Rumah Baru Kami

Terima kasih kepada admin FS sebab siarkan cerita ni. Dah berminggu jadi pembaca, jadi kali ni turn aku pulak nak kongsi pengalaman sendiri. Enjoy. Kisah ni terjadi dalam bulan April 2016. Kami pindah masuk ke rumah baru dengan keadaan yang tergesa-gesa sebab tuan rumah sewa lama dah suruh keluar dengan alasan dah ada penyewa baru menunggu. Kami belum bersedia nak pindah sebab rumah baru kami masih dalam proses pemasangan table-top di bahagian dapur.

Dah mintak tangguh sebulan, tapi sebab tak siap jugak dan tak tahan dengan bebelan tuan rumah, terpaksa jugak pindah dengan hati yang berat. Cuma kami agak bernasib baik sebab rumah baru ni teres dua tingkat, jadi kami boleh la duduk di tingkat atas sementara kerja-kerja renovasi di bahagian dapur siap. Tapi, habuk tetap berterbangan ke seluruh bahagian rumah.

Disebabkan keadaan tergesa-gesa itulah yang menyebabkan aku terlupa nak ‘membersih’ dan ‘memagar’ rumah sebelum pindah masuk. Aku dan isteri cuma membaca surah Yasin dan Rukyah.
Jiran sebelah kanan, Melayu, duduk menyewa. Jiran sebelah kiri, India yang kuat amalan agamanya. Setiap pagi dan senja, jiran Hindu ni akan membakar setanggi. Asapnya akan masuk ke rumah kami. Setiap kali sebelum jiran Hindu ni sembahyang, dia akan bunyikan loceng, macam loceng kat kuil tu. Jadi bila dengar je bunyi loceng, berlari la kitorang laki bini tutup semua tingkap dan pintu untuk mengelakkan asap masuk.

Diorang biasa akan sembahyang dan bakar setanggi waktu pagi dan petang kan? Tapi satu yang aku perasan, setiap kali aku pasang bacaan ayat Rukyah kat laptop, tak lama lepas tu terus diorang bakar kemenyan; walaupun di luar waktu kebiasaan diorang sembahyang. Yes, kemenyan, bukan setanggi.
Aku tak tau apa kesan bacaan ayat Rukyah kat diorang; tapi setiap kali lepas bau asap kemenyan, bini aku mesti mengamuk. Bini aku memang biasa marah aku, tapi kali ni dia punya mengamuk lain macam. Masih nampak waras, tapi darjah kemarahan dia meningkat berkali ganda. Seolah-olah ada something yang trigger.

Anak kami dua orang. Yang besar dah berumur tiga tahun lebih, tapi masih belum pandai cakap. Yang pertama setahun lebih. Dua-dua lelaki. Setiap kali aku solat, belum sempat wirid mesti anak-anak aku menangis-nangis datang kat aku suruh dukung. Jadi nak tak nak kena la pujuk anak aku tu sampai reda tangisannya. Ada dekat sebulan jugak la aku solat tak dapat baca doa, macam ada yang buatkan anak aku sengaja menangis untuk halang aku berdoa.

Setiap malam, mesti anak aku akan menangis tanpa sebab. Tapi ni bukan nangis biasa, tapi sampai tahap melalak. Bila ada anak yang belum pandai cakap, telinga kita akan terlatih untuk ‘menangkap’ jenis tangisan budak. Sama ada menangis sebab lapar, sakit, sedih atau pun takut bila kena marah. Tapi bila dah tahap melalak, sakit telinga rasa. Yang bertambah stress tu bila sorang dah berhenti menangis, mesti sambung kat sorang lagi. Setiap malam, sekurang-kurangnya sejam, sampai la tertidur sebab penat.

Bila aku buat kerja dalam bilik, biasa la anak-anak akan ikut sekali. Aku pasang lampu dengan kipas, anak-anak jadi site supervisor. Haha Tapi bila aku melangkah je ke arah pintu, mesti anak-anak lari kejar aku sambil meraung macam kena kejar hantu. Padahal siang je pun. Tapi memang nampak la kat riak wajah yang diorang ketakutan. Aku anggap benda ni biasa la sebab belum serasi dengan rumah baru. Tapi bila berlarutan berminggu-minggu, takkan tak serasi lagi kot?

Jadi, satu hari tu lebih kurang 15 minit sebelum maghrib, aku keluar ke garaj kereta dan start baca Al-fatihah, ayat qursi dan 4 qul. Lupa nak bagitau, jiran hindu ni gantung satu tangkal yang dibalut dengan kain putih dan diikat dengan benang atau tali kuning, kat bahagian garaj juga. Aku jalan keliling garaj sambil baca ayat-ayat yang aku sebut tadi. Bila sampai je kat dinding yang paling dekat dengan tangkal, aku hembuskan ke arah tangkal tu.

Tau apa yang terjadi? Serta-merta aku terbau benda terbakar. Bau dia seakan-akan binatang yang dibakar dengan bulu-bulu dia sekali. Dibakar hidup-hidup, tapi tak sampai mati. Antara medium ke medium-rare gitu lah kalau pilih steak kat Tony Roma’s. Eh tiba-tiba jadi lapar steak pulak. Cuma bau ni ada hangit sebab bulu terbakar. Aku tengok jiran sekeliling, memang takde siapa yang buat open house masa tu. Senyap sunyi, takde bunyi orang masak atau buat bbq.

Ok, macam mana aku tau benda tu tak mati? Sebab bila aku solat maghrib kat master bedroom, pintu sliding door kat bilik tu kena gegar, macam kena tepuk dengan kuat. Aku dapat rasa benda tu tengah marah sambil menjegilkan matanya ke arahku yang sedang solat. Ye, aku tak khusyuk masa tu. Huhu.
Buat kali pertama lepas berapa minggu, aku dapat berdoa lepas solat. Malam tu anak-anak aku tak melalak macam biasa. Tapi terdengar jugak tangisan anak jiran sebelah kanan. Yang peliknya, bunyi dia melalak betul-betul serupa dengan anak aku.

Esoknya bila terserempak dengan jiran melayu tu, aku tanya;
“Anak ok ke malam-malam?”
“Tak ok la bang. Setiap malam menangis sambil tunjuk siling. Tapi mata tutup rapat. Bila bagi susu tak nak minum pulak”

Aku assume anak dia boleh nampak benda halus. Aku cerita la apa yang terjadi kat family kitorang. Aku pun suruh la dia baca ayat-ayat yang patut, tapi kena yakin. Ceh macam ustaz pulak. Disebabkan aku rasa perlukan pendinding yang kuat untuk protect family, jadi aku laki bini pun cerita la kat mak ayah masing-masing. Dari belah mertua, kitorang dapat air jampi dari mak bidan otai kat kampung tu. Dari belah aku, pak ngah aku bagi air dengan garam kasar. Air dengan garam tu aku yang sediakan, dia tolong jampi la.

Aku buat macam apa yang dipesan. Semasa proses tabur garam tu, bulu roma akan berdiri tegak bila aku buat kat stor bawah tangga dan bilik atas. Memang ada perubahan, tapi tak lama. Bini aku masa tu tengah struggle nak siapkan tesis phd dia. Aku pulak dah tak kerja. Dulu kerja kapal, tapi sebab industri oil n gas jatuh, company terpaksa release kan ramai pekerja. Jadi aku salah sorang mangsa retrenchment la. Bini aku siapkan tesis, aku jaga anak-anak.

Dalam dia tengah struggle tu, ada je benda yang dia nak marahkan aku. Benda-benda yang tak sepatutnya dia marah pun. Padahal elok je aku tengah main-main dengan anak aku tiba-tiba dia hempas meja lepas tu tarik anak aku. Takkan teknik permainan yang aku tunjuk kat anak aku tak menepati citarasa dia? Tapi setiap kali bini aku marah, memang aku tak berani nak tegur la, takut melarat jadi benda lain pulak.

Lagi satu yang aku perasan, setiap kali bini marah, dia akan masuk ke satu bilik kat tingkat atas, pastu hempas pintu kuat-kuat. Dia akan duduk lama dalam bilik tu, tinggal aku dan anak-anak. Bila dah melarat sangat, terpaksa la aku dapatkan khidmat profesional. Ada ustaz yang bukak pusat rawatan kat kawasan kedai taman perumahan ni. Ustaz Hazry namanya. Dia suruh aku sediakan air dengan garam kasar. Eh sama pulak bahan-bahan dia.

Masa proses rukyah, aku ikut sekali bacaan ustaz sebab ada sebahagian ayat tu memang aku hafal. Cuma bila aku perasan dahi ustaz tu berkerut aku pun stop la. Mungkin aku kacau konsentrasi dia. Huhu. Tapi masa bacaan tu, aku rasa ada tangan yang sejuk usap-usap tengkuk aku dengan perlahan. Aku tak cerita pun kat ustaz. Cuma lepas tu bila aku google, rupanya tu salah satu tanda kehadiran jin. Nasib baik dia tak karate tengkuk aku.

Dah siap bacaan rukyah, ustaz Hazry mula azan di empat penjuru rumah. Lepas tu dia pergi ke setiap bilik. Ustaz baca doa apa entah. Aku tak perasan sebab sibuk ambik gambar ustaz masa proses rukyah tu.

Sampai kat bilik yang biasa bini aku ‘bertapa’ setiap kali marah, ustaz kuatkan suara, bercakap dalam bahasa melayu;
“Keluarlah engkau dari rumah ini. Ini adalah milik orang Islam. Sekiranya engkau enggan keluar, maka kami berhak membunuh engkau”.

Lebih kurang macam tu la ayat dia.

Bilik tu kitorang cat dengan warna merah sebab pernah nampak gambar satu kafe hipster kat facebook. Nampak elegan, jadi kitorang tiru la. Lepas tu baru teringat rumah aku bukan kafe. Cis.

Dari penjelasan ustaz Hazry, jin yang ada sebahagiannya adalah penghuni asal tapak perumahan yang dulunya ladang kelapa sawit. Tapi bilangan jin yang ada banyak, berkumpul kat bilik tu. Aku biasa pasang ayat rukyah kat ruang tamu, bahagian bawah. Mungkin jin-jin tu lari bersembunyi di ruangan yang paling jauh dari sumber bunyi tu.

Ustaz Hazry pesan, jin memang senang masuk bila kita dalam keadaan marah. Lepas dengar penjelasan tu, bini aku dah tak marah-marah macam dulu lagi. Ustaz Hazry pesan, bersihkan garam yang ditabur selepas tiga hari. Jadi masa aku bersihkan, tiba-tiba terasa bulu roma meremang, seolah-olah isyarat yang jin-jin tu semua tunggu kat kawasan luar rumah, standby untuk masuk semula.

Memang betul masih ada gangguan selepas tu. Tapi tak sama, sekejap kat kereta yang aku buat untuk cari rezeki jadi driver grab, sekejap kat tulang belakang aku, tapi yang paling ketara bini aku dah mula marah-marah macam dulu. Aduuiii stress..

Tapi itu aku akan cerita lain kali. Dah panjang sangat cerita ni.

 

Jehan
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

10 comments

  1. tabah betol brother nih…dgn kena berenti keje, rumah mcm tu, ank2 lg, bini lg..huu..haru betol..santai je penceritaan beliau..huhu..berusaha lah utk carik penawar buat family..insyaAllah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.