Rumah Atas Bukit
Kisah ini berlaku pada tahun 2006. Waktu itu, kami tinggal di Lumut, Perak. Kami mendiami rumah kuarters di atas bukit. Disebabkan ia terletak di atas bukit, maka jarak antara rumah yang lain sangat jauh, dipisahkan dengan hutan bukit yang tebal.
Rumah itu sangat besar, halamannya juga luas, dengan garaj dan landskap taman yang cukup luas. Rumah itu adalah rumah yang tertinggi atas bukit itu. Rumah itulah penghujung bukit itu. Sejak berpindah ke situ lagi ibu sudah tidak berapa berkenan untuk tinggal disitu. Rumah itu pun sudah kosong beberapa tahun sebelumnya, kerana pegawai terdahulu menyewa rumah lain sewaktu bertugas. Dari kisahnya, dia menyewa rumah lain kerana hanya tinggal berdua.
Walaupun sudah kosong beberapa tahun, landskap rumah itu dijaga rapi oleh pekebun yang datang setiap hari. Jadi, tidak lah seram keadaan sekelilingnya. Kami tinggal di situ berempat saja – ibu, ayah, adik & aku. Kakak dan abang ketika itu hanya pulang kadang-kadang saja, kerana mereka tinggal di universiti dan sekolah asrama. Disebabkan rumah itu terlalu besar, ibu tak pernah menggunakan dapur kedua dan 2 bilik belakang di bawah. Dapur kedua dan 2 bilik belakang itu kedudukannya jauh ke belakang bahagian rumah. Bahagian bawah hanya digunakan cukup dari ruang tamu 1 di hadapan sehingga dapur 1 di tengah rumah. Kami makan di ruang tamu 2, jadi walaupun dapur ke-2 itu lengkap dengan meja makan, kami tidak juga menggunakannya. Sepanjang 4 tahun mendiami, bunyi barang jatuh dan bunyi orang berkemas dari dua bilik belakang di bawah itu sudah biasa kedengaran.
Maaflah kalau susah untuk kalian faham pelan rumah ini. Memang sukar difahami tanpa grafiknya. Sejak hari pertama lagi, ibu selalu pesan pada ayah, jangan pulang lewat malam, kerana ibu takut bersendirian di rumah. Kami anak-anak jika ada pun bukan boleh dijadikan teman, kami hanya tahu main saja, budak lagi. Aku tidur seorang diri di bilik hujung atas. Adik pula selalu saja tidur dengan ibu walaupun biliknya di antara bilik aku dan ibu, penakut.
Ada beberapa kisah yang ingin aku ceritakan. Semuanya biasa saja, tapi aku fikir elok di ceritakan sekali supaya tidak perlu aku berikan intro yang panjang di lain masa.
Kisah 1 – Bilik tidur
Kerap kali aku terdengar bunyi ketukan tingkap waktu tengah malam. Seperti orang mengetuk pintu. Kalau mungkin pencuri ingin menakutkan aku, paling tidak dia harus menggunakan tangga. Kalau tidak, mana mungkin manusia begitu tinggi untuk mengetuk tingkap di tingkat 2 rumah? Tapi selalu aku biarkan sahaja. Bagi aku, selagi aku tak nampak, tak apa. Selalunya sekadar itu sahaja usikannya. Kadangkala, aku selalu dengar ibu memanggil aku dengan marah-marah, bila aku cari ibu, kadang ibu sedang solat, kadang ibu sedang mandi. Ibu kata dia tak ada memanggil aku. Aku fikir mungkin aku silap dengar. Namun kerana sudah acapkali diusik begitu, aku jadi lali. Prinsip aku tetap sama, jangan sampai aku nampak penampakannya. Aku juga sering bangun terkejut kerana terdengar orang menjerit. Tapi setiap kali aku terbangun, tidak ada apa yang berlaku. Aku fikir mungkin mimpi, walaupun naluri hati mengatakan sebaliknya.
Kisah 2 – Beranda
Aku bersantai di beranda rumah yang menghadap laut itu, dingin dan tenang saja rasanya. Waktu itu sudah lepas isyak rasanya. Aku ingat lagi, ayah pernah bertanya, sukakah tinggal di tepi laut? Aku kata suka, tapi kalau boleh tak nak tinggal di atas bukit, hutan. Tapi ayah beritahu, jika tinggal di tepi laut tapi bukan di atas bukit, tak dapat lah angin sejuk, hanya dapat angin bahang.
Tengah aku bersantai disitu, aku dengar kakak aku memanggil aku dengan garang. Aku masuk ke rumah, sahut panggilan itu. Namun tak ada apa. Aku sambung bersantai. Bilik kakak di bawah beranda itu, jadi jika dijenguk dari atas beranda, nampak lah sliding door ruang tamu dan tingkap biliknya. Tak lama kemudian, kakak memanggil aku lagi. Aku jadi marah, lalu aku jenguk dari atas beranda, dan sahut panggilannya.
“Apa dia!”
“Along! Apa dia panggil-panggil?!”
Namun tak ada apa.
Lalu aku sambung bersantai lagi. Dalam hati, jika dia panggil lagi, aku mahu saja maki.
Kemudian lagi sekali dia menjerit memanggil aku. Aku dengan berang terus menjenguk ke bawah dan tiba-tiba aku tersentak. Aku kaku. Jelas kelihatan Along sedang berdiri tercegat di hadapan sliding door ruang tamu, memandang tepat kearah ku dengan wajah bengis. Seolah-olah marahnya ingin menampar muka ku. Namun aku perasan, kenapa Along berdiri dalam gelap? Lampu ruang tamu tak dibuka?
Aku cuba senyum sinis padanya. Aku fikir Along usik aku. Selalunya, kami adik beradik kalau mengusik, bila disenyum, nanti kami lekas ketawa sebab konon-kononnya senyum itu bermaksud “Eh tak takutlah!”
Tapi, Along masih dengan wajah bengisnya. Dari terkejut, aku mula rasa seram. Aku berhenti menjenguk dan masuk ke dalam. Aku jenguk dari tangga atas, gelap ruang tamu bawah. Tak berani aku turun. Jadi aku pergi bilik ibu, minta ibu temankan, aku cakap pada ibu “Teman turun bawah, Along marah tu”. Ibu macam hairan melihatku.
“Along? Along mana ada?”
“Ada, dia balik lah! Dia ada kat bawah!”
Aku bawa ibu jenguk dari atas beranda, tapi tiada apa. Aku bersungguh yakin kan ibu. Ibu bawa aku ke bawah, buka bilik Along, Along tiada, Along di universiti. Malam itu, aku tidur dengan adikku di bilik yang sama. Dan sejak itu juga, aku tak lagi berani bersantai di beranda malam hari. Masih aku ingat wajahnya yang bengis tercegat dihadapan cermin sliding door itu.
Kisah 3 – Angin Kuat & Perempuan Melintas
Waktu itu sudah menghampiri senja. Angin sejuk kuat mendatang, petanda hujan mendekat. Namun, semakin lama angin semakin kencang. Tingkap rumah sepertinya berusaha untuk tetap di posisi. Ibu bergegas menutup tingkap-tingkap rumah. Malam itu, ayah pulang agak lewat. Selalunya ayah akan pulang sebelum 7 petang, tapi mungkin hari itu banyak tugasannya di pejabat.
Aku bagitahu ibu, “Nak hujan ribut ni, angin kuat”, ibu hanya mengiyakan. Selepas masuk waktu Maghrib, ibu memberitahu aku untuk cepat bersiap dan bawa sepersalinan baju, katanya dia sudah menghubungi ayah untuk pulang segera. Aku hairan, bila ditanya kemana kami akan pergi, ibu tidak menjawab.
Ayah tiba, aku adik dan ibu segera masuk ke dalam kereta. Ketika itu, angin masih lagi kuat, dengan bunyi angin yang menyeramkan, whooshhh whiushh. Sungguh, tidak pernah kami mengalami angin ribut sekuat itu. Dalam kereta, aku bertanyakan ke mana destinasi kami, ayah memberitahu, kami akan tidur semalaman di rumah mak cik ku, yang terletak kira kira 50km dari rumah kami. Walaupun hairan, aku tidak bertanyakan sebab kami ke sana. Aku lihat ibu gelisah, jadi aku diamkan saja.
Ketika menuruni lereng bukit melepasi pagar rumah, aku lihat pokok-pokok di bawah bukit tegap berdiri, bagaikan tiada angin membidasnya. Pelik. Sehingga kami tiba di simpang keluar ke jalan besar, semuanya biasa. Pokok malah tidak bergoyang. Aku yang masih budak kehairanan dan bertanya pada ayah,
“Kenapa rumah kita je angin kuat?”.
“Mungkin angin tu tak sampai lagi di kawasan ini. Sudahlah, tidurlah, nanti sampai ayah bagitahu”
Aku masih tidak boleh tidur. Aku masih bingung. Adik di sisi lena tertidur. Sepanjang perjalanan, aku perhatikan angin dan hujan. Tak lama kemudian, ketika kami memasuki jalan kawasan ladang, hujan mulai turun perlahan.
Mak cik tinggal berdua saja di kampung, tapi perjalanan menuju rumahnya harus menempuhi kawasan ladang kelapa sawit dan bukit bukit, dengan jalan gelap dan sunyi tanpa lampu jalan. Jalan itu memang sunyi walau pada siang hari. Maklumlah, kawasan ladang, tidak banyak petempatan rumah. Jalan gelap, sekali sekala kereta kami berselisih dengan lori dan beberapa buah kereta. Ayah memandu agak laju, mungkin kerana jalan lengang jadi tak banyak halangan. Sampai di suatu selekoh menuruni bukit, tiba-tiba ayah menekan brek dengan mengejut. Aku terus memandang ke hadapan kereta.
Kereta kami baru sahaja melepasi selekoh di jambatan sempit tadi.
Seorang perempuan, berbaju putih kekuningan, sepertinya jubah kerana pakaian itu dari atas terus ke bawah, sedang melintas. Dia melintas dari jalan sebelah bertentangan melintasi hadapan kereta kami. Rambutnya kusut, seperti beruban sedikit. Tubuhnya kurus, dan agak tinggi.
Dia berjalan melintasi dengan sangat perlahan. Hujan ketika itu tidaklah begitu lebat, tapi tidak juga renyai. Kedua tangannya menutupi wajah, seakan-akan silau dengan cahaya lampu kereta kami. Dari kulit tangannya, sedikit berkedut dan gelap. Lama juga kami menunggu untuk dia selesai melintas. Tiba di tepi jalan, aku lihat perempuan itu menghilang dalam kegelapan. Dia seperti berjalan terus dan menghilang dari pandangan kami. Ayah meneruskan perjalanan.
Entah kenapa semua kami diam membisu. Entah kenapa tak tergerak langsung untuk menoleh ke belakang semula. Mungkinkah ada rumah di dalam kegelapan itu? Tiba di rumah mak cik, kami segera bersihkan diri dan tidur. Terasa penat sekali.
Pagi esoknya, sebelum pulang ke rumah, baru ayah membuka cerita.
Ayah: “Nampak ke orang lintas semalam?”
Aku: “Nampak”
Ayah: “Nampak muka dia?”
Aku: “Tak, dia silau, tutup muka”
Ayah: “Hmm, nampak dia pergi mana?”
Aku: “Entah, macam pergi terus tapi tak tahu ada rumah ke tidak kat situ. Ayah rasa dia orang ke?”
Ayah: “Mestilah orang, kalau tak apa?”
Aku: “Kalau orang, kenapa dia lintas perlahan dalam hujan? Kalau kita kan mesti lari-lari cepat takut basah”
Ayah: “Mungkin dia dah biasa kot”
Aku: “Tapi baju dia lusuh, macam koyak koyak”
Ayah: “Mungkin pekerja ladang, dorang kan selalu pakai baju lusuh”
Tiba-tiba mak menyampuk, “Mana ada orang macam tu, lain macam je rupa dia”
Ayah: “Mungkin jin/bunian”
Lepas itu ayah terus berpesan, jika terserempak lagi dengan apa apa lembaga, jalan dilanggar, berhenti walaupun kita tak pasti dia apa. Dan baca ayat kursi dan surah-surah lain, seeloknya kuat-kuat, biar satu kereta dengar. Malam tadi, ayah tak membaca dengan kuat pun, barangkali terkejut dan masih tergamam selepas kejadian itu. Dan mungkin juga ayah tidak mahu membuatkan aku lebih takut, jadi pagi ini dia cuba memberitahu aku yang perempuan itu manusia. Aku yang masih budak bersungguh cuba belajar ayat kursi itu dari ayah.
Selepas peristiwa itu, aku mendapat tahu yang ibu selalu diganggu di rumah. Dan malam itu, ibu berasa sangat tidak sedap hati, lalu menghubungi ayah dan mengajak bermalam di tempat lain. Aku tak bertanyakan ibu apa gangguannya, aku takut nanti aku pula yang tidak boleh tidur, yelah, aku tidur seorang. Dan selepas peristiwa itu juga, aku mula ternampak bayangan. Selama ini aku hanya mendengar bunyi sahaja jika diganggu, kini kadangkala aku dapat melihatnya. Aku pernah beritahu ayah, ayah kata, jangan takut, makhluk itu takkan boleh berbuat apa-apa selain mengusik. Ayah juga beritahu, jika kita tidak kacau tempat dia, dia juga tidak akan ganggu kita.
Sehingga sekarang, walaupun dalam keluarga aku, aku lah yang paling sering diganggu, aku masih berpegang pada prinsip itu. Pernah aku tanyakan pada ibu, kenapa asyik aku? Ibu kata aku lemah semangat. Aku bagitahu ibu, kalau lemah semangat, mesti bila diganggu terus takut. Tapi aku selalu buat bodoh saja. Barulah aku tahu yang lemah semangat dan penakut itu berbeza. Walau aku tidaklah berapa penakut, namun dalaman/ antibodi tubuhku lemah. Aku sering demam, sering tidak sihat. Pendek kata, fragile/delicate.
Tapi tak mengapalah. Setiap apa yang berlaku mesti ada sebabnya. Mungkin segala gangguan aku terima itu disebabkan kealpaan aku, atau aku tidak menyedari aku telah menggangu kawasan mereka, atau aku berada di tempat dan masa yang salah. Apa-apa pun, hidup kita ini berkongsi dengan makhluk yang lain. Jadi jika terserempak, terdengar itu, biasalah. Yang penting, kita kena kuat, jaga emosi, jaga perlakuan kita.
Sekian.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Beraninya duduk kawasan mcm tu.. Kalau saya la baik la pindah duk tmpt lain.. Huuu
best juga