Siapa Yang Jawab Telefon?

Siapa Yang Jawab Telefon?

Oleh: ashraf H

Peristiwa ini berlaku pada tahun 2014 iatu 7 tahun lepas. Pada ketika itu, aku menyambung pelajaran aku untuk mendapatkan diploma di sebuah kolej swasta di Kota Bharu, Kelantan. Kisah seram bermula ketika aku baharu saja hampir sampai di stesen bas yang terletak di bandar. Biasalah, selang dua minggu sekali kebiasaanya aku akan balik ke rumah aku sebab negeri kelahiran aku hanya berjiran dengan negeri Kelantan…

Jadi, ketika itu aku hampir sampai di stesen bas. Aku terus menelefon kawan serumah aku iatu Fauzai untuk meminta tolong dia menjemput aku untuk pulang ke rumah sewa. Fauzai satu-satunya kawan aku yang mempunyai kereta, jadi dialah yang selalu ambil aku pulang dari stesen bas. Aku tanpa fikir panjang terus menelefon Fauzai. Sebaik panggilan diangkat, alangkah terkejutnya aku. Entah dari mana suara seakan seorang nenek tua yang tidak terdaya menyahut panggilan telefon aku, dialog dia bercakap lebih kurang berbunyi macam ni la “ Baliklaaa..mak sakit”, sekali lagi dia ulang ayat yang sama “Baliklaa..mak sakit”. Aku terus sentap dan rasa tidak sedap hati. Bisik hati aku “aku tersilap call ke nie?”.. terus aku letak telefon dan aku perhati memang tidak silap aku menelefon Fauzai sebab nombor telefon Fauzai memang aku save dalam telefon aku. Lagipun, aku baru sahaja pulang dari rumah, emak aku masih sihat walafiat jer. Mana ada sakit. “Issh tak boleh jadi ni”. Aku pujuk hati aku ni mesti kerja kawan-kawan rumah sewa aku yang nak mendajalkan aku. Pandai betul diaorang tiru suara seorang nenek tua yer. Selang beberapa minit, aku cuba menelefon Fauzai lagi sekali. Ya, kali ini memang Fauzai menjawab panggilan aku ibarat macam tiada apa-apa yang berlaku. Aku menahan diri aku seketika dari bertanya tentang panggilan misteri tadi.

Aku terus berlakon tenang dan anggap tiada apa yang berlaku. Setelah hampir 10 minit menunggu di stesen bas, Fauzai tiba dengan kereta Proton Saga dia untuk menjemput aku pulang ke rumah sewa. Aku apa lagi, tanpa berlengah terus menyoal Fauzai siapa yang berani menyakat aku di telefon tadi dengan suara seram tu. Fauzai dengan terpingga- pingga bertanya balik siapa pulak yang kenakan kau. “Aku tadi baru sudah mandi, lepas mandi baru aku call kau balik”. Balas Fauzai dengan serius. Aku dapat melihat wajah Fauzai memang tiada tanda dia menyembunyikan sesuatu. Kebiasaanya kalau member ada niat nak kenakan kita, mesti dapat baca riak muka member-member kita tapi tidak pada riak wajah Fauzai. Disebabkan penat aku pun malas nak ambik pusing walaupun masing tergiang-giang di telinga suara yang menyeramkan itu. Lagipun peristiwa itu berlaku dalam bulan Ramadhan. Ya !! dalam bulan puasa tu. Bulan puasa kan semua hantu dan syaitan diikat selama sebulan. Ujar aku lagi dalam hati.

Sampai je kat rumah sewa aku masih berlakon tenang. Aku cuba lihat reaksi setiap kelakuan dan riak wajah rakan-rakan rumah sewa aku yang lain. Aku lihat semua menyapa aku macam biasa tanpa tiada tanda nak gelakan aku sebab dah berjaya kenakan aku. Sampai je rumah sewa, aku terus lakukan rutin biasa iatu menelefon emak aku untuk memberitahu yang aku dah selamat sampai di rumah sewa. Biasalah emak ayah kita memang bimbang kalau terjadi apa-apa perkara yang tidak diingini sepanjang perjalanan pulang. Aku keluar ke balkoni di tingkat atas rumah sewa aku untuk menelefon emak.

Ketika sedang asyik bercakap, datang la seorang member aku yang bernama Soleh untuk menyindai baju basah di balkoni itu. Setelah dia melihat aku sedang bercakap, aku dapat melihat dengan jelas riak muka Soleh yang tiba-tiba bertukar menjadi terkejut beruk. Memang bukan dibuat-buat. Dia berkata “Eh biar betul sambil menunjuk jari ke arah aku”, dia terus berlari dengan laju menuju ke bilik dia. Aku apa lagi, terus memecut laju juga, dah macam acara lumba lari dengan Soleh. Masuk je dalam bilik, aku dapat lihat wajah Soleh masih seakan terpinga-pinga dan takut. Dia menyoal aku “kau bela hantu ke?”. Aku terus teringat tentang suara yang menjawab panggilan telefon aku ketika aku cuba menelefon Fauzai usai sampai di Kota Bharu tadi. Terbayang dalam kepala aku seorang nenek tua walaupun Soleh belum membuka mulut tentang apa yang telah dilihat oleh dia tadi. Aku terus menyoal tapi dia masih belum mampu menjawab.

Kecoh satu rumah sewa melihat reaksi aku dan Soleh yang baru sahaja menamatkan acara lumba lari. Malam itu, aku berasa terlalu takut. Aku terus membuka surah bacaan ayat Kursi dan Yaasin sebelum tido. Pada malam itu jugak, aku meminta izin kawan aku untuk tidur satu katil tiga orang dengan kawan aku. Keesokan pagi, Soleh baru bersedia membuka cerita tentang apa yang dilihat oleh dia di balkoni semalam. Apa yang sangat memeranjatkan dan meyentap hati aku ialah apa yang Soleh cerita memang tepat seperti apa yang aku jangkakan. Dia memberitahu bahawa ada entiti yang berupa seorang nenek tua, rambut beruban panjang berdiri betul-betul di belakang aku ketika aku sedang bercakap menerusi telefon di balkoni itu. Memang sah, makhluk itulah yang menjawab telefon aku semalam.

Untuk mengesahkan lagi hal itu, aku terfikir untuk cuba memeriksa rekod panggilan telefon bimbit Fauzai. Satu lagi perkara yang mengejutkan berlaku. Panggilan pertama aku terhadap Fauzai pada hari semalam tercatat simbol “terlepas panggilan” atau “missed call” yang menandakan memang tiada sesiapa yang menjawab panggilan aku ketika itu iatu 9.24 minit malam. Aku cuba membandingkan dengan rekod panggilan yang tercatat di telefon bimbit aku. Rekod panggilan di telefon bimbit aku memang menunjukkan “panggilan diterima” atau “Received Call” yang menandakan panggilan aku dijawab oleh seseorang. Memang jelas bertentangan dengan rekod panggilan telefon bimbit Fauzai pada waktu panggilan sama iatu 9.24 minit malam. Teknologi apa yang digunakan oleh makluk tersebut untuk menjawab panggilan telefon aku??. Memang tidak dijangkau oleh akal fikiran manusia. Hantu ini mungkin celik teknologi, hehehe.

Bimbang perkara buruk yang mungkin menimpa aku. Aku terus bercerita kepada ibu saudara aku yang kebetulan juga menetap di Kelantan untuk meminta pandangan beliau tentang perkara mistik itu. Ibu saudara aku terus membawa aku ke sebuah rumah ustaz yang mengamalkan perubatan islam yang memang pakar dalam perkara mistik. Misteri akhirnya terjawab. Ustaz tersebut dapat berkomunikasi dengan makhluk tersebut. Ustaz itu menyatakan bahawa nenek tua tersebut adalah jelmaan seekor pelesit belaan seseorang. Rumah sewa aku berdekatan dengan sebuah hospital, dan terdapat satu rumah mayat hospital yang berdekatan dengan taman perumahan rumah sewa aku. Pelesit itu baru sahaja kehilangan tuan, dan merayau di sekitar kawasan perumahan. Begitulah satu kisah seram yang berlaku dalam hidup aku dan masih segar dalam ingatan walaupun 7 tahun telah berlalu…

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

ashraf H

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.