Rentetan Misteri Rumah Tokwan

Assalamualaikum dan salam muhibbah buat admin dan pembaca FS.

Terima kasih admin atas terbitan kisah Misteri Rumah Tok Wan, berikutan ada yang meminta rentetan kisah-kisah misteri dan mistik yang pernah singgah dan menakutkan kehidupan aku, aku selitkan kali ini sebuah kisah yang pernah berlaku di sekitar rumah Tok Wan. Terima kasih sekali lagi jika admin sudi menyiarkan kisah kali ini.

Yang nak layan, jom baca.

Oh ya, aku Sajou. Perempuan Melayu yang berasal dari sebuah kampung di Utara Semenanjung (saja la aku letak pernyataan ni, aku bajet hangpa anggap la aku bercerita ala-ala ayu gitu, cewah… Haha, jangan marah no~…melawak).

=|Lembaga Hitam|=

Aku meneruskan rutin tidur aku bersama tok pada setiap malam. Selepas aku berkelahi dengan abang sulung beberapa ketika yang lalu, aku tidak pernah rasa nak turun tidur semula beramai-ramai di laman tengah rumah. Bukanlah aku berdendam dengan abang aku tu, cuma aku selesa tidur dengan tok walaupun hanya beralaskan selimut tebal di atas tikar mengkuang. Walaupun aku masih kecil masa tu, hati dan perasaan aku tak sanggup dan tak sampai hati nak biarkan jasad tua tok berseorangan tidur setiap malam. Kadangkala rasa seram menyinggah dan merinding segala bulu di badan gara-gara teringat gangguan sebelum ini.Namun begitu, setiap petang sebelum senja menjelma, aku tetap akan naik ke atas rumah, tutup tingkap adabi yang tok memang buka setiap pagi, dan cucuh mancis untuk nyalakan pelita minyak tanah tok (hebat kemahiran kendiri kanak-kanak zaman dulu kan, yakin je guna mancis, huhui). Sesekali aku akan cek kalau-kalau minyak tanah dalam pelita tu dah kurang. Kecuali pada setiap sebulan ada satu hari pada petang Jumaat, tok tak bagi aku naik buat rutin harian aku tu sebab dia sendiri akan naik, bakar dan pasang kemenyan di atas rumah. Kedengaran sayup-sayup bunyi derapan kaki tok di lantai atas rumah sebab tu kami boleh tau, dia bawak kemenyan tu mengelilingi ruang seluruh atas rumah. Ada sekali tu aku buat-buat berani tanya tok kenapa kena pasang kemenyan sebulan sekali.

“Takmau bagi hantu setan kacau hangpa la anak-beranak aku…!” Selamba tok jawab. Sinis tapi serius muka dia.

Berhuhu sekejap aku masa tu. Aku tak pasti tok bergurau atau dia serius. Padan la muka aku sebab banyak soal.

Lebih kurang setahun kemudian, di penghujung tahun ketika cuti sekolah baru nak bermula, riuh rendah sekeliling rumah tok wan kerana seorang anak perempuan Makngah bakal melangsungkan perkahwinan. Dulu, kalau ada kenduri kahwin, bakal pengantin akan diraikan dengan sambutan yang cukup-cukup meriah (meriah dari sambutan hari raya kot wei) dan suasana masa tu tersangatlah best dan menggamit jiwa. Rumah Makngah terletak bersebelahan kanan rumah Tokwan, jaraknya dekat sahaja tapi tidak terlalu rapat, mak dan makngah aku boleh “hoi,hoi!” saja dari tingkap dapur kalau nak bersembang. Dulu, kalau ada majlis kahwin, semuanya dilakukan secara gotong royong atau rewang. Dari persediaan bahan-bahan mentah, memasak, pasang khemah, bunga telur, sehinggalah lantikan mentara (ala-ala macam waiter la, sebab kenduri dulu tetamu semuanya dilayan macam raja, takda makan ala-ala buffet macam sekarang ni, semuanya makan berhidang talam yang disajikan mentara, tetamu cuma duduk, basuh tangan dan makan), semuanya sanak-saudara dan orang kampung yang datang menolong dan uruskan . Kami yang budak-budak ni selalu berebut tugas mentara bahagian bagi bunga telur sebab setiap mentara akan dapat bunga yang diselit duit upah yang dipin pada baju atau tudung. Aku? Pernah kot sekali dapat merasa jadi flower girl ni. Haha…

Sebuah balai didirikan di laman antara rumah Makngah dan rumah Tok Wan. Bagi aku balai ni la tempat yang paling best untuk melepak dan bermain masa kenduri kendara, sebab ia dibuat daripada kayu, dan bila kau berlari atas tu bunyi hentakan kayu dia buatkan hati kanak-kanak aku masa tu teruja, riang dan gembira! Petang-petang bila pakcik-pakcik dan makcik-makcik mengopi cicah biskut kering, aku baring hujung-hujung tebing lantai balai melayan angin bayu sepoi-sepoi bahasa sambil pejam mata, kadang sampai terlena! Ish, syoknya taktau nak habaq!! Walaupun kenduri akan berlangsung lagi 2 minggu, tapi rumah Makngah dan rumah Tok Wan meriah dan hiruk pikuk dipenuhi dengan manusia. Dalam kehirukan dan kemeriahan suasana majlis yang akan berlangsung, rumah atas Tok Wan tetap tiada siapa yang guna atau naik. Cuma sesekali ada sepupu kami yang naik untuk ambik gelas-gelas atau saprah (kain lapik) yang disimpan dalam almari lama di atas. Tu pun naik ramai-ramai dan berdentum dentam lari turun cepat-cepat. Apa yang ditakutkan sangat pun aku tak pasti, tapi memang macam tulah keadaannya. Ketika itu pertengahan tahun 90an.

Ada suatu malam, dalam dua tiga hari sebelum majlis berlangsung, orang tua-tua semua tengah sibuk bab lauk pauk dan pinggan mangkuk , geng pengantin pulak sibuk dok berinai, hias bilik pengantin bagai. Jadi, kami kanak-kanak ribena ni bawak la diri masing-masing tanpa pengawasan orang dewasa sebab semuanya tengah sibuk kan. Kalau kami join, kena halau jugak sebab mengganggu orang tua-tua buat kerja. Nak join geng pengantin, pelanting awai lagi sebab budak-budak mana boleh join dengaq cerita bab orang kahwin! Haha…

Kami lebih kurang 10 orang budak-budak bercadang la nak main tiang-tiang kat khemah kenduri yang dah didirikan di padang depan rumah Tok Wan ni. Tetiba panggilan alam pulak datang menuntut aku menunaikan hajatnya ke bilik air, aku pun suruh la geng aku tu pergi dulu kat khemah depan sana. Berlari-lari anak aku balik menuju ke rumah Tok Wan. Pintu rumah Tok Wan terletak di sebelah kiri rumah, bersebelahan dengan rumah Maknjang aku. Walaupun ramai manusia malam tu, tapi semuanya bertumpu di balai dan di rumah Makngah di sebelah kanan rumah Tok Wan. Rumah Maknjang aku tiada sesiapa, melainkan hanya satu lampu panjang yang dipasang di bahagian dapur. Aku berhenti seketika di depan pintu. Aku toleh ke kiri dan kanan, mencari-cari kalau ada sesiapa di situ. Sunyi, cuma kedengaran sayup suara-suara dan gelak ketawa manusia dari balai.

Ketika aku cuba menarik daun pintu, aku dengar seperti satu dengusan yang kuat dari arah beranda rumah Maknjang. Pernah dengaq lembu mendengus tak? Haa, lebih kurang macam tu la. Aku pun toleh tengok semula ke arah beranda tu. Aku nampak satu susuk tubuh tak ubah macam abang sepupu aku, Jiji. Gelap dan hitam bayangannya tapi memang serupa susuk tubuh dia. Cahaya lampu sendu dari dapur rumah Maknjang memang tak membantu langsung situasi aku nak memastikan betul atau tidak itu abang sepupu aku masa tu yang tengah berdiri atas beranda. Terjinjat-jinjat kaki kecil aku konon-konon nak mengintai la gitu.

“Woi, Jiji!!” aku jerit nama dia.

Aku perhatikan saja kalau-kalau dia perasan aku panggil. Diam, kaku. Tak menguek sikit pun. Macam patung je dia berdiri atas beranda tu. Kedudukan dia tu seolah-olah dia sedang berhadapan dengan aku.

“Woii… Jiji, hang dengaq dak?! Hang buat apa sorang-sorang ataih beranda tu?Dahla dok dalam gelap, gilaa paa!!”

Saja aku buat-buat macam marah untuk dapatkan reaksi daripada dia. Kaku. Diam membisu. Kedudukan dia masih sama. Masa ni aku dah mula pelik , apa kena dengan dia ni? Takkan tidoq berdiri kot? Aku mengomel-ngomel sendiri sambil berkerut-kerut kening aku memandang ke arah beranda.

Tiba-tiba ada sesuatu berwarna merah (macam api rokok tu) menyala di bahagian muka dia. Eh, memang Jiji la tu! Hisap rokok pulak mamat ni, aku panggil tak menyahut pun! Aku cuba sedapkan hati. Aku pun cuba woi-woikan lagi abang sepupu aku tu sambil buat gelak-gelak bodoh gitu (nak cover takut sebenaqnya). Dalam aku dok syok sendiri yakin sangat konon-konon susuk tubuh yang aku tengah tengok ni abang sepupu aku, tiba-tiba menyala lagi satu nyalaan berwarna merah di sebelah nyalaan tadi. Kalau tengok betul-betul, sebijik macam sepasang mata merah menyala yang tengah perhatikan kau!Haaaa,sudaaah!!

Aku terus diam. Muka aku memang dah pucat lesi. Mata aku terpaku lesu memandang lembaga hitam itu. Takdak bulu yang kat badan aku ni yang tak terpacak, semuanya naik mencanak macam nak tercabut. MashaAllah, punyalah takut… Lembaga hitam bermata merah menyala yang menyerupai susuk tubuh abang sepupu aku tu, tiba-tiba bergerak perlahan ke arah tepi beranda. Pada masa yang sama, bentuk tubuhnya mula berubah sedikit demi sedikit menjadi tinggi mencecah bumbung beranda. Walaupun gelap, tapi nampak samar-samar kakinya yang panjang melangkau penghadang beranda (dah macam daddy long leg pulak aku rasa). Buang masa kot dia rasa kalau nak turun ikut tangga, huhu. Masa ni aku tahu, yang sedang berhadapan dengan aku ni bukan manusia. Boleh pulak masa ni jugak kaki dan kepala lutut aku ni nak lembik bagai, nak seret pun takdak kudrat dah. Suara pun macam dah tersekat kat kerongkong. Aku paut kuat kedua-dua tangan aku di daun pintu, dengan harapan pintu terbukak. Mata aku masih tak lepas memandang lembaga hitam tadi.

“Woi! Hang buat apa depan pintu tu?” tiba-tiba ada suatu suara yang menegur dari arah belakang aku.

Aku terus menoleh. Terbuntang luas mata aku memandang empunya suara. Abang sepupu aku, Jiji, elok bercekak pinggang dengan uniform kilang memandang hairan ke arah aku. Iyelah, gaya dah macam orang tahan berak, mestilah orang tengok pun pelik! Terus terjawab sedikit panggilan alam tadi depan pintu rumah Tok Wan. Aku terus jerit “Maaaakkk…maaaakk…bukaklah pintu niiii!” sambil meraung-raung. Takut kat hantu tu satu pasal, takut dengan hajat yang nak tercapai dah ni satu hal lagi!! Pintu terkuak luas, mak aku pandang ja aku atas bawah, berkerut-kerut kening dia. Aku terus berlari masuk menuju ke bilik air. Tak pikir dah apa nak jadi pun jadilah, aku memang kena tunai hajat tu masa tu jugak! Mujurlah seluar aku basah sikit je, sempat aku pecut ala speedy gonzales tadi, kalau tidak sahih telinga aku ni jadi squishy mak aku malam tu,haha…

Esoknya berjabu aku kena marah dengan geng aku semalam sebab sampai sudah aku tak muncul. Aku renyih tak ikhlas je, menjawab pun tidak. Yelah, takkan aku nak bagitau aku dah terkucil dalam seluaq sebab nampak hantu? Mampuih kena bahan! Lepas tu, aku bersoal siasat jugak dengan abang sepupu aku tu pasal semalam dia di mana sebenarnya. Dia pulak marah aku sebab tuduh dia yang bukan-bukan. Dia baru balik kerja malam tadi, pelik tengok aku terkial-kial depan pintu rumah tak masuk-masuk.

“Hang pasaipa? Dah buang tebiat ka?” Dia marah aku.

Sekali lagi aku renyih tak ikhlas kat dia. Apa yang aku nampak malam itu, hanya aku dan Tuhan yang tahu. Aku tak cerita pun kat dia atau sesiapa. Yelah, siapa la nak percaya cerita budak 10 tahun jumpa hantu? Silap-silap kena sekeh pulak. Abang sepupuku, Jiji, sudah pun meninggalkan alam dunia ni lebih kurang 5 tahun yang lalu kerana sakit jantung. Al-fatihah buat abang Jiji…

Adalah suatu kejadian dalam 4 -5 tahun yang lepas jugak, adik lelaki aku baru pulang dari masjid, dia tunggu kuliah agama habis selepas isyak. Jarak masjid dengan rumah Tok Wan tak sampai setengah kilometer, jadi dia selalu jalan kaki je pergi dan pulang dari masjid. Masa tu, lampu jalan memang tak pasang lagi, lambat betul nak dapat lampu jalan tu, dia pulak malas nak bawak lampu suluh, jadi dia hanya mengharap cahaya lampu rumah-rumah sekitar sepanjang jalan nak balik ke rumah. Bila dia sampai saja depan rumah Makngah aku, dia terkejut sangat sebab dia tak nampak rumah Tok Wan! Gelap dan hitam. Terus dia mendongak ke atas, dan terpandang satu lembaga hitam yang sangat tinggi dan besar menghalang laluan dia. Dengan kuat dia melaungkan ‘Allahuakbar’ dan berlari patah balik ke tepi jalan raya (tepi jalan raya ada lampu jalan). Terketar-ketar dia menahan takut dengan nafas yang tercungap-cungap. Dia cuba bertenang dengan membaca ayat Kursi, dan mengambil keputusan untuk ambil jalan jauh untuk balik ke rumah. Lega dia dari kejauhan nampak bayangan rumah Tok Wan. Dia terus masuk dan rehatkan diri. Selepas beberapa hari barulah dia ceritakan pada kami kejadian yang menimpa dia. Rumah Tok Wan? Ya, sehingga ke saat ini mak ayah aku masih tinggal di rumah pusaka itu. Bila saja aku mendengar cerita dia, terus terkenang kembali peristiwa aku bertemu lembaga hitam itu. Lembaga hitam yang samakah? Wallahu’alam.

Jika ada kelapangan dan ada rezeki, insyaAllah, akan aku coretkan lagi kisah-kisah misteri dan mistik yang pernah berlaku dalam hidup aku. Terima kasih kerana membaca.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

3 thoughts on “Rentetan Misteri Rumah Tokwan”

  1. Kain saprah, lebih kurg sama nama panggilan utk hidangan di tempat kami Sarawak. Ya, kenduri zaman tu 90an memg seronok. Ramai yg dtg tolong, lbih2 lagi kalau musim cuti sekolah kemeriahan sudah dirasa semggu@2 mggu sblum majlis.
    Kalau saya dtpt awak tgok makhluk xtahulah part seram tu ada api merah mcm rokok kt muka.. bukak mata satu2 lah pulak..

    Reply

Leave a Comment