Pertama sekali, terima kasih kepada team Fiksyen Shasha yang sudi menerbitkan cerita aku ini dan terima kasih kepada semua pembaca yang sudi membaca kisah aku. Aku, diizinkan Allah hijab terbuka, jadinya selalu jugala aku Nampak ‘benda-benda halus’ ni. Ada yang datang dalam rupa yang elok, sempurna persis seorang manusia, ada juga yang datang dalam rupa yang ‘ngeri’ dan menakutkan. Kadang-kadang tu cukup dengan pakej bau-bauan, kalau bau harum tu boleh gagah lagi, tapi kalau yang datang dengan bau busuk, bangkai, dan tanah selut kotor tu memang kembang-kempis juga la hidung ni menahan baunya.
Berbalik pada cerita aku tadi, cerita ini adalah secebis dari pelbagai pengalaman yang aku lalui bila mana aku bertemu ‘makhluk halus’ ini. Bagi aku, ini antara paling aku aku ingati dan antara paling ngeri pernah aku hadapi. Tapi, terpulang pada penilaian pembaca.
Ceritanya begini, kira-kira 10 ke 11 tahun dahulu semasa aku di bangku sekolah, antara aktiviti wajib seorang pelajar adalah aktiviti perkhemahan dan dalam aktiviti ni antara tugas wajib ialah kembara malam. Masa tu, setiap pelajar akan dilepaskan seorang demi seorang ke dalam hutan dan kami diarahkan untuk mencari sendiri jalan pulang ke kem.
Sebelum itu, mata kami ditutup dengan kain dan kami dipandu oleh jurulatih jauh ke dalam hutan dan ditinggalkan di dalam hutan. Hanya selepas 15 minit barulah kami dibenarkan membuka kain penutup mata dan berbekalkan lampu suluh beserta peta kami harus mencari jalan sendiri. Wisel dibekalkan sebagai kecemasan sekiranya kami sesat, kami boleh meniup wisel itu untuk bantuan.
Lokasi aku ditempatkan dipinggir sebatang sungai, disatu kawan bertebing yang agak tinggi dari gigi air kira-kira 5 ke 6 meter tingginya. Gelap malam tanpa bulan dan bintang membuatkan aku sedikit seram sejuk memikirkan di manakah lokasi aku ditempatkan, semuanya kelihatan begitu asing. Sambil aku berjalan dan menyuluh kegelapan hutan, spontan aku terlihat sesusuk tubuh didalam sungai. Aneh, kerana sekali imbas seperti seorang manusia hanya berdiri kaku ditengah sungai tetapi langsung tidak kelihatan wajah walaupun kuhalakan lampu suluh ke tubuhnya. Aku hanya mengagak mungkin disebabkan pekat malam sebab itu wajahnya tidak terlihat.
Entah bagaimana terpacul dari mulut aku kata-kata lebih kurang begini bunyinya “abang, kenapa duduk kat sungai tu, malam ni, tak sejuk ke, tak payahla nak takutkan saya, saya tak heran la abang nak usik-usik saya”. Tiba-tiba, bulu roma aku dengan sendirinya meremang dan dapat aku rasakan seperti ada hembusan angina sejuk menerpa ke tubuh aku. Serentak, aku dapat meneka itu bukannya manusia.
Dalam keadaan itu, secara tiba-tiba ‘manusia’ itu membesar menjadi seakan-akan gergasi berdiri menghadap aku. Setinggi tebing tempat aku berdiri tinggi lagi lembaga itu dari tebing itu. “Allah”. Terpacul dari mulut aku. Aku cuba mencari kekuatan dengan membaca beberapa p****g ayat Al-Quran yang aku ketahui, dan aku terus berkata kepada makhluk itu “demi Allah, pergilah engkau dari sini, jangan ganggu aku, aku berlindung dengan kekuatan Allah” dalam keadaan mengigil dan gementar mengharapkan semuanya akan berakhir.
Tetapi, makhluk itu sedikit pun tidak bergerak, sebaliknya dia melihatkan tubuh dan wajahnya kepada aku. Tubuhnya secara tiba-tiba terlihat seperti bulu-bulu besar dan tebal, dan wajahnya menampakkan biji mata merah saga dan dari mulutnya terlihat gigi taring sebesar gading gajah yang melengkung dan dari mulutnya d***h merah segar meleleh turun beserta bau hanyir seakan-akan hanyir d***h dan bangkai meliputi tempat itu.
Mengigil kaki aku, terasa lemah dan hampir jatuh aku disitu. Perlahan-lahan aku cuba mencari kekuatan, lantas aku tunduk sujud dan berdoa kepada Allah agar dipermudah serta diberi kekuatan kepada aku. Dalam keadaan mengigil, aku cuba sedaya upaya membaca ayat-ayat Al-Quran sambil aku berteriak kepada makhluk itu, “tidak aku takut kepada engkau, melainkan Allah juga yang aku takuti, jika Allah berkehendakkan sesuatu, engkau sendiri pun tidak mampu menahannya, lebih baik engkau pergi dari sini, jangan diganggu aku”.
Perlahan-lahan tubuh Lembaga itu mengecil sedikit demi sedikit sehingga akhirnya menjadi seperti bebola api dan terus dia terbang hilang dalam kegelapan malam disusuli dengan hilai ketawa Panjang. Bau hanyir d***h itu pun perlahan-lahan menghilang. Spontan, aku terduduk, air mata aku sedikit menitik memikirkan bagaimana jika makhluk itu tidak tidak mahu pergi dan bertindak melawan aku, bolehkah aku melawannya tadi. Berbekan sebotol air mineral yang aku bawa Bersama, segera aku mengambil wuduk dan menggunakan kain penutup muka tadi, terus aku menunaikan solat hajat memohon perlindungan Allah memandangkan aku masih perlu mencari jalan pulang ke kem, terfikir aku jika perkara sama terjadi atau jika pandang aku ditutup hingga aku tersesat dalam hutan itu.
Alhamdulillah, aku berjaya sampai ke kem dan rupa-rupanya akulah peserta terakhir, masa aku sampai kelihatan jurulatih sudah berkumpul memikirkan apa yang harus dilakukan kerana jarak masa antara aku dengan peserta sebelum hampir 2 jam, dan jam pada masa itu hampir jam 3 pagi. Jurulatih bertanya apa yang terjadi dan aku hanya menyatakan aku tersalah jalan membuatkan aku menempuh jalan jauh untuk kembali kem. Hinggalah ke hari terakhir semasa semua peserta di dalam bas dalam perjalanan kembali ke sekolah, barulah aku ceritakan hal yang sebenarnya. Terkejut semua peserta dan jurulatih mendengarnya.
Begitula sedikit perkongsian pengalaman aku. Mungkin di lain masa, aku boleh berkongsikan pengalaman lain pula jika diizinkan team Fiksyen Shasha untuk aku coretkan. Terima kasih semua.
Assalamualaikum.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
best. share lah lagi…