Tangga Berdarah

TAJUK : TANGGA BERDARAH
KISAH BENAR DIOLAH SEMULA OLEH PANDA

Kisah benar ini diceritakan (voice) secara personal dengan Panda dari seorang ibu tentang pengalaman misteri anak dan suaminya…
Harap olahan panda memuaskan hati pembacašŸ„° terima kasih.

2017.

Zurin, anak kecil 7 tahun yang terhimpit oleh masalah keretakan rumahtangga kedua ibu bapanya. Anak kecil sebaya dia waktu sebegini seharusnya sedang menikmati alam kanak-kanak yang indah, serba warna-warni dan dipenuhi kasih sayang…

Namun apa yang Zurin dapat hanyalah kesedihan, kesakitan, ketakitan dan kesengsaraan.

Bila ibu bapanya bertengkar di dalam rumah, Zurin akan membawa diri duduk di luar tangga flat.

Hati yang hancur berderai tak dapat dicantum lagi. Keadaan semakin parah sehari demi sehari. Tidak nampak sedikit pun keadaan akan membaik. Masing-masing dengan ego yang tinggi,serta kebencian yang bersarang di hati.

“Kenapa mak abah tak sayang Zurin?” Keluh Zurin di tepi anak tangga tingkat dua.

Kadang-kadang bila datang perasaan malu dengan jiran-jiran dan sakit telinga mendengar pergaduhan ibu bapanya, Zurin akan lari ke tingkat tiga. Jika mampu,dia ingin pergi jauh dari dunia yang penuh kesedihan ini.

“Aku sudah lama syak anak tu bukan anak aku! Kau memang perempuan murahan!!” Daud menjerit kepada isterinya, Mala.

“Kalau kau tak mampu bela aku dengan anak kita. Tak payah susah-susah cari salah aku! Kau keluar je cari kawan-kawan kau tu. Hidup dengan kau boleh m**i kebulur la, Daud!!” Mala tidak berdiam diri. Rasa maruahnya dipijak-pijak.

“Ayah janganlah marah mak,” Zurin memeluk Mala. Matanya telah bengkak akibat menangis setiap hari. Tangan kecilnya sesekali menahan Mala dari dipukul Daud.

“Hei, budak! Kalau tak suka dengar baik kau keluar! Pergi naik atas sana! Mana tau kau boleh m**i dengan aman kat atas tu, aku pun dah bosan nak cari duit bagi kau makan, bagi kau sekolah!! Hidup menyusahkan aku je!!” Daud menarik Zurin dengan rakus.

Zurin ditolak keluar rumah tanpa sedikit pun belas kasihan dari Daud. Jiran sebelah kiri dan dua buah rumah di hadapan bukan tidak bersimpati dengan Zurin. Cuma mereka takut Daud mengamuk seperti sebelum ini.

Kak Senah rumah sebelah pernah ajak Zurin masuk ke rumah sewaktu Zurin menangis di tepi tangga. Tapi kebaikan kak Senah dibalas dengan sepak terajang Daud di pintu besi rumahnya. Hampir juga dia mahu hubungi pihak polis, tapi dihalang Zurin.

“Zurin merayu, Cik Senah. Zurin tak nak ayah kena tangkap polis,” melihat Zurin menangis merayu di depannya, kak Senah suruh Zurin balik.

Berkecai juga hati kak Senah malam itu. Sedih kerana tak dapat membantu anak yang tak berdosa ini.

Zurin melangkah setapak demi setapak anak tangga menuju ke tingkat atas. Sejak berpindah ke rumah sewa ini selama setahun yang lalu, Zurin belum pernah sampai ke tingkat lima di bangunan ini. Mungkin disebabkan jiran-jiran beritahu di tingkat atas tiada penghuni. Jadi, Zurin tidak berani naik sendirian.

“Apa yang ada kat atas tu? Kenapa ayah suruh naik ke atas?” Zurin mengesat airmata sambil melangkah leonglai.

Tiba di atas suasana gelap gelita tanpa satu mentol lampu pun yang nyala. Memang tiada siapa menghuni di tingkat atas ini. Zurin mula menggigil menahan kesejukan. Pipinya sejuk beku ditiup angin malam. Zurin duduk si anak tangga teratas sambil menyandarkan kepala di tembok.

Ketika matanya semakin layu, perut pula berbunyi. Zurin menggosok perutnya yang tidak diisi sejak petang. Mata mula berair.

“Zurin lapar, mak…” suaranya menggigil. Airmata laju menuruni empangan mata bulatnya.

Lengan baju berbau hapak mengelap airmata. Tiba-tiba Zurin terbau masakan yang harum. Zurin cuba mencari bau itu datang dari mana.

“Zuriiinn…siniii,”

Satu suara memanggilnya dari belakang. Zurin bangun dan memusingkan badannya. Bau harum masakan itu yang menarik perhatian Zurin untuk mencari adakah ianya bersama suara yang memanggilnya.

“Mari makan, Zurin. Nenek dah masak sedap ni,”

Suara itu semakin jelas bila seorang nenek berwajah manis terbongkok-bongkok menghampirinya. Salah satu pintu rumah kelihatan terbuka luas. Gadis kecil ini tersenyum gembira.

“Mari, sayang. Nenek sudah lama tunggu Zurin temankan nenek makan,”

Nenek tua itu memimpin tangan Zurin dengan jalan yang sedikit payah. Rambutnya dipenuhi dengan uban. Namun penampilannya kemas dan bersih.

Tiba di dalam rumah nenek itu, Zurin terus diajak duduk di meja makan. Hanya ada dua kerusi kayu usang bersama meja yang hampir reput. Satu amari kayu usang bersandar di tepi dinding.

Semangkuk nasi bersama seperiuk kecil lauk tomyam campur terhidang di atas meja. Zurin merapatkan mukanya pada lauk yang masih panas. Senyuman terukir di bibir gadis kecil yang sedang kelaparan.

“Nenek cedokkan nasi Zurin. Lauk ni panas, makan perlahan-lahan ye, sayang..” Zurin mengangguk laju.

Nasi dan lauk sudah di depan mata. Zurin pantas menadahkan tangan untuk membaca doa makan.

“Tak usah baca doa lah,
makan cepat. Nanti sejuk dah tak sedap,” nenek tua tetap tersenyum manis melihat Zurin yang terkulat-kulat memandangnya.

Lalu gadis kecil ini laju menyuapkan nasi ke mulutnya. Tomyam campur berisi sotong, udang dan ayam itu membuatkan Zurin makan dengan gelojoh. Sudah lama dia tak dapat makanan sesedap ini.

“Lepas makan nanti Zurin tidur sini. Jangan balik. Mak ayah Zurin tak sayang kamu. Teman nenek ye, sayang?”

Nenek tua menggosok rambut Zurin dengan lembut. Zurin mengangguk.

Keesokan harinya.
Mala berlari dari atas sampai ke tingkat bawah mencari anaknya, Zurin.

Sejak semalam tak balik lagi. Puas sudah mencari di taman permainan dan sekeliling blok. Belum pernah lagi Zurin tak balik rumah. Mala mulai cemas.

“Kak Senah, buka pintu jap. Ohh,kak Senah.” baru jam 7 Mala sudah tercegat di depan pintu rumah kak Senah.

Jiran depan rumah kak Senah juga menjengah keluar. Pintu terbuka. Kak Senah tercongok dengan bebaju kelawar.

“Zurin ada tumpang tidur rumah akak tak? Dari malam tadi dia tak balik. Mala dah cari semua tempat, kak”

Mala berharap sangat Zurin ada di dalam rumah kak Senah, jiran paling baik dengan Zurin.

“Tak ada, Mala. Akak takut Daud mengamuk macam hari tu. Tak berani nak masuk campur dah,”

Terpampang kekecewaan di wajah Mala. Keluarganya terpaksa menahan hati walaupun mereka tahu Zurin menangis di luar rumah.

“Betul cakap kak Senah tu, Mala. Kami bukan tak kesian kat Zurin. Sampai tertidur dia kat tangga. Abang akak selalu pasangkan ubat nyamuk sebab kesian. Nak ajak masuk takut Daud serang, abang ni dah la ada d***h tinggi,” kak Siti pula mencelah dari belakang.

“Mala dah naik ke atas?”

Kak Senah tiba-tiba sebut tingkat atas yang sudah setahun tak berpenghuni. Mala menggelengkan kepala.

Dia sudah lupa dengan makian Daud pada Zurin malam tadi. Apa yang ada di tingkat lima?

“Marilah, kak Siti teman. Hari tu ada menyapu kat atas tu. Seram lain macam pulak kalau pergi seorang diri. Jom, kak Senah”

kak Siti tak sampai hati biarkan Mala resah sendirian. Dicapainya tuala untuk tutup kepala.

Mala rasa bertuah sebab ada jiran-jiran yang baik seperti mereka. Bukan tidak prihatin. Cuma perangai baran Daud itu yang buatkan jiran-jiran mengunci mulut dan menutup mata.

Mereka melangkah ke tingkat atas bertiga. Tiba di lima anak tangga terakhir, ada tompokan d***h. Bau hanyir seperti bangkai kucing.

Tiba di atas. Kak Siti memulas tombol pintu rumah satu persatu. Tiba di pintu terakhir yang tiada pintu besi, kak Siti terdiam. Dilambainya kak Senah dan Mala yang sedang meninjau ke bawah.

Ada kesan d***h masih segar menitik dari tombol pintu. Kak Siti hampir menjerit. Mala dan kak Senah juga terkejut melihat tompokan d***h hitam pekat yang melekat di daun pintu.

“Akak turun panggil abang Latif. Dia cuti tu. Harapkan kita bertiga yang lemah semangat ni memang haru, tunggu sini..” kak Siti berlari menyingsing kain batiknya.

“Zurin, mana anak mak pergi?” Mala mula menangis memikirkan Zurin yang bernasib malang.

10 minit kemudian abang Latif sampai bersama kak Siti. Abang Latif menadah kedua tangannya sambil membaca ayat Kursi. Kak Senah, kak Siti dan Mala ikut sama.

“Allahuakhbar!!” Satu hentakkan dilepaskan pada pintu. Tersentak para ibu-ibu di situ.

“Sebelum aku bakar rumah ni dengan iblis yang ada dalam ni, baik kau bukak pintu sekarang!!” Abang Latif menjerit di depan pintu.

Pintu terbuka dengan sendirinya. Abang Latif beri isyarat supaya mereka tunggu saja di luar. Dia melangkah masuk.

Suasana di dalam rumah penuh dengan sawang dan berhabuk. Hanya ada beberapa perabot lama yang telah reput. Sebuah almari kayu di tepi pintu dapur. Sebuah meja yang membuatkan abang Latif terkejut. Ada mangkuk berisi lauk di atas meja.

“Siti!! Masuk sini!! Mala, Senah masuk masukk cepat!!!” Abang Latif menjerit.

Mala berlari mendahului yang lain. Tergamam di depan meja. Ada semangkuk tomyam yang masih panas berwap lagi. Terbeliak biji mata mereka berempat.

Kak Senah dan Kak Siti hampir termuntah kerana bau busuk bercampur bau tomyam dari wap yang dihidu itu mencucuk-cucuk ke rongga hidung mereka.

Mala memberanikan diri mengacau senduk di dalam mangkuk. Dengan satu tangan lagi menutupi hidung.

Hampir tercampak senduk di tangan Mala bila melihat isinya adalah anak tikus, potongan kaki dan kepala kucing serta daun-daun lalang. Kak Senah termuntah di situ juga. Berair mata menahan loya dari awal.

“Kita cari Zurin. Ada pinggan bekas orang makan ni. Aku risau Zurin diperdaya iblis je ni,”

Abang Latif mula mencari dalam dua bilik yang tiada daun pintu. Kak Siti mencari ke dapur bersama Mala. Zurin tidak ditemui.

Kak Senah mengurut dada sambil mengeluarkan isi perutnya yang berbaki. Dia menyandarkan badan pada almari kayu.

Pintu almari terbuka. Kak Senah tidak mengesyaki apa-apa. Abang Latif menoleh ke arah almari yang terbuka sedikit pintunya. Ada tangan kecil yang pucat lesi terjulur keluar almari.

“Mala! Ke sini!!” Jerit Abang Latif berlari ke arah almari.

Pintu almari dibuka luas.
Mala tiba di sebelah Abang Latif dengan perasaan ingin tahu.

“Zurin? Anak mak!!” Mala meraung melihat tubuh Zurin pucat lesi dan tidak bergerak lagi.

“Aku keluarkan anak kamu dulu. Cepat! Kita keluar dari sini,” Abang Latif mendukung Zurin dan dibawa keluar. Yang lain turut sama keluar dari rumah itu.

Tap.
Bunyi pintu papan tertutup perlahan. Mereka berpandangan sesama sendiri. Tanpa menunggu lama, mereka tinggalkan tingkat lima secepat mungkin.

Di dalam rumah kak Siti, Zurin dibaringkan dan dibersihkan mukanya yang nampak comot dan berbau hamis. Mala menggosok jari tangan Zurin dengan harapan anaknya cepat sedar.

“Ini semua salah Daud. Dia yang sebut semalam tingkat atas tu. Zurin tak pernah naik sampai atas. Kali ni Mala tak sangka Zurin berani pergi sampai ke situ,” Mala tak dapat menahan sebaknya.

“Bersabarlah, Mala. Budak macam Zurin ni kalau kita tak bagi didikan agama, bagi dia perlindungan..mudah je iblis nak mendekatkan diri. Siapa lagi yang dia ada? Sebab itulah jangan abaikan anak. Kesian aku tengok tiap malam kena tidur kat tangga. Budak baya ni patutnya tidur dalam rumah,” Abang Latif sedikit berleter.

Mala mengangguk.

“Apa lah yang Zurin makan agaknya? Zurin..Zurin..,” Kak Siti menggelengkan kepala. Simpati sangat dengan nasib anak kecil ini.

Kak Senah yang membayangkan isi dalam mangkuk tadi terus meluru ke dapur. Tekaknya kembang, loya yang tak tertahan.

“Nenek….Zurin lapar, nak makan,” suara kecil Zurin membuatkan Mala terus memeluk anaknya.

“Mak, nenek rumah atas dah siap masak? Nenek suruh Zurin tidur dulu. Sedap lauk tomyam campur nenek tu, mak..” zurin bercakap sambil tersenyum.

Kak Siti dan Abang Latif tidak mampu berkata apa-apa lagi. Yang mereka dengar adalah suara kak Senah yang masih memuntahkan isi perutnya. Mungkin dia dengar apa yang Zurin cakap.

Malam itu Daud balik dengan sangat penat. Penat melepak dengan kawan-kawan dari pagi. Dia melangkah menaiki anak tangga. Pada awalnya dia tak berasa hairan.

Lama kelamaan dia tersedar bahawa dari tadi dia tak sampai pun ke tingkat dua. Penatnya seperti sudah sampai ke tingkat lima. Daud cuak. Seluruh badannya berpeluh.

Dia menampar pipinya. Sakit. Bermakna dia tidak bermimpi. Kali ini dia melangkah laju. Tiba di anak tangga terakhir Daud tersungkur. Dia tertiarap di atas tangga. Seluruh badannya tidak mampu digerakkan.

“Nenek masak sedap malam ni. Makanlah, Daud. Makan sampai kenyang, hihihihiiii,” suara mengilai menghampirinya.

Rambut Daud ditarik ke atas. Kepalanya mendongak.

Seorang nenek tua berwajah seram penuh d***h sedang menyuapkan sesuatu ke mulutnya. Daud cuba menjerit tapi suaranya tak keluar.

“Anak kau dah makan lauk aku, sekarang giliran kau pulak!! Lauk tikus dengan anak kucing ni sesuai dengan tekak kau, Daud,”

Bangkai tikus yang masih basah disuapkan ke mulut Daud. Lalu ditutup mulut Daud dengan tangan berkedutnya. Nenek tua ketawa besar bila melihat Daud meronta-ronta untuk melepaskan diri.

Wajah nenek tua dirapatkan ke muka Daud. Daud rasa nafasnya tersekat disebabkan tikus di dalam mulutnya. Hendak diluahkan, tetapi tangan nenek tua lebih kuat dari tenaganya.

“Astagfirullahhalazim….” suara Abang Latif.

Lalu dia membacakan doa sambil menarik lengan Daud supaya terlepas dari gangguan iblis di depan mata.

“LAILAHAIILLALLAH WAHDAHU LA SYARIKLAH LAHUL MULKU WALAHULHAMDU WAHUWA ALA KULLI SYAIEN QODIR ..”

Ketika itu Daud sudah mampu bergerak dan terus meluahkan isi di dalam mulutnya.

Nenek tua jelmaan syaitan tadi turut hilang sekelip mata. Abang Latif menggosok belakang Daud.

“Kau tengok tadi tu? Baru sikit aku bagi dia dah hilang. Bukan aku nak riak, Daud. Kalau hidup kita tak diisikan dengan ilmu Allah, kita ni jadi permainan iblis je. Banyak kau buat salah dengan anak bini kau, balik lah”

“Minta ampun dengan Allah, Daud. Kalau hati aku tak digerakan Allah tadi untuk jenguk ke atas ni, mungkin esok jasad kau ni sudah tak bernyawa,” Abang Latif memapah Daud untuk bangun.

Daud menyesal sangat dengan sikapnya melayan Mala dan Zurin selama ini. Keinsafan hadir di saat wajah Zurin menerpa di dalam benaknya.

“Maafkan ayah, Zurin. Maafkan abang, Mala.”

Satu pukulan yang hebat menyinggah di hatinya. Daud menyesal dengan semua kekhilafannya. Dia harus bertaubat. Dia harus menjadi pelindung untuk Mala dan Zurin zuriatnya.

Sehingga kini, keluarga ini hidup bahagia. Zurin dapat adik kembar lelaki. Daud pula sudah lama belerja sebagai pemandu lori. Manakala Mala menjual nasi lemak di waktu pagi di kawasan flat.

Alhamdulillah. Masih sempat perbaiki diri, mengubah hidup dan memberi kebahagiaan pada isteri dan anak-anak.

TAMAT

#karyapandaĀ  Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

KARYA PANDA

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.