Rumah Taman – sambungan

Kalau ditanya sama ada aku terlalu berani berhadapan dan nampak makhluk halus, jawapannya tidak. Rupa mereka terlalu menakutkan dan ada yang sangat jijik. Kalau diberi pilihan, aku tidak mahu bersama nadim-nadimku bertentang mata dengan mereka. Biarlah mereka yang berilmu sahaja yang berdepan. Aku yang berdada kosong, kalau boleh, memang tidak mahu.

Tapi kata Yunus, kehadiranku sangat membantu. Membantu yan bagaimana, tidaklah aku tahu.

Berbalik kepada kisah rumah taman yang dihuni Azam dan isterinya, kami pergi ke gerai yang berderet dekat dengan terminal feri ke Pulau Pangkor. Isteri Azam masih lagi lemah, tetapi mungkin kerana segan dan rasa bersalah, dia mengikut. Seleranya juga sedikit, dan lebih banyak berdiam. Cantik orangnya, sama padan dengan Azam.

Yunus sudah tentu makan dengan berselera. Meja yang yang disambung duduk makan beramai-ramai itu, penuh dengan hidangan. Asam pedas ikan pari semangkuk dipesan Yunus. Lauk-lauk kampung yang lain yang sangat menyelerakan, penuh di atas meja. Kami makan dengan gembira, dan mujurlah waktu itu, tidak ramai pelanggan yang datang menjamu selera di situ. Mungkin kerana hari bekerja.

Yunus tidak terburu-buru bertanyakan Azam tentang rumah itu. Azam juga, nampaknya sedikit terlupa perkara yang baru terjadi. Dia duduk di tepi Yunus, berbual dengan ceria. Zaharah menyuruh aku duduk di tepi Yunus, sementelah kami memang lama tidak berjumpa.

Seperti biasa, Yunus yang tidak begitu gemarkan minuman manis, kopi atau yang selalu kita minum, hanya memesan air suam. Barli tidak dijual, jadi Yunus berpuas hati dengan minuman yang diteguknya.

Kali ini, Yunus tidak bertanya Azam, tetapi mengajukan pertanyaan kepada isteri Azam, yang namanya Suria. Suria anak jati Batu Pahat, bertemu jodoh dengan Azam ketika berkursus di situ.

Kata Suria, selalunya selepas jam 2 pagi, dia akan merasa panas dan rasa hendak mandi itu membuak-buak. Dia bangun seolah terpaksa dan terus ke dapur. Bisikan yang hinggap di telinganya, menyuruhnya memasak. Kata Suria, kadang-kadang dia terasa seperti tersedar. Suria beritahu, makanan yang dimasaknya memang banyak, seperti hendak menjamu sepuluh orang makan.

Selepas masak, selalunya suara itu menyuruhnya meletakkan di dalam besen dan diatur di atas rak, tanpa menutupnya. Bekalan untuknya dan Azam, ada diasingkan sedikit, juga diletak di atas para tanpa ditutup. Kemudian, Suria mendengar suara itu untuk dia masuk ke dalam bilik mandi. Suria tidak ingat sama ada dia mandi atau tidak. Kadang-kadang, Suria perasan dia basah seperti disiram air, kadang-kadang bajunya kering.

Menurut kata Suria, bahunya terasa berat. Sendi-sendinya merasa sakit dan dia sangat malas untuk bersolat. Haidnya keluar lebih banyak, tetapi kering dengan cepat. Kadang-kadang, dia terasa untuk menikam Azam yang tidur di sebelahnya. Di sekolah, dia selalu merasa letih. Melihat anak-anak murid yang ramai dan suasana bising sekolah, dia merasa rimas. Jika boleh, dia ingin menjerit sekuat hati.

Kata Suria lagi, makanan yang dimasaknya biasa-biasa sahaja, tetapi apabila dimakan, terasa sangat sedap. Memang tidak cukup satu bekas. Suria juga berkata, setiap malam, kedua ibu jari kakinya seperti dihisap. Yunus segera menyuruh Suria menunjukkan ibu jari kakinya.

Terkejut Suria, di kedua-dua ibu jari kakinya ada bekas seperti gigitan nyamuk yang di tengahnya merah berair dan sekelilingnya lebam kebiruan. Tidak sengaja, Yunus menggeleng-gelengkan kepaalanya, membuatkan Azam menjadi resah.
“Pasai apa, Yunuih?” tanya Azam, gusar.

“Aku nasihatkan hang cepat berubat. Carilah yang pandai dalam bidang ni. Aku tak buleh langgaq janji dengan tok ayah aku. Kalau aku cuba pun, tak menjadi” kata Yunus, merenung wajah Azam yang gundah.

“Kat rumah kami ada apa, Yunuih?” tanya Azam. Suasana di meja makan tadi, kecuali si kembar yang bersuara, yang lain semuanya diam membisu. Semuanya ingin mendengar apa yang ingin Yunus perkatakan.

“Kakak, cuba beritahu pakcik ini apa yang kakak lihat dan tahu” kata Yunus dalam bahasa Iban.

Terbeliak mata Khadijah yang tidak menyangka, ayahnya akan menyuruhnya bercerita. Zaharah juga memandang anak gadisnya, dengan mata yang bangga. Apatah lagi datuk dan neneknya, yang tersenyum simpul. Ke mana hendak tumpah kuahnya, kalau tidak ke nasi.

“Kamek lihat ada dua makhluk hitam, panjang rambutnya. Mereka ada rumah dalam tandas pakcik. Ramai anak depa, pakcik” kata Khadijah yang gugup, bahasa Sarawak bercampur bahasa Kedah dituturnya. Boleh Yunus ketawa, sedangkan kami semua sedang tekun mendengar apa yang keluar dari mulut gadis sunti itu.

“Pelan-pelan kakak” kata Yunus tersenyum.

Kata Khadijah, anak-anak dua ekor makhluk itu suka bermain di kawasan pokok serai yang ditanam. Jahat mereka tidak terperi. Tempat yang mereka paling gemari ialah lubang air di dalam bilik mandi.

“Makcik, nanti jangan masak ya. Mereka jahat, kencing berak dalam makanan makcik” kata Khadijah, malu.

“Astaghfirullahaladziiiimmm” serentak suami itu beristighfar, sambil mengurut dada. Kedua-duanya memandang antara satu sama lain. Tiba-tiba isteri Azam berlari ke tandas, dengan bunyi yang seperti hendak muntah.

Azim hendak mengejar, tapi ditahan Yunus.

“Biaq dia muntah, Zam. Aku dah buat sesuatu supaya dia muntah. Benda tak elok dia dah makan banyak. Dia lemah semangat. Dia tak kuat macam hang” kata Yunus. Azam yang gusar tadi, duduk, menggeleng-gelengkan kepalanya. Zaharah dan Khadijah juga berlari ke arah tandas awam yang tidak jauh dari situ, mungkin mengawasi Suria seorang diri di dalam tandas.

“Tuan rumah hang bangsa India kan?” soal Yunus. Azam hanya mengangguk lemah.

“Tak sangka sungguh aku, Yunuih. Aku rasa, aku tak dak salah dengan sapa pun” kata Azam sambil mengerling ke arah tandas.

“Hang tak dak salah apa. Yang salah tuan rumah” kata Yunus, nadanya tegas.

“Tak pa, aku buleh tawaq dan pagaq rumah hang. Lepaih ni, Insya Allah tak akan ada gangguan lagi. Hang pa berdua keraplah solat sama-sama, baca Quran sama-sama dalam rumah tu lepaih ni” kata Yunus menggenggam bahu Azam.

“Eh hang pa ikutlah kami ke Pangkor” ajak Yunus. Ceria sedikit wajah Azam, dan mengangguk.

“Aku habaq kat Ya (Suria). Dia mesti nak ikut pasai hang ada” kata Azam, dan berdiri kerana Suria, Zaharah dan Khadijah sudah terbit keluar dari tandas awam itu.

Mereka duduk. Wajah Suria yang pucat, sudah nampak seperti sediakala. Azam memberitahu Suria tentang ajakan Yunus. Cepat sahaja Suria bersetuju, asalkan tidak berada di rumah mereka buat sementara waktu.

Azam bercerita lagi. Katanya, padanlah bila dinihari, dia akan mendengar suara budak-budak riuh bermain. Dia masih ingat, semasa Suria di sekolah, dia pernah ternampak sosok budak-budak, semuanya hitam berdiri di hujung katil, menyeriangai memandangnya. Azam menyangka, dia hanya bermimpi, tapi dia kerap melihat sosok budak-budak hitam legam itu tidak kira masa. Dia tidak memberitahu Suria, kerana Suria itu penakut orangnya.

Pernah sekali, dia terasa seperti pipinya disentuh semasa dia sedang lena tidur. Bila dia terjaga, dia nampak susup sasap mereka lari ke luar. Rumah itu akan berbau busuk pada malam-malam tertentu. Busuknya susah hendak dihuraikan.

Suria pula bercerita, dia selalu ternampak seperti sosok perempuan tua yang menudung wajahnya, mundar-mandir di belakangnya ketika dia bersendirian di rumah. Pernah dia beritahu Azam, tetapi Azam juga tidak tahu apa yang hendak dibuat.

“Hang bersemuka dengan tuan rumah hang. Suruh dia buang apa yang dia letak dalam rumah. Kalau dia tak mau, hang hentak ja kepala dia” kata Yunus, menasihati sambil bergurau. Selalunya gurauan Yunus kasar, tidak seperti Lot yang berlembut dan lebih berdiplomasi.

“Jangan susah hati. Depa tak buleh dah nak bebaih (bebas) keluaq masuk rumah hang. Depa jahanam kalau depa masuk” kata Yunus.

Kami tidak lama di situ. Kami kembali ke rumah Yunus. Entah apa yang dibuat Yunus dan Khadijah, kami tidak tahu. Suami isteri itu mencuci dapur mereka yang berantakan, dan kemudiannya berkemas. Kata Azam, kena cepat kerana musim cuti persekolahan. Nanti mereka terpaksa tidur di tepi laut pula, katanya berseloroh.

Kami bercuti hanya dua hari. Suria dan Azam selepas itu baik-baik sahaja. Azam tidak lagi tinggal dan bekerja di Lumut, dan mempunyai perniagaannya sendiri sekarang.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Pak Engku
Rating Pembaca
[Total: 54 Average: 4.7]

4 thoughts on “Rumah Taman – sambungan”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.