#Sekmung~ : Misteri Puteri Bongsu (Bahagian 1)

Assalamualaikum kepada semua pembaca. Saya Farah, bukan nama sebenar, berusia 30 tahun dan ibu kepada 2 orang anak ingin berkongsi kisah-kisah mistik atau seram yang telah saya alami dan tonton sepanjang hidup saya selama 30 tahun ini.

Kisah 1 : Puteri Bongsu
Yang ini, kalau sebut Puteri Bongsu, mesti pembaca tahu asal dari mana kan?Ye, dongeng yang terkenal di salah satu negeri Pantai Timur. Kejadian ini berlaku pada mak saya sendiri di mana Puteri Bongsu mendampingi mak saya sejak saya kecil. Ketika Puteri Bongsu dating ‘melawat’ mak saya, perilaku dan tutur kata mak saya berubah 360’, lain sama sekali. Pernah berlaku temu bual di antara Puteri Bongsu dengan bapa saudara saya yang suka melayan tika beliau datang.

  1. Saudara : Assalamualaikum. Ni siapa yang datang ni?
    P. Bongsu : waalaikumsalam. Hamba ini Puteri Bongsu (Tutur kata zaman dahulu digunakan)
    B. Saudara : Oo. Puteri Bongsu yang ada tujuh beradik tu ke?Kenapa datang singgah kat adik saya ni?
    P. Bongsu : Hamba suka dengan adik tuan hamba. Hamba datang singgah kerana rumah tuan hamba ini laluan utama hamba untuk ke sana. (sambil tunjuk jari ke belakang rumah kami. Ada bukit belakang rumah kami).
    B. Saudara : Puteri Bongsu ni muda atau tua?Berapa dah umurnya? (kemain melayannya)
    P. Bongsu : (mak saya sambil bersimpuh dan berlitup di kepala dengan tuala) Hamba ini sudah lanjut usianya, sudah cecah 300 tahun. Tua berkedut sudah saya. (sambil tunduk dan dengar beliau berzikir jika tiada soalan ditanyakan)

Saya ketika itu berusia 8 tahun hanya duduk memerhatikan mak saya dan kejadian itu tidaklah menakutkan Cuma tiap kali bertentang mata, rasa meremang tu ada. Beliau ketika itu lebih banyak tunduk dan tidak melihat kepada sesiapa. Banyak lagi temubual bersamanya dan saya ringkaskan. Antaranya nasihat beliau tentang solat, amalan berzikir. Di akhirnya, sebelum beliau pergi, beliau akan meraup wajah menggunakan kedua belah tangan sehingga ke kaki dan selepas itu mak saya tersedar.

Bila ditanya kepada mak saya, mak berkata semasa kejadian, mak seperti memerhatikan kami sahaja tanpa berbuat apa-apa dan tidak sedar apa yang diperkatakan selama Puteri Bongsu menumpang tubuh badan mak saya. Kejadian ini berlarutan sehingga saya berumur 12 tahun dan selepas itu Puteri Bongsu sudah jarang melawat mak kerana syarat yang dikenakan kepada mak mungkin berat untuk ditunaikan seperti melakukan solat tahajud setiap malam, membaca al quran dan amalan surah-surah tertentu untuk perkuatkan pendinding mak.

Mak memberitahu bahawa Puteri Bongsu menawarkan diri untuk membantu mak mengubati orang sakit tetapi mak menolak kerana merasakan bantuan itu berat untuk dihadapi oleh mak. Ye lah, risiko mengubati orang sakit ini banyak. Lama kelamaan Puteri Bongsu jarang datang dan tidak datang melawat mak lagi. Mungkin beliau sudah bertemu orang yang lebih sesuai untuk diampinginya atau rumah kami bukan menjadi laluan utamanya lagi. Asalnya kejadian ini berlaku mungkin kerana sejak muda lagi mak saya sudah sakit akibat buatan orang namun Alhamdulillah mak saya tabah dan kuat orangnya.

Kisah 2 : Bomoh Siam
Kejadian ini berlaku dalam garis masa yang sama lagi, ketika saya berusia 7 atau 8 tahun. Maaf lupa kerana terlalu banyak kejadian yang disaksikan ketika kecil. Kisah ini terjadi kepada mak saudara saya, Kak Ja. Saya sendiri tidak mengetahui bahawa Kak Ja sakit kerana tingkah lakunya keliahatn normal pada amatan saya. Tidak banyak info yang saya dapat ketika itu. Cuma satu ketika kami memanggil seorang mak cik, Maksu yang pandai mengubati orang sakit. Sewaktu upacara mengubati Kak Ja, Maksu telah berdondang sayang atau membaca syair seumpama itulah (amalan menurun. Maafkan kami yang agak jahil masa tu tidak panggil ustaz @ pengamal perubatan Islam).

Selepas menurun, mulalah Maksu tidak sedarkan diri dan tiba-tiba Kak Ja pun tidak sedarkan diri dan mula meracau dalam bahasa yang tidak kami fahami. Bila diamati, Kak Ja meracau dalam Bahasa Siam sambil sedua belah tangannya dikepal dan mengetuk-ngetuk kedua kepalan tangannya. Bapa saudara saya memberitahu itu adalah mirip pada perbuatan Tok Sami yang sedang bersembahyang di kuil mereka. Masyaallah berdebar dan sedihnya saya ketika itu kerana memikirkan siapalah yang sanggup mengenakan Kak Ja kerana Kak Ja bukannya orang yang suka bersosial. Kak Ja hanya memerap di rumah. Kawannya pun hanya boleh dibilang dengan jari. Akhirnya Kak Ja berjaya dipulihkan. Puncanya sehingga kini tidak saya ketahui dan motif sihir ditujukan kepada Kak Ja pun tidak saya ketahui.

Kisah 3 : Jiran Bengis
Dalam Kisah 1 tadi, rumah yang dimaksudkan adalah rumah datuk saya. Kali ini berlaku masih di garis masa yang sama. Rumah saya rumah pangsapuri di tingkat 1. Kami mempunyai jiran-jiran yang baik, baik Melayu mahupun Cina. Cuma ada satu jiran ni, saya dan kawan-kawan yang lain sangat takut kerana pada hemat kami, Pak Cik Ali sangat garang orangnya. Kalau orang lalu di hadapan rumahnya sambil bising-bising, terus Pak Cik A membuka pintu rumahnya dan menjengulkan kepala sambil memarahi orang tersebut.

Biasanya kanak-kanak yang jadi mangsa kerana kami suka berkejaran atau bermain basikal di tingkat 1. Tetapi itu menjadikan kami lebih nakal. Pernah kami mencabar satu sama lain, mengetuk pintu rumahnya dan sepantas kilat kami berlari mencicit menyorok di tangga. Terdengar Pak Cik A membuka pintu dan menjerit, “ Siapa suka ketuk-ketuk pintu ni?? Siap kalau aku dapat tahu siapa!”. Mengekek kami ketawa menahan bunyi.

Pernah satu ketika saya dan kawan-kawan bermain lumba basikal di tingkat satu. Rumah pangsapuri ini laluannya bersambung membentuk segi empat sama. Jadi seronoklah kami berlumba basikal. Saya mengejar kawan di depan tiba-tiba kawan menjerit ketika sampai di depan rumah Pak Cik A dan lebih malang lagi Pak Cik A membuka pintu rumahnya ketika saya sedang mengayuh basikal di depan rumahnya. Takkan dapat saya lupakan jelingan dan cerlung mata bulatnya yang penuh api kemarahan itu. HAHAHA. Macam kaku kejung kaki dibuatnya. Terus saya lajukan kayuhan tanpa pandang ke belakang lagi.

Sampai di hujung bucu jalan, rupanya kawan saya dah hentikan kayuhan sambil menunggu saya dengan tersengih-sengih. Membebel sebakul saya ketika itu.

Tak lama kemudian, mak saya mengandungkan adik saya yang ketiga. Kisahnya bermula mak saya kembali sakit seperti dulu. Sering meracau dan lupa diri. Sekali lagi keluarga memanggil Moksu untuk mengubati mak saya. Ketika itu Moksu menggunakan benang 7 warna, bunga jenis dan beberapa duit syiling. Saya ketika itu pelik dengan permintaan Moksu tapi sebagai budak yang baik saya diamkan tanpa bertanyakan kepada sesiapa apa logiknya berubat dengan segala benda yang saya sebutkan tadi. Sepanjang Moksu menurun dan tidak sedarkan diri, saya perasan tiada bacaan ayat quran digunakan tetapi bait-bait senandung gurindam entah apa dibacakan. Maafkan sekali lagi atas kejahilan kami sekeluarga ketika itu. Sewaktu mak tidak sedarkan diri (masa ini sarat menngandung), mak meracau-racau dan seingat saya mak ada menyebut Pak Cik A.

Saya waktu itu pelik apa kaitan dengan Pak Cik A? Namun saya diamkan sahaja dan lebih banyak memerhati. Akhirnya Moksu berkata, ada orang hantar hantu raya untuk mengacau mak saya. Hantu raya tersebut sudah Maksu hantar kembali kepada tuannya. Namun Maksu tidak menyebut siapakah pemilik hantu raya tersebut.

Keadaan kembali normal dan sudah lama saya tidak ketemu dengan Pak Cik A. Satu hari, kami dapat berita Pak Cik A sakit tenat dan perlu dibawa ke hospital. Ambulans datang untuk membawanya ke hospital dan ayah saya pergi menolong atendan mengangkat usungan Pak Cik A. Ayah menceritakan kembali, ketika membawa usungan Pak Cik A, usungan tersebut tersangatlah berat sehinggakan 6 orang perlu mengusung usungan tersebut. Pak Cik A sedikit gempal tapi ayah kata macam tidak logik saiz badan dengan berat beliau. Sepanjang perjalanan ke ambulans, Pak Cik A mengalirkan air mata sambil meminta maaf acap kali kepada ayah saya. Ayah saya hanya mententeramkan beliau. Mengapa perlu Pak Cik A meminta maaf kepada ayah saya sahaja?Jiran lain yang menolong ketika itu tidak pulau beliau mohon kemaafan.

Tak lama kemudian di hospital, beliau meninggal dunia. Akhirnya saya dapat tahu bahawa Pak Cik A pemilik hantu raya itu. Adakah kerana marah kepada kami yang berbuat bising menyebabkan Pak Cik A menyimpan dendam kepada keluarga saya? Hanya Allah yang tahu. Isterinya kini tinggal di Kuala Lumpur bersama anaknya. Hubungan kami dengan isterinya masih baik sehingga kini. Isterinya Pak cik A baik orangnya. Semoga roh Pak Cik A dicucuri rahmat oleh Allah. Kami sekeluarga tidak pernah menyimpan dendam kepada beliau.

Ok, setakat ini cerita dari saya. Akan ada sambungan selepas ini. Curi-curi masa menulis selepas anak-anak tidur. Saya akan kembali dengan cerita di bahagian 2. Terima kasih admin FS jika tulisan saya disiarkan untuk bacaan umum.

-Sekmung-

 

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 1]

3 thoughts on “#Sekmung~ : Misteri Puteri Bongsu (Bahagian 1)”

  1. “Kejadian ini berlaku dalam garis masa yang sama lagi, ketika saya berusia 7 atau 8 tahun. Maaf lupa kerana terlalu banyak kejadian yang disaksikan ketika kecil.”

    “Maafkan kami yang agak jahil masa tu tidak panggil ustaz @ pengamal perubatan Islam).”

    “Maafkan sekali lagi atas kejahilan kami sekeluarga ketika itu.”

    Ko ni biol ke apa? asyik2 minta maaf….jadahnya? cuba cerita je tak payah minta maaf. buat hilang mood je baca.

    “Saya Farah, bukan nama sebenar, berusia 30 tahun dan ibu kepada 2 orang anak ingin berkongsi kisah-kisah mistik atau seram yang telah saya alami dan tonton sepanjang hidup saya selama 30 tahun ini.”

    Tu yang ko guna nama farah tu tak nak pula minta maaf?

    Reply
    • Kahkahkah..lepas baca komen ko, mlas plak aku nak baca kisah bermaafan hari raya dia ni. Jadilah reader yg bijak seperti aku.

      Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.