Sepanjang Pengalaman Pekerja TNB

Assalamualaikum admin dan pembaca sekelian. Kali ini aku paparkan kisah pengalamanku sebagai seorang pekerja LLN/TNB dalam mencari sesuap nasi untuk keluargaku. Tahun 1983, aku mula bertugas di dalam Lembaga Letrik Negara di sebuah Stesen Janakuasa. Aku terpaksa menjalani training selama sebulan sebelum aku memulakan tugas giliran. Semasa berada di kantin, bermacam-macam kisah aku dengar tentang stesen janakuasa tempat aku bertugas.

“ Pernah saya terjaga dari tidur. Suasana sunyi sebab mesin tidak berjalan pada waktu malam jadi kami semua dapat melelapkan mata sekejap sebelum mula operasi pada jam 5 pagi. Saya nak ke tandas. Ketika melalui satu lorong, saya melihat Shafiq telah di heret menuruni anak tangga oleh sesuatu tapi tidak nampak siapa yang mengheret. Satu demi satu anak tangga Shafiq di heret. Terus saya berlari dan mengejutkan Shafiq. Terpinga-pinga dia bagaimana dia boleh berada di atas tangga. Semenjak hari tu bila kami semua nak lelap, kami akan berkumpul dan mengikat tali antara satu sama yang lain. “ Cerita Shukor.

Aku mendengar pun dah rasa kecut. Macam mana aku nak menghadapi tugas giliran tapi aku sedikit lega sebab aku tidak bertugas di bahagian janakuasa. Tempatku adalah di pencawang utama yang terletak bersebelahan dengan stesen janakuasa.

“ Aku pula macam lain. Ketika aku tidur, aku dapat merasai yang badanku seperti berada di dalam buaian. Bila aku sedar, aku berada di atas sebuah sampan yang terletak di dalam laut. Nasib baik benda tu letak aku atas sampan. Kalau di letaknya aku dalam laut, aku tak tau la.” Rakan-rakan yang lain ketawa mendengar pengalaman Non.

“ Macam mana la hangpa semua berani. Kalau makcik la, dah lama makcik laghi.” Kata makcik Salmah yang merupakan pengusaha kantin di stesen kami bertugas setelah mendengar cerita dari pekerja stesen janakuasa. Kami ketawa mendengar kata-kata dari makcik Salmah.

“ Nak buat macam mana makcik. Rezki kami di sini. Takut ka…tak takut ka, kami semua kena hadapi.” Kata Lokman dan kami semua setuju.

“ Ariff..you pula bertugas di bahagian mana.” Tanya Sarbath Singh.
“ Saya di dalam pencawang sebelah stesen.” Jawabku
“ You tau..Tempat you bertugas tu dulu tempat jepun pancung kepala masa perang dunia. Kami pernah nampak hantu tanpa kepala berjalan di kawasan you.” Kecut aku dengar cerita dari Sarbath Singh. Akhirnya aku mendapat surat dan di kehendakki memasukki tugas giliran bermula jam 0000 – 0800. Aku menerima berita ini dengan sedikit risau. Aku cerita kepada ayahku.
“ Tempat mana pun ada benda tu Budiman. Kerja kerana Allah dan Allah akan bantu.” Aku sedikit lega mendapat motivasi dari ayahku.

Tiba saatnya, jam 11 malam aku dah keluar. Masa tu aku belum lagi berumah tangga, jadi aku awalkan sikit ke tempat kerja. Mungkin dapat belajar sesuatu dari rakan yang telah lama bertugas. Aku di tugaskan bersama Remy iaiaitu orang yang lebih lama bertugas dariku. Katanya sudah 5 tahun dia bertugas di situ dan banyak pengalaman yang dia perolehi.

“ Alaa..Ariff. Hang jangan dok takut dengan hantu. Kita kerja buat tak tau sudah.” Kata Remy. Aku cukup lega bila mendapat rakan yang berani seperti Remy. Jam 3 pagi, aku mendapat panggilan talipon dari Sarbath Singh.

“ You sudah ambil reading di luar tak.” Tanya Sarbath
“ Baru nak keluar.” Jawabku ringkas
“ Tadi kami nampak hantu jepun tanpa kepala sedang berjalan pusing you punya tempat. Kalau you nak keluar, you ajak Remy.” Kata Sarbath. Aku terus mengajak Remy menemaniku dan aku ceritakan kepadanya apa yang Sarbath nampak..
“ Tak payah la Ariff. Jam dah 3.30 pagi ni. Esok pagi saja ambil reading” Jawab Remy. Aku sedikit hairan kalau jam 3.30 pagi dan kalau di namakan tugas perlu juga di laksanakan tugas tu. Memandangkan aku masih baru, maka aku menuruti apa yang Remy arahkan. Aku pun lega juga dari bertembung dengan hantu jepun. Akhirnya selesai juga giliran pertamaku.

Masuk giliran kedua, seperti biasa jam 11 malam aku sudah masuk bertugas. Aku melihat Remy telah pun baring terlebih dahulu. Aku biarkan saja. Kami bersepakat bertugas seorang 3 jam. Siapa yang datang awal, dia akan baring terlebih dulu dan Remy telah datang awal dan baring dulu. Aku akan kejut Remy pada jam 3 pagi dan aku pula akan baring. Aku membuat tugasan seperti biasa. Jam 2 pagi, aku terkejut seperti terlihat lembaga putih sedang memerhati aku. Lembaga tersebut seperti mayat sedang berdiri. Badannya di ikat seperti berada di dalam kubur. Aku dapat melihatnya dengan jelas. Kapas berada di dalah hidungnya, mulutnya. Di sekeliling balutan kepalanya juga di penuhi dengan kapas yang terkeluar daru kain kapan.

Aku batuk dengan agak kuat. Adakah aku sedang bermimpi atau ini kenyataan. Aku mencubit leganku dan terasa sakit. Ini bermakna aku tidak bermimpi dan benar lemabag berkain kapan sedang berdiri di hadapanku. Wajahnya kehitaman. Tiba-tiba dia berjalan ke belakang tempat Remy baring. Dengan cepat aku bangun untuk memastikan adakah dia berada di belakang panel tempat kami mengambil bacaan namun tiada. Bila aku ke depan, aku terkejut sekali lagi lembaga berkain kapan berada di hadapanku. Dia memandang tepat muka aku. Aku dengan cepat terus mengejutkan Remy.
“ Remy…Remy…Bangun…Aku nampak ada mayat berdiri tadi di depan.” Kataku kepada Remy. Cepat-cepat Remy berkata
“ Hang jangan cerita la tengah-tenmgah malam ni. Hang tengok bulu roma aku dah terpacak. “ Kata Remy dan meneruskan tidurnya. Jam 3 pagi aku kejutkan Remy untuk bertugas manakala giliran aku pula yang baring namun Remy tidak mahu bangun dan meneruskan tidurnya.

Aku dah terlalu mengantuk dan akhirnya aku terlelap di atas bangku panjang. Aku sendiri tidak sedar jam berapa Remy bangun. Selepas subuh remy datang kepadaku.
“ Satu hari, aku akan tangkap mayat yang hang cerita semalam. Dia jangan buat main dengan aku.” Aku menjuihkan mulutku bila mendengar kata-kata Remy. Bermula saat itu tahulah aku yang Remy seorang yang penakut dan dia sengaja menunjukkan kebeberaniannya kepada rakan-rakan yang baru. Itulah pengalamanku sewaktu bertugas di salah sebuah stesen janaletrik.

Akhirnya kami mendapat berita, stesen janaletrik akan di tutup. Aku dan rakan-rakan telah di pindah ke bahagian daerah negeri Pulau Pinang. Tugasan kami tidak lagi di dalam pencawang. Kami terpaksa bertugas di luar kawasan. Kami mendapat arahan dari Pengurus Daerah untuk meninjau keadaan penggunaan. Kami akan bertugas di pencawang elektrik selama 24 jam. Aku telah di pilih untuk membuat tinjauan di sebuah pencawang elektrik di Tanjung Bungah. Ia sebuah banggunan yang terbengkalai akibat ekonomi yang jatuh ketika itu. Pencawang elektrik telah di bina di situ manakala lot kedai belum lagi siap sepenuhnya. Waktu siangnya aku ke situ untuk membuat tinjauan sebelum memulakan tugas pada tengah malam. Waktu siangnya tidak menggerunkan. Banggunan tersebut di kelilingi hutan rimba. Aku ke tingkat atas terdapat sebuah kolam renang yang tiada air di dalamnya. Kolamnya baru 50% siap. Aku telah mendapat sedikit gambaran sebelum memulakan tugas pada malam hari.

Jam 11 malam, aku keluar menuju tempat yang aku kena standby. Aku memilih jalan dekat berbanding jalan yang jauh iaitu melalui laut. Keadaan jalan memang terlalu sunyi. Kereta jarang melalui jalan tersebut. Dari jauh cahaya lampu motosikalku telah menyuluh sesusuk tubuh seorang wanita memakai telekung dan sedang menggendong bayi di dalamnya. Baru aku ingat jalan yang aku lalui merupakan tempat seorang wanita di bunuh dan mayatnya di tanam di dalam belukar kawasan itu. Agak hebuh jugak kisah itu hinggak masuk dak akhbar-akhbar tempatan.

Aku berhentikan motosikalku. Dalam hati nak patah balik dan mengambil jalan lain atau redah saja. Tempat tujuku pun tidaklah jauh sangat. Akhirnya aku mengambil keputusan meredah laluan tersebut. Aku baca Bismilllah dan terus memecut melepasi wanita yang sedang menggendong anaknya. Perlahan saja dia berjalan. Aku agak lega sebab tiada apa-apa yang berlaku terhadapku. Akhirnya aku sampai ke tempat pencawang elektrik. Terlalu gelap di situ. Aku terus menggunakan lampu suluh memasukki lorong-lorong banggunan. Terasa amat seram seperti ada yang sedang memerhatikan aku.

Aku mengeluarkan buku mastika lalu membaca. Itulah buku kegemaranku ketika itu. Jam 2 pagi aku dapat mendengar sesuatu bunyi dari tingkat atas. Ia seperti orang sedang terjun dalam kolam. Seperti ramai yang sedang mandi kolam di tingkat atas padahal siang tadi aku dah tengok kolam tersebut baru 50% siap dan tiada air. Memang aku tidak berani pantau apa yang terjadi di atas. Lama kelamaan ia terus senyap. Jam 3 pagi, aku mendengar suara tangisan bayi berdekatan roller shutter. Semakain lama semakin jelas dengar bayi yang menangis di ikuti bunyi ketukan serta cakaran di roller shutter. Kalaulah roller shutter terbuka secara automatik ketika itu, nescaya aku pasti akan pengsan.

Aku ke arah pintu dan mengintai dari lubang pintu. Seram aku dari cahaya bulan yang terang, aku dapat melihat kelibat seorang wanita yang aku jumpa di tepi jalan bertelekung dan menggendong bayinya sedang berdiri depan roller shutter. Anjing kedengaran menyalak-nyalak di luar..
“ Woo..wooo..woooooo…” Bunyi salakan anjing di ikuti bunyi ketukan di roller shutter. Aku membaca ayat-ayat suci al quran apa yang aku ingat saja ketika itu. Aku begitu takut. Janganlah roller shutter terbuka dengan sendirinya. Akhirnya suara tangisan dan ketukan terus hilang. Tiba-tiba aku terdengar pula ketuka di pintu utama. Tombol pintu di pulas. Nasib baik aku telah menguncinya terlebih dahulu. Suara tangisan bayi terus kedengaran dan suara ketukan terus bertamabah kuat. Mungkin dia marah pintu tidak di buka.

Terus teramng aku katakan yang ketika itu aku terlalu takut. Akhirnya aku membuka buku yasin yang aku bawa lalu membaca surah yasin dengan kuat. Biar wanita itu mendengarnya. Akhir suara ketukan dan tangisan terus hilang. Aku menghabiskan bacaan surah yasin. Akhirnya aku melihat jam di tangan menghampiri jam 6 pagi. Jam 6.30 pagi aku memberanikan diriku membuka pintu roller shutter untuk mengambil wuduk sebab hanya satu paip saja yang ada dan ia terletak di bawah. Kelihatan banyak kereta yang lalu lalang berdekatan pencawang elektrik. Itu membuatkan aku cukup lega dan akhirnya suasana yang gelap bertukar menjadi cerah. Burung-burung mula keluar mencari rezeki.Aku baru selesai separuh dari tugasku. Masih banyak jam lagi harus aku tempuh iaitu pada waktu malam.

Jam 6 petang, aku keluar ke gerai dan membeli makanan untuk makan malamku. Jam 7 petang, aku mengambil wuduk siap-siap dan kawasan pencawang elektrik mulai gelap. Aku menutup pintu roller shutter dan mengunci pintu utama.Dari jauh kedengar suara azan maghrib. Aku solat sambil berzikir. Sedang berzikir, aku terdengar tombol pintu sedang di pulas beberapa kali. Bila aku berhenti berzikir, tidak terdengar bunyi tombol pintu di pulas. Ketika solat isyak, ia kedengaran kembali. Kali ini lagi sakan ia mengusik. Pintu di ketuk. Kemudian di cakar-cakar dan tombol pintu di pulas. Aku ke arah pintu dan melihat pintu tombol berpusing-pusing sewaktu di pulas.
“ Ya Allah..Cepat la bagi sampai jam 12 malam. Aku nak balik.” Doaku. Hanya ayat-ayat suci Al Quran saja yang dapat menenangkan hati aku.

Tepat jam 12 tengahmalam, terus aku keluar dan turun ke bawah. Aku hidupkan injin motosikal dan terus memecut menggunakan jalan yang jauh. Pada kali ini biarlah jauh asalkan aku tidak bertembung lagi dengan wanita bertelekung putih mengendong bayinya. Aku cerita kisah aku kepada ibu dan ayahku..
“ Bukan senang nak cari rezeki Budiman. Ayah dah lalui benda macam ni dah lama.” Kata ayahku. Masih ada kisahnya lagi di beberapa tempat-tempat aku mencari rezeki.

Setiap bulan kami harus standby 24 jam untuk membuat survey tenaga yang di gunakan pengguna. Setiap bulan juga aku ternanti-nanti pencawang elektrik mana yang akan aku di tempatkan.
“ Ok Ariff. I want you to standby at PE B” Kata pomen aku. Aku sudah bayangkan yang pencawang elektrik tu terletak bersebelahan kubur. Walaupun pencawang itu tidaklah sunyi sebab sebelahnya merupakan jalanraya yang sibuk tapi bila kubur berada di sebelahnya, aku bayangkan yang lain. Jam 11 malam seperti selalu aku keluar menuju pencawang B. Pencawangnya hanyalah kecil. Aku terus mengeluarkan keperluan sebelum memulakan bertugas. Jam 1 pagi, sedang aku leka menulis maklumat penggunaan pengguna, tiba-tiba aku terbau sesuatu yang busuk dan hangit. Seperti ada benda yang terbakar.

Aku terus keluar untuk memastikan samada ada orang kampong ada membakar sampah. Bila aku keluar, tidak ada kelihatan benda terbakar. Aku masuk ke dalam semula.Sedang leka menulis, sekali lagi aku bau benda hangit dan kali ini terdengar seperti orang sedang bernafas kepenatan bersebelahanku.
“ Grrr…Grrrr….” Bunyi suara bernafas di belakangku. Bila aku pusing ke belakang dan memang aku terkejut bila melihat lembaga hodoh sedang berdiri. Mukanya seperti terbakar. Daging di mukanya berketul-ketul hampir jatuh ke bawah. Dia berjalan sambil mengheret kakinya. Terus aku lari keluar. Jantung aku bergerak kencang. Setelah lama berada di luar, aku masuk semula ke dalam lalu menalipon pomen aku. Aku katakan yang aku telah di ganggu. Akhirnya pomen telah menghantar seorang pekerja untuk menemani aku. Dia memperkenal dirinya sebagai Chandran.
“ Tadi pomen call saya minta saya tolong sama you. Dia tak cakap sebab apa. You tau kenapa dia suruh aku teman sama you.” Tanya Chandran. Aku terdiam. Kalau aku berterus terang nescaya Chandran cabut lari. Jam 4 pagi Chandran ke tandas yang terletak di dalam pencawang. Aku merasa tidak sedap hati. Agak lama aku menanti Chandran tetapi dia masih tidak keluar. Terus aku masuk dalam dan terkejut bila melihat Chandran tertiarap dan pengsang di dalam tandas. Terus aku talipon pomen.

Pomen dan beberapa pekerja yang lain datang. Akhirnya Chandran tersedar dan badannya menggigil.
“ Boss aku tak mau kerja sini. Tempat ni haunted.” Kata Chandran. Pomen suruh Chandran tenangkan diri dan minta Chandran cerita apa yang terjadi.
“ Aku nak buang air besar. Aku pun masuk dalam toilet. Tiba-tiba aku terdengar suara seperti orang bernafas. Banyak kuat. Aku panggil Ariff. Aku ingat hang masuk dalam tapi tadak jawab. Aku bau banyak busuk. Bila aku buka pintu, aku terkejut bila nampak orang hudoh. Daging dia penuh di muka dan berdarah. Lepas tu aku tak ingat apa.” Akhirnya pomen membuat keputusan membatalkan standby kami pencawang B. Aku merasa cukup lega dan aku pulang ke rumah membawa seribu kisah seram.

Agak lama juga aku tidak di ganggu bila di arahkan standby. Sedikit sebanyak aku telah melupakan kejadian sebelum ini. Bagi aku itulah asam garam dalam mencari rezeki. Suatu hari, aku telah di arahkan standby di satu pencawang masuk utama. Ia merupakan bekas gereja lama dan pernah aku ceritakan sebelum ini. Pertama sekali bila aku masuk ke dalam kawasan, aku di sambut pengawal keselamatan. Dia terus membuat aduan yang semalam dia telah di cakar sesuatu di belakang. Terus di tunjuknya badannya yang telah di cakar. Nampak berbekas juga belakangnya. Katanya lagi ketika dia sedang duduk di atas bangku, tiba-tiba kakinya di angkat dan di pusingnya ke kiri dan kanan. Terus dia lari keluar dan tidak masuk ke dalam lagi.

Belum lagi aku masuk ke dalam, aku sudah mendapat cerita yang menakutkan. Aku gagahi juga masuk ke dalam dan membuka lampu. Syukur sepanjang aku berada di dalam, tiada gangguan berlaku. Tiba-tiba terasa nak buang air kecil. Ini yang tak sedap sikit sebab tandas berada jauh di belakang dan aku harus menempuh laluan mesin-mesin yang besar. Dah tak tahan sangat, aku terus ke belakang..
“ Ariff…Arifff…Pi mana tu.” Tiba terdengar suara orang menegurku. Takkan pengawal keselamatan yang menegur. Aku terus tidak memperduli teguran tu.
“ Ariff…Hehe.” Tiba-tiba terdengar suara ketawa dan suara itu suara seorang lelaki. Aku menuruni anak tangga ke toilet. Bila selesai buang air kecil, aku basuh tangan, Tiba-tiba aku melihat seorang lelaki berpakaian kot hitam sedang berdiri di depan pintu.

Apalagi aku terus cabut lari dan memanggil pengawal keselamatan masuk ke dalam menemani aku. Nasib baik pengawal tersebut suka berbual dan malam itu kami cuba melupakan apa yang telah berlaku walaupun sekali sekala kami menoleh ke belakang seolah-olahnya ada sesuatu. Syukur malam itu tiada gangguan di bilik tempat aku menulis hingga ke siang harinya. Itu sebahagian dari pengalamanku. Insyaallah ada kelapangan aku akan sambung lagi.
…Ariff Budiman Zainal Abidin

hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

17 thoughts on “Sepanjang Pengalaman Pekerja TNB”

  1. Bagusnya ariff kuat semangat. Kalau saya tentunya dah berhenti kerja. kak yulie pun berani mcm arif jugak. dia tak takut hantu. apa benda pun dia tak takut. sebab dia sado

    Reply
  2. bagus cara penulis ni, walau nampak mcm2 dia mengaku yg dia takut. (walaupun aku rasa dia seorang yg berani) bukan mcm sesetengah org. actually takut sampai tercirit tapi masih mengaku berani, sembang.

    Reply
  3. best cerita pakcik ni, tulisan nya teratur…mati2 nek ingat yg pekerja TNB ni cuma buat reading meter, betolkan lampu2 yg rosak..rupenya kna jugak standby kat pencawang ea..selalu nek lalu, nampak rumah2 janakuasa TNB, terpikir jugak utk ape erk… skrg nek da tahu..skrg ni tentu pakcik da bersara erk?

    Reply

Leave a Comment