Rasuk di Rompin

Assalamualaikum dan salam sejahtera para pembaca FS. Pertamanya terima kasih kepada admin sebab sudi siarkan cerita aku di sini. Kisah ini adalah pengalaman aku sendiri sewaktu bekerja di Rompin sekitar tahun 2009. Nak kata seram, ala-ala suam kuku sahaja tapi lebih kepada pengajaran kepada semua pembaca. Nak dijadikan cerita, aku dihantar menjaga projek di pantai Rompin, masa tu Rompin tak maju macam sekarang ni. Pukul 8.00 malam sahaja dah jadi macam pekan koboi, gelap gelita je. Kalau kedai yang buka pun cumalah tunas manja mini.

Aku menyewa di atas sebuah kedai membaiki motosikal di Bandar Rompin bersama-sama dengan 5 orang lagi penghuni. Aku sebilik dengan Siti dan Hana, Nurul duduk bilik berseorangan manakala 2 orang lagi adalah Zack dan Kak Leha. Masa mula-mula masuk rumah sewa tu, aku takde lah rasa seram atau pelik, cumanya aku tak selesa kalau masuk ke dalam tandas, sebab aku selalu rasa diperhatikan. Tapi biasanya aku akan fikir cuma perasaan aku sahaja sehinggalah berlaku peristiwa yang memang aku akan ingat sampai bila-bila.

Macam biasa, rutin harian aku, Siti dan Hana akan keluar makan malam bersama-sama di kedai berhampiran. Balik sahaja dari makan malam sekitar jam 9.00 malam, aku lihat keadaan kecoh di bawah rumah iaitu di hadapan kedai membaiki motosikal. Aku lihat teman lelaki Nurul yang aku namakan A berada di luar kereta dalam keadaan tak keruan dan suara Nurul menjerit, ketawa dan menangis di dalam kereta.

Pada mulanya kami hanya lalu sebelah kereta sebab merasakan biasalah pasangan kekasih bergaduh jerit-jerit macam tu kan. Tapi si A menahan kami dari menaiki tangga untuk masuk ke dalam rumah. Sambil muka berkerut, A cakap tak tahu kenapa dengan Nurul menangis tak berhenti sambil ketawa menjerit-jerit semasa nak keluar makan tadi. Kami mula rasa pelik sebab Nurul ni sikapnya lemah-lembut, susah nak marah orang, dah kenapa nak menjerit macam perempuan tak siuman pula kan?

Aku ni selaku paling tua dekat situ, pergi ke bahagian tempat duduk penumpang untuk dapatkan Nurul. Aku tengok Nurul tarik-tarik rambutnya sambil menunduk ke bawah (rambut Nurul panjang sehingga melepasi p******g ye semua). Aku panggil namanya, tapi dia tetap menangis sambil ketawa. Aku pun apa lagi, bacakan ayat Kursi, Al-Fatihah, 3 Kul dan takbir di telinganya sambil meraup wajah Nurul. Hana yang berada di belakang aku ketika itu, turut sama berdiri di sebelahku untuk membantuku.

Semasa aku meraup wajah Nurul, secara tiba-tiba Nurul memandang kami dengan muka yang sangat bengis dengan matanya yang merah sambil terjegil keluar. Hana tiba-tiba menjerit dan menangis-nangis sambil berlari menaiki tangga. Aku mengarahkan Siti untuk ikut Hana masuk ke dalam bilik. Aku cuba berlagak tenang walaupun hati rasa kecut sebab tahu Nurul dirasuki sesuatu. Dengan pantas, aku mendail nombor telefon consultant aku dan meminta dia untuk mencarikan ustaz atau imam surau untuk datang ke rumah kami.

20 minit kemudian, consultant aku datang dengan ustaz dan isterinya. Semasa ustaz mula-mula masuk ke rumah tersebut, aku dengar ustaz beristighfar dan menggeleng-gelengkan kepalanya. Ustaz meminta supaya kami pegang Nurul dan Hana (selepas disergah oleh Nurul, Hana turut terkena histeria sambil menangis-nangis suara mendayu-dayu). Sambil ustaz membacakan ayat-ayat Al-Quran sambil menekan ibu jari kaki Nurul, aku cuba memasang telinga mendengar dialog ‘mereka’. Tanya punya tanya, rupa-rupanya yang menghantar benda tak elok dekat Nurul ni adalah emak kepada si A, teman lelaki Nurul ni la.

Sebabnya emak si A ni memang tak suka Nurul sebab katanya si A ni sejak bercinta dengan Nurul melebihkan Nurul dari dirinya sendiri. Ustaz pula kebetulan memang kenal benar dengan emak si A ni, senang cerita satu kampung tahu emak A ni pengamal ilmu hitam, jeng jeng jeng. Ayah si A ni pun dah dibodohkan gitu je, dan isteri abang si A ni bak kata consultant aku, masa tengah bersanding, muntah d***h tak berhenti dikerjakan oleh emak si A ni. Aku cuma mampu berdiam diri sahaja mendengar kisah emak si A ni.

Hana pula lain kisahnya, pada mulanya histeria berjangkit dari Nurul, rupa-rupanya dalam masa yang sama, petang tu Hana ni ada melepak di pantai sehingga maghrib, Cik Lampir pula berkenan ikut dia balik. Bila ditanyakan Cik Lampir ni, katanya dia suka ikut Hana ni sebab Hana dalam keadaan kotor, lebih merumitkan keadaan apabila Cik Lampir turut suka keadaan sekeliling rumah yang ‘kotor’. Aku mula pelik di situ. Kenapa kotor? Keadaan rumah elok berkemas dan bersih sahaja. Selepas Hana dan Nurul Berjaya dipulihkan, giliran ustaz pula bertanyakan kepada mereka berkenaan dengan aktiviti penghuni di rumah ini. Aku dikecualikan memandangkan aku baru sahaja sebulan duduk menyewa di situ.

Pada mulanya aku lihat mereka semua keberatan untuk membuka cerita, namun setelah dipaksa oleh ustaz, barulah Siti mula bercerita berkenaan dengan penghuni lama rumah kami ini. Penghuni lama biarlah ku berikan nama sebagai B, datang dari kampung dan bekerja di pasaraya di sini. Bercinta dengan seorang anggota pertahanan awam Rompin yang mana sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Sepanjang B tinggal di situ, B selalu membawa masuk teman lelakinya ke dalam bilik yang didudukinya seorang diri yang mana telah menjadi bilik Nurul sekarang. Puas mereka menasihati B supaya berhentikan perbuatan terkutuknya, tapi ibaratnya mencurahkan air ke daun keladi, B tetap sahaja berterusan melakukan perbuatan terkutuk tersebut sehinggalah suatu hari B mendapati dirinya hamil anak hasil berzina dengan teman lelakinya. Pelbagai cara dilakukan untuk menggugurkan kandungannya tapi tidak satu pun yang berjaya.

Paling teruk apabila B bergaduh dan ditolak oleh teman lelakinya sehingga terjatuh dari tangga. Tangga untuk naik ke rumah kami tu memang curam, tapi kuasa Allah, anak di dalam rahimnya tetap utuh dan sihat. Sehinggalah teman lelaki B mencadangkan supaya mereka bertemu dengan seorang bidan di sebuah kampung untuk menggugurkan kandungan B yang kian membesar namun B berdegil tidak mahu mengugurkan kandungannya kerana merasakan risiko terlalu besar akibat kandungan sudah mencapai 5 bulan. Sudahnya cuma teman lelaki B sahaja berjumpa dengan bidan dan membawa balik buluh halus runcing yang telah dijampi untuk digunakan oleh B bagi menggugurkan kandungannya.

Siti yang pada ketika itu baru sahaja bertugas di salah sebuah kompleks kerajaan di situ, tergerak hati untuk pulang ke rumah kerana tertinggal beg duitnya. Alangkah terkejutnya dia apabila balik sahaja rumah, d***h memenuhi tandas dan ruang tamu sehingga ke bilik B. Siti lari menuju ke tandas untuk mendapatkan gambaran lebih jelas berkenaan dengan apa yang dilihatnya. Siti seperti tidak percaya dengan apa yang dilihatnya, janin, ye janin yang tidak bersalah. Hampir separuh menjerit Siti melihatnya.

Siti berlari pula ke bilik B mengikut kesan d***h, B sedang bersandar di kepala katil sambil menahan sakit dan meminta agar B menelefon teman lelakinya. 15 minit kemudian, teman lelaki B datang, janin di dalam tandas di ambil dan diletakkan di dalam plastic, B pula di bawa oleh teman lelakinya entah ke mana. Siti bertegas untuk mengikut mereka namun teman lelaki menghalang Siti dari mengikuti mereka. Itulah kali terakhir Siti melihat B berlalu pergi bersama lelaki durjana.

Selepas dari peristiwa tersebut, ada masa mereka akan mendengar suara tangisan bayi di dalam tandas. Namun, mereka cuma membiarkan sahaja tangisan tersebut disebabkan setiap dari mereka mengetahui kisah di sebalik tangisan bayi tersebut. Selepas mendengar kisah tersebut, baru aku faham kenapa aku rasa tidak selesa untuk masuk ke dalam tandas tersebut dari hari pertama aku berpindah masuk ke rumah tersebut. Mujurlah aku cuma menyewa di situ selama 3 bulan sebelum berpindah ke Putrajaya. Nasihatku, fikirkanlah keadaan janin di rahimmu sebelum melakukan perbuatan terkutuk akibat nafsu syaitan.

Si Ketot

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 4.5]

16 thoughts on “Rasuk di Rompin”

  1. Uiissshhh…
    Part gune buluh runcing tu yg paling seram ghasenye…
    Senang2 plak ekk die kuorkan bby tu sensorg…
    Nauzubillahuminzalik…
    Takooottt…

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.