Rayuan Di Sebalik Tingkap

Kisah ini berlaku sekitar tahun 1980, ketika ayahku berpindah bertugas ke Pantai Timur. Kami sekeluarga tinggal di sebuah rumah pegawai polis dalam kawasan kuarters yang menempatkan kira-kira sepuluh buah rumah sahaja. Berbeza dengan tempat sebelumnya, kawasan ini jauh lebih sunyi dan terpencil, terutama pada waktu malam yang terasa sepi.

Rumah kami terletak di hujung sekali, jauh dari pagar utama. Di sebelah rumah pula berdiri sebatang pokok besar yang sangat tua. Batangnya berlubang besar, cukup luas untuk seorang kanak-kanak masuk ke dalamnya. Pada waktu siang, pokok itu kelihatan biasa sahaja, tidak menimbulkan apa-apa rasa takut. Namun apabila senja menjelma, bayangnya akan memanjang ke arah rumah kami, menjadikan suasana sekitar semakin gelap dan tidak menyenangkan, seolah-olah ada sesuatu yang sedang memerhati dari jauh.

Sejak hari pertama kami berpindah ke situ, aku sudah mula merasakan sesuatu yang ganjil, terutama setiap kali waktu Maghrib tiba.

Setiap kali azan Maghrib habis berkumandang dan cahaya matahari mula hilang, bilikku menjadi tempat yang paling aku takuti. Tingkap bilikku menghadap terus ke arah pokok besar tersebut, dan dari situlah bermulanya segala gangguan.

Pada mulanya, aku hanya mendengar bunyi ketukan perlahan.

Bunyi itu datang dari arah tingkap, seolah-olah seseorang sedang mengetuk dengan sangat perlahan dan berhati-hati. Ayah aku cuba meyakinkan bahawa ia hanyalah dahan pokok yang terkena angin malam atau bunyi biasa yang tidak perlu ditakuti. Namun, bunyi itu terus berulang, terutama setiap kali masuk waktu Maghrib, seakan-akan ia sudah menjadi satu rutin yang tidak boleh dielakkan.

Suatu senja, bunyi ketukan itu menjadi lebih jelas daripada biasa. Perlahan, tetapi berulang-ulang dengan irama yang sama.

Kemudian, aku terdengar pula suara seorang perempuan dari luar tingkap. Suaranya sayu dan lemah.

“Tolooong… tolooong…”

Suara itu hanya merayu, berulang-ulang meminta pertolongan dengan nada yang sangat pilu.

Walaupun aku tidak dapat melihat kelibatnya, kehadirannya terasa terlalu dekat, seolah-olah dia berdiri betul-betul di luar tingkap bilikku,

Aku hanya membeku di dalam bilik, tidak berani untuk mendekati tingkap tersebut, apatah lagi untuk menjawab panggilannya.

Sejak hari itu, gangguan tersebut menjadi rutin. Setiap kali Maghrib tiba, suara perempuan itu akan muncul semula, merayu dengan nada yang sama meminta tolong yang aku sendiri tidak tahu apa maksudnya.

Aku tidak pernah menyahutnya, walaupun kadang-kadang suara itu kedengaran semakin dekat dan semakin jelas.

Ayahku pula menganggap mungkin aku hanya terlalu takut kerana masih kecil dan belum biasa dengan suasana rumah baru. Namun, kejadian yang paling menakutkan berlaku pada satu malam yang sunyi.

Ketika itu aku sudah pun tidur, tetapi tiba-tiba aku terjaga. Bilik hanya diterangi cahaya samar dari lampu luar yang menembusi tingkap, membuatkan suasana dalam bilik kelihatan kelam tetapi masih cukup jelas untuk melihat bentuk bayang-bayang di sekeliling.

Di sebelah katilku terdapat sebuah katil kosong.

Dalam cahaya samar itu, aku terlihat sesuatu yang membuatkan seluruh tubuhku kaku.

Seorang sedang berbaring di atas katil kosong di sebelahku.

Tanpa sempat berfikir panjang, aku melompat turun dari katil dan berlari keluar dari bilik dengan sekuat hati.

Aku terus menuju ke bilik ayah dan ibuku, mengetuk pintu sambil menangis dalam ketakutan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Dan sejak kejadian malam itu, aku tidak lagi berani untuk tidur sendirian.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Lizan Bahrin

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.