Seram Di Pantai

Assalam dan selamat malam para pembaca FS. Peristiwa nie berlaku ketika aku di Tingkatan 4.
Persatuan Bahasa Melayu sekolah kami membawa semua AJK Tertinggi untuk berkhemah dan membuat lawatan di sebuah pantai yang terkenal dengan keindahannya di negeri kelahiran aku. Guru pengiring kali ini aku namakan Cikgu M. Jaraknya dari sekolah adalah lebih kurang 5 jam menggunakan bas.

Setelah sampai, maka pihak lelaki semua mula bergotong-royong membangunkan khemah besar, satu untuk peserta lelaki manakala satu lagi untuk perempuan. Agak besar la khemah tu, tak silap boleh memuatkan dalam 10 orang pada satu masa. Manakala budak-budak perempuan pula bergotong-royong menyediakan makan malam untuk semua.

Malam pertama berlalu dengan aman dan bahagia. Semua masuk tidur awal, mungkin kerana keletihan bergotong-royong. Esoknya, kami dibawa melawat ke perkampungan berhampiran dan melihat sendiri kehidupan nelayan di perkampungan tersebut. Petangnya, Cikgu M beri kebenaran kepada kami yang semua mandi laut.

Maka bebudak lelaki, dengan penuh kenakalan, bergurau-senda di sekitar pantai. Kemudian, kami jadi makin teruja apabila melihat ketam-ketam kecil keluar dari lubang dan melarikan diri di sepanjang pantai. Maka kami mula mengejar dan dengan menggunakan pisau, kami mula mencincang mana-mana ketam yang tidak sempat melarikan diri. Ada juga di antara budak-budak lelaki yang membelah ketam-ketam tersebut sebelum melemparkannya semula ke lautan.

Selesai makan malam pada hari tersebut, kami mula perasan yang angin menjadi semakin kuat dan cuaca seakan mendung. Cikgu M mengajak semua pelajar untuk berkumpul di hadapan unggun api untuk sedikit taklimat. Semasa Cikgu M berucap, ada seorang rakan perempuan yang mengadu dia dilempar dengan batu-batu kecil. Cikgu M memohon agar sesiapa sahaja yang berbuat demikian agar berhenti. Namun, usikan semakin menjadi apabila makin ramai budak perempuan yang mengadu menjadi mangsa. Kali ini, mereka dilempar dengan limau purut yang telah dibelah. Agaknya Cikgu M dapat merasakan sedikit seram maka dia meminta agar semua masuk ke dalam khemah dan jangan keluar bersendirian sehingga pagi menjelang. Kami semua akur dan masuk ke khemah.

Kemudian, kedengaran jeritan dari khemah perempuan. Peserta lelaki dan Cikgu M bergegas ke khemah tersebut dan mendapati seorang peserta perempuan sedang menjerit dan badannya dalam keadaan keras kejang. Cikgu M lantas membaca sedikit doa. Baru sahaja reda keadaan seorang, seorang lagi peserta perempuan mengalami perkara yang sama. Maka, Cikgu M meminta peserta yang beragama Islam untuk membaca ayat Kursi.

Setelah sekian lama membaca, akhirnya kedua-dua peserta perempuan tersebut sembuh. Apabila ditanya kenapa menjerit, mereka berkata mereka melihat seorang budak yang tidak berbaju dan berkulit gelap bersembunyi di perdu pokok kelapa dan melontar limau-limau purut ke khemas perempuan. Namun apabila mereka pergi mengejar, budak tersebut hilang tanpa kesan. Merasakan sesuatu yang tidak kena, Cikgu M segera membawa pelajar perempuan ke rumah Ketua Kampung yang terletak tidak jauh dari tapak perkhemahan. Setelah mendapat persetujuan untuk membenarkan peserta perempuan bermalam di situ, Cikgu M dan peserta lelaki kembali ke khemah.

Namun, kami diganggu dengan pelbagai jenis gangguan pada malam itu. Pada awalnya, ribut yang teruk melanda kawasan perkhemahan kami. Setelah ribut reda, kami terdengar bunyi tapak kaki melangkah dan berlari di luar khemah. Cikgu M melarang semua daripada keluar daripada khemah. Kemuncak gangguan adalah apabila khemah kami diruntuhkan secara kasar dan kami dihujani batu kerikil kecil dan belahan limau. Tuhan sahaja yang tahu betapa kami semua menahan diri daripada menjerit dan menangis.

Setelah pagi menjelma, kami kembali ke rumah Ketua Kampung dan bersarapan di situ. Ketua Kampung bertanya sekiranya kami ada berbuat onar atau berkelakuan tidak senonoh ketika berkhemah. Selesai bercerita, Ketua Kampung memaklumkan bahawa tindakan mencincang serta membunuh hidupan laut untuk tujuan bergurau serta tindakan membuang tuala wanita dengan tidak teratur adalah di antara kemungkinan punca gangguan yang dialami. Maka, Ketua Kampung mengesyorkan agar kami semua memohon ampun di atas tindakan kami semua kepada ‘penghuni pantai’ yang marah dengan tindakan kami.

Kami dibawa ke pinggir pantai dan masing-masing diminta untuk melempar duit syiling ke dalam laut sambil memohon maaf. Selesai acara tersebut, kami semua terus kembali ke bandar sedangkan jika mengikut jadual percutian, kami masih ada lagi sehari lagi untuk dihabiskan di pantai tersebut. Di dalam perjalanan pulang, rakan-rakan perempuan bertanya sekiranya kami ada datang ke rumah Ketua Kampung pada malam semalam. Apabila kami menyatakan bahawa kami langsung tidak berganjak dari tapak perkhemahan kerana gangguan, mereka bercerita bahawa sepanjang malam tersebut, mereka juga turut diganggu.

Awalnya, mereka mendengar suara Cikgu M dan beberapa rakan lelaki yang ingin masuk ke rumah tapi susah kerana rumah dikawal. Kemudian, ketukan demi ketukan di sekeliling rumah kedengaran sambil ‘Cikgu M’ menyebut nama beberapa rakan perempuan, memohon untuk membuka pintu atau tingkap untuk membenarkan mereka masuk. Apabila mereka memberitahu Ketua Kampung, beliau memaklumkan bahawa gangguan tersebut tidak boleh masuk kerana rumahnya sudah dipagar dan juga sebab ayat suci al-Quran terdapat di seluruh pelusuk rumah tersebut.

Pengajarannya – setiap tempat memang ada pemilik azali dan jangan bersikap kurang ajar serta celupar apabila berada di mana-mana. Kemungkinan kelakuan kita akan mengundang kemarahan ‘pemiliknya’.

Haiqal

8 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *