Sihir Iri

Salam, dan semoga berada dalam rahmat-Nya sentiasa. Penulisan aku kali ini berkenaan perkongsian pengalaman aku sebelum berkahwin. Semoga mendapat manfaat dan iktibar.

Aku dan suamiku berkenalan sewaktu aku berada di akhir zaman persekolahan. Umurku ketika itu 16 tahun, namun aku berada di tingkatan 5. Dipendekkan cerita, jodoh kami dipanjangkan Tuhan, dan ketika masih dalam pengajian tinggi, aku mengikat tali pertunangan dengan suamiku, ketika aku berumur 21 tahun. Sepanjang tempoh pertunangan, kami dilanda pelbagai ujian, namun satu kisah ini, tak mungkin aku dapat lupakan. Fizikalku kecil, aku orangnya molek. Dikatakan cantik, aku bukan, tapi aku punya tarikan. Namun aku sendiri tak pasti. Mungkin kerana pesonaku, dalam percakapan dan tingkahku. That’s totally up to the eyes of the beholder.

Dijadikan cerita, setelah bertunang, suatu hari, aku bangun dari tempat tidur, lalu bergerak ke cerminku, merasakan sesuatu yang lain, aku membelek raut wajahku yang selalunya mulus, jari kecilku merasakan seperti butir-butir pasir halus timbul disisi pipiku. Kemerahan, dan sedikit membakar.

“Hormone barangkali”, bicaraku dengan bayang dalam cermin dihadapanku.

Lantas, aku bersiap seperti biasa untuk ke kelas. Seusai sarapan, aku bergerak ke kamar ibuku,

“Ibu, Ita nak gerak dulu ya? Balik malam sikit, hari ni ada kelas malam lah”, kataku, sambil mencium kedua tangannya yang halus, dan kedua pipi tuanya.

“Elok-elok drive”, kata ibu membalas.
“Kenapa pipi tu dik?” tanya ibu, sedikit risau melihat pipi anaknya kemerahan.
“Entahlah, Ita salah pakai cream kot”, balasku sambil melangkah keluar, endah tak endah.

Ibuku menghantarku ke muka pintu, dan lambaiannya menjadi pembuka perjalanan aku ke Universiti hari itu.

Begitulah rutin harianku, kadangnya aku pulang awal, seawal pukul 2 petang, kadangnya aku pulang lewat, hampir pukul 12 tengah malam jejak ke rumah. Perjalanan dari rumah ke Universiti mengambil masa 45 minit, bergantung kepada kelancaran trafik, dan setiap kali, aku berseorangan dalam urusan pengajianku. Kerana jarang aku dan tunangku berjumpa. Ibuku menjaga resam dan manis zaman daraku, agar sentiasa dalam keadaan terpelihara.

Hampir seminggu, kulitku menjadi semakin teruk, butir-butir merah kian merebak sehingga ke leherku, dari sisi pipi kiri, turun ke leher. Merah dan pedih. Adakala terasa panas. Aku mulai merasa tidak selesa, ibu ku juga mulai risau dengan keadaan kulitku.

“You, kulit I is worsen. I ingat nak pergi pakar esok, boleh teman?”, aku menghantar pesanan ringkas ke tunangku.
“Boleh, kita try dekat Hospital Pantai dulu.”, balas tunanganku.

Keesokannya, tunangku menjemput aku di rumah, dan selesai mendapat izin, aku dibawa ke Hospital Pantai untuk mendapatkan prmeriksaan dari doktor pakar. Hasilnya, doktor memberikan aku cream sapuan untuk dipakai, dan mengatakan bahawa keadaan kulit aku ini mungkin hasil pemakaian produk yang salah.

“Well, kena shopping produk baru lah ni?”, kataku sambil memandang encik tunang.
“Cantik je I tengok?”, balas si dia mengambil hati.
“Tapi you, I pakai cream apa je? Ada pun moisturiser sahaja, and it’s from Body Shop”, bicaraku menganalisis produk kosmetik yang aku gunakan. Biasanya pakai elok sahaja.

Selepas beberapa ketika, kulit ku menjadi semakin teruk. Cream sapuan doktor itu tak menjadi solusi indah buat aku. Berlarutan hampir sebulan. Dan dalam tempoh itu, aku, tunangku, dan ibuku berusaha bermacam ubat-ubatan, dari yang modern, hingga yang tradisional, masih tak membuahkan hasil. Suatu malam, aku memandu pulang dari Universiti agak lambat, kerana ada tugasan berkumpulan yang perlu aku bincangkan dan selesaikan. Perjalanan malam itu, agak sunyi kerana aku mengambil keputusan untuk menggunakan jalan dalam, bagi mengelak lampu isyarat di sepanjang lebuhraya AMJ.

Sesampainya di sebuah jalan yang memasuki kawasan perkampungan, kesunyian menerjah aku, berseorangan, tanpa sebarang kelibat kereta, dari arahku mahupun arah bertentangan, tiba-tiba akalku berputar memikirkan hal-hal mistik. Aku cuba mematikan idealogi yang sedang bermain di benak warasku, dengan membuka radio. Lagu-lagu yang diputarkan memecah keheningan hambar tadi. Jalan itu terasa lebih jauh dari biasanya,

“Lampu terpadam pula”, getusku apabila lampu di sisi jalan terpadam tiba-tiba dan kelihatan jauh dari aku.

“Allah”, terasa kereta sedikit berat. Ayatul Qursi mula menjadi peneman bibir. Aku melirik ke cermin belakang, Alhamdulillah, tiada kelibat ngeri yang terlihat.

Sungguh pun begitu, fikiranku sudahpun merawang ke lembaran-lembaran kisah seram yang pernah aku baca, tentang ‘penumpang malam’, kereta kuning tak berpemandu, lambaian cik pon. Namun masih aku gagahi dengan semangat yang ada meredah malam hening untuk sampai ke rumah. Aku menukar siaran radio dari Hot fm ke IKIM fm. Syukur, alunan merdu ayat-ayat al-Quran sedang dimainkan. Dan melepasi lampu jalan yang terpadam tadi, “pap”, lampu kembali menyala terang.

Aku membelokkan steering keretaku ke kanan, memasuki kawasan yang lebih hingar. Keretaku terasa ringan kembali. Dan tika itu, aku memecutkan keretaku, agar lekas sampai. Wajah ibuku terbayang di muka pintu.

“Cepatlah sampai”, bicaraku sendiri.

Sesampainya di depan rumah, aku bersegera turun dan memberi salam. Aku membaca ayatul Qursi, dan meludah ke sisi kiri 3 kali, sebelum melangkah masuk ke rumah.

“Ibu, tadikan Ita drive, pastu tiba-tiba kereta terasa berat. Lampu jalan tiba-tiba m**i bu”, ceritaku ke ibu penuh emosi.

“Habis kau bawak sapa je balik?”, balas ibuku bergurau.
“Lalu mana tadi?”, sambung ibu, serious kali ini dan memaling ke arahku.

“Lalu dalam”, balasku, dengan riak sedih dan takut.
“Mata kau dik, melawan ibu ni. Kulit kau pun tak baik lagi ni, ibu rasa ada orang dengkikan kau dik”, kata ibuku tiba-tiba.

“Esok ibu call Abg Man, suruh panggil Pak Ngah tengok-tengokkan”, sambung ibu lagi.

Aku berkemas, mandi dan masuk ke bilik untuk tidur. Memikirkan kata-kata ibu, aku cuba untuk mengenang semula tingkah dan kataku, mungkinkah ada tersalah kata, yang mengkecilkan hati orang? Naluri seorang ibu itu selalunya betul. Sambil berbaring, dan mataku memandang ke ceiling rumahku, aku giat muhasabah diri.

“Aku rasa, orang dengki tunang kau lah Jal. Dia kan cantik molek, mana tahu orang yang berkenan tak dapat, atau kawan iri. Elok kau usaha cara lain, dah beratus habis pergi specialist pun gitu jugak”, kata kawan kepada tunangku, sambil matanya memandang ke arah keadaan muka aku yang semakin teruk.

Malam itu, Pak Ngah dan Abang Man datang melawat. Arwah bapaku sudah lama meninggalkan kami, hampir 9 tahun, waktu itu. Jadi Abang Man lah yang sentiasa datang membantu dalam keadaan apa pun. Dia berpangkat pakcik, namun aku selesa memanggilnya Abang Man. Pak Ngah, datang hampir, melihat pipiku. Sambil membaca ayat suci al-Quran, dan menenyeh-nenyah ramuan ubat di dalam mangkuk kecil. Tiba-tiba ibuku keluar dari dapur, dan mnegarahkan telunjuknya kepada Pak Ngah,

“JANGAN KAU SENTUH BUDAK ITU, AKU NAK DIA M**I!!”, hilai tawa kedengaran, selepas ‘ibu’ menjerkah Pak Ngah sebentar tadi.

“AAAAHHHH HHHHAAAHHHAA, AKU NAK DIA M**I!!”, mata ‘ibu’ bulat memandang ke arahku. Kini telunjuknya ke arah aku. Suara ibu tegang, kasar.

“Allah, lahaulawalla quwata illahbilla”, ujar ibuku tersedar sendiri.

Aku yang dari tadi menghadap Pak Ngah, diam membatu. Hatiku berbisik, “Siapa pula nak b***h aku ni?”. Bulu roma ku meremang, dan aku memandang Pak Ngah masih tekun dengan bacaan ayatul al-Quran yang jelas kedengaran dari awal. Abang Man pula yang tadinya di luar rumah, masuk ke dalam, apabila mendengar ibuku kerasukan sebentar.

“Kak Ani?”, ujar Abang Man memanggil ibu. Memastikan akal warasnya pulang.

“Sian anak aku Man, ada orang dengki”, Kata ibuku, sedikit mengah. Ibu lalu duduk, mengusap wajah tuanya. Lalu beristighfar.

“AKU NAKK B***H DIAAAAA!!!”, jerit ibuku, kini lebih lantang.

Pak Ngah sedikit terperanjat, Abang Man memandang ibuku tepat, sambil bercekak pinggang, umpama pahlawan Melayu lama, mengawal dan memberi perlindungan untuk aku.

“Siapa kau, dari mana?”, ujar Pak Ngah mendapatkan pengenalan.

“AAAHHHAAAH, aku orang hantar, datang dari tuan aku!”, jeling ‘ibu’ ke Pak Ngah, namun lebih tenang. Namun hilainya seram. Matanya penuh benci.

“Apa tuan kau nak dengan budak ni?” tanya Pak Ngah, sambil mulutnya kumat-kamit memagar diri dengan bacaan suci ayat al-Quran.

“Tuan aku nak dia MATIII!!!”, balas ‘ibu’ sambil memandang aku, dengan sinis.

Kemudian ibu tersedar lagi, dia meraup mukanya dan beristighfar lagi.

“Balik ke tuan kau, anak aku tak ada dosa dengan kau”, kata ibuku, matanya memandang tepat ke pintu. Kini ibuku berdialog sendiri dengan ‘dia’.

Ibu datang ke arah aku, mengarahkan aku untuk membaca ayatul Qursi, kemudian ibu meraup kedua wajah aku, sehinga ke hujung kaki, namun sesampainya ke hujung kaki, ibu mulai menangis.

“Hhhnnnngggg, hhhhnnngg, aku minta maaaaaf”, ibu tunduk, mengongoi bagai anak kecil yang membuat khilaf.

“Pulang kau ke tuan kau”, ujar Pak Ngah. “Jangan kau ganggu budak ini lagi”, sambung Pak Ngah sambil mengisyratkan kepalanya sebagai tanda keluar.

“Aku maafkan”, kataku. Kasihan.
Kemudian ibu sedar.

“Orang dengki dik, kau nak tahu siapa?”, tanya ibu selesai semuanya.

“Tak pelah bu, biar tak tahu dari tahu”, balas aku.

Untuk makluman, aku di ‘hantar’ kayap api. Kata orang tua-tua, kalau kena di leher, bercantum melilit leher, boleh membawa maut.

Kadang dalam berkawan, ada yang dengki, ada yang iri. Aku tak tahu. Tapi kalau ada kawan-kawan aku yang aku sayang dengki dengan aku, aku maafkan kau, siapa pun kau. Harapnya, apa yang kau irikan, Tuhan bagi pada engkau. Kalau kau irikan kebahagian aku, aku harap kau bahagia.

Selepas malam itu, kemerahan dipipi aku kian surut. Dalam waktu 3 hari hilang. Dan hingga ke hari ini, aku tak tahu siapa dan kenapa. Buat sekalian pembaca, harapnya dapat sentiasa bersihkan hati. Mungkin bahagia dia sampai dulu, awak bersabarlah, Tuhan bagi bahagia awak lambat, tapi mesti ada.

Rating Pembaca
[Total: 7 Average: 5]

14 thoughts on “Sihir Iri”

  1. Aku baca separuh je, tak larat nak baca habis, confuse sebab masa tengah bercakap dengan ibu, tup tup masuk dialog kawan bercakap dengan tunang pulak. Saranan, tak payah mencuba sangat nak letak semua dalam bentuk dialog dan kurangkan bunga-bunga ayat yg tak penting sebagai contoh ‘tangannya yang halus’, ‘wajahku yang biasanya mulus’, straight to the point .. cuba cerita secara bersahaja, biasa je rileks dan kasual.. storyline dah menarik cuma cara persembahan tu boleh baiki sikit.

    Reply
  2. Kira nya kau nak cakap yang kau ni cantik lahh?? Aku perati je satu2 perenggan kau. Mesti ada ayat fefeeling. Muntah ijooo aku weyy ??

    Reply
  3. “Kadang dalam berkawan, ada yang dengki, ada yang iri. Aku tak tahu. Tapi kalau ada kawan-kawan aku yang aku sayang dengki dengan aku, aku maafkan kau, siapa pun kau. Harapnya, apa yang kau irikan, Tuhan bagi pada engkau. Kalau kau irikan kebahagian aku, aku harap kau bahagia.”

    SubhanAllah bagus nya awak pikir mcm ni ??

    “Buat sekalian pembaca, harapnya dapat sentiasa bersihkan hati. Mungkin bahagia dia sampai dulu, awak bersabarlah, Tuhan bagi bahagia awak lambat, tapi mesti ada.”

    ???? These words are nice. Percaya Allah maha adil.

    Reply
  4. “Orang dengki dik, kau nak tahu siapa?”, tanya ibu selesai semuanya.
    “Tak pelah bu, biar tak tahu dari tahu”, balas aku.

    Dan hingga ke hari ini, aku tak tahu siapa dan kenapa.

    cerita cam dah best dah tapi part yg tak tahu siapa tu pelik sikit…
    adeh..nape x tanya mak? hehehehe

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.