan pada hari yang sama tetapi di tempat yang berbeza. Dua-dua dengan tujuan yang sama. Ke kelas tambahan di sekolah. Nasib tidak menyebelahi N. Malaikat maut menjemput dia lebih awal. Sedang kelas berjalan, kawan aku tiba- tiba jerit sambil tunjuk phone pada cikgu ‘Cikgu, cikgu tengok ni’. Terus semua terkedu. Cikgu terdiam. ‘Kamu jangan main-main. Jangan bagi cikgu risau’. ‘Tak cikgu saya tak main-main dengan cikgu. Ni depa hantar dalam group. Takkan saya nak tipu cikgu’.

Tanpa banyak bicara menitik cairan jernih dari kelopak mata cikgu. ‘Macam mana keadaan N?’ tanya cikgu untuk kepastian. ‘N dah tak dak cikgu.’ balasnya seraya matanya juga bertakung air mata. Terus semua pelajar dalam kelas aku menangis hanya dua tiga pelajar yang tak ambil kesah hal keliling sahaja yang tak menangis. ‘Kelas hari ni cancel. Saya dah tak mau mengajaq. Saya nak balik.’ kata cikgu sambil mengelap air matanya.

Cikgu terus lari ke kelas sebelah sambil menangis tak tertahan. Cikgu kelas sebelah cuba tenangkan cikgu sebab cikgu asyik salahkan diri sendiri. Kami selaku anak murid terkejut dan ada yang cuba memujuk cikgu. ‘Cikgu, cikgu jangan la salahkan diri cikgu. Ni bukan salah cikgu. Allah sayang dia. Cikgu tak salah pun.’ Tapi cikgu masih salahkan dirinya. ‘ Dia m**i sebab saya. Kalau saya tak buat kelas dia tak m**i. Saya menyesal buat kelas. Lepas ni saya tak mau dah buat kelas hujung minggu.’kata cikgu lagi. Cikgu kelas sebelah masih memujuk ‘ Kak ingat Allah kak. Dia pi sebab Allah sayang dia. Kita tak jangka benda akan jadi macam ni kak. Kak tak boleh nak salahkan diri kak’. Kata cikgu kelas sebelah. Kemudian kami semua diarahkan pulang dan berita itu tersebar hingga ke beberapa buah sekolah dan ramai yang bersedih atas pemergiannya.

Selepas beberapa hari pemergiannya, kami belajar seperti biasa. Cumanya semasa di dalam kelas, aku ternampak arwah N di dalam kelas tapi cuma sementara. ‘Hang nampak apa yang aku nampak?’ cuba menyoal kawan aku yang duduk di sebelah. ‘Nampak apa?’ soalnya kembali. ‘Aku nampak arwah tadi. Hang nampak tak?’ aku balas soalannya tadi. ‘Nampak. Tapi sat ja la.’ katanya. ‘Oh. Hang pun nampak dia? Tapi kenapa dia mai?’ aku tanya ringkas. ‘Tak tau. Mungkin dia masih ingat kita.’ jawab kawan aku serba tak kena. Hati aku menangis tapi aku diam.

Tak sanggup nak keruhkan lagi keadaan. Kelas aku yang dulunya meriah dengan nyanyian dan gelak ketawa berubah sunyi. Tiada lagi gelak tawa, usik-mengusik. Semua terkesan dgn pemergian N . Suasana sekolah juga berubah. ( N ni elok rupa paras. Ramai yang suka. Cikgu pun ada yang book dia nak buat menantu) Semua berubah dengan cikgu-cikgu yang mengajar pun ada yang berubah. Paling ketara cikgu Biologi. Walaupun kejadian (kemalangan) bukan pada hari kelasnya, tetapi cikgu bio memilih untuk jauhkan diri dari kami. Cikgu Bio mengelak dari kami satu kelas. Bayangkan, kami kejar cikgu satu koridor tetapi cikgu cakap ‘ Jangan ikut saya. Saya tak mau mengajaq kelas kamu’. Tanpa sebab kami ditinggalkan terkapai-kapai. Hati kami sakit. Sangat sakit. Kami hilang kawan dan cikgu sisihkan kami.

Tentang kehilangan kawan, aku bermimpi jumpa N. Alhamdulillah dia hadir dalam rupa yang elok. Berjubah putih bercahaya. Wajahnya bersih bersinar. Mungkin itu yang dia dapat dari amalan masa hidup dia. N rajin baca quran. Waktu free atau waktu pertukaran cikgu, dia akan selalu baca Quran. Dalam mimpi, N tinggalkan pesan untuk aku sampaikan pada keluarga dia. ‘ Aku sayang mama sangat-sangat ‘ pesan N. Dia tinggal pesan sambil menangis. Lepas pesan tu aku terus terbangun dari tidur. Sampai sekarang (dah hampir 4 tahun) aku masih tak tau macam mana nak sampaikan pesan dia kat family dia. Aku takut family dia terluka lagi. Aku diamkan ja benda ni walaupun aku kenal siblings dia. Cuma doa untuk dia yang aku selalu titipkan dan ziarah kubur dia yang mampu aku buat.

Buat keluarga dia, saya minta maaf sangat-sangat.. saya tak mampu nak bagitau secara terus lepas saya tengok betapa sedihnya Puan menangis dan selalu hadiahkan bacaan yassin untuk dia. Kalau ada diantara ahli keluarga N yang baca. Saya harap pihak keluarga N kuat dan selalu hadiahkan amalan untuk N. N selalu berjumpa saya di alam lain dan dia selalu bercakap tentang keluarga terutamanya Puan. Harap Puan redha dengan pemergian N kerana N dalam keadaan baik.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

1013xxx

2 thoughts on “PUTIH BERSIH”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.