Rin Dan Riz

Ya, anakku Din memang dikenalpasti oleh doktor pakar Psikiatrik menghidapi penyakit Skizofrenia. Namun sebagai seorang hamba Allah yang percaya kepada perkara ghaib, aku dan keluarga tidak menolak tentang kaitan penyakit tersebut dengan gangguan makhluk jin. Kami sendiri berpengalaman dapat merasakan kehadiran “dia” yang tak diundang ketika Din mula menunjukkan serangan “Skizo”. Untuk pengetahuan pembaca, Din tidaklah setiap masa dalam keadaan “sakitnya”, adakala dia ceria seperti kanak-kanak lain, belajar, bermain, bergaul.

Kali ini aku coretkan kisah dua anakku “Rin dan Riz”. Diringkaskan kisah, setelah Din berusia tujuh tahun, aku disahkan hamil. Aku dan suami memang merancang untuk jarakkan kehamilan setelah aku keguguran dan fokuskan perhatian terhadap Din serta rawatannya.

“Alhamdulillah, harap kandungan ini dipelihara keselamatannya dengan izin Allah”, kata Doktor Tija, seorang doktor pakar Obstetrics & Gynaecology di Poliklinik panel keluarga kami.

Aku dan suami tersenyum, rasa bersyukur kehadratNya. Dalam perjalanan pulang ke rumah, aku teringat akan Din dan peristiwa yang lepas. Jujur aku akui, kejadian itu masih menghantui diriku walaupun ianya sekadar petanda dalam mimpi. “Bagaimana akan aku jelaskan pada Din tentang kandunganku kali ini?”, aku bermonolog sendiri. Lama ku renung jalanraya, pokok-pokok, kereta di luar sepanjang pemanduan suamiku.

“Noor, kenapa diam je ni?” suamiku menegur. Kemungkinan dia perasan wajahku yang mula gusar.
Aku diam seketika. Mataku mula kemerahan, pedih-pedih. Aku memandangnya. Suamiku memandu sehingga ke sebuah taman rekreasi berdekatan taman perumahan kami. Dia mengajakku ‘ambil angin’ sebentar.

“Abang rasa abang tahu apa yang Noor fikirkan. Noor risaukan kisah beberapa tahun lepas kembali berulang dan risaukan Din, kan?” tepat sangkaan suamiku terhadap gundah ku. Aku mula menitiskan air mata. Sayu perasaanku.

“Bagaimana untuk dapatkan kekuatan menghadapi perkara ni, abang?” kataku kepadanya. Suamiku menggenggam erat tapak tanganku. Lalu menghela nafas.

“Noor, Allah Maha Berkuasa terhadap segala kejadian dan setiap kejadian ada Qada’ dan QadarNya. Kita makhluk, hamba Allah yang selayaknya diuji. Dan kepadaNya juga kita memohon perlindungan bukan pada yang lain. Kita usaha ya. Jangan takut dan gentar. Pasti Allah membantu kita”. Aku masih menangis cuba melawan kegusaran dan mempositifkan diri dengan kata-kata nasihat suamiku.

“Noor akan usaha, abang”, jawabku dalam kesayuan.

Alhamdulillah, berkat doa dan munajat kepada Allah, serta mengamalkan ayat Al-Quran tertentu sebagai pendinding diri, keluarga dan rumah sepanjang aku mengandung kali itu, Din tidak banyak “psycho” nya, cuma sekali sekala dia akan bersuara,

“Mama ada baby dalam perut, Din ada ramai kawan di sekolah” sambil menjeling.

Ada sekali satu pagi, aku, suamiku dan Din ke klinik untuk membuat “checkup” bulanan.

“Baby dalam perut mama tu,Din nampak macam dua” kata Din sambil menunjukkan dua jari. Suamiku tersenyum.

“Ada je Din ni ya, macam mana pandangan Din boleh tembus tengok perut mama tu? Ada kuasa super saiyan ke apa? Hahaha”, suamiku berseloroh dengan Din.

“Din nampaklah ayahhhh, betulll!”, Din mencebikkan bibir sambil menunjukkan muka stressnya. Lalu berkelakuan sedikit tidak tentu arah di depan kami dan pengunjung klinik yang lain. Dia merasakan seolah-olah ayahnya beranggapan dia berbohong. Aku hanya membiarkan kerenahnya. Menurut doktor adalah perkara biasa bila penghidap penyakit “Skizofrenia” merasakan diri terancam atau tercabar bila ada ‘orang baru’ dalam ahli keluarganya serta sering merasakan orang lain beranggapan buruk terhadap pendapat atau pandangannya.

Setelah menunggu hampir 20 minit, aku dipanggil masuk ke bilik doktor. Doktor melakukan scan terhadap kandunganku.

“Tahniah, nampaknya puan akan bakal mendapat bayi kembar”, kata Doktor Tija sambil tersenyum. Aku dan suami memandang fokus screen dihadapan. Benar, “kembar”. Sekali lagi aku saling berpandangan dengan suamiku sambil perlahan-lahan memandang ke arah Din yang masih mengomel sendirian dihujung-hujung bilik rawatan doktor itu.

Setelah selesai urusan di klinik kami pulang ke rumah. Aku dan suamiku hanya mendiamkan sahaja kejadian di klinik. Aku cuba mengelak berfikir lebih tentang perkara tersebut tambahan aku kerap keletihan pada kandungan kali itu, risau aku tekanan. Hari demi hari, minggu silih berganti, sampai masanya aku bersalin. Lahirlah dua cahaya mataku. Keduanya lelaki. Syukur, mak dan ayah datang ke KL menemani hari-hari berpantangku. Kami namakan kedua anak itu Rin dan Riz. Din tidak berapa mesra dengan kedua bayi ini.

“Asyik-asyik baby, semaklah!”

“Gedegang!” Din menghempas pintu biliknya. Dari ruang tamu kami dapat mendengar Din mula membebel dan ketawa. Ada bahasa yang boleh dimengerti ada bahasa yang kita takkan faham apa yang disebutnya. Aku panggil ianya bahasa setan.

“Lebih baik Din tak payah lahir didunia ni. M**i lagi baik. Hahahaha!” Kemudian diikuti bahasa setan tu. Tak pandai aku menaipnya dalam ni. Maaf pembaca. Tapi bila diamati memang menyeramkan. Ketika Din mengungkapnya, suara Din akan menjadi parau. Mak dan ayah senyap memandangku.

“Sabar ya Noor”, kata Mak pada ku. Betullah kata pakar dan perawat perubatan Islam, sekiranya penyakit ini tidak diubati dengan cepat atau ahli keluarga leka, pesakit Skizo boleh mencederakan diri sendiri atau orang lain. Pada satu hari di waktu petang, ketika itu kembar berusia 4 tahun..

“Aaaaa, best tak kalau aku buat korang macamni?”

“Best, best”, jawab kembar berdua.

“Kalau nak lagi best, ada nampak d***h leleh-leleh. Hahahahaha!” Din ketawa berdekah-dekah diikuti gelak Rin dan Riz.

Kemudian aku terdengar derapan tapak kaki berlari ke satu arah dapur dan kembali ke ruang tamu.
Aku yang tengah menyusun pakaian di dalam bilik tiba-tiba merasakan tidak sedap hati. Aku keluar memerhatikan mereka. Astaghfirullah, Din sedang berusaha menghiris dagu Rin menggunakan pisau pisau lipat. “zreet,zreett”. Dagu Rin luka. Tapi seolah-olah tiada rasa sakit baginya. Aku cepat-cepat merampas pisau itu.

“Ya Allah, Din. Kau tau tak ni apa?! Bahaya Din, pisau” aku sedikit menjerit. Aku menarik tangan Rin ke bilik air dan membasuh dagunya kemudian aku mencapai minyak gamat di laci almari makeup lalu kusapu ke dagu Rin. Din dan Riz hanya melihat kelakuan ku. Aku menahan diriku dari terus memarahi Din.

Selain percubaan tersebut, terdapat percubaan lain mencederakan dirinya dan kembar. Ketika kami balik ke kampung suamiku di Negeri Sembilan, kebetulan di belakang rumah ibu mertuaku terdapat satu sungai yang tidak lagi sesuai untuk dijadikan tempat mandi-manda. Kerana menurut ibu mertuaku sungai tu sangat dalam dan “berpenunggu” tambahan ada penduduk yang m**i lemas di sungai itu. Malam pertama percutian kami di kampung, ketika aku membasuh pinggan mangkuk, aku mendengar suatu-suara halus memanggil ku. Sinki dapur kebetulan berhadapan dengan tingkap dan tingkap pula betul-betul berhadapan dengan sungai.

“Noor, Nooorrrrr” suara itu datang dari arah sungai.

“Nooooorrrrrrr,Noooorrr” makin kedengaran sayup-sayup.

Aku tidak menjawab, kerana suara wanita itu memang tidak ku kenali. Namun sikap ingin tahuku itu ada walaupun bulu romaku mula meremang. Aku membuka tingkap perlahan-lahan. Satu lintasan laju bewarna hijau melintas dihadapanku. Astaghfirullah, aku mengucap. Aku melangkah cepat masuk keruang tamu. Tiada siapa.

“Prang!” seperti ada sesuatu jatuh di dapur. Aku tidak memperdulikannya lalu masuk ke dalam bilik tidur dan terus memeluk suamiku. Suamiku terkejut. “Kenapa Noor?”. Aku menutup mata. Suara memanggil tu masih terngiang di telingaku. Suamiku membacakan ayat Qursi lalu menghembus kewajahku. Beberapa minit kemudian perasaan takutku mula reda. Keesokannya, ketika aku menyiapkan makan tengahari bersama ibu mertuaku, aku mendengar suamiku memanggil namaku dari ruang tamu.

“Noor, Noor!” suaranya cemas. Aku berlari anak mendapatkannya.

“Kenapa,abang?”.

“Noor ada nampak anak-anak kita ke mana tak? Dah setengah jam abang mencari mereka bertiga, tadi ada dengan abang bersihkan halaman rumah”. Jelas diwajah suamiku mukanya gelisah.

“Mana pula budak-budak ni pergi, dah lah hujan panas renyai-renyai ni. Demam pula nanti”, aku berbisik dihatiku. Aku dan suami berusaha mencari diseluruh kawasan rumah dan setiap ruang. Memang mereka tiada.

“Abang, jom cari di sungai belakang!” aku bersuara.

“Dah, abang dah cari. Tapi mereka takde”. Suamiku mendapatkan ibu mertuaku lalu kulihat mereka berbincang sesuatu. Ibu mertuaku bergegas memakai tudung dan dia mengajak kami ke rumah Pak Mat ketua kampung merangkap jiran beberapa selang rumah ibu mertuaku.

“Budak-budak tu hilang tak tau kemana” kata ibu mertuaku kepada Pak Mat. Ketika itu, Din berumur 12 tahun dan kembar 5 tahun. Pak Mat, kami dan beberapa penduduk kampung berusaha mencari mereka bertiga. Puas keliling satu kampung termasuk seluruh kawasan sungai tetapi masih belum ketemu. Hari semakin petang. Perasaan ku benar-benar risau. Macam-macam ku fikirkan. Aku berdoa sepenuh ikhlasku, agar mereka ditemui. Azan Maghrib pun berkumandang.

Tiba-tiba hatiku kuat merasakan mereka ada di sungai belakang rumah. Aku mengajak suamiku mencari mereka di sungai belakang tu kembali. Selesai solat maghrib kami menuju kesana. Ku lihat air sungai itu tenang, tidak seperti jiwaku yang bergolak. Aku mencari ke arah kiri dan suamiku kekanan. Dalam beberapa minit pencarian,

“Mama, mama”. Aku terdengar suara Riz memanggilku. Aku menoleh kebelakang.

“Riz, Rin, Din!” aku memanggil kembali. “Mama,mama!” sekali lagi Riz memanggil. Aku berjalan ke arah suara itu. Suamiku mengekori ku dari belakang, kemungkinan dia juga mendengar suara Riz. Dalam 10 meter langkah ku, aku nampak Riz, Din dan Rin berteduh disebalik batu besar dengan keadaan Rin terikat kaki dan tangan serta berbogel. Aku terkejut dan terus membuka ikatan Rin.

“Kamu bertiga buat apa kat sini? Puas ayah, mak, opah dan orang lain cari kamu bertiga dari siang tadi” soal suamiku pada anak-anak.

“Kakak tu ajak kami datang bermain di sini” jawab Riz sambil menunjuk sesuatu ke arah pokok pisang berhampiran. Menurutnya lagi pada awalnya dia dan Rin taknak ikut ajakan ‘kakak’ tu tapi Din mendesak. Bila sampai di tepi sungai, mereka main kejar-kejar sehingga penat. Kemudian Din menyuruh Rin membuka baju serta mengikatnya dengan tali rafia yang entah dari mana mereka kutip.

“Abang cakap nak masukkan Rin ke dalam sungai supaya boleh masuk syurga” kata Riz.
Ya Allah, ketika itu aku sudah hilang sabar dengan sikap Din. Kami membawa anak-anak balik. Di rumah aku memukul Din dengan getah paip sepuas hatiku ketika memandikan mereka bertiga.

“Kau nak gila, kau nak m**i, kau pergi sorang!” aku menjerit seperti kerasukan hantu. Din menangis kesakitan. Setiap pukulanku dia tidak mengelak seolah merelakan. Suami menenangkanku dan menarik Din dan kembar keluar dari bilik mandi. Ketika ini, bila aku teringat kembali tindakan ku itu, aku menangis. Tidak seharusnya aku melakukan perkara tersebut ketubuh kurus Din sedangkan aku tau Din sakit. Allah ampunkan perbuatan ku itu.

Selepas kejadian itu, kami membawa mereka berubat kerana mereka seolah-olah disembunyikan makhluk halus pada hari tersebut ditambah menurut cerita Riz mereka diajak oleh ‘kakak’ bermain di sana. Sedangkan ‘kakak’ yang ditunjuk oleh Riz tidak wujud! Din mengalami kemurungan yang teruk. Dia tidak mahu makan dan minum. Dia mencederakan dirinya dengan menyucuk mata pen kepipi dan dagunya. Nasib baik, kami sempat menyelamatkan keadaan Din ketika itu.

Sesi terapinya juga dia tidak mahu pergi dan dipaksa sedikit Din akan memberontak. Puas aku dan suamiku memujuknya. Untuk pengetahuan pembaca, seperti yang aku tuliskan pada awal kisah “ Din dan Am”, tiga dari empat anakku menghidapi Skizofrenia. Itulah mereka si kembar dan Din. Kembar mula menunjukkan ciri-ciri Skizofrenia yang ketara setelah satu kejadian menimpa diri mereka di tingkatan dua.

“Oii, kembar gila, korang ni dahlah adik-beradik gila, curi pula kasut aku!” kata Adli kepada Rin dan Riz. Adli menumbuk pipi Rin sekuatnya.

“Betul Adli, bukan kami yang curi kasut tu, tapi seseorang yang tak berwajah campakkan kasut kau kat atas bumbung tu”, kata Riz membela diri.

“Penipu mana ada hantu tengahari buta, gila!” jerkah Adli.

Adli dan 8 orang rakannya membelasah anak-anakku itu sehingga lembik. Lalu mereka dicampakkan ke longkang besar belakang asrama sekolah. Mereka berdua pengsan. Kebetulan pengawal keselamatan sekolah lalu, dia melaporkan hal tersebut kepada warden. Kembar dibawa ke hospital. Ketika warden menelefonku menceritakan hal anak-anakku, hatiku luluh, berkecai. Walaupun kembar tidak parah, tetapi jiwa mereka patah.

Menurut kawan-kawan kembar, Rin berusaha untuk mencapai kasut Adli di atas bumbung untuk dikembalikan kepada Adli setelah Riz melihat seseorang tidak berwajah mencampakkan kasut itu. Dan usaha Rin disalaherti oleh Adli dan rakan-rakan. Siapa makhluk tidak berwajah itu? Wallahua’lam. Adli dan 8 rakannya yang terlibat kes tersebut dibuang sekolah. Sementara kembar takut untuk ke sekolah, mereka takut untuk bertemu rakan-rakan lain, takut bertemu orang luar, dan seringkali mengigau diiringi insomnia. Berikutan sesi temujanji rawatan Din bersama Psikitris, kami membawa kembar sekali.

“Apa yang kamu takutkan?”, tanya psikitris kepada kembar.

“Mereka mahu m******h kami! Setiap malam mereka hadir dalam tidur saya, saya takut untuk tidur” kata Rin. Aku lihat pandangan Rin, kosong. Riz mula menangis menggigil-gigil.

“Doktor, hantu tu yang buat! Bukan kami, bukan kami!”.

“Hantu itu juga menghasut mereka m******h kami!” Riz separuh menjerit dan merengkokkan badannya.

Doktor memerhati lalu menenangkan mereka. Setelah membuat pemeriksaan seperti ujian d***h, tomography (CT Scan) dan pemerhatian secukupnya, doktor memberitahu kembar juga disahkan menghidapi penyakit skizofrenia.

“Maaf, setelah kami perhatikan history kesihatan mental dan emosi anak-anak puan dan encik, kami dapati mereka menghidapi skizofrenia sama seperti Din. Pesakit Skizo ni puan, mengalami ketidakseimbangan struktur otak. Otak mereka sedikit berbeza dari otak kita yang normal. Sel-sel saraf otak mereka memberi gelombang keterbalikan dunia realiti yang sebenar, sebab tu mereka akan paranoid terhadap sesuatu, berhalusinasi,mendengar bisikan-bisikan serta perilaku mereka tidak menentu. Cara mengubati mereka adalah dengan memberi ubatan antipsikotik serta sesi kaunseling di klinik-klinik psikitri”, jelas doktor tersebut.

“ Apa punca sebenar-benarnya mereka menghidap penyakit ini, doktor?”. Aku cuba mendapatkan kepastian lagi walaupun sudah pernah membaca beberapa artikel mengenai puncanya.

“Sebenarnya kami para doktor masih membuat kajian yang mendalam tentang perkara ini, namun bolehlah saya kongsikan beberapa hasil kajian mengenainya. Satu kajian neuroimaging menunjukkan penyakit ini terjadi akibat gangguan kimia dari bahagian otak yang bermasalah antaranya neurotransmitter dopamin dan glutamat. Neurotransmitter ni adalah bahan kimia yang berfungsi menghantar informasi kedalam sel saraf. Dopamin mengatur fungsi pemikiran, perilaku serta membuat keputusan. Manakala glutamat mengatur kemampuan memori. Jadi apabila keduanya rosak atau terdapat gangguan yang teruk, maka terjadilah Psikosis,serta beberapa penyakit lain. Selain faktor ini, genetik Skizo juga boleh diwarisi kepada generasi ahli keluarga berikutnya. Untuk pengetahuan puan lagi, jika salah seorangnya kembar seiras mempunyai penyakit skizo, yang seorang lagi berisiko tinggi mendapat penyakit ini. Tambahkan pengetahuan dengan membaca ye, puan”.

Aku dan suami teliti mendengar penjelasan ringkas dari doktor. Para pembaca, itu adalah hasil kajian para saintis dan doktor yang mencari bukti mengapa manusia boleh mendengar bisikan serta melihat benda-benda ghaib yang dapat dilihat oleh sesetengah manusia, namun jika kita teliti beberapa sumber naqli Al – Quran, menyatakan iblis/jin antara pendorong menyebabkan kecelaruan jiwa manusia. Allah telah menyatakannya dengan jelas di beberapa surah. Antaranya :

Bismillah, Katakanlah : Aku berlindung kepada (Allah) pemelihara sekalian manusia. Yang menguasai sekalian manusia. Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia. Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya kedalam hati manusia. (iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia”. Surah An-Nas, ayat 1-6.

Sehingga kini, Din, Riz dan Rin masih menerima rawatan hospital dan Pusat Rawatan Islam. Aku dan suami berikhtiar sebaik mungkin demi anak-anakku. Nasihat aku kepada masyarakat di luar sana, sekiranya terdapat ahli keluarga yang mempunyai simptom yang telah aku ceritakan, ikhtiarlah untuk membantu mereka sembuh. Kerana gangguan mental ini boleh jadi disebabkan gangguan mental semata, gangguan jin, atau gangguan jin dan mental. Jangan malu dengan persepsi orang ramai.

Jika kita terus menerus memandang mudah hal ini, jenayah melibatkan penyakit mental akan terus menghantui kita. Banyak laporan didada-dada akhbar yang kita pernah baca, mereka boleh bertindak mencederakan, m******h diri sendiri atau orang lain. Setelah disiasat mengapa mereka melakukan jenayah tersebut, antara puncanya mereka mendengar “suara-suara ghaib” atau didorong oleh makhluk ghaib untuk melakukan tindakan diluar kewarasan.

NOTA : Setinggi-tinggi jutaan terima kasih kepada admin Fiksyen Shasha kerana sudi publish kisah “ Din dan Am” serta kisah “Rin dan Riz”, kepada pembaca yang mendoakan kebaikan ku, suami dan anak-anakku. Semoga Allah membalas kebaikan kalian didunia dan diakhirat. Segala yang ku coretkan mengenai tindakan Din, Riz dan Rin adalah point-point penting simptom-simptom penyakit Skizo dan gangguan jin.
Kisah ini adalah kisah benar, keluarga Puan Noor.

Rating Pembaca
[Total: 3 Average: 4.3]

15 thoughts on “Rin Dan Riz”

  1. Ya Allah. Kak, sy tunggu je story akk dari tajuk din dan am tu. Bkk FS je tgk, cerita akk ade ke tak. Akhirnya baca jugak. Sy doakan akk, anak2 dan suami di beri kesihatan dan kesejahteraan hidup. Semoga tabah kak.

    Reply
  2. Dh bbrpa hari ni dok terpikir ble kisah Din dan Am akan ade smbgnnye…
    Alhamdulilah arini rupenye…
    Semoga Allah mempermudahkan dan memberikan ganjaran yg sebaiknye buat penulis sekeluarga…
    Semoga keluarga dan masyarakat sekeliling semakin terbuka dan memahami situasi seperti ini…
    Aamiin…

    Reply
  3. Aduhai..pilunya hati.Dititipkan doa utk puan sekeluarga semoga anak2 sembuh, dan moga Allah membalas kesabaran puan dan suami dengan ganjaran yang sangat bernilai disana kelak.

    Reply
  4. Ya Allah…sebaknya baca sampai habis. Daripada kisah Din dan Am, sampailah kisah kedua ni, memang menyentuh perasaan. Semoga Allah SWT memakbulkan doa-doa dan usaha Puan Noor sekeluarga untuk memulihkan kembar serta Din sepenuhnya, aamiin. InsyaAllah. Allah menduga hamba-Nya yang Dia tau, mereka boleh menanganinya dengan penuh sabar. Terima kasih Puan Noor kerana berkongsi kisah dan pengalaman yang tak ternilai.

    Reply
  5. Cerita ni sangat membuka mata saya. Detail juga akak cerita tentang penghidap skizo ni. Semoga keluarga akak bertabah dengan dugaanNya. Insha Allah, mereka akan sembuh suatu hari.

    Reply
  6. Saya geram juga dgn puan dan suami, kenapa awal2 lagi tak nak peka dgn Din.. harap puan dpt jumpa ustaz yg boleh rawat. Ye dua dua kena usaha..doktor dan ustaz kena jumpa.
    Puan tak pelik ke kenapa smua anak puan jdi mcm tu? Ye ujian dri tuhan tapi mesti ada puncanya..kalau alasan kimia dlm otak tu tp kenapa boleh semua anak puan kena? Puan kena tegas cari puncanya.. maaf pun jgn terasa ye.. saya ckp mcm ni sbb family saya sama juga.
    Abang saya ada bipolar, kak ngah pula ada depression.. awalnya hanya jumpa doktor.. kak ngah pulak byk kali minta bawa dia rawat dgn ustaz tapi kami tak endah.. sbb fikir tak kan smpai ada gguan jin kot. Sampai la skrg jd teruk, baru la nak bwa abag kakak jumpa perawat islam.. baru tahu ada org sihir dn cmpur pulak jin yg ikut balik.. bila terlmbat mcm ni memg ambil masa la nk pulih..
    Saya harap puan skeluarga dilindungi.. moga anak2 puan sembuh.
    Salam sayang dari saudara islam mu.

    Reply
  7. puan sekeluarga sungguh tabah hadapai ujian ini. Doa saya semoga puan sekeluarga terus tabah dan kuat. semoga urusan puan sekeluarga di permudahkan. aamiin

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.