RUMAH PUSAKA DATUK

Assalamualaikum pembaca yang budiman sekalian. Cerita ini adalah pengalaman sebenar semasa saya berada sebuah kampung di Kelantan. Setelah kematian abahku, umi dan 3 lagi adikku terpaksa tinggal menumpang bersama nenek di kampung kerana masalah kewangan, dan sebelum ini hanya menyewa sahaja rumah. Rumah nenek aku tu dua tingkat, sebelah bawah rumah batu dan atas rumah kayu. Kami tinggal di sebelah atas. Datuk pula sudah sekian lama meninggal dunia, aku sendiri pun tidak pernah kenal dia. Jadi nenek aku hanya tinggal bersama anaknya yang bongsu (ibu saudaraku) bersama menantunya sahaja. Entah berapa lama rumah kayu atas tu tidak digunakan, aku pun tidak tahu.

Segalanya bermula di sini. Pada suatu hari aku tertidur petang di dalam bilik. Aku bermimpi aku berada di sebuah hospital yang suasananya amat kelam kabut. Semua orang berlari ke sana sini tanpa tujuan. Aku turut berlari dan membuka satu pintu. Di sini suasana sudah tenang, tiada sesiapa pun. Tiba-tiba seorang doktor menghampiriku sambil membawa tray. Aku ketakutan kerana wajah doktor itu tidak bermata dan mempunyai taring sampai ke paras dada. Aku terkejut dari tidur! Namun badanku tidak dapat bergerak, terlalu berat dan sesak nafas. Dihadapanku masih ternampak lagi doktor bertaring di dalam mimpiku lagi. Aku cuba sedaya upaya, sepenuh tenaga untuk menggerakkan badanku namun masih gagal. Sehinggalah beberapa minit kemudian, aku dapat juga melawannya. Tubuhku amat penat, waktu tersebut sudah Maghrib rupanya.

Cerita ini tidak habis setakat ini. Banyak perkara yang tidak terjangka sering terjadi. Aku pernah ternampak kakak aku sedang membuat air di dapur. Aku memanggilnya dan dia terus berjalan ke aras tandas. Bila aku mencarinya, dia tiada sedangkan di dapur tingkat atas rumah ini tiada jalan turun ke bawah. Siapakah gerangannya makhluk itu? Satu hari sepupu perempuanku datang ke rumahku menumpang untuk tidur semalaman. Malam itu dia membantu kakak aku memasak di dapur. Aku pada mulanya menjaga adik bongsu aku yang berumur baru 1 tahun lebih tu di dalam bilik. Kemudian aku membawa adik bongsu aku itu untuk menonton televisyen bersama dua lagi adik aku yang lain.

Sedang aku asyik menonton tv, sepupu aku datang dan wajahnya kelihatan pucat. Dia tanya bila aku ambik adik bongsu aku tu. Aku jawab dari tadi lagi. Dia kata, jadi siapa bayi yang minta dia dukung dalam bilik tu. Rupa-rupanya semasa aku di luar bersama adik bongsuku itu berada, sepupuku masuk ke dalam bilik dan ternampak bayi serupa dengan adik bongsu aku sedang menghulurkan tangan untuk didukung. Tetapi sepupuku berasa tidak sedap hati dan terus keluar bilik ke ruang tamu. Malam itu kami semua berkumpul di ruang tamu rumah sehinggalah tiada apa berlaku, tiada lagi bayi di dalam bilik bila diperiksa. Siapakah gerangan makhluk itu?

Pengalaman terakhir aku di rumah pusaka ini. Sepupu lelaki aku yang lain datang untuk menumpang tidur di rumahku. Kebetulan kawan aku juga datang untuk tidur di rumah ini. Dalam pukul 11 malam kami bertiga siap-siap untuk tidur di ruang tamu. Adik lelaki dan adik perempuan aku yang lain tidur di dalam bilik. Susunan tidurnya, aku di tepi sekali, di tengah adalah kawan aku, dan di tepi menghala ke dinding ialah sepupu lelakiku itu tadi. Kami pun tidurlah di dalam suasana gelap apabila suis lampu dimatikan. Entah bagaimana, dalam pukul dua atau tiga pagi tu aku terjaga. Suasana sungguh sepi hanya seketika terdengar unggas yang berbunyi. Walaupun di dalam kegelapan malam, masih ternampak objek di dalam rumah apabila diterangi cahaya bulan.

Aku tiba-tiba memalingkan muka ke sebelah kiriku. Alangkah terkejutnya aku melihat dua kelibat tubuh badan sedang duduk bersila di sebelahku. Jaraknya lebih kurang 1 meter sahaja. Aku cuba mengamati wajah mereka berdua, dan ternyata memang wajah adik lelaki aku dan kawan aku yang menumpang tidur tadi. Aku kehairanan, apa mereka buat duduk bersila malam-malam buta begini? Aku lantas terlintas untuk melihat kawan aku yang sedang tidur sebelah kanan tadi. Aku memalingkan muka dan melihat kawan aku masih ada di situ bersama sepupu aku di tepi dinding. Jantungku mula berdegup kencang. Darah menyirap dan bulu roma aku mula meremang. Aku gagahkan diri untuk memalingkan semula muka ke sebelah kiri.

Ya Allah…kedua dua makhluk itu masih ada memandang tepat padaku dan tidak berganjak sedikitpun. Dalam keadaan ini, aku hanya mengingat bacaan al-Fatihah sahaja. Aku membacanya di dalam hatiku. Beberapa kali aku mengulanginya, alhamdulillah makhluk itu menghilangkan diri. Dalam keadaan sangat menakutkan itu aku anak jantan ini terus berlari masuk ke dalam bilik umi aku dan tidur disebelahnya. Syukurlah tiada apa lagi berlaku malam itu.

Beberapa lama kemudian, umi aku berkahwin dan aku mempunyai ayah baru. Kami telah berpindah dari rumah itu. Tiada lagi gangguan di rumah baru. Sehingga kini aku masih berfikir, siapakah gerangan makhluk itu. Sekian, terima kasih.

* Kalau ada permintaan, bolehlah saya menceritakan lagi apa yang berlaku kepada penghuni lain di rumah itu.

SYED
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

4 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.