Siapa gerangan mereka

Salam admin dan pembaca sekelian. Kisah ini bukanlah seram sangat tapi ia lebih kepada pengalaman semasa berada di bulan Ramadhan
Kisah ini berlaku pada tahun 80an. Ketika itu aku masih muda remaja. Kami berumur dalam 20an. Dali merupakan kawan karibku. Ayahnya Pak Yusuf setelah berhenti dari pekerjaan jurukur, banyak menghabiskan masanya di atas bukit. Dia yang di amanahkan adik beradik untuk menjaga tanah kebun kepunyaan ayah mereka. Agak tinggi juga nak mendaki ke kebun mereka tapi bila berada di atas, dapat melihat suasana pekan dan kampung. Datang bulan ramadhan dan ia bertembung dengan musim buah. Banyak buah yang mula gugur. Pak Yusuf banyak menghabiskan masanya di atas bukit. Kadang-kadang kami melihat dia membawa pulang berbakul-bakul buah durian dan di agihkan antara keluarga mereka.

“ Man..Jom kita tidoq atas bukit. Lepas subuh kita balik la.” Pelawa Dali. Pak Yusuf pula menyokong pelawaan anaknya.
“ Malam ni hangpa pi lepas maghrib. Pak cik pi awai.” Kata Pak Yusuf. Aku tidak berani mengaku selagi aku tidak beritahu hasratku kepada ibu dan ayahku. Walaupun aku sudah besar tapi aku masih berada di bawah jagaan mereka.Akhirnya aku menyuarakan hasratku. Ayah serta ibuku tidak menghalang. Janji mereka tahu aku berada di mana. Aku meminta ibu menyediakan makanan untuk aku bersahur di atas bukit.
“ Dali…Jom kita beli mercun di pekan. Malam ni boleh main atas bukit.” Aku bersuara dan Dali bersetuju.

Terus kami ke pekan. Mercun pilihan kami ialah mercun lada. Ia di jual dalam bentuk serangkai. Bila di buka rangkaian mercun dapatlah 10 biji mercun. Kami membeli seorang 5 rangkai mercun. Lepas solat maghrib, aku terus bersiap untuk keluar.
“ Budiman tak tunggu lepas isyak ka.” Tanya ibu
“ Nanti Budiman solat atas bukit. Ada anak sungai di atas untuk berwuduk.” Aku berkata kepada ibu. Ibu hanya mendiamkan diri tanda membenarkan.Lepas maghrib kami keluar dengan menaiki motosikal. Kami meredah kampung dan akhirnya kami sampai di penghujung kampong. Motosikal terpaksa kami tinggal di bawah dan mula mendaki bukit. Berbekal lampu suluh kami mengikuti jalan sempit menaiki tangga anak bukit.

Sekali sekala terasa seperti ada sesuatu yang mengekori kami. Kadang-kadang kami dapat rasa ia melintas di depan kami. Kiri kanan jalan di penuhi dengan lalang dan rumput yang tinggi. Aku menyuluh lampu suluh di merata tempat. Ia di kelilingi oleh pokok durian dan pokok manggis. Tiba-tiba terdengar seperti sesuatu bergerak di dalam lalang yang tinggi.
“ Diman..Hang dengaq tak. Ada sesuatu yang berjalan dalam lalang sebelah kita.” Kata Dali. Aku menyuluh kawasan lalang namun tiada apa yang dapat dilihat. Perjalanan kami masih lagi jauh. Kami baru berada di separuh pendakian.
“ Buat bodoh dah la Li.” Kataku dan kami terus berjalan. Sekali lagi kami terdengar dan dari cahaya lampu suluh, kami dapat melihat lalang seperti ada yang memijaknya.
“ Sapa tu.” Aku beranikan diri menegur.Suasana terus hening. Hanya terdengar bunyi cengkerik saja. Aku menyuluh ke arah lalang sebelah kami.
“ lagi sekali ganggu kami, kami baling mercun.” Aku mula mengugut terhadap benda yang kami sendiri tidak tahu.

Kami meneruskan lagi pendakian. Terdengar seperti ranting di pijak sesuatu sebelah kami.
“ Praappp.” Bunyi ranting patah. Aku terus mengeluarkan mercun dan lighter. Satu mercun di baling ke arah lalang.
“ Panggg..” Bunyi mercun membelah keheningan malam. Bunyinya bergema berpanjangan. Dali pula membakar lalau membaling ke arah lalang.
“ Panggg…” Bunyi mrecun bergema. Tiba-tiba sebiji buang macang hinggap di kepala aku.
“ Adoiih…Dajai….Anak harom.” Aku terkeluar ayat maki hamun. Takut pun sama. Sebiji lagi hinggap belakang Dali. Apalagi terus kami berlari mendaki dan akhirnya kami tiba di pondok dalam keadaan tercungap-cungap. Terkejut Pak Yusuf bila melihat keadaan kami.
“ Sapa ligan pulak ni.” Tersenyum Pak Yusuf.

Setelah berehat, Pak Yusuf menyalakan lampu minyak tanah yang di sangkut di pokok manggis. Terang sedikit suasana malam. Kami terdengar laungan azan isyak dengan jelas sekali. Dari azan itu sudah dapat mengagakdatangnya ia dari masjid mana. Bersahut-sahutan bunyi azan dapat di dengari dari atas bukit. Cahaya pekan dan kampong tempat aku di besarkan begitu indah dengan cahaya lampu.Aku terus turun ke anak sungai berdekatan pondok untuk mengambil wuduk. Pak Yusuf memotong pelepah pisang untuk di jadikan sejadah kami. Malam itu kami solat isyak berjemaah dengan Pak Yusuf. Pesan ayahku jika kemana sekali pun, jangan lupa bawa agama dan itu yang aku lakukan. Dari kecil kami di asuh tentang agama oleh ayah.

Syukur malam itu Pak Yusuf telah membakar ibu kayu dan di cicah dengan gula. Terasa begitu menyelerakan sekali ketika ubi kayu bakar di masukkan ke dalam mulut. Bila kenyang, aku bersuara kepada Dali
“ Dali..Jom kita main mercun.” Terus Dali mengeluarkan mercunnya. Kami duduk di atas batu yang agak tinggi dan mula bakar lalu baling di segenap ceruk. Terdengar suara mercun bergema hingga ke bawah. Memang mengasyikkan bermain di atas bukit.
“ Hoiii….” Terdengar suara jerkahan dari arah hutan. Kami terdiam melihat dan mendengar dari arah mana suara itu datang. Kami terus membaling mercun. Kali ni ke arah suara yang kimi dengari.
“ Panggg….” Seperti sedang berperang kami melontarkan mercun lada. Tiba-tiba sebiji buah macang hinggap di muka Dali. Tergolek Dali jatuh dari atas batu
“ Balikkkk..” Terdengar suara garau sedang marah menghalau kami. Tergamam kami mendengar dari aah mana datang suara itu. Tiba-tiba dari arah mana ranting tiba-tiba melayang lalu terkena aku. Nasib baik ranting tu jenis yang kecil.Apalagikami terus cabut meninggalkan kepingan mercun di atas batu.

Terus kami ke pondok. Pak Yusuf tercangak-cangak menanti kami datang ke pondok.
“ Li dan Diman masuk ke dalam pondok dan dok diam.” Tegas suara Pak Yusuf. Kami menurut perintah. Kami masuk ke dalam dan diam. Terdengar seperti ada orang berjalan di sebelah pondok kami. Bukan seorang tapi lebih sebab kami dengar seperti ramai. Kami mengintai dari lubang-lubang dan kami melihat sosok tubuh di kegelapan malam.
“ Depa ni tak faham lagi tempat ni. Jangan marah dekat depa. Depa anak-anak aku.” Terdengar suara Pak Yusuf. Kami hanya terdengar suara lelaki seperti sedang merungut.
“ Aku minta maaf bagi pihak depa. Aku akan nasihat depa.” Terdengar suara Pak Yusuf. Dekat siapa Pak Yusuf meminta maaf dan sebab apa. Itu yang bermain di mindaku. Suasana menjadi sunyi sekeltika. Kemudian terdengar sekali lagi bunyi orang berjalan di sebelah pondok kami. Pak Yusuf memanggil kami keluar dari pondok.
“ Sapa tu ayah yang mai tadi.” Tanya Dali
“ Orang kampong. Depa marah hangpa dua buat bising.” Jawab Pak Yusuf. Tapi kedatangan mereka bermain di mindaku. Dari mana mereka datang sebab di atas bukit yang tinggi mana ada perkampungan. Aku masih ingat Pak Yusuf pernah membawa kami ke atas bukit lalu di tunjukkan perkuburan lama. Terdapat dalam 6 kubur yang masih dapat di lihat. Pernah dulu ketika kami tidur, tiba-tiba pondok durian bergegar. Pak Yusuf memberi isyarat supaya diam dan tidak keluar dari pondok. Keesokkan harinya kami dapat melihat lekukan di bawah pondok seperti ada sesuatu yang menyusur. Kata Pak yusuf itu adalah naga jadian.

Dulu waktu remajaku, aku tidak dapat berfikir secara mendalam. Kini barulah aku mengerti bahawa bukan kita saja yang berada di muka bumi ini. Ada makhluk lain yang kita tidak dapat melihat berada di sekeliling kita.Kini bukit tersebut telah di beli dan jadikan kawasan perumahan mewah. Kisah ketika kami berada di atas bukit memang tidak dapat kami lupakan terutama ketika berada di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]
Ariff Budiman

3 thoughts on “Siapa gerangan mereka”

  1. Mcm penah baca cerita ni..tpi lupa kat mne..
    copy paste ke penulis org yg sme???
    sory kalau salah..yg pasti sye pnh baca cerita nie..
    just lupa kat mne…

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.