Saka-tinggalan atok

Assalamualaikum, hai korang…

Pertama sekali aku nak minta maaf awal-awal. Cerita ni agak panjang, tak seram, mungkin membosankan korang juga. Tapi aku masih nak kongsi. Kalau ada kawan-kawan sedara mara yang tiba-tiba mengenali aku, tolong buat-buat tak kenal ye hehe

Aku ni jenis yang ignorance, jenis yang kalau ngantuk aku tidur je tak kisah apa pun jadi. Maybe sebab tu aku masih diganggu. Masih ada cubaan-cubaan walaupun berpuluh tahun berlalu.

Ianya bermula pada 22 tahun lepas, masa aku kat kolej. Mak aku call, atok aku meninggal dunia. Petang tu juga aku balik ke Melaka dengan rembesan air mata di sepanjang jalan. Abang sepupu aku jemput aku di hentian bas Melaka. Ini abang sepupu kedua, anak maklong aku. Mak ada 4 adik beradik. Mak anak ke2. Maklong aku ada 9 anak, 6 daripadanya lelaki. Aku pula anak ke2 dari 5 beradik.

Arwah atok agak tegas dengan anak-anak dia, sampai paklang aku tak balik rumah bertahun lamanya. Paklang kahwin berapa kali, anak dia berapa orang pun kami tak tahu. Masa arwah atok meninggal pun kami tak dapat sampaikan berita pada paklang. Zaman tu mana la ada media social lagi.

Cerita pasal arwah atok, arwah mengambil upah jaga dusun-dusun buah. Dia memang jarang ada di rumah kalau hari siang. Bila kami balik kampung pun, jumpa arwah waktu malam je. Arwah sangat sayangkan aku, satu-satu cucu perempuan yang berperangai lelaki. Adik-adik lelaki aku pun tak sekasar aku. Masa arwah sakit tenat aku ada pergi melawat dia di hospital satu kali. Masa tu aku dah start kolej di KL, jarang balik kampung. Waktu tu aku dengan mak pergi beramai-ramai dengan sepupu-sepupu lelaki aku. Maklong tak sihat, jadi dia tak ikut. Adik-adik di sekolah asrama, ayah pula pilih untuk tunggu di bawah bersama adik bongsu aku. Disebabkan sepupu-sepupu aku sado semuanya, aku tak nampak badan atok yang tengah baring, hanya dengar suara je.
‘Angah ke tu?’ aku terkejut, dalam keadaan sesak tu atok boleh tau aku ada. Mak aku baru je nak ke depan salam atok.
‘Ye tok’ aku hanya menjawab dari jauh. Tiba-tiba atok yang sepatutnya terlantar baring, duduk menatap aku sambil tersengih. Hampir semua yang datang terkejut. Pandangan aku tertumpu pada badan atok yang separuh berbaju. Tulang rusuk atok semua nya timbul, perutnya ke dalam, tulang selangka atok timbul, pipinya ke dalam dah macam tengkorak hidup. Masa tu aku tak didedahkan lagi dengan dunia alam lain, jadi aku takde la fikir yang bukan-bukan. Yang aku fikir, kuatnya atok, dengan tulang macam tu dia mampu duduk tegak begitu. Lama lepas tu baru aku bertentang mata dengan atok. Matanya merah menyala meliar memandang aku. Tak pula aku rasa takut.

Atok memanggil aku untuk mendekati dia, tapi dihalang oleh abang-abang sepupu ku. Mereka meminta atok untuk makan dahulu sebab waktu melawat itu tidak la lama. Dan atok aku makan sendiri dengan lahapnya. 2 ketul ayam masak kari bersama sayur dan nasi menggunung abis sekelip mata. Betapa sihatnya atok dimata aku. Kalau atok sihat macam tu, kenapa atok tak boleh keluar wad? Itu yang bermain difikiran aku. Atok aku bersembang dengan mak aku dan yang lain-lain sambil matanya memandang aku tanpa lepas. Sebagai orang yang paling muda di situ, aku menberi peluang kepada mereka yang lebih tua untuk bersama atok. Sebelum balik, aku salam atok cium tangan dia, atok memegang tangan aku tanpa lepas, membelai lembut pipi aku dengan tangannya yang tinggal tulang je. Itu la kali terakhir aku berjumpa atok, 2 minggu sebelum atok menutup mata.

Semasa dalam perjalanan ke kubur, abang sepupu ku yang ku panggil Abg Ngah bertanyakan pada aku, apakah aku akan tidur di rumah arwah malam nanti? Aku kata, aku akan ikut mak dan ayah ku sahaja. Abg Ngah diam seketika sebelum berpesan, kalau nak aku ambil kau, call. Tengah malam pun aku datang. Walaupun agak pelik dengan pesanannya, aku hanya mengangguk. Lagipun rumah maklong dengan rumah arwah tak la jauh mana. Dalam 10minit perjalanan je. Mungkin abang aku tu risau kalau aku kurang selesa dengan rumah tua atok.

Rumah atok rumah bawah, dinding bahagian depan dan bilik tidurnya dibuat dari papan sepenuhnya. Hanya bahagian dapur dan bilik air yang bersimen. Ruang tamu ada 2 bahagian, macam huruf L. Diruang tamu itu ada satu pintu menghala ke laman rumah dan satu lagi menghala ke dusun. Keliling rumah atok merupakan dusun buah dan ada reban ayam serta kendang kambing tak jauh dari dusun tersebut. Rumah jiran memang agak jauh, sejauh mata memandang. Malam tu, kami sekeluarga memilih untuk tidur diruang tamu sahaja. Susunannya, ayah aku berhampiran pintu ke dusun, mak disebelahnya dan adik bongsu berada diantara aku dan emak. Tempat tidur aku betul-betul sebelah tiang seri rumah, yang menjadi pemisah antara ruang tamu. Hanya kami berempat sahaja yang datang, adik-adik dan kakak aku masing-masing diasrama, jauh dari kampung. Lagipun, dalam adik beradik aku, cuma aku yang rapat dengan keluarga mak.

Malam tu memang sangat sunyi. Tiada satu bunyi pun kedengaran. Nenek aku dengan pak usu dah lama lelap. Jam 10, TV pun dah ditutup. Aku tak biasa dengan keadaan sunyi itu mula mendengar mp3 dengan menggunakan earphone. Entah jam berapa aku terlelap. Tiba-tiba aku terjaga dengan bunyi dentuman kuat atas bumbung betul-betul atas tempat aku baring. Bunyinya macam buah kelapa jatuh bertalu-talu. Mula-mula aku ingat mungkin sound effect, aku pun memadamkan mp3 player ku. Baru sahaja aku cuba untuk tidur, pintu dan tingkap rumah tua itu bergegar tanda angin kencang melanda. Aku hanya menarik selimut sambil menjeling mak dengan ayah yang tidur nyenyak. Yang aku hairankan, dalam angin kuat tu, mak dengan ayahku tak berselimut seolah-olah kedinginan malam tu tak sampai pada mereka. Hanya aku yang menggigil berselubung.

Seketika kemudian, terdengar bunyi ketukan di pintu utama. Ketukan yang tidak kuat, seperti diketuk oleh kanak-kanak.
‘Angah…angah…buka aku nak masuk’ satu badanku mula meremang. Suara yang aku kenal sejak kecil lagi. Aku hanya terpaku sambil merenung pintu utama tak jauh dihadapanku. Seketika kemudian pintu diketuk lagi, ayat yang sama diulang-ulang semakin keras. Otak ku menjadi kosong seketika. Tak mungkin. Tapi itu la suara tegas arwah atok semasa memarahi cucunya dulu. Tendangan dari adik bongsu aku menyedarkan aku dari terus merenung. Terus aku baring mengiring mengadap adiku dengan bantal di atas kepala. Masa tu memang tak ingat nak baca apa pun. Yang aku ingat tadi aku tengah tidur dan aku harus sambung tidur. Saat aku kembali melayang-layang, tiba-tiba kedengaran bunyi cakaran dan ngauman keras di luar pintu yang menghala ke dusun. Angin masih kencang diluar soalah-olah nak ribut, ditambah pula dengan gegaran dua pintu. Aku merengkok kan badan berlindung dalam selimutku. Tak mampu nak keluarkan suara juga.

‘Angah, tidurlah. Dia tak dapat masuk’ tiba-tiba terdengar suara ayah aku. Rupa-rupanya ayah aku juga terdengar benda yang sama. Lega sangat. Aku kembali ke alam mimpiku dengan rasa selamat. Keesokan paginya, di luar rumah, aku menemani ayah memeriksa keadaan pintu. Kalau perlu repair kami repair. Yang hairannya tiada tanda-tanda angin kuat menyerang malam tadi. Keliling rumah dipenuhi pokok-pokok besar, kalau ada angin pasti ada banyak daun-daun yang gugur. Lansung tiada. Kawasan luar rumah bersih seperti biasa. Yang ada hanya kesan cakaran yang agak dalam pada daun pintu. Nenek yang ternampak kesan cakar itu mula meraung.

‘Dia nak masuk, kenapa kau tak bagi?’ tanya nenek pada ayah. Pada masa itu baru la aku faham, ayah aku dah pun pagar rumah sebelum kami tidur malam tadi. Tapi kenapa nenek aku nak benda tu masuk??

Kami tidur di sana satu malam sahaja kerana keesokan harinya, saudara mara atok dan nenek mula memenuhi rumah. Pada malam tahlil yang keberapa aku tak ingat. Aku terdengar perbualan abang-abang sepupuku. Rupanya, arwah atok telah pun meninggal dunia semasa kami melawat beliau. Yang kami lawat tu adalah belaan atok yang sedang mencari pewarisnya. Dan arwah atok bukan ada 1 belaan sahaja. Disebabkan tiada anak-anak lelaki atok yang sesuai, Abg Long dan Abg Ngah terpaksa terima belaan atok, demi memudahkan urusan arwah. Pun begitu, masih ada belaan atok yang terlepas dan masih mencari tuan baru. Itulah yang mengganggu kami pada malam arwah meninggal. Dan seekor dari belaan arwah telah memilih aku sebagai pewarisnya tanpa aku sedar.

Panjang dah cerita aku ni. Nanti aku sambung lagi ye, part sejak bila aku sedar aku ada pendamping.

~Jib

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 60 Average: 4.7]
Jib

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.