Kami tiba di sebuah homestay kampung di Kesang Laut, Muar. Rumah kayu dengan perabot klasik dan persekitaran dusun yang luas terbentang. Cuti Awal Muharram ini kami niatkan untuk berehat disini untuk satu malam, untuk menikmati suasana kampung. Dah lama benar tak keluar bercuti bersama keluarga sejak cuti Hari Raya Aidilfitri yang lepas. Perjalanan dari Johor Bahru kami rancang dari pagi Jumaat lagi, singgah solat Jumaat di Simpang Renggam, sesudah itu menyelusuri jalan kampung melalui Air Hitam, Yong Peng, Parit Sulong, dan Bakri. Ini semua nak elak lebuhraya yang pasti sesak disebabkan cuti umum.
Malam itu, selepas Maghrib, kami sekeluarga merancang untuk makan malam di Bandar Muar. Isteri mencadangkan makan durian sebagai pemanis mulut. Tambahan katanya musim raja buah ini dah mula. Aku dan anak-anak setuju. Isteri dengan pantas mencari lokasi kedai durian melalui Facebook. Dua kedai jadi pilihan. Yang pertama, di Parit Setongkat. Berpandukan aplikasi Google Maps kami mula mencari arah. Destinasi pertama dijumpai tetapi kedainya sudah tutup. Pencarian kedua berada di Parit Sakai. Kami ikut arahan Google Maps tanpa banyak soal.
Aku sedar Perjalanan semakin sunyi dan mula menjauh dari Bandar Muar. Jam menunjukkan 7:50 malam. Jalan makin sempit, kiri kanan hanya kebun dan parit konkrit. Tiada lampu jalan, hanya lampu kereta kami yang menyuluh gelap. Langit juga terasa mendung walaupun tiada hujan. Aku tenang, cuba teruskan sebab sudah janji dengan isteri dan anak-anak.
Tapi makin jauh kami pergi, makin pelik rasanya.
Rumah-rumah kampung yang kami lalui gelap, sekali-sekala ada yang berlampu kecil di beranda, tiada bunyi, tiada tanda-tanda hidup. Mungkin orang kampung tidur awal, fikirku. Sedangkan belum lagi menjengah Isyak? Tapi sesuatu terasa… kosong.
Google Maps menunjukkan destinasi hampir sampai. Kurang 1 minit akhirnya aku berhenti di tepi jalan. Di hadapan, cuma jalan kecil bersebelah parit dengan pohon-pohon sawit di kiri kanan jalan. Mataku mula mengecam persekitaran. Tiada kedai, tiada rumah. Hanya sebuah pondok papan kecil usang di tepi jalan. Aku perhatikan dan terasa darah dalam badan mengalir laju.
“Makam Panglima Lidah Hitam.”
Aku terkedu. Ini… bukan kedai durian?
Isteri di sebelah leka dengan telefon. Anak-anak pun sama leka dengan skrin masing-masing. Tiada siapa sedar aku kini diam dan resah. Cuba untuk mengalihkan perhatian mereka, aku segera buat pusingan U, perlahan-lahan keluar dari kawasan itu. Tiada rasa takut, cuma rasa tak sedap hati dan aneh. Ada sesuatu yang tidak sesuai untuk kami harungi malam ini.
Beberapa minit kemudian kami kembali ke jalan utama. Isteri baru sedar.
“Eh, mana kedainya?”
Aku jawab, “Tutup.”
Jawabku spontan untuk menutup apa yang aku jumpai tadi.
Jam 8:15 malam. Isteri tak putus asa, cari lagi kedai durian melalui media sosial. Alhamdulillah, kami jumpa sebuah kedai milik orang Melayu yang masih buka. Dapatlah kami merasa durian malam itu. Tapi sepanjang kami makan, fikiran aku tak berhenti memikirkan satu hal. Kenapa Google Maps bawa kami ke makam? Bukan ke kedai durian? Sedangkan dengan jelas isteriku menaip perkataan “kedai durian” bukannya “makam”.
Balik dari makan, kami singgah ke Tanjung Emas dan Lorong Karat. Nak tenangkan fikiran. Nak pujuk diri sendiri, cuci mata dan beli jajan. Malas nak fikir sangat memandangkan dalam suasana bercuti. Alhamdulillah, tiada apa berlaku. Kami tidur malam itu dengan aman.
Keesokan pada jam 12:00 tengah hari, kami daftar keluar homestay dan terus balik. Tapi dalam perjalanan pulang, aku tak dapat tahan rasa ingin tahu. Siapakah Panglima Lidah Hitam?
Setibanya di rumah aku mulakan pencarian maklumat di internet. Carian membawa aku kepada satu gambar makam… ya, betul, itulah tempat yang kami sampai malam tadi. Nama sebenarnya ialah Baginda Zahiruddin, berasal dari Sumatera, terkenal sebagai pahlawan dan mahir bersilat.
Kisahnya bukan biasa-biasa, beliau dalam pelayaran ke Makkah sekitar tahun 1700-an, namun kapal mereka terpaksa singgah di Muar kerana cuaca buruk. Pembesar Muar ketika itu, Tok Bauk mohon bantuan beliau untuk menentang lanun di Selat Melaka. Panglima Lidah Hitam bersetuju, mengajar silat Lintau dan akhirnya terlibat dalam pertempuran besar pada tahun 1776.
Pertempuran itu menyebabkan beliau terbunuh apabila kapalnya disabotaj oleh lanun. Mayatnya terapung di laut sebelum terdampar di Parit Sakai. Ada cerita aneh tentang lidah panjang hitam berbulu yang muncul dari mayat tersebut. Tiada bau busuk, malah bau wangian semerbak. Batu seperti lidah hitam muncul di kuburnya. Itu yang aku baca hasil carian di internet.
Aku termenung lama selepas baca semua itu.
Apakah makna di sebalik kejadian malam tadi? Adakah takdir yang menjemput kami ke situ? Tetapi untuk apa? Mungkin cuma salah teknikal Google Maps? Jauh beza sangat perkataan “Kedai durian” dan “makam”? Tidaklah merasa seram cuma merasa agak aneh.
Aku cuba berfikiran positif dan logik. Makna disebalik kejadian itu adalah untuk mengajar diri sendiri supaya jangan leka bila sampai di tempat orang. Jangan terlalu bergantung pada teknologi. Yang paling penting, setiap daerah ada sejarah dan kisahnya.
Dan malam itu, aku salah arah ke makam lama. Tapi mungkin, bukan sekadar salah arah.
Mungkin… diajak untuk menziarahnya. Al-Fatihah untuk Panglima Lidah Hitam.