SAMPAI MATI

Alhamdulillah, diberi kelapangan untuk menulis. Maaf dan seribu ampun andaikata Mat gagal memenuhi citarasa dan kehendak pembaca FS. Terima kasih kepada Admin fs dan pembaca yang banyak memberi sokongan, pendapat dan kritikan. Semoga kita berjaya didunia dan akhirat kelak. Tanpa flower-flower:
“Jenis yang sebegini Amin, mereka akan mengulang, sehinggalah tujuan dan apa yang dihajatkan tercapai,” Pak Long bercakap tanpa menoleh kepadaku. Nampak butir-butir keringat membasahi belakang lehernya. Sudah 5 hari aku dan Pak Long berselang-seli menziarahi Ucu Som. Asal sahaja matahari tenggelam di hujung darat, Ucu Som mengadu sakit-sakit badan. Timbul bintik-bintik merah dari pangkal buku lali sampai ke dahi. Macam dihinggapi denggi. Helaian rambutnya yang putih beruban memenuhi bantal kekabu dek digarunya gatal. Anak-anaknya Ucu Som, awal-awal lagi sudah membawa emak mereka ke Hospital Butterworth, risau sekiranya menderita denggi, namun meleset.

”Dibuang hari ini, esok lusa datang balik,jadi kita ini berdoa dan berikhtiar, tawakallah,”Pak Long berdiri lalu duduk di sofa bersama Haji Sopian. “Lewat malam ini Haji, aku datang balik, kalau ada apa-apa, kamu diam diatas cukup,” Pak Long membetulkan ketayapnya yang miring. Haji Sopian hanya sekadar mengangguk, berserah. Usai Isyak, aku, adik dan emak pulang ke rumah, manakala Pak Long masih tinggal di madrasah. Aku asalnya hendak menemani Pak Long menunggu ayah di Madrasah, tetapi aku sudah terikat dengan rancangan TV3, “Keris Hitam Bersepuh Emas” lakonan Eman Manan.

“Hang nak ikut tak malam ni Amin?,” ayah muncul di depan aku. Tak dengar pula, bila masa ayah berikan salam. Kemungkinan besar ayah masuk dari dapur. “Ikut ayah,” aku tidak banyak jawab apabila melihat Eman Manan tengah membuka langkah. Hemm..Silat Sundang rasanya.
“ Dapat barangnya Mat Den?,” Pak Long, Sudin Komando dan anak lelaki Haji Sopian, Hadi menyambut kedatangan ayah di madrasah. “Neh, ada, aku dapat sebatang sahaja, gatal miang badan aku nak dapatkan pun,” sambil ayah menghulurkan salam. “Sejam lagi kita pergi rumah hang Hadi, mari kita minum teh dulu,” ajak Pak Long bersama beberapa jemaah yang masih belum pulang.

Aku anggar pukul 12 malam, ketika langit dihujani ribuan bintang dan kejora. “ Bukakan plastik dan keluarkan 4 ruas buluh gading,” pinta Pak Long. Dengan cermat ayah memberikannya kepada Pak Long. Aku, Sudin Komando dan Hadi hanya memerhati. Pak Long terkumat-kamit membacakan satu doa khusus. “ Buluh sejengkal ini, kamu tanam 4 penjuru rumah, tanam jangan sampai terbenam, dan ingat, usai tanam jangan ditoleh lagi, terus sahaja kumpul di sini,” Pak Long memberi arahan sambil membuka baju kemejanya. Kemejanya diterbalikkan lalu disarung kembali.

Seketika aku dapat merasakan angin lembut membelai telinga kiriku. Pokok Kundang kiri rumah bergerak-gerak. Hadi memandang aku. Aku pula memandang Sudin Komando. Biar jarak antara kami dekat, senang peluk kalau takut. Tiba-tiba kedengaran atap zink rumah Haji Sopian berbunyi-bunyi. Seakan di timpani hujan batu. “Shhh..” Pak Long berdiri lalu mendekati reban ayam di sebelah baruh. “ Sudah aku agak mainan hang sebegini,” ayah berbisik halus.
Tidak lama kemudian, Pak Long muncul kembali. “Hemm..aku pula nak masuk tak boleh, tak jumpa jalan belakang, orang tua tu sudah bereskan rasanya,” Pak Long merungut. “Mari kita ke madrasah mandi, kemudian datang kembali,” Pak Long memberi arahan.
“Maaflah Long, maafkanlah aku ni,“ Haji Sopian meletakkan telapak tangannya diatas tangan Pak Long. “Hadi, minta kak Long hang siapkan kopi dan roti untuk Pak Long dan Pak Ngah,” Haji Sopian seolah-olah tidak mahu Hadi berada diantara kami. “Aku tahu Long dari awal kejadian Som rebah sewaktu mengambil buah kundang,” Haji Sopian menghela nafas dalam. “ Aku memintanya untuk berhenti amalan syirik dan khurafat ini, namun tidak diendahkannya,” ujar Haji Sopian. “ Tadi ialah amaran aku yang terakhir, kiranya keadaan Som masih sama, binasalah apa yang ada,” Haji Sopian mengharapkan Pak Long memahaminya. “Terpulang Haji, hati-hatilah, hang pun tahu lebih dari aku mainan santau ni. Jumpa dua mata dan cari jalan keluar. Sudah tiada jodoh dengan Melati, tak mungkin bertepuk sebelah tangan” Pak Long bersandar sambil meminta aku dan Sudin Komando membuang kembali buluh yang ditanam. Kata Sudin Komando, kalau tak dibuang, nanti ayam ternak tak boleh keluar mematuk tanah.

Beberapa hari, sewaktu aku di rumah Pak Long, datang sepasang suami isteri, dalam usia 50an mencari Pak Long. Ketika itu Pak Long dikebun kopi, lalu aku memintanya untuk menunggu sehingga matahari naik segalah. Lazimnya Pak Long akan pulang untuk bersiap-siap ke madrasah. “Assalamualaikum,” Pak Long muncul di laman rumah.
“Amin, ini Pak Cik Harun, dia dari Sabah, dulu menetap sebelah kampung kita, rumahnya nun, tepi selekoh, rumah biru yang terbiar tu,” Pak Long memperkenalkan Harun kepadaku. Aku teringat rumah yang ada pokok pinang condong ditepinya. Masakan aku tidak tahu, disitulah sarang tebuan membusut. Hampir sahaja menyerang aku dan Naim sewaktu mengambil buah rambutan ditepinya.
“Hemmm..berikan aku sehari dua ini, jauh tu Kuala Lumpur,” Pak Long mengurut janggutnya yang secekak. “Baiklah Long, aku pun hendak bersihkan rumah mak aku dan berjumpa saudara aku yang lain,” Harun menghulurkan salam.
“Wahh.. besarnya bangunan,” ini kali pertama aku jejakkan kaki di Kuala Lumpur. Berpusu-pusu manusia mengejar kehidupan di kota yang hiruk-pikuk. Aku sudah tidak ingat kawasannya, tetapi rumah bata merah dua tingkat. Bangsalnya mampu memuatkan 2 buah motokar. “Ini rumah anak aku Long, marilah masuk dan berehat sementara menunggu Asar,” Harun dan Isterinya meninggalkan kami diruang tamu.

“Hemmm..hemmm…,” Pak Long gundah-gulana. Ke kiri salah, ke kanan salah.
Pommm!!..Pommm!!…”Shhhh…” Pak Long menunjukkan isyarat diam kepadaku. Seperti bunyi letupan kecil di luar rumah. Ngekkk..ngekkk..ngekkk.., disusuli bunyi perabot dialihkan. “Hang takut Amin?,” Pak Long tersenyum. “Dia tak suka kita datang ni Amin, hang pergilah tanya Pak Harun dimana tandas, ambil wudhuk siap-siap,” ujar Pak Long sambil memejam mata. Penat rasanya.

Usai solat Asar bersama Pak Long, Harun memperkenalkan anak-anak perempuannya kepada kami. “Ini yang sulung anak aku Long, Robiah dan ini adiknya Rohana,” Pak Long tersenyum dengan pangkat anak-anak baginya. “Hang lihatlah Robiah ni Long, dah 6 bulan begini sejak balik dari Timur Tengah,” Harun kelihatan sugul. Robiah hanya mampu tersenyum dengan bibirnya yang mengecut pucat. Adiknya, Rohana membasahi bibir kakaknya yang sedikit merekah luka.
“Robiah, aku pangkat pak menakan hang, kami berdua sekampung, dan kali terakhir aku melihat hang ialah sewaktu hari kematian nenek hang 20 tahun lepas, jadi janganlah hang segan dengan aku,” Harun menundukkan kepala, malu rasanya sekian lama membawa diri.

“Rohana,” panggil Pak Long. “Hang turunkan segala perhiasan didalam bilik ini, kumpulkan,” Pak Long mengarahkan Rohana sambil meminta aku membantunya. Nafas Robiah turun naik, matanya menjegil Pak Long. Marah sangat dia apabila Rohana mengusik segala gambar dan perhiasan yang dibelinya dari Timur Tengah. “Barang orang jangan diusik..,” Robiah bercakap dengan nada perlahan. Harun dan isterinya termanggu. Sudah setengah tahun Robiah tidak bercakap. Hanya makan dan tidur setiap hari, walhal kencing beraknya sendiri diuruskan Rohana dan ibunya.
“Janganlah marah, hang pun bukan boleh buat apa dengan ini semua,” Pak Long sedikit pun tidak menoleh kepada Rohana. “Saatuuu, Aminn..duaaa Rohana…tiigaaa..Aminnn…”Robiah mengira setiap satu gambar yang diturunkan kami. “Kenapa ayah kau tidak datang Amin, hehehe,” Robiah mengiring dalam keadaan sukar. Kelu aku dibuatnya. Perasaan takut itu bercampur baur. Pak Long hanya tersenyum. “Cepatlah buat kerja tu Amin, dibawah pun sama, turunkan semuanya satu persatu,” ujar Pak Long. “Datang rumah orang dibuatnya rumah sendiri,” Robiah merungut kecil.
“Huhuhuhu…” isterinya Harun menangis di dapur. “Semua ini salah abang, saya dah cakap dari itu hari, bawa Robiah berubat, tapi abang tak dengar cakap saya,” esakkan Makcik Seha kedengaran usai menyediakan makan malam buat kami.

“Jemputlah Long, Amin. Ini saja yang sempat Seha buatkan malam ini,” Harun tersenyum dengan songkok hitam dikepala. Sejambak orkid menghiasi ruang tengah meja menarik minatku. “ Hulurkan aku ikan gelama tu Amin,” Pak Long tersengeh. Wahh..berselera Pak Long. “Robiah tu, sudah lama ke tinggal sini?,” Pak Long membuka mulut sambil mencuci tangan.”Dalam 3 tahun selepas dia beli rumah ini,” ujar Makcik Seha. Harun dan Makcik Seha berpandangan seperti berlindung disebalik telunjuk.
“ Kenapa Long?, pertanyaan hang bagai kilat dalam kilau, cakaplah terus-terang, aku sedia memamah telan” ujar Harun mendekati Pak Long. “Awak pergi ke dapur jerang air panas,” Makcik Seha akur dengan arahan suaminya. Suasana agak tegang.
Sebentar, Rohana muncul bertelekung di anak tangga. Melonggarkan ikatan yang bersimpul manuk. Mungkin baru selesai solat Isyak di atas rumah. “Ini bukan mainan anak kecil, hang bersabarlah,” Pak Long mengharapkan jawapan itu memuaskan hati Harun yang gundah-gulana. “Mana boleh aku bersabar lagi Long, doktor cakap umur Robiah hanya menghitung hari,” Harun meninggikan suara. Aku pulak yang hilang sabar, meminta pertolongan orang namun bersikap orang hilang akal. “Aku tak boleh buat seorang diri Harun,” Pak Long masih berlembut. Harun menunduk. Menyedari dirinya menagih pertolongan orang.

“Esok bolehkah hang sediakan orang surau membaca Yassin di sini?,” Pak Long membuka mulut setelah suasana kembali kendur. Harun menjeling Rohana. Lalu mengangguk setuju dengan ikhtiar Pak Long. Kepulan asap nipis Kopi O membangkitkan selera aku. Makcik Seha mengambil giliran menemani Robiah di tingkat atas meninggalkan kami berempat diruang tamu. Rohana anak keduanya tidak habis-habis bertanyakan kampung halamanku. Katanya sudah lama dia hendak balik tapi papanya yang sibuk di Sabah. Saban tahun hanya menyambut Hari Raya bersama keluarga sebelah ibunya di Sabah sehinggakan dia tidak mengenali saudara-maranya di Kedah. “Papa merajuk,” Rohana melarikan anak matanya kearah Harun.

“ Uncle tahu, semenjak papa dan mama balik Kedah, macam-macam hal jadi dirumah. Kalau bukan kerana Kak Maimun (orang gaji) sudah lama Ana tinggalkan kakak sorang diri,” Rohana membuka cerita. “Kamu tu, penuh dengan alasan. Cuti semester ini bukannya masa nak bercuti dengan kawan-kawan diluar. Tolong mama jagakan kakak kamu,” Harun membidas perangai anak kesayangannya. “Ya Allah papa, Ana jujur menjaga kakak,” Rohana menambah. “ Dua hari lepas, ada orang membasuh kain dibilik air dapur, Ana ingat Kak Maimun, Ana tengok pun TV diruang tamu, alih-alih Kak Maimun balik dari kedai runcit, bilik air kosong tiada orang,” Rohana menceritakan dengan penuh emosi. “Kak Maimun pun macam tu, dia nak solat dalam bilik Kak Robiah, tapi dia nampak Ana berteleku di sisi katil, jadi dia pun beralih ke bilik Ana, alih-alih Ana tengah lipat baju, berlari Kak Maimun mendapatkan Kak Robiah,”Rohana mencebik bibir.

“Abangggg!!!,” teriakkan dari atas. Masing-masing kelu. Harun yang pertama melompat daripada kerusi. Jatuh tertiarap kerusi berukir bunga rotan ke lantai. “Abang Amin!, letaklah dahulu cawan tu, nak bawa kemana,” tegur Rohana melihat aku berlari sambil membawa cawan. Termanggu aku apabila disergah Rohana.
“Ambilkan aku besen dan kain pelikat, bukakan tingkap luas-luas!,” Pak Long memberi arahan kepada Harun dan makcik Seha. “Kau balik Mat Noh, kau balik sekarang!!,” Robiah meronta-ronta. Tegang urat hijau dilehernya. Macam nak terkeluar biji matanya merenung Pak Long marah. “Nah Long kain pelikat,” Harun tergopoh-gapah. “Ambilkan besen yang besar, ini kecil sangat ni,” terpaksa pula Rohana bergegas keluar rumah mendapatkan besen jemuran. Manalah Harun tahu sangat selok-belok besen dirumah anaknya itu. Makcik seha tidak bergerak, menggigil di bucu jendela memeluk langsir.
“Buwekkk..buweekk..burrr..,” acapkali gulungan kain menyinggah belakangnya bersembur Robiah muntah. Berjijiran sehingga membasahi permaidani Turki. “Hang nak keluar dari mana?, atau terus tinggal bermain lagi?,” Pak Long bertentang mata. Robiah diam. “Dari angin hang masuk, dari angin aku mahu hang keluar, mahu aku tolongkan?,” Pak Long tetap merenung dalam. Seketika Robiah seperti diserang sawan, kedua-dua tangan dan kakinya kejang keras. Harun bertambah risau, cepat-cepat dia meminta Rohana menghubungi hospital.

“Perlahan-lahan angkatkan kakinya, selimutkan,” attendan ambulan cuba menstabilkan keadaan Robiah. Makcik Seha ikut bersama meninggalkan kami dirumah. Jiran sebelah-menyebelah masing-masing membuat andai sendiri lalu pulang dengan persoalan.“Ana ambilkan pakaian kakak dan ibu kamu cepat,”. Maka, jadilah ia satu malam yang panjang buat aku dan Pak Long. Pak Long kelihatan terbuku rasa bersalah, banyak beristighfar dalam kereta.
“Alhamdulillah, Robiah tiada apa-apa, cuma sawan dan perlukan rehat. Doktor cakap terpulang sama ada berehat dirumah atau hospital. Selang sehari bawa Robiah ke hospital semula. Ubat dibekalkan,” Makcik Seha tak putus-putus bersyukur.

Menjelang Maghrib, rumah Robiah sudah dipenuhi khariah surau. Hal ini sudah disusunkan oleh Pak Harun dari semalam. Dialah yang berusaha mencari imam dan meminta pertolongan, mujurlah khariah juga tidak berkeberatan walau Harun tidak pernah sekalipun ke surau berkenaan. Asalnya dalam diam, Pak Long sudah memberitahu Harun, sama ada hendak diteruskan atau batalkan sahaja takut mudarat kepada Robiah sendiri, tambah Robiah baru sahaja keluar hospital. Namun, Harun menolak, perkara Robiah diserang sawan itu sudah acapkali berlaku, tidak ada kena mengena dengan rancangan asal mereka. Pak Long tersenyum tanda Harun menerima qada dan qadar. Alang-alang bersimpuh melunjur kaki.

Khariah disini aku amat kagum. Mereka mempunyai surau yang kecil tetapi menerima pelajar tahfiz yang agak ramai. Pak Long cakap kepadaku, terdapat guru tua yang uzur mendiami dikawasan khariah. Maka, pelajar-pelajar ini sukarela berkumpul bersama guru tua berkenaan. Dimana ini menunjukkan tanda kasih dan sayang mereka kepada ilmu dan juga guru.

Malam usai Isyak, alunan syahadah dan zikir bergema di setiap ruang rumah. Perasaan itu susah hendak aku ceritakan dan coretkan. Ia lain. Seolah-olah gema syahadah itu ditunggalkan kepada Sang Pencipta sekalian alam, memerintah dan mentadbir kerajaan malam dan siang. Lalu, muncul satu suara yang tegas dan lantang ditengah khariah membaca selawat. Bergetar hati aku. Bagai dibolak-balik dengan lautan sejuk.. La Illaa Ha Illallahhh..Muhammadur Rasulullah.. La Illaa Ha Illallahhh..Muhammadur Rasulullah..aku melihat Pak Long menitik air mata, berjurai membasahi kedut kelopak matanya. Rentang 7 garis dahinya menahan sebak tidak terhingga mengecapi nikmat sebagai hambaNya yang tiada apa-apa dihadapan Allah yang Maha Besar.

Selesai sahaja bacaan Yassin, ahli khariah dihidangkan sedikit jamuan. Rata-rata semuanya peramah dan ringan tulang, malah ada yang sukarela membasuh pinggan didapur. Tak keruan aku lihat Rohana dan Kak Maimun, kekok, mungkin pertama kali rumah itu didatangi jiran dan ahli khariah agaknya. “Ana lihat rumah ini patut dibukakan pintu dan tingkap setiap pagi, dan seeloknya selepas Subuh, jangan dibiarkan gelap, nanti kelak menjadi kubur pada penghuninya,” Haji Jumri berbicara dengan Pak Long. Matanya sayup ke dalam. Jubahnya singkat berpelikat, dan terdapat beberapa tampalan dihujung siku lengan baju.
“Tingkat diatas bersihkan, jemurkan segala isinya menghadap matahari,tutupkanlah serapatnya tingkap ketika matahari di bawah cuping telinga, bacalah Bismillah segala pujian-pujian kepadaNya,” Haji Jumri menambah dalam loghat Arab. “Terima kasih, Alhamdulillah, boleh saya teman Tok Guru pulang ke rumah,” Pak Long bersuara. Selalunya Pak Long, dia akan berusaha seboleh-bolehnya menambat hati seseorang yang disukainya dalam menuntut ilmu. Maka tidak hairanlah Pak Long sering ke Selatan Thailand menziarahi gurunya setiap 2 bulan.

“Anak muridku mengadu, rumahnya Haji Sopian bukan sahaja dihuni kita dan jin, malahan syaitan juga turut menumpang teduh dalam merosakkan ahli keluarganya, sehinggalah dia mengeraskan beberapa bacaan khusus dalam menghindarkan golongan syaitan ini daripada mengganggu,” kami tiba dihadapan rumah Haji Jumri yang hanya diselang 3 lorong. Rumahnya besar dan terdapat satu wakaf khusus ditepi rumah. Terdapat susunan sejadah dan rak kitab yang terpelihara. “Masuklah,” jemput Haji Jumri. “Maaflah Tok Guru, kami masih tetamu dirumah orang,” Pak Long menghulurkan salam perpisahan. “Haji Noh, sampaikanlah salamku kepada gurumu di Nara,” Haji Jumri tersenyum.
“Bukakan pintu ini, bukalah!!, aku nak balik!!,” jerkah Robiah. “Baringkan dia, dia tak sedar apa yang dilakukannya,” Pak Long masih berjaga semenjak kenduri doa selamat selesai. Jam sudah menunjukkan pukul 3 pagi. Ketika seiisi rumah sedang dibuai tidur, Robiah menghempas pintu. Berterabur ubat-ubat yang dibekalkan hospital. Bersusah payah Rohana memungutnya kembali. Merah mata Harun mengenangkan perangai anak sulungnya. Makcik Seha memujuk dan menenangkan Robiah.

“Mari Harun, mari Amin, kita keluar dari rumah sekejap,” Pak Long membimbing tanganku. Harun mengikuti dari belakang. “Tuuu..ada yang memanggilnya diluar,” Pak Long menunjukkan seekor anjing dihadapan pagar rumah. Anjing hitam yang dimaksudkan tidak bergerak, hanya menggoyangkan ekor, melibas-libas angin malam. Saiznya agak besar dan tegap. “Mari sini, aku nak tetak kepalanya dengan parang,” Harun menjadi bengis, kelihatan seperti orang hilang akal. Sudah semalaman Harun tidak tidur nyenyak, sehinggakan terpaksa mengambil ubat darah tinggi semasa di hospital semalam.

Pak Long berjalan menuju ke pagar dengan sebotol air Yassin. Agak lama Pak Long disitu dan akhirnya anjing itu disimbah air Yassin, mencicit bertempiaran hilang dalam semak-samun. “Mari kita masuk, ada sesuatu yang hendak dibincangkan,” Pak Long kelihatan segar berbanding kami berdua yang agak mengantuk dan penat.
Usai solat Subuh berjemaah seisi rumah,( kerana masing-masing tidak tidur menjaga Robiah), Kak Maimun seperti biasa datang menyiapkan sarapan. Katanya sewaktu memasuki perkarangan rumah, terdapat tompokan darah memercik diatas jalan sehingga ke semak. Kami tidaklah terkejut sangat kecuali Makcik Seha dan Rohana. Melopong bagai dicucuk jarum. Pak Long menyampaikan sedikit tazkirah dan nasihat pagi itu. Selesai sahaja tazkirah, Kak Maimun menjemput kami menjamah sarapan pagi di bawah bersama kopi o suam. Kopinya nipis, tapi pahit lemaknya sampai ke anak tekak. Amat menyegarkan mataku yang kuyu. “Bukakan semua jendela dan pintu, biar cahaya masuk, jangan di tutup,” arah Pak Long kepada Rohana dan Kak Maimun. “Bilik Robiah pun sama, biar mandikan panas matahari pagi, segala pakaiannya dalam almari kumpul dan basuh,” tambah Harun dihujung perbualan.

“Rumah ini sebenarnya bukanlah tempat laluan hantu Pontianak, hantu raya dan segala macam hantu yang orang-orang disini dakwa-dakwi, jangan didengar siul ular, nanti tergadai kampung,” Pak Long mententeramkan kami. “Rumah ini dahulu sudah ada yang berkenan, namun Robiah dahulu yang mendapatkannya, itu sahaja,” Pak Long membuka cerita asal rumah berkenaan. “Orang itu, tidak berpuas hati, kerana orang tengah dalam urusan jual beli rumah ini tidak amanah dan menipunya. Jadi, Robiahlah yang terkena tempias,” tambah Pak Long sambil menjamah mee goreng basah yang dihidangkan Kak Maimun.
“Jadi kenapa berdendam pada Robiah yang tidak tahu menahu?,” sampuk Makcik Seha. “Ini disebabkan Robiah yang selalu menyindir dan merendah-rendahkan kemampuannya,” Pak Long membalas. Harun merenung jauh. Langsung tidak dijamahnya hidangan.

Merenung kembali apa yang terjadi sewaktu Robiah habis menamatkan pengajian di luar Negara. Anaknya yang sulung itu membawanya ke ibu kota untuk meninjau rumah, maklumlah Harun merupakan kontraktor di Sabah. Sewaktu itu hanya tinggal beberapa unit sahaja yang kosong di taman berkenaan, namun hati Harun tertarik dengan rumah di hujung jalan. Selain daripada laman tambahan yang luas, rumah itu berhubung dengan tanah “reserved” berhubung jalan mati. Besar kemungkinan rumah itu dapat diubah suai dan ditambah satu unit lagi buat dia dan Seha menumpang teduh. Namun, rumah itu sudah ada pendeposit awal. Terpaksalah Harun memasukkan jarum dan akhirnya orang tengah yang ditugaskan bertindak memulangkan kembali wang deposit kepada orang sebelumnya. Orang itu tidak berpuas hati dengan alasan yang diberikan orang tengah ini.

Kebetulan, sewaktu Harun dan anaknya Robiah meninjau laman, orang itu muncul dan berlakulah pertikaman lidah. Robiah memaki hamun orang itu dengan kata-kata kesat dan cacian. “Sampaikan aku mati, aku takkan benarkan kau tinggal disini,” orang itu berlalu pergi dengan penuh kesalan dan dendam.
“Jadi bagaimana? Sama ada Robiah terus disini atau Robiah dibawa pulang ke Sabah,” ujar Pak Long. “Rumah ini selamat buat semua kecuali Robiah, seakan ada sumpahan dan sihir yang dikenakan padanya bersama tanah rumah ini, dan ia mengambil masa dipulihkan,” tambah Pak Long diakhir perbualan. “Aku bawa pulang sahaja Robiah ke kampung boleh Long, tinggal dirumah mak aku sementara waktu aku pulang ke Sabah,” Harun mengangguk faham dan dipersetujui anak isterinya. Muka Rohana berubah keriangan. Berbunga-bunga hatinya dapat balik ke kampung yang lama ditinggalkan. sEKIAN..SELAMAT BERPUASA DAN PKPB..

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

10 thoughts on “SAMPAI MATI”

  1. Macam baca novel. Terbaeklah bro. Aku rasa mcm hidup di era 60-70an je. 8/10 aku bagi. Lama aku tak jejak masuk ke laman Fiksyen Shasha ni.

    Reply
  2. Cite panjang berjela…ayat berkias sangat..mungkin ade orang paham dan mungkin ade yang tak paham..intro tak lengkap tak bagitau dulu nama orang yang terlibat.

    Reply
  3. Terbaik bang… tak pernah miss kalau mat tepos ni post cerita.. maybe yg tak faham tu sbb tak pernah baca cerita mat kot…

    Reply
  4. mat tepos ni dah banyak kisah2 dia tulis di fiksyen shasha ni. semua ceritanya best2. mungkin ramai pembaca baru yang xkenal dan tak faham cara penulisan mat tepos ni.

    Reply
  5. setuju ngan zex .. maybe dorang x penah ikuti penulisan mat tepos ni. watak2 yg mat tepos citer macam paklong, ayah, ‘pakcik’ komando (lupa name nye) mmg sentiasa ade dlm penulisan nye. penulisan tentang pengalaman muda2 yg dia lalui .. byk iktibar n pengajaran kita dpt.

    Reply
  6. Terbaik cerita kau bro gaya penulisan macam tamar jalis yang mana cakap x faham tu abaikan je dah biasa sangat dengan ayat wechat sebab tu dia benak baca penulisan kau

    Reply

Leave a Comment