PUYAH.

PUYAH

“ABANG! Tolong abang! Sakit abang!”
Laungan penuh azab itu, tidak sedikit pun suaminya itu sedar. Dia ralit bersembang dengan rakan. Adakala sembangnya kedengaran meninggi diri.
Tanpa, dia sedari si isteri sedang bergelut dengan maut!
Kepala bidan Puyah makin rakus ‘mengerjakan’ celahan kaki Salmah. Salmah kehilangan banyak darah. Wajah pucat. Mulut ternganga. Peluh membasahi tubuhnya itu. Jemari masih mengenggam hujung bantal, sekejap yang mungkin.

Zuriat pertamanya hancur. Lelehan darah membanjiri lantai papan beralas tikar mengkuang itu.
Kepala yang masih kecil, terpisah dari badan si comel berjantinakan perempuan itu. Tangan kecilnya juga menjadi tempat ratahan. Begitu juga dengan kaki. Kepala bertali perut bergayutan itu masih lagi tidak puas.
Mulut penuh dengan darah. Meleleh-leleh. Memualkan jika dipandang. Berdecit-decit bunyi setiap kali dia memamah daging sekecil yang malang itu. Bukan itu sahaja malahan uri juga dia umpamakan seperti daging.
Darah kian membuak. Lencun kain batik Salmah dibuatnya. Pandangan mata Salmah makin lama, makin kabur. Tercungap-cungap cuba mengambil nafas.
“Osman, kenapa kamu tak tunggu Salmah!” Omel Mak Leha selaku ibu Osman. Di sisinya kelihatan seorang perempuan separuh baya. Osman dan rakannya, Zaki mereka saling berpandangan.
Bidan Munah?
Habis siapa yang dengan Salmah dalam bilik?

“Allah!”
Itulah pekikan terakhir yang terluah dari mulut Salmah sebelum tubuhnya mengejang kaku di dalam kamar. Bau hanyir semakin menguasai ruang udara kamar sederhana luas itu. Walau tingkap luas terbuka.
Darahnya kontang!
Mata terjegil arwah Salmah tampak mengerikan pada sesiapa yang melihat!
“Salmah!..” Jerit Osman kelam kabut berlari naik ke rumah. Ini diikuti Zaki dan Mak Leha. Hanya bidan Munah yang sebenar masih lagi tercegat di laman.
Sambil berkumat-kamit mulutnya kala mata mengitari sekeliling.
“Aku dah pesan Osman… aku dah pesan… kenapa kau tergamak tinggalkan Salmah seorang diri? Kau tahu tak itu siapa?”

“Allahulahaillahuwalhayyumgayyum…”
Dalam masa sama, Bidan Munah yang sebenar meneruskan perlawanan dengan sesuatu yang hanya dia sahaja nampak. Dia juga menggelengkan kepala. Inilah akibat tidak dengar akan nasihatnya yang sudah lama menjadi bidan kampung.

Osman langsung tidak mahu dengar. Jika Osman dengar akan nasihat dia, sudah pasti bawah rumah iaitu kolong di penuhi dengan pasu berisi daun mengkuang. Benda bertali perut yang merambu itu takut pada pokok berduri!
“Sayang!!!” pekik Osman tatkala pintu yang jenuh dia tendang sudah pun terbuka sendiri. Berlari Osman mendapatkan tubuh yang berlumuran darah itu. Zaki serta ibu Osman kaku di depan muka pintu.
Terkejut melihat pemandangan ngeri dalam kamar itu. Paling menyayat hati apabila mata masing-masing terpaku pandangan ke arah sesuatu yang tidak berupa lagi. Ngeri!

“Maafkan abang, Sal… maafkan abang… ya Allah anak kita Sal… anak kita!!!” raung Osman masih lagi memeluk tubuh kaku isterinya itu sambil mata tetap memandang ke arah tubuh kecil yang tidak sempurna itu.
Serpihan daging si kecil itu ada sisanya.
Zaki, rakan kepada Osman juga terngadah kerana itu merupakan kali pertama dia melihat suasana berdarah sebegitu!

Pemandangan yang terlalu menyayat hati. Kain batik Salmah lencun dengan darah, celahan kaki yang terselak dan masih lagi luas ternganga itu di banjiri darah merah.
“Sudahlah tu, Man! Jika kau menangis air mata darah sekalipun, Salmah kau tu takkan kembali nak…” pujuk Mak Leha tidak sampai hati mahu memarahi anak tunggalnya itu lagi walau dia amat menyayangi menantunya yang juga tunggal itu.
Bidan Munah baru sampai ke bilik. Sungguh dia tidak menduga sebegitu sekali keadaan Salmah yang sudah menjadi arwah. Aib serta mengerikan.
‘Aku tak sangka kau makin kejam!’
Monolog Bidan Munah ketika mindanya terlukis wajah seseorang. Bidan Munah juga kasihan melihat ratapan Osman.

Osman masih lagi meratap seperti orang tidak waras namun demikian sedikit demi sedikit dia dapat di tenangkan. Pun begitu, dia seakan enggan mahu melepaskan jenazah pergi.
Tanpa ada rasa takut atau jijik, kepala arwah isterinya itu masih erat dalam dakapannya.
“Osman, Leha aku rasa eloklah kita percepatkan pengkebumian arwah. Janganlah kita seksa dia lagi,” ujar Bidan Munah.
“Munah, aku tahu kau tahu sesuatu… bagi tahulah…” Mak Leha bersuara setelah puas dia menangis. Air mata yang masih bersisa pada permukaan pipi diseka menggunakan hujung selendangnya.
Kini tinggallah mereka berdua sahaja. Suami tercinta sudah lama pergi mengadap ilahi. Tiada lagi gelak tawa Salmah. Apatah lagi suara si kecil sulung keluarga itu.

Zaki tiba-tiba teringatkan sesuatu.
“Mak Leha, baru saya teringat…”
Mak Leha yang mendengar terus memasang telinga begitu jugalah dengan yang lain. Zaki bagaikan ada rahsia yang mahu diberitahu pada mereka semua.
“Apa dia Zaki? Apa yang kau nampak?” Osman kembali menyoal dengan nada tidak sabarnya.
“Saya ternampak satu kelibat. Tapi ia sangat laju naik atas rumah kau, Man. Aku tak tahu dia pergi mana selepas itu. Tapi, aku rasa aku tahu benda apakah itu…” ujar Zaki lagi.

“Apa yang kau nampak Zaki?” Suara Osman makin menekan. Kepala arwah Salmah semakin dia rapatkan ke dada. Zaki memandang ke arah Bidan Munah. Bidan Munah juga memandang Zaki dengan penuh persoalan.
Tetapi dalam hati Bidan Munah seakan dapat menangkap akan apa yang mahu diperkatakan. Mak Leha pula menyoal soalan yang sama malahan suara tegas. Satu paksaan!
Nak tak nak, Zaki dengan suara terketar-ketarnya memberitahu akan apakah kelibat tersebut. Dia pasti kelibat itu adalah penanggal kerana jantung serta tali perutnya berjuraian.

“Astagfirullah!!!” Mengucap Mak Leha manakala Osman pula makin rapat dengan tubuh kaku isterinya itu. Bidan Munah juga tahu namun dia tidak mahu menambah lagi kesedihan dalam rumah papan sederhana luas itu.
“Leha, aku rasa mari kita buat dulu apa yang patut. Jangan kita seksa arwah Salmah lagi, marilah kita panggil orang surau untuk bantu kita… mandi biar kita buat…” sahut Bidan Munah yang merupakan ahli kariah mandian jenazah perempuan surau kampung.
Bukan sekadar bidan saja.

“Man, tolong Man. Jangan kamu seksa lagi arwah jika kamu benar-benar sayangkan dia…” pinta Mak Leha. Zaki sudah pun turun ke bawah dan mencari motor untuk dia ke surau. Osman akhirnya akur walau dia masih tidak redha akan pemergian arwah isteri serta anak sulung mereka itu.

Dalam masa sama, Osman merangka sesuatu. Dia harus menuntut bela atas kematian arwah. Jikalau benar ini kerja bidan hujung kampung itu, Osman tak akan lepaskan perempuan tua dan menakutkan itu. Tinggal seorang diri setelah di buang oleh penduduk kampung kerana ilmu salahnya itu.
Tidak kurang dari beberapa jam, Osman dan Zaki sudah selesai memanggil orang surau kerana mereka mahu kebumikan jenazah pada waktu itu juga. Subuh juga tidak lama lagi.
Mak Leha cuba tahan tangisnya ketika dia dan Bidan Munah memandikan arwah Salmah. Darah dari ‘pintu’ arwah Salmah masih lagi keluar melelehi sepanjang kaki bermula dari paha. Bidan Munah terpaksa mengambil sesuatu untuk dia sumbat ke dalam supaya pengaliran darah dapat dikurangkan sedikit.

“Allahuakbar!!!” Mak Leha terpekik tanpa sengaja kerana dia terkejut apabila mata arwah yang tertutup terbuka semula dan terjegil tepat pada matanya. Dia yang mahu mencebok ke muka terus terlepas cebok dan terkena kaki.
Sakit sekali memandangkan dalam itu ada banyak air. Bidan Munah seraya menggeleng lalu dia mendekati wajah jenazah sambil membaca sesuatu beserta telapak tangan meraup wajah pucat arwah Salmah.

Bidan Munah tahu dengan cara kematian sebegitu rupa memang akan ada banyak dugaan oleh kerana itulah dia mahu mempercepatkan proses pengebumian. Setelah kelopak mata arwah kembali terkatup, Bidan Munah mendekati Mak Leha pula lalu wajah wanita itu dia basahkan dengan yang dah dia bacakan potongan ayat Al Quran.
Zaki dan Osman juga di duga. Daripada enjin motor mati secara tiba-tiba di tengah jalan yang terapit dengan deretan pokok merendang dan meninggi ke ‘keteguran’.
Osman tuun dahulu dari atas motor sebelum Zaki. Pada masa Osman turun ada angin menyelinap masuk ke belakang tubuh Osman. Zaki pada mulanya tidak perasan akan perubahan yang berlaku pada sahabatnya itu.
Sehinggalah…

“Man, kau kenapa? Man…” Zaki bingkas bangun dari duduknya langsung tidak jadi mahu betul rantai motor yang tercabut. Tubuh Osman di sentuh serta ditepuk agar rakannya itu sedar. Namun Osman tetap mematung diri dengan mata pula terbeliak.
Nasiblah Zaki mempunyai sedikit ilmu serta kuat semangat. Zaki tahu Osman sedang di ganggu. Tambahan pula dia kini berada dalam keadaan susah hati, memang mudah untuk sukmanya di ganggu oleh sesuatu yang halus.
“Hahahaha!” Osman terus mengilai secara tiba-tiba. Angin juga sekejap itu berhembus kuat. Pokok-pokok meliuk-lentuk serta daun saling bergeseran. Zaki merenung tingkah Osman, dia tahu yang ada dalam tubuh Osman merupakan jin betina.

Berkumat-kamit mulut Zaki membaca segala ayat lazim yang dia tahu selama dia belajar. Osman terus meronta saat tangan Zaki memegang bahunya. Osman mahu menggigit namun Zaki lagi pantas.
“Hahahaha! Kau ingat kau kuat?” bentak Osman dalam merontanya itu. Sekali lagi dia mengilai. Sekiranya semangat Zaki tak kuat sudah lama dia cabut lari.
“Aku minta kau pergi. Tolong keluar dari jasad ini !” Zaki masih lagi enggan melepaskan tubuh Osman yang kerasukan. Suasana tenang semakin bertambah kecamuknya apabila angin semakin rakus bertiup dan seolah-olah hanya dalam kawasan mereka sedang berada itu.

“Tidak, aku tak akan keluar. Hahahaha!” pekik serta bentak ‘benda’ yang menguasai tubuh Osman itu sambil meronta kuat. Memang Zaki sendiri ada ketikanya tidak mampu memegang. Sudahlah hanya mereka berdua sahaja tak ada satu orang pun yang lalu di situ untuk meminta bantuan.
Mungkin kerana sudah tengah malam. Zaki tahu ‘benda’ itu tetap dengan kedegilannya dia juga tetap dengan kedegilannya juga. Zaki terpaksa berkasar dengan rakannya itu.
Osman menumbuknya sehingga terjatuh dan terbaring atas tanah sebelum Zaki dengan pantas memegang ibu jari kaki Osman sambil membaca ayat-ayat lazim serta pembakar jin.

Di rumah Osman pula, Mak Leha serta beberapa orang jiran serta orang surau ternanti akan kehadiran mereka berdua. Tok ketua meminta beberapa orang pemuda kampung mencari Osman dan Zaki kerana hari makin ke subuh.
Lebih kurang dan tidak melebihi sejam, pemuda-pemuda kampung akhirnya menemui Zaki dan Osman. Nasiblah Osman pada masa mereka di temui itu sudah sedar dari kerasukan. Pun begitu, Zaki merahsiakan apa yang dah terjadi.
Zaki tak mahu menambah lagi keresahan dalam hati Mak Leha nanti.

DI rumah papan hujung kampung pula tinggalnya seorang bidan kampung di mana khidmatnya sudah tidak diperlukan lagi.
Puyah atau bidan Puyah dahulunya memang sangat dikenali bukan sahaja dalam kampung malah kampung-kampung yang berjiranan dengan kampung mereka.
Namun apabila tembelangnya sudah pecah, orang-orang kampung mulai takut mahu menggunakan khidmatnya membidani isteri-isteri mereka yang mahu melahirkan anak.
Terutama sekali kelahiran bayi sulung. Seakan-akan ada tulah dalam kampung tersebut setelah tok ketua mengarahkan dia tinggal di hujung kampung serta jangan menganggu penduduk kampung lagi.

IMBAS KEMBALI,
BEBERAPA BULAN SEBELUM.

“AKU bersumpah depan kamu semua. Aku bersumpah seluruh penduduk dalam kampung ini, tidak akan aman. Kau dengar tu tok ketua. Tidak akan aman!!!” pekik Puyah meronta-ronta mahu dilepaskan pegangan tangan para pemuda kampung.
“Sudah, bawa dia pergi sekarang juga. Puyah, kami semua tak takut pada ugutan kau. Kau yang sepatutnya kena ingat bahawa ATAS itu lagi berkuasa bukannya ilmu sesat kau! Sudah cepat bawa dia pergi. Tok, ‘pagar’ sekali tok kawasan sempadan…” ujar Tok Ketua sambil menerima anggukan dari seorang lelaki yang di kenali sebagai Pawang Majidi.

“Kau ingat Kassim! Kau ingat!!!” teriak Bidan Puyah memekik serta meronta. Akibat daripada rontaan yang terlalu kuat, Bidan Puyah terduduk atas tanah namun tiada sedikit pun rasa kasihan dalam hati pemuda-pemuda terbabit.
Tubuh renta itu tetap diseret secara terus-menerus dan bergilir tangan pemuda. Mulut Puyah bergumam sesuatu. Kedengaran ada bunyi benda retak. Makin lama makin kuat.
“Ya Allah! Lari!” pekik penduduk kampung yang tersedar rumah milik bidan berilmu sesat itu roboh dengan sendiri. Semua pakat melarikan diri. Lintang-pukang mahu menyelamatkan diri dan ini termasuklah Ketua Kampung, Kassim.
Bidan Puyah yang sedang diseret secara kasar terus ketawa mengilai.
Semenjak daripada hari itu, keadaan kampung huru-hara. Yang paling menakutkan apabila tirai malam sudah berlabuh. Anak-anak kecil yang selama ini sering kali pulang lewat dari kelas mengaji kini menjadi takut untuk ke kelas.

Tiada lagi wajah-wajah anak muda melepak tepi jalan dengan gitar kapok mereka. Dan ini, termasuklah warung mau pun kedai tepi jalan. Mereka juga akan kelam-kabut mengemas kedai mereka tatkala jam menghampiri tujuh.
Pakat mahu tutup kedai serta pulang ke rumah awal, tidak seperti kebiasaan sehingga lewat malam. Jika ada yang masih buka pun sekitar kawasan surau sahaja.

Jika ada yang tidak bernasib baik selalunya ‘jaga’ atau pekerja kilang serta yang bekerja jauh di pekan di mana bas tidak masuk sampai ke dalam nak tak nak mereka ini kenalah menapak beberapa batu ke dalam kampung.
Mereka ini pasti akan terserempak serta di ganggu oleh kepala terbang atau lebih dikenali sebagai penanggal.
Awal-awal gangguan tidak ada sesiapa pun yang tahu apakah puncanya sehinggalah berlakunya beberapa siri kematian yang membabitkan ibu yang sedang melahirkan anak. Kematian itu pula bukan seperti kematian sakit malahan lebih ngeri dari mati kerana kemalangan.
“Siapa yang kau jemput tadi Hassan? Ini baru bidan Munah!” teriak wanita separuh umur itu pada menantunya. Pekikan ngeri mengejutkan mereka.

“Ya Allah mak!!!”
“Anak aku!!!” pekik wanita separuh baya itu serta menantunya. Kelam-kabut naik takah tangga. Bidan Munah menggeleng lagi. Nampak gayanya Puyah makin melampau dan dia harus berbuat sesuatu.
Boleh dikatakan hampir setiap minggu akan kedengaran ada bayi yang baru lahir mati berserta dengan ibunya sekali.
“Tak guna kau Puyah!!!” pekik Hassan jenuh mereka-mereka yang ada di situ cuba meredakan kemarahannya. Apatah lagi saat dirinya dipersalahkan.

Semenjak dari hari itu, tok ketua mengarahkan agar di adakan rukun tetangga untuk mengawal.
“Apa guna rukun tetangga tok? Yang kita lawan ni bukan orang lagi tok tapi syaitan!”
“Kami sokong tok!!!”
“Habis tu kamu semua nak aku buat apa lagi?”
“Kita mesti hapuskan bidan tak guna tu dengan cara yang sama tok,” sampuk seorang pemuda yang menampakkan diri dari celahan penduduk kampung yang sedang beramai-ramai di depan rumah Ketua Kampung Kassim.
“Baik, kalau begitu yang kamu semua inginkan akan aku tunaikan. Aku akan menemui seorang sekejap lagi…”
“Seeloknya sekarang tok. Lagi cepat lagi baik, Puyah dah melampau tok!!!” celah pemuda yang sama.
Serentak yang lain juga bersuara dengan cadangan yang sama. Ketua Kampung terpaksa akur. Dia meminta beberapa orang pemuda tetap berjaga dan beberapa lagi mengikutinya untuk menemui seseorang itu.

KINI KEMBALI…

TAK ADA sesiapa pun yang buka mulut. Orang surau memenuhi ruang hadapan sementara jenazah sedang dalam proses mengafan. Osman masih lagi tertanya apa dah berlaku sebenarnya pun begitu, dia tetap berbuat biasa. Air mata mengalir sendiri saat terpandang wajah pucat arwah.
Mak Leha bangun dan mulai berbisik pada mereka yang berkenaan. Mak Leha menghampiri Osman lalu berbisik. Mak Leha waris untuk memandang jenazah buat kali terakhir sebelum di bawa untuk kebumi.
Alhamdulillah tiada apa-apa yang buruk atau mengaibkan mereka berlaku. Hanya ketika proses mandi sahaja tadi. Pun begitu, tiada sesiapa pun yang perasan Mak Leha ada buat sesuatu pada jenazah, dia khuatir jenazah bangkit semula sebagai pontianak.
Sesuatu yang khurafat dan tak sepatutnya.
Setelah selesai dan waris sudah bertemu dengan jenazah buat kali terakhir, orang surau melakukan solat jenazah.

HANYA Bidan Munah tidak menyertai pengkebumian kerana dia perlu uruskan sesuatu. Dia kini sedang menapak ke arah rumah usang di hujung kampung. Rumah usang yang menjadi tempat berteduh bekas bidan kampung, Puyah.
Bidan Munah mahu bersemuka dengan Puyah. Bidan Munah mahu Puyah hentikan segalanya,cukup-cukuplah rasa dendamnya itu. Tok Ketua kampung juga sudah menduda kerana kehilangan isterinya juga ketika bersalin.
Jikalau Kassim Ketua Kampung gagal untuk menghentikan segala-galanya biarlah dia sendiri.

Angin tadi tenang. Setiba saja dia di depan rumah puyah, angin pada waktu menjadi kasar menolak-nolak tubuhnya. Segala dedaunan kering atas takah tangga yang hampir reput itu turut berterbangan ke arahnya.
Perkara pertama dia lakukan adalah menonggengkan tempayan berisi air cuka walau payah kerana tidak larat mengangkatnya seorang diri, terlalu berat namun tetap dia lakukannya sebelum Puyah pulang.
“Allahuakbar!” pekiknya baru tempayan yang dia rasa terlalu berat itu menjadi ringan serta memudahkan kerjanya untuk menolak muncung tempayan agar segala air cuka itu membanjiri tanah. Angin makin rakus tiupannya.
Berkumat-kamit mulut Bidan Munah membaca segala ayat pelindung yang dia tahu.

“Pergi kau dari sini, aku tak ganggu kau dan kau jangan ganggu aku!” ancamnya pada sesuatu yang dia saja nampak. Sesuatu yang cuba melengahkan kerjanya.
Kembang-kuncup jantung Puyah yang bergayutan serta terawangan di udara itu. Denyutan bertambah laju membuatkan Puyah mulai terfikir sesuatu sambil berdecit-decit mulutnya yang berlumuran darah orang bersalin serta ibu dalam pantang.
Pada hari itu sahaja, dua rumah dia berjaya masuk. Kenyang dia pada saat itu. Tetapi, entah kenapa jantung mengepam terlalu laju membuatkan dia sedikit mengah.
“Kenapa jantung aku laju sangat ni?” soalnya dengan mata jegilnya meliar ke setiap arah dalam laluan sunyi terapit antara hutan pokok getah kiri serta kanan. Angin juga agak laju hembusannya membuatkan dia yang sekadar kepala tanpa tubuh badan itu terbuai-buai.

Menitis-nitis darah ke tanah. Sesiapa yang tidak bernasib baik lalu di bawah laluan dia akan terkena titisan tersebut dan harus cepat bersihkannya khuatir menjadi kudis.
Tidak sampai beberapa minit, Puyah memasuki laluan sempit untuk ke rumahnya yang terletak nun di hujung kampung. Entah kenapa hatinya berasa tidak selesa. Di liarkan pandangan mata ke setiap arah, tiada sesiapa atau apa-apa yang mencurigakannya.
“Argh! Tempayan aku tumpah, tempayan aku tumpah. Siapa buat tempayan aku tumpah hah!” pekik Puyah tidak tentu-hala. Pusing kanan serta kiri.

Puyah yakin ada penceroboh dia terus terbang masuk melalui tingkap dalam keadaan segala tali perut masih mengembang dan menyukarkan untuk kepala masuk ke dalam leher sewaktu mahu proses sambungan nanti.
Puyah semakin memekik, tubuhnya sudah di sorokkan pula. Dalam masa bekas bidan yang kuat amalan ilmu hitamnya itu terpekik-terlolong di ruang tamu yang agak luas kerana tiada sebarang perabot itu.
Bidan Munah keluar dari sudut gelap dan dia sudah bersedia untuk berhadapan dengan adiknya itu.
“Aku memang dah agak ini memang kerja kau! Apa lagi yang kau tak puas hati lagi hah? Aku dah jadi begini pun, kau masih tak puas hati nak kenakan aku? Kau dah jadi bidan sekarang, nama kau dah terkenal!” bentak Puyah dengan mendekatkan kepala ke Bidan Munah.

“Adik, sudah-sudahlah tu… Kau yang salah faham pada kami. Kami semua tidak membuang kau apatah lagi mahu membenci kau, tapi kami tak boleh terima ilmu yang kau bawa tu. Sesat Puyah. Sesat!” tukas Bidan Munah menerangkan perkara benar.
Bukan menegakkan benang yang basah. Namun Puyah tetap membantah kerana dia yang masih lagi tidak dapat menerima kenyataan masanya sudah berlalu.
Puyah terus menerpa dan menerkam Bidan Munah kerana dia mahu makan jantung kakaknya itu. Bidan Munah sudah lama bersedia dengan serangan ayat-ayat Al Quran. Tidak lama lagi azan subuh akan berkumandang.
“Allahuakbar! Allahuakbar!”
“Argh panas! Aku panas! Aku panas! Tak guna kau Munah!!!” pekik Puyah semakin lama dibakari oleh api yang muncul dengan sendirinya.
“Maafkan aku Puyah. Maafkan kakak mu…”

Tamat
1340 pm
mon

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Leave a Comment