Assalamualaikum kepada semua pembaca. Saya ingin berkongsi pengalaman pahit yang menimpa diri saya tiga tahun lalu, bermula selepas detik indah perkahwinan.
Pada tahun 2020, selepas melangsungkan perkahwinan dengan suami, Zamir, kami memutuskan untuk terus menetap di rumah sewa yang telah saya, Sofia, diami sejak zaman bujang.
Pada bulan Mei, ketika saya sedang bekerja, tiba-tiba perut saya diserang sakit yang amat sangat rasanya seperti ditarik dan dihenjut dari dalam. Apabila pulang ke rumah, saya perasan ada sedikit pendarahan, sedangkan saya tidak berada dalam keadaan haid. Jauh di sudut hati, saya mengesyaki kehamilan, namun belum sempat membuat ujian pengesahan.
Selepas tiga hari, kesakitan itu semakin memuncak. Zamir segera membawa saya ke bahagian kecemasan hospital. Di sana, doktor mengesahkan ujian air kencing saya positif hamil. Tetapi, ketika imbasan dilakukan, doktor kebingungan kerana tiada janin yang dapat dikesan di dalam rahim. Ringkasnya, seminggu kemudian, saya keguguran anak sulung kami.
Detik keguguran ini menjadi titik permulaan episod seram di rumah sewa kami.
Sebelum ini, sepanjang tempoh saya bujang, rumah ini tidak pernah diganggu. Namun, selepas berkahwin dan mengalami keguguran, gangguan mistik mula menjadi-jadi
Gangguan Dapur : Semasa saya sedang memasak di dapur, saya terdengar bunyi deheman kasar seorang lelaki. Saya bergegas ke ruang tamu mencari Zamir. Zamir bersumpah dia tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Apabila saya kembali ke dapur, sudip yang saya yakin berada di atas kuali ketika menggoreng ikan, kini elok terendam dalam sinki.
Kunci Misteri : Suatu pagi, kunci kereta kami hilang tiba-tiba. Puas kami mencari di setiap pelusuk rumah. Saya yang sudah mula geram, berkata dengan lantang, “Baiklah, kalau macam ni, saya akan panggil ustaz!” Sebaik sahaja kata-kata itu keluar dari mulut saya, kunci kereta muncul di atas meja kopi, tersusun rapi.
Televisyen Hidup Sendiri : Tengah malam ketika kami sedang tidur nyenyak, tiba-tiba saya terdengar bunyi muzik yang sayup-sayup. Jam menunjukkan pukul 3 pagi. Saya yang resah mengejutkan Zamir. Dia menenangkan saya dan mengajak saya menyambung tidur, tetapi saya memaksa dia menemani saya ke dapur. Sebaik sahaja pintu bilik dibuka, kami melihat televisyen di ruang tamu sedang terpasang sendiri, dengan alat kawalan jauh elok terletak di atas kabinet TV. Kami yakin kami telah menutup suis dan TV sebelum tidur, malah lampu dan kipas lain tetap tertutup hanya TV yang ‘hidup’.
Tidak tahan dengan gangguan yang semakin mencengkam, kami mengambil keputusan untuk berjumpa dengan seorang pengamal perubatan Islam, Ustaz Fauzan.
Di rumah Ustaz Fauzan, kami menceritakan tentang gangguan mistik yang berlaku di rumah kami. Ustaz Fauzan terdiam lama, merenung saya.
Akhirnya, Ustaz Fauzan bersuara:
“Masalah rumah awak itu kecil. Masalah diri awak sendiri lebih besar.”
Kami terpinga-pinga. Kami terus bertanya apa maksudnya.
Ustaz Fauzan memberitahu bahawa saya telah menjadi mangsa sihir pengikat rahim, sihir yang menggunakan ‘tali hitam’ diikat secara ghaib pada rahim saya. Tujuannya adalah untuk menghalang saya daripada mengandung, atau jika mengandung, ia pasti akan berakhir dengan keguguran.
Kami terduduk kaku. Kami terus meminta Ustaz Fauzan merawat saya. Semasa sesi rawatan itu, satu demi satu memori dan bayangan muncul. Walaupun Ustaz Fauzan tidak menyebut nama, kami dapat mengagak siapa pelaku di sebalik angkara ini.
Saya teringat akan Mak Cik Hawa, jiran kami yang berumur dalam lingkungan 60-an, yang merupakan bekas seorang bidan kampung. Beliau pernah menghidangkan makanan kepada kami suami isteri makanan yang kami makan tanpa sedikit pun rasa curiga.
Yang paling jelas dalam ingatan saya ialah seminggu sebelum saya keguguran. Mak Cik Hawa meminta pertolongan saya untuk suatu urusan. Selepas saya membantunya, beliau menepuk perut saya sebanyak dua kali, kononnya mendoakan agar saya cepat mendapat anak. Pada masa itu, saya tidak tahu pun saya sudah hamil. Kini, segalanya jelas: doktor tidak dapat mengesan janin dalam rahim saya kerana ia telah ‘dimakan’ atau dilenyapkan oleh ‘orang suruhan’ sihir itu.
Semasa saya menjalani rawatan, Ustaz Fauzan berjaya menangkap ‘orang suruhan’ jin yang mengganggu rahim saya itu dan mengurungnya di dalam botol kaca untuk dibuang ke laut.
Dua hari selepas penangkapan ‘orang suruhan’ itu, Mak Cik Hawa datang ke rumah kami. Beliau mengetuk pintu berulang kali. Mujur Zamir tiada, dan saya tidak berani membuka pintu.
Keesokan harinya, Mak Cik Hawa datang lagi. Kali ini Zamir ada bersama saya.
Mak Cik Hawa bertanya kepada saya, suaranya sedikit cemas:
“Sofia, kamu ada nampak tak kawan mak cik, yang besar dan tinggi orangnya?”
Saya menjawab saya tidak kenal dan tidak nampak. Kemudian, Mak Cik Hawa meminta izin untuk masuk ke dalam rumah, tetapi Zamir dengan tegas menolak permintaannya.
Saya segera menghubungi Ustaz Fauzan selepas Mak Cik Hawa berlalu. Ustaz Fauzan mengesahkan bahawa Mak Cik Hawa sedang mencari ‘orang suruhan’nya yang tidak pulang sejak saya berubat. Tentu sekali Mak Cik Hawa tidak menyedari bahawa ‘orang suruhan’ itu telah ditangkap dan dibuang.
Ustaz Fauzan menjelaskan bahawa Mak Cik Hawa bukan berdendam secara peribadi, tetapi dia terdesak kerana sudah tidak mampu lagi memberi makan kepada ‘orang suruhan’nya. Saya, dengan kehamilan pertama, telah dijadikan sasaran mudah dan sumber ‘makanan’ baru untuk jin itu.
Kehilangan anak sulung pada Mei itu meninggalkan luka yang mendalam. Namun, selepas sebulan berubat secara intensif, pada bulan Julai, saya disahkan hamil sekali lagi. Kami segera mengambil langkah perlindungan spiritual, memagar rumah kami dengan bacaan doa dan ayat suci.
Sejak itu, segala kejadian pelik dan gangguan mistik tidak lagi berlaku. Mak Cik Hawa kini kelihatan seperti orang yang tidak siuman, dan dia kelihatan takut untuk bertembung pandang dengan saya.
Pengajaran terbesar daripada kisah ini, Berhati-hatilah dengan sesiapa sahaja yang cuba menyentuh atau menepuk perut anda, terutamanya ketika anda hamil, walau apa pun niat luaran mereka. Rambut sama hitam, tetapi hati manusia kita tidak tahu.
Terima kasih.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
