Saka-tinggalan atok (3) – Akhir

Assalamualaikum, hai korang…dalam hidup ni, ada antara kita yang mempunyai kisah-kisah silam kan. Zaman-zaman jahiliah la kata orang. Macam tu la aku dan beberapa orang di keliing ku. Alhamdulillah kami diberi peluang untuk bertaubat dan kembali ke jalan kebenaran sebelum menutup mata.

Aku berkahwin dengan lelaki yang panas baran. Hampir setiap minggu kaki dan tangannya akan hinggap ke badan ku. Dilambung diseret dihantuk ke dinding tu biasa. Tapi, tiada kesan lebam apa lagi calar kat badan aku. Biarpun berkali-kali dia mendera, aku tak melawan. Bukan taknak lawan, aku pernah lawan dia sekali. Itu la sekali. Kenapa aku berhenti melawan? Masa aku lawan balik, aku hilang pertimbangan diri, bila aku sedar diri, dia luka teruk. Perutnya luka, ada kaca tajam menusuk bahagian tepi perut dia. Kepala dia berdarah. Kaca berterabur di atas lantai.

Katanya, aku pecahkan cermin kaca kat kepala dia, bila dia cuba untuk mengheret aku ke lantai, aku tikam perut dia. Sejak dari tu, bila aku ada tanda-tanda nak melawan, dia akan berhenti memukul dan mula menjauhkan diri dari aku. Masa tu aku ada rasa sikit bangga diri. Sehebat mana pun tenaga lelaki, aku akan menang akhirnya. Lansung tiada rasa takut dalam diri.

Bertahun kami kahwin, aku keguguran berkali-kali. Suamiku, akhirnya memilih untuk curang dengan ramai wanita semata-mata sebab nak anak. Aku mula nampak kelibat yang menyerupai suami apabila dia tiada di rumah. Kelibat itu seperti seekor beruk yang ada rupa suamiku, bertelingakan monyet dan mempunyai ekor yang panjang.

Kerana terlalu yakin diri, aku tak kisah lansung dengan kehadiran kelibat tersebut. Dia nak mandi ke nak bancuh air ke, aku tak kisah, asalkan dia tak ganggu aku. Sehinggalah aku menemui botol kecil, sebesar botol minyak attar, dibalut kain kuning di ikat benang merah, dalam simpanan suamiku. Aku mula curiga. Tanpa berfikir panjang, aku buang botol itu ke dalam longkang besar dibelakang rumah. Suamiku mengamuk, dia sanggup meredah longkang yang penuh selut tebal dan daun-daun kering semata-mata untuk mencari botol itu semula tapi gagal.

Selang beberapa hari, aku menemui botol yang serupa lagi. Dan sekali lagi aku mencampaknya ke longkang. Berkali-kali kubuang, suami ku akan membawa botol yang serupa lagi. Akhirnya, aku membuat keputusan untuk mengadu tentang perbuatan syirik suamiku itu kepada kedua mertuaku.

Mertuaku menyuruh aku membawa suamiku pulang ke kampung sana untuk berubat. Aku pun membuat perancangan untuk pulang bercuti ke kampung dan semestinya semua perbelanjaan aku yang tanggung. Kami berada di kampung selama 5 hari.

Pada hari kedua, seawal pagi, aku mengikut abang ipar dan mertua ku ke sebuah kampung yang jaraknya 2jam perjalanan. Suamiku, oleh kerana dia kaki tidur, dia lansung tidak kisahkan kehilangan kami. Memang kebiasaannya, apabila di kampung, mertuaku akan bawa ku jalan-jalan ke pasar sehingga waktu asar baru kami kembali ke rumah. Kami tiba di rumah Tuan Haji pada jam 10 pagi. Sambil dijamu dengan ubi rebus dan air kopi, aku bercerita tentang penemuan botol milik suamiku dan kelibat yang selalu muncul di rumah kami apabila suami ku tiada di rumah.

Menurut Tuan Haji, botol tersebut mengandungi minyak pengasih yang diperoleh daripada orang asli. Tuan Haji meninta aku untuk menanam botol tersebut sekiranya aku terjumpa lagi (ada ayat-ayat Quran yang perlu dibaca juga). Kemudiannya Tuan Haji mula mambaca beberapa potong ayat Quran beserta doa yang di hembuskan pada kopi, gula, garam serta sebotol air minuman yang dibawa oleh ibu mertuaku tadi. Barang-barang tersebut diserahkan padaku.

Tuan Haji berpesan untuk mencampurkan kesemua bahan ke dalam balang-balang yang sama yang ada dirumahku. Apa yang Tuan Haji lalukan adalah untuk melembutkan hati suamiku supaya dia meninggalkan amalan syiriknya dan kembali ke jalan Allah. Terus terang ku katakan, aku tak percaya kaedah itu akan berkesan. Bukankah Allah takkan mengubah sesiapa kecuali bila orang tu sendiri yang hendak berubah? Tapi takpe lah. Mencuba itu tak salahkan?

“’Orang’ nak di mbak kitak tok, kitak sik mok buang kah (orang yang kau bawa ni, taknak buang ke?)?” tiba-tiba Tuan Haji mengajukan soalan kepada aku.
“’Orang’ ney (orang mana)?” setahu aku cuma mertuaku berdua dan abang ipar ku sahaja yang datang bersama.
“Aku mok nanyak dulu, kitak ada masalah nak dapat anak sik?” aku tersentap dengan soalan tu. Nak kata aku susah untuk mengandung pun tidak,banyak kali dah gugur. Kami pun pernah membuat pemeriksaan pakar, semua nya normal.
“Pernah sik kitak dapat mimpi nak pelik-pelik kedak dukung nembiak kecil gia (pernah tak kau dapat mimpi pelik macam dukung bayi)” aku termenung seketika sebelum beritahu pada Tuan Haji tentang mimpi yang berulang-ulang aku dapat. Walaupun jarang-jarang, tapi aku ingat dengan jelas. Dalam mimpiku, aku menyusukan bayi. Pada aku itu hanya mainan tidur kerana keinginan untuk dapat anak yang kuat dalam diriku.

Tuan Haji menerangkan bahawa mimpi itu adalah saat dimana aku memberi makan pada belaanku. Aku betul-betul terkejut. Selama ini, aku tak pernah anggap ‘dia’ wujud. Tak pernah ku seru tak pernah ku bagi makan. Abang-abang sepupuku ada juga yang asapkan keris bagai. Aku tak pernah buat apa-apa pun. Tuan Haji memberitahu aku, saka ni, walaupun kita tak layan dia, walaupun kita tak simpan apa-apa barang berkaitan, ‘dia’ tetap ada, sebab perjanjian lama ‘dia’ dengan tuan yang sebelum ni (arwah atok).

Kalau tak dibuang, pengakhiran aku mungkin seperti arwah atok juga. Proses membuang saka juga perlukan persetujuan dari tuannya bukan boleh dipaksa. Dengan kata lain, aku perlu rela untuk berubat. Tuan Haji hendak mencuba untuk membuang ‘dia’ dari badan ku. Saat dia bertanya adakah aku mau membuang saka tersebut, aku hanya membisu. Bukan sebab taknak buang, bukan juga sebab berat hati, tapi sebab aku masih tak percaya dengan kewujudan ‘dia’ dalam diri aku.

Dipendekkan cerita, aku setuju untuk keluarkan ‘dia’ dari hidup ku selamanya. Disebabkan tempoh ku berada di kampung agak pendek, hari tu juga Tuan Haji mulakan proses nya. Sepanjang proses itu, aku tidak sedarkan diri. Yang aku ingat, aku di suruh untuk meluruskan kaki, Tuan Haji membaca beberapa potong ayat Quran sambil memegang ibu jari kaki ku.

Selepas itu, apabila aku sedarkan diri, aku sudah berada dalam kereta dan ibu mertua di sebelah ku mengusap wajahku dengan sehelai kain basah. Badanku sakit-sakit, lebih kepada bisa. Setelah sampai ke rumah, aku demam panas. Sepanjang waktu tu, ibu dan ayah mertuaku bergilir-gilir memicit badanku dan menjaga ku seperti anak mereka sendiri. Bahkan, abang iparku juga mambaca al-Quran di sepanjang hari di luar bilik ku (pintu bilik ku dibiarkan terbuka). Perkara ini kami rahsiakan dari suamiku. Mertua ku memberi alasan bahawa aku kalah dengan cuaca panas di sana. Mujurlah suami ku percaya.

Sehari sebelum berangkat pulang ke Semenanjung, aku dah pun beransur pulih. Beberapa hari sebelum nya jiwa aku rasa kosong seolah-olah sebahagian dari diriku hilang. Kadang-kadang aku menangis merayu-rayu. Malam selepas berubat, aku mimpikan arwah atok. Arwah tersenyum lembut sambil membelai pipiku. Walaupun jiwaku terasa kosong, hatiku berasa lega ianya dah berakhir.

Menurut cerita dari mertua ku (mereka bercerita bahagian yang perlu aku tahu je, faham je la orang tua kan), aku dirasuk oleh saka itu. Semasa sesi soal jawab, aku kelihatan seperti lelaki tua duduk bersimpuh dengan tulang belakang bengkok ke depan sambil mulut ku seolah-olah sedang mengunyah sireh. Saka itu menangis merayu-rayu tidak mahu meninggalkan aku kerana sejak aku kecil lagi, dia dah pun membelai pipi aku. Dia sangat sayangkan aku. Bahkan dia berkata, aku sangat perlukan dia untuk melindungi diriku dari suami durjana. Tanpa dia aku akan derita. Itu katanya. Disayangi dilindungi untuk bertahun lamanya, patut la jiwa ku kosong.

Sempat mertua aku memarahi aku kerana menyembunyikan perangai buruk anak mereka. Aku hanya tersenyum. Tuan Haji ada menghubungi mertuaku untuk bertanyakan khabarku, satu pesan dia, jangan tinggal solat, dekatkan diri dengan Allah, Insha Allah jiwa aku takkan kosong lagi.

Beberapa bulan selepas kembalinya kami ke rutin kami, aku disahkan hamil lagi sekali. Kali ini, alhamdulillah anak itu selamat lahir kedunia. Dah besar pun sekarang. Cuma, sepanjang kehamilan, aku didatangi makhluk yang pelbagai rupa. Ada yang merayap dalam selimut, ada yang nak hisap paha aku, ada yang memandang dari sudut. Macam-macam yang datang dan aku nampak mereka semua dengan jelas.

Pantang leka, kalau aku lupa baca kursi & 3 Qul sebelum tidur, lelap je mata sekejap akan ada yang mengganggu. Masa anak sulong, aku ignore semua, buka ruqyah sambung tidur. Tapi masa anak kedua, suami ku berkerja di negeri lain, hanya tinggal aku dan si sulong di rumah. Gangguannya semakin ganas. Hampir tiap malam aku tak dapat tidur, sesudah Subuh baru dapat lelapkan mata. Gangguan-gangguan ini hanya berlaku bila badan dan jiwa ku lemah sahaja. Masa berbadan dua kan badan kita memang penuh emosi. Memang teruk gangguan nya.

Apabila usia anak no2 kami setahun, kami bercerai. Aku mula mendekati sejadah dan al-Quran. Jiwa aku betul-betul tidak kosong lagi. Hidup sebagai ibu tunggal kena kuat, luar dan dalam, demi untuk keselamatan anak-anak. Bukan tiada gangguan lagi, cuma aku lebih kuat, lebih yakin dengan ayat-ayat Quran. Syaitan mana pernah berhenti menggangu kita kan? Macam tu la kehidupan kami.

Alhamdulillah mertuaku juga sempat bertaubat dan membuang semua belaan mereka. Kehidupan mereka selepas itu, hanya rumah – masjid dan tempat-tempat ibadah. Ayah mertuaku telah pergi dengan tenang. Yang belum berubah, anak mereka iaitu bekas suamiku.

Selepas bercerai, dia sempat mencalitku dengan minyaknya. Macam mana aku tahu? Ibarat orang gila bayang, lelaki yg aku benci bertahun lamanya, tiba-tiba muncul dalam mimpiku. Bukan mimpi biasa tapi mimpi basah. Tiap malam. Hampir tiap hari dia datang ke rumah ku ajak keluar makan, keluar jalan-jalan. Syukur jiwaku sudah kuat. Aku boleh menolak ajakan-ajakan dia.

Selepas berminggu minum air Yasin, bertahajud dan solat tiap malam, akhirnya aku terlepas dari siksaan itu. Komen dari dia ‘errmmm kau tu, aku buat apa pun tak lekat’..memang nak marah tapi aku pilih untuk diam. Berbelas tahun hidup bersama, rasa macam dikhianati kawan baik sendiri.

Abang-abang sepupuku, kini mereka telahpun sakit-sakit. Tapi masih juga dengan ‘pendamping’ masing-masing. Aku hanya mampu berdoa agar Allah beri mereka peluang untuk bertaubat.

Setelah bertahun lamanya, kenapa baru sekarang aku bercerita? Kerana aku mengandung lagi dengan suami baruku. Aku akui jiwa aku agak lemah dengan penyakit kritikal yang ada sejak belum mengandung, umur pun dah banyak, doktor sahkan aku depression, makan ubat penenang hari-hari. Benda yang aku tak mampu sampaikan pada doktor, tiap malam aku tak dapat tidur kerana diganggu. Bisikan-bisakan halus yang aku dengar, aku tak mampu nak bagitau doktor. Dia takkan percaya, aku berhalunasi katanya.

Alhamdulillah suami baru ku pandai mengaji. Masalahnya dia kerja shift, bila kerja malam, aku tinggal la keseorangan dalam bilik kami. Dengan badan yang lemah, nak duduk lama pun tak mampu, aku hanya mampu berzikir dan mambaca surah-surah hafazan sebelum tidur. Doakan aku kuat ye korang. Terima kasih sebab membaca.

~Jib

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Leave a Comment