Hi Assalamualaikum pembaca FS. Tak sangka cerita aku pasal Bukit Larut tu team FS publishkan. Terima kasih untuk team FS juga sebab publishkan cerita aku. Aku Lyaaa (bukan nama sebenar). Harini aku nak cerita kisah sebuah rumah kuning yang ditinggal oleh pemiliknya kerana ada yang berkeras hendak tinggal bersama.
Kisah ni dah lama, dari umur aku sekitar 4 atau 5 tahun. Kiranya dah lebih 20 tahun lepas. Aku tinggal dekat sebuah kampung yang biasa je. Dulu kami budak budak kampung selalu bermain dekat kawasan rumah opah kawan aku. Kami panggil dia Tok. Kawasan rumah Tok ni luas ada pokok kelapa yang strategik untuk main rundes, jadi setiap petang memang kami akan main rundes sampai lah maghrib. Kawasan kampung kami ni macam bulatan, rumah kuning tu pulak ada seberang jalan kecil depan rumah Tok.
Sedikit gambaran tentang rumah kuning ni. Rumah dia campuran batu dan papan. Bahagian dapur batu, dan bahagian depan diperbuat dari papan. Bahagian ruang tamu diperbuat tinggi sedikit, anak tangga untuk naik keberanda menghadap samping jalan. Tingkap ruang tahu pulak menghadap tempat kami bermain, cumanya jarak kami bermain sedikit kebekang tidak selari dengan tingkap tersebut. Lebih tepatkan tinggkap tersebut berhadapan semak. Tingkap tersebut betul betul dipinggir jalan, sehingga ruang jalan tar dengan tiang rumah hanya beberapa inci.
Suatu petang, sewaktu bermain rundes ada diantara kami yang terpukul bolanya masuk kebawah rumah kuning tersebut. Masing masing takut untuk pergi mengutip bola. Razi (bukan nama sebenar) memberanikan diri untuk pergi. Sampai dibawah rumah, Razi lari ke arah kami, dah dia ceritakan apa yang dia dengar. Katanya anak perempuan pemilik rumah kuning kerasukkan. Suaranya kata yang dia tak akan tinggalkan rumah tersebut. Kami yang masih kecil apa lagi, mencicit lari pulang kerumah masing-masing. Beberapa minggu atau bulan, pemilik rumah kuning itu pindah. Entah pindah kemana tiada diantara kami yang tahu. Maka rumah itu tidak berpenghuni oleh manusia lagi.
Ada beberapa kali anak lelakinya datang untuk membersihkan kawasan rumah tersebut kerana semak samun sangat cepat membiak. Dan disini lah kisah kisah mistik mula terjadi di kampung. Cerita ini diceritakan oleh abang aku sendiri. Suatu malam abang sulung aku pulang kerumah, katanya dia melihat perempuan berbaju putih terbang dari pokok kelapa ke pokok kelapa yang lain dia kawasan kami bermain. Lama jugak kami berhenti bermain kerana cerita tersebut. Abang aku yang ketiga pula cerita yang sewaktu balik dia lihat ada perempuan sedang duduk ditangga rumah kuning itu sambal membelai rambut. Sejak hari itu abang ketiga akan gunakan jalan yang lain untuk pulang ke rumah.
Laluan itu adalah laluan aku kesekolah. Setiap kali lalu aku akan lari selaju mungkin, kerana tingkap yang betul betul beberapa inci dari tar tu kadang terbuka kadang tertutup, mungkin sebab angin mungkin sebab sekumpulan monyet yang suka melepak dekat situ. Mungkin tuan rumah kuning ada dengar cerita berkaitan penampakkan tersebut dari orang lain, mereka mengambil keputusan untuk merobohkan rumah tersebut. 6 atau 7 tahun lepas rumah kuning tersebut dirobohkan. Tapi ada satu bahagian yang utuh. Mungkin bahagian stor. Ada pintu besi yang utuh, Cuma kelilingnya ada dinding batu yang tinggal serpihan tak dirobohkan sepenuhnya. Dan ada kesan kesan tapak peninggalan rumah yang dibiarkan.
Sekitar dua tahun lalu, saudara pemilik rumah tersebut berniat mendirikan rumah di kawasan semak samun berhadapan tingkap rumah kuning tersebut. Jadi kerja kerja menebang pokok yang hanya sebatang itu dilakukan, pokoknya tak besar tak kecil. Cuma pokok biasa, tetapi pokok itu menyimpan sesuatu. Proses melapangkan kawasan tersebut selesai. Tetapi setelah itu kecoh jiran jiran sekitar situ terdengar pintu besi rumah tersebut dimainkan. Terbuka dan tertutup waktu malam padahal tiada angin. Bunyi pintu besi itu agak kuat. Cerita yang sudah lama sepi, kini Kembali berbunyi. Suatu malam Ketika kakak aku hendak ke tandas, dia terbau bunga yang sangat wangi. Tapi dia diam saja dan mengatakan yang sebaliknya, “busuknya bau ni” kata kakak aku didalam hati. Kerana dia tahu pemilik kedua rumah kuning itu sedang merayau. Keesokkan malamnya, sekitar jam 1 atau 2 pagi aku terdengar suara aneh. Suara seakan menangis tetapi garau. Suara yang seakan sedih meraung. Aku yang mendengarnya pon boleh merasakan yang raungan itu adalah raungan kesedihan.
Keesokkan paginya aku cerita kepada emak dan kakak, mereka bilang mungkin dia sedih kerana pokok itu ditebang. Jiran jiran pon mengiyakan. Jadi kami hanya diam dah tak menegur apa apa jika terdengar atau tercium bau yang aneh pada malam hari. Entah apa penyebabnya, rumah yang hendak dibina tak jadi dibangunkan. Barang barang pembuatan rumah dibiarkan begitu saja. Mungkin ada halangan yang kita tak tahu. Sekarang dia masih ada, cuma diam tanpa menggangu. Kami sudah terbiasa dan dia tidak menganggu kecuali dia diganggu dahulu.
Terpulang kepada korang untuk percaya atau tidak. Aku cuma nak sampaikan yang kita berkongsi tempat dengan alam sebalik mata. Janganlah kita terlalu takut akan mereka, dan janganlah kita terlalu mencabar mereka. Mohonlah perlindungan dari Allah SWT untuk menjaga kita walau dimana kita berada.
Sampai bertemu lagi di lain cerita, kerana aku banyak cerita yang nak disampaikan. Cumanya cerita cerita itu terlalu singkat, nanti kalau aku ada masa dan ada feedback bagus untuk cerita ni, aku akan cerita tentang aku yang “boleh” merasakan kehadiran mereka setelah beberapa kejadian. Bye! Sampai berjumpa lagi semua..
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit