Disuatu malam yang cerah disinari cahaya bulan mengambang, kelihatan sepasang suami isteri tua berjalan perlahan menuju kesuatu kawasan. Yang lelaki berjalan didepan sambil memegang sebatang lampu suluh. Yang perempuan mengekori rapat dibelakang. Akhirnya mereka sampai ke tempat yang dituju. Iaitu sebuah sangkar yang diperbuat daripada batang-batang buluh yang disusun rapat.
“Ayam ni ada dua ekor maknya. Jantan betina. Nak sembelih yang mana dulu?”
“Sembelih yang jantan dulu. Aku geram tengok badannya. Gemuk sangat. Mesti banyak makan nasi”
“Baiklah”
Pak mail akur dengan perintah mak senah. Dengan segera dia masuk kedalam sangkar dan menangkap yang gemuk itu yang sudah ditutup mulutnya supaya tidak berbunyi. Mak senah pula menggali sebuah lubang sedalam kira-kira satu kaki disuatu kawasan berhampiran dengan sangkar tadi. Kemudian pak mail membawa yang gemuk tadi ke lubang yang mak senah gali. Lantas pak mail mengeluarkan pisau belati yang baru diasahnya. Mata pisau itu kelihatan berkilat apabila disimbah cahaya bulan. Dengan sepantas kilat pak mail menoreh pisau belati tadi ke leher yang gemuk. Darah memancut keluar memenuhi lubang. Dibiarkan seketika. Apabila diyakini yang gemuk sudah mati, pak mail memasukkan yang gemuk kedalam sebuah guni.
Setelah itu pak mail pun menimbus lubang tadi. Kemudian dia memikul guni itu dan mereka berdua kembali semula kerumah. Kali ini mak senah pula berada dihadapan memegang lampu suluh. Setibanya mereka dirumah, pak mail meletakkan guni tadi didapur dan terus menuju kebilik air untuk mandi serta mencuci kesan-kesan darah ditangan. Kedengaran bunyi mak senah sedang memotong daging dan tulang didapur. Setelah mandi dan sementara menanti hidangannya masak, pak mail duduk di beranda rumah sambil menghisap rokok daun. Usai menikmati rokok daun, hidung pak mail tercium bauan tumisan bawang didapur. Perut tuanya berkeroncong. Namun pak mail sabar menanti hidangannya masak. Digulung lagi sebatang rokok daun. Tidak lama kemudian kedengaran bunyi mak senah menjerit dari dapur.
“Paknya,lauk dah masak. Marilah kita makan.”
Pak mail terus bangun dan berjalan perlahan menuju ke dapur. Dia duduk bersila diatas lantai disebelah mak senah. Pasangan laki bini itupun mula menjamu selera.
“Banyak isi ayam ni. Lemak pun tebal.” Pak mail bersuara.
“Ya, banyak sungguh isinya. Maklum la, ayam gemuk. Banyak makan nasi mungkin.” Balas mak senah.
“Kulitnya kau letak dimana?” Tanya pak mail.
“Ada tu didalam baldi. Besok kau boleh jemur.”
“Nanti tulang-tulang ini semua kau kumpul macam biasa. Aku mahu tanam.”
“Iya,aku tahulah.” Jawab mak senah.
Mereka berdua terus menikmati hidangan dengan penuh berselera.Begitulah kehidupan sepasang suami isteri tua disebuah rumah usang dihujung kampung. Bukannya mereka tidak mempunyai anak. Mereka ada memiliki seorang anak perempuan tunggal yang sekarang sedang menuntut disebuah universiti di utara tanahair. Anak perempuan mereka hanya pulang sebulan sekali. Atau kadang-kadang dua bulan sekali. Ketika itulah baru mereka dapat makan bertiga.
******************************
Kampung Rumbia, sebuah perkampungan yang tenang. Tetapi tiada siapa pun yang menyangka setenang-tenang kampung rumbia,terdapat satu musibah yang sedang melanda perkampungan ini. Penduduk kampung sebenarnya sedang berhadapan dengan masalah kanak-kanak hilang. Setakat ini sudah lapan orang kanak-kanak yang hilang dan masih belum dijumpai. Pelbagai cara telah dilakukan oleh penduduk kampung bagi mencari dan mengesan semua kanak-kanak yang hilang itu tapi semuanya menemui jalan buntu. Kanak-kanak yang sudah hilang pasti tidak akan dijumpai lagi. Seolah-olah disorok bunian. Apa yang mampu mereka lakukan sekarang hanyalah berjaga-jaga serta memantau pergerakan anak masing-masing. Namun walaupun sudah berjaga-jaga dan melakukan pengawalan yang ketat tetapi malangnya kejadian kanak-kanak hilang tetap juga berlaku. Perkara ini amat-amat merisaukan hati penduduk kampung.
******************************
Disuatu pagi pada hari minggu, zaki yang baru berusia sembilan tahun bersama-sama abangnya rosli yang berusia tiga belas tahun kelihatan mengendap-ngendap di tepi hutan. Ditangan masing-masing terdapat sebatang lastik. Mereka berdua mencari mangsa buruan untuk dilastik. Apa sahaja haiwan yang melintas,pasti akan dilastik oleh mereka.
“Abang sakit perut lah. Abang nak balik sekejap. Tak tahan sangat ni” Tiba-tiba rosli bersuara.
“Kamu tunggu sini ya. Nanti abg datang balik” Rosli menyambung.
Lantas dengan tergesa-gesa rosli berlari meninggalkan adiknya berseorangan di tepi hutan.
Zaki yang ditinggalkan berjalan perlahan menyusuri tepi hutan. Matanya melilau memandang kedahan pokok. Mencari kalau-kalau ada burung atau tupai yang boleh dilastiknya. Sedang dia asyik mendongak keatas,tiba-tiba dia dikejutkan dengan satu suara.
“Hah, cari apa tu?nak curi buah ke?” Suara itu menyergah.
Terkejut sungguh zaki apabila disergah sebegitu. Terus dia berpaling kearah suara itu. Dilihatnya seorang tua dengan muka yang bengis dan bermisai tebal sedang memandang kearahnya sambil mencekak pinggang.
“Tak.. tak.. tak ada pak.. pakcik. Zaki cu.. cuma lastik burung” Tergagap-gagap zaki menjawab.
“Ooo lastik burung ke..Pakcik ingat kamu nak curi buah rambutan pakcik. “
Orang tua itu kemudian mengukir senyuman. Zaki menjadi tenang bila melihat orang tua itu tersenyum.
“Ya pakcik, zaki cuma lastik burung.” Zaki berusaha untuk meyakinkan orang tua itu.
“Baiklah, pakcik percaya. Panggil aja pakcik, pak mail.”
“Baiklah pak mail.”
“Kamu seorang saja?” Pak mail menyoal.
“Tadi abang saya ada. Tapi dia balik rumah. Katanya tak tahan sakit perut.”
“Nanti abang kamu datang balik ke?”
“Ya pak mail. Katanya dia akan datang balik.”
“Sementara kamu menunggu abang kamu datang,mahukan kamu kerumah pak mail dulu? Di rumah pak mail ada buah rambutan. Kamu boleh makan sepuas-puasnya.”
“Buah rambutan?” Zaki mula teruja.
“Ya buah rambutan. Zaki boleh makan sepuas-puasnya” Balas pak mail.
“Zaki suka buah rambutan. Baiklah,zaki ikut pak mail.” Nada suara zaki berubah keriangan.
Zaki pun mengikut pak mail kerumahnya. Jarak perjalanan mereka tidaklah jauh sebenarnya. Rupanya lokasi zaki berada tadi cuma beberapa meter sahaja daripada rumah pak mail.
Setibanya dirumah,pak mail lantas mengajak zaki naik. Zaki menanggalkan selipar birunya ditangga dan terus melangkah naik kerumah.
Pak mail mempersilakan zaki duduk. Kemudian dia masuk kedalam. Tidak lama kemudian dia pun keluar bersama sebakul rambutan.
“Nah,makan lah.” Pak mail mempelawa zaki makan.
Zaki kelihatan teruja melihat buah-buah rambutan yang kemerah-merahan. Dengan laju dia terus mengupas kulit rambutan dan memakannya dengan gelojoh sekali. Sebiji demi sebiji dikupasnya. Pak mail tersenyum melihat gelagat zaki. Perlahan-lahan pak mail bangun dan terus berjalan menuju ke dapur. Pak mail mencari-cari mak senah didapur. Tetapi kelibat mak senah tidak kelihatan. Kemudian pak mail keluar melalui pintu dapur menuju ke belakang rumahnya. Disitu dia terserempak dengan mak senah yang sedang menjinjing sebuah baldi berisi lebihan nasi semalam.
“Dari mana kau.” Pak mail bertanya.
“Aku bagi makan ayam tadi.” Mak senah menjawab.
“Tu,aku ada bawa balik lagi sekor ayam. Ada kat atas rumah tengah makan rambutan. Kau pergi tangkap kurung dalam reban.” Pak mail memberi arahan kepada mak senah.
Mak senah meletakkan baldi berisi nasi tadi dan terus masuk kedalam rumah melalui pintu belakang. Sebelum melangkah keruang tamu mak senah sempat mencapai sebatang kayu yang berada diatas para. Dipegangnya kayu itu dengan erat dan dia terus berjalan perlahan-lahan menuju keruang tamu. Dilihatnya zaki yang sedang leka menikmati buah rambutan. Tanpa zaki sedari,mak senah lantas menghayun kayu itu ke kepala zaki. Zaki rebah disitu dan terus pengsan. Sebaik sahaja zaki pengsan,mak senah mencapai kedua belah tangan zaki lalu menyeret badan zaki yang tidak sedarkan diri keluar melalui pintu dapur menuju ke pinggir hutan dibelakang rumah. Disitu mak senah masukkan zaki kedalam sebuah kurungan buluh. Kurungan itulah yang mengurung yang gemuk sebelum ini. Mak senah membiarkan zaki yang sedang pengsan didalam kurungan itu. Sebelum meninggalkan zaki,mak senah terlebih dahulu mengikat tangan dan kaki zaki. Kemudian diletakkan pita pelekat di mulut zaki. Setelah itu dia mengunci kurungan tadi dan terus bergegas pulang semula kerumah.
******************************
Setelah selesai menyempurnakan hajatnya,rosli kembali ketempat itu. Dia mencari-cari adiknya namun tidak kelihatan. Dia memanggil-manggil nama zaki tetapi tiada sahutan. Hatinya mula dilanda resah. Dia bimbang dimarahi ayahnya kerana menyebabkan adiknya hilang. Rosli terus mencari. Dia berjalan tanpa arah. Sambil berjalan sambil menjerit memanggil-manggil nama adiknya. Perasaannya semakin cuak. Dia terus berjalan di sepanjang tepian hutan itu. Akhirnya dia tiba disebuah rumah. Itulah rumah pak mail. Rosli memandang rumah itu dari jauh. Tidak nampak kelibat manusia diperkarangan rumah. Lalu rosli pun mendekat.
“Assalamualaikum.” Rosli memberi salam.
“Waalaikumussalam.” Terdengar suara garau menyahut.
Kelihatan pak mail muncul dan berdiri di depan pintu.
“Kamu nak apa?” Soal pak mail.
“Saya sedang mencari adik saya yang hilang. Adakah pakcik nampak adik saya? umurnya baru sembilan tahun” Jawab rosli.
“Tak ada. Aku tak nampak adik kamu. Pergi cari tempat lain.” Pak mail seperti menghalau.
“Baiklah pakcik. Maafkan saya.” Rosli lantas mengundur untuk meninggalkan tempat itu. Secara tiba-tiba matanya terpandang sepasang selipar biru milik adiknya ditangga rumah. Dada rosli berdebar. Tetapi dia tidak berkata apa-apa. Lantas dengan sekuat hatinya dia terus berlari balik kerumahnya. Dipertengahan jalan rosli terserempak dengan ayahnya bersama beberapa orang kampung yang baru balik daripada menunaikan solat zohor disurau. Rosli terus mendapatkan ayahnya. Lantas diceritakan segala-galanya kepada ayahnya serta penduduk kampung yang berada disitu. Mendengar saja cerita daripada rosli,ayahnya serta beberapa orang kampung terus menuju kerumah pak mail. Dibawa sekali segala parang dan kapak yang sempat dicapai.
Setibanya mereka dirumah pak mail, mereka terus menyerbu masuk kedalam rumah. Pak mail yang sedang baring terkejut apabila melihat beberapa orang penduduk kampung menyerbu masuk kedalam rumahnya. Dia tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya membatu lantaran panik dengan kehadiran orang kampung yang ramai.
Haji dolah,iaitu ayah kepada rosli dan zaki kemudian memegang tangan pak mail seraya menghunus parang panjang ke leher pak mail.
“Dimana kau sorok anak aku?” Haji dolah bertanya.
“Apa kamu cakap ni? Aku tak tahu.” Jawab pak mail.
“Kamu jangan cuba berdalih. Aku tahu anak aku ada disini.”
Pak mail tidak menjawab.
“Kamu jaga dia.” Arah haji dolah kepada seorang pemuda tegap supaya menjaga pak mail daripada melarikan diri.
Kemudian haji dolah mengarahkan orang-orang kampung mencari disekeliling rumah. Mereka semua patuh pada arahan haji dolah. Masing-masing berpecah. Ada sebahagian mencari didepan rumah dan ada sebahagian lagi mencari dibelakang rumah. Haji dolah sendiri mengikut kumpulan yang mencari dibelakang rumah. Sekali sekala terdengar jeritan mereka memanggil nama zaki. Dalam keriuhan mencari,mereka terserempak dengan mak senah yang sedang mencangkung di sebalik rimbunan pepohon pisang. Orang tua itu kelihatannya seperti ingin menyembunyikan diri.
“Tangkap perempuan tu. Ikat tangannya.” Arah haji dolah.
Seorang pemuda menangkap mak senah dan mengikat tangan mak senah dengan tali. Kemudian dibawanya mak senah masuk kedalam rumah dan diletakkan bersebelahan dengan pak mail.
Orang-orang kampung meneruskan pencarian disekeliling rumah. Tiba-tiba terdengar jeritan daripada beberapa orang kampung disatu sudut didalam hutan.
“Oii,disini.. disini..”
Mereka yang berada dihalaman serta didalam rumah semuanya bergegas menuju kearah hutan. Tinggal seorang pemuda tegap tadi yang menjaga pak mail dan mak senah daripada melarikan diri.
Setibanya mereka disitu,haji dolah pun menjerit.
“Ya Allah anak aku.”
Dilihatnya zaki yang sedang pengsan berada didalam sebuah kurungan buluh dengan tangan dan kaki yang terikat. Disamping zaki terdapat seorang lagi kanak-kanak perempuan yang juga telah diikat kaki dan tangannya. Orang-orang yang ada disitu terus menakik batang buluh itu untuk memecahkan kurungan tersebut. Sebaik sahaja kurungan buluh itu berjaya dipecahkan,haji dolah terus menerpa masuk dan memeluk anaknya dengan linangan air mata.
“Panggil polis,panggil ambulan.” Terdengar satu suara memberi arahan.
Dilangit terdengar bunyi guruh berdentum menandakan hujan akan turun.
******************************
Susana malam itu menjadi hiruk pikuk dengan kehadiran orang-orang kampung diperkarangan rumah pak mail. Penduduk kampung semua dikejutkan dengan penyebaran berita ini. Kelihatan lampu siren beberapa kereta peronda polis dan ambulan menyinari ruang halaman rumah pak mail. Walaupun hujan turun mencurah-curah, penduduk kampung tetap tidak berganjak. Anggota polis forensik bersama beberapa ekor anjing yang terlatih juga telah berada di belakang rumah pak mail. Mereka sedang menggali dan mencari. Setakat ini sudah empat buah kubur ditemui. Yang didalamnya mengandungi tulang kanak-kanak berusia diantara tujuh hingga sepuluh tahun. Mereka masih lagi menggali walaupun hujan turun dengan lebat.
Apa yang lebih mengejutkan, anggota polis menemui beberapa batang kayu besar didalam sebuah bilik yang dikunci. Yang lebih mengerikan adalah disetiap batang kayu itu dijahit dengan kulit kanak-kanak yang telah dikeringkan. Pihak polis mengesyaki pak mail dan mak senah terlibat dengan ilmu pemujaan. Pihak polis mengambil batang-batang kayu itu untuk dijadikan bahan bukti. Dengan penemuan tersebut maka terbongkarlah rahsia pasangan suami isteri tua ini. Rupanya pak mail dan mak senah adalah pasangan yang amat kejam. Mereka berdua akan didakwa atas tuduhan menculik,membunuh dan memakan daging kanak-kanak. Sepandai-pandai tupai melompat,akhirnya jatuh ketanah juga. Segala perbuatan durjana pasangan suami isteri ini akhirnya diketahui juga.
Saat pak mail dan mak senah digari dan dimasukkan kedalam kereta peronda untuk dibawa ke balai,tiba satu teksi diperkarangan rumah. Dari dalam teksi keluar milah,iaitu anak perempuan pak mail dan mak senah. Milah terus berlari mendapatkan kedua ibubapanya.
“Pak,mak.. kenapa jadi macam ni? Kenapa pak dan mak buat macam ni? Milah tak sangka sungguh..” Jerit milah dalam esak tangis sambil memeluk kedua ibubapanya.
Pak mail dan mak senah hanya mendiamkan diri.
“Sudah,kami akan bawa mak dan ayah kamu pergi. Esok siang kamu boleh datang ke balai.” Kata seorang pegawai polis. Kereta peronda polis dan ambulan kemudian bergerak meninggalkan perkarangan rumah pak mail.
Malam sudah memasuki awal subuh. Hujan yang lebat tadi juga telah berhenti. Penduduk kampung beransur-ansur hilang pulang kerumah masing-masing. Dan akhirnya tinggallah milah keseorangan termenung ditangga rumah.
Perlahan-lahan milah bangun dan masuk kedalam rumah. Dia terus melangkah menuju kedapur. Kearah timbunan buah-buah rambutan disatu sudut dibahagian hujung dapur. Milah mengalih-alihkan buah-buah itu dengan tangan. Kelihatan dibawah timbunan buah-buah itu terdapat sekeping papan. Milah mengalihkan papan itu. Dibawah papan itu rupanya terdapat satu lubang kecil yang muat hanya satu orang sahaja melaluinya. Dengan berbekalkan sebiji lampu suluh milah masuk kedalam lubang itu. Kedalaman lubang itu adalah separas kepala milah. Tetapi dibawahnya mempunyai satu ruang seperti sebuah bilik kecil. Milah duduk mencangkung dan menyuluh disekitar ruang kecil itu. Disitu terdapat dua orang kanak-kanak yang sedang tidur. Tangan dan kaki mereka diikat dengan tali dan mulut mereka dilekatkan dengan pita pelekat.
“Hermm, gemuk-gemuk ayam peliharaan bapak aku ni.” Milah tersenyum menyeringai menampakkan giginya yang runcing.
TAMAT (atau ada sambungan?)
Penulis ; KAPTEN
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
bapak arrrhh, seram kot.. meremang baca
terbaik..
sambungg 🥺🥺
Best cerita ni. Patut ada lagi sambungannya sebab Milah pun pemakan daging manusia juga rupanya. Jijik sungguh kehidupan keluarga ini..sambung jangan tak sambung.
Takutnya takutnya takutnya …