Hai nama aku Arif dan cerita ni hanya secebis dari pengalaman hidup aku, sebelum aku jadi pelupa, baik aku kongsikan….
Satu petang, rumah aku didatangi Pak Seli. Melihatnya yang tersenyum simpul memberikan salam di hujung tangga, sangat menenangkan..
Tanpa berlengah, aku menjemput Pak Seli naik ke atas, dan Pak Seli masih lagi tersenyum-senyum saat memanjat anak tangga..
“Abah kamu ada, Rip?” tanya Pak Seli
“Ada! Tengah makan didapur, marilah jengah..” aku cuba mengamit Pak Seli. Aku tinggalkan radio gram, diruang tamu bersama bantal yang dibuat alas meniarap, dan membawa Pak Seli ke dapur..
“Eh bang! Langkah kanan ni! Jemputlah makan, gulai asam pedas ikan parang!” bapak bersuara ramah bila ternampak muka Pak Seli..
Pak Seli tanpa menunggu undangan kedua, capai pinggan, ceduk nasi, layan diri sendiri.. Lagipun dia bukan orang asing dalam keluarga kami. Adakalanya kalau mood dia sampai, sampai bermalam-malam disini..
Aku tinggalkan mereka berdua didapur dan kembali meneruskan ‘misi’ mendengar dan menulis lirik lagu kegemaran yang terlintas diradio..
Hampir sejam kemudian, Pak Seli dan bapak keluar ke ruang tamu bersama..
“Rip, aku dah mintak izin abah kamu, malam ni, ikut aku ke rumah, ye? Tutur Pak Seli, sambil tersenyum..
“Errr, ada apa pak?” aku balas kata-kata Pak Seli..
“Takde apa pun, cuma nak ajak kamu menjengguk kebun aku dibelakang..”
Aku mengangguk tanda faham, Pak Seli kalau dah mengajak ke kebun menunggu durian, memang berlama-lamaan lah, kami mungkin akan bermalam diteratak di tengah kebun, menurut pengalaman aku..
Mentari merah tenggelam, dikunjungi Malam yang tiba menurut atur cara yang telah ditetapkan oleh yang Maha kuasa..
Aku berjemaah dimasjid dengan bapak, dan usai berjemaah, aku salam bapak dan bergerak berdua dengan Pak Seli yang juga berjemaah bersama, menuju ke rumah Pak Seli yang tak berapa jauh dari masjid..
Kami melangkah masuk kedalam dusun durian Pak Seli, duduk diteratak ditengah kebun dikelilingi gelap gelita, hanya bertemankan lampu pelita dari minyak tanah, dengan jelaga yang naik ke ruang udara..
Nak mengelakkan bosan, aku mintak izin Pak Seli untuk menyalakan unggun, sekurang-kurangnya kami tak dihurungi nyamuk..
Pak Seli tersenyum tanpa berkata sepatah pun, bersetuju dengan permintaan yang aku kirakan kecil..
Bila unggun dah dinyalakan, dan aku kembali duduk disebelah Pak Seli, Pak Seli mula bersuara..
“Aku fikir, nak ajak kamu dengan bapak pergi ke utara..” katanya perlahan, antara dengar dan tidak..
Dah kenapa orang tua ni? Dah nak bertemu jodoh ke? Gumam aku sendiri dalam kehairanan. Pelik sungguh melihat Pak Seli berbasa-basi cuba menuturkan kata-kata, sebutir demi sebutir. Macam ada emas disimpan dalam mulutnya..
“Anak saudara aku yang mengajar disekolah berasrama penuh diutara mengadu, sekolahnya banyak kerasukkan..”
“Yang terbaru, dari cuma pelajar je yang dirasuki, dah jadi cikgu-cikgu pulak yang jadi mangsa rasuk..”
“Hmmmmmm…..” kata Pak Seli, sambil tangan kanannya di garu-garukan dihujung dagu yang ditumbuhi janggut nipis, dan keningnya dikerut-kerutkan seperti sedang memikirkan sesuatu.
“Kenapa pak? Apa yang menganggu fikiran bapak?” soal aku pada Pak Seli..
“Macam ni, tadi bila aku suarakan pada bapak kamu, dia tak bersetuju nak mengikut, mungkin sebab jarak yang jauh, mungkin jugak sebab..” Pak Seli tak habiskan ayat..
Aku diam dan mendengar dengan berhemah, bimbang jika dicelah, akan membantutkan mood berbual Pak Seli pada aku..
“Cerita dah lama, tak usahlah dikenang lagi..” kata Pak Seli lagi..
“Bapak kamu taknak mengikut, sebab anak saudara aku tu dulu pernah tolak pinangan bapak kamu masa diorang muda-muda.. Tapi jodoh bapak kamu datang kemudian, bila dia jumpa mak kamu.. Ceritanya, kalau tak ditolak, takdelah kamu pada hari ini, Rip! Hahaha!” kata Pak Seli sambil ketawa kecil..
“Orang tu pun dah beranak pinak dah, bukan dia mau dengan bapak kamu lagi! Haha..” katanya lagi..
Aku mengangguk tanda faham, tak hairanlah bapak aku keberatan, ada sebab musabab yang dia sendiri tak berkenan dihati..
“Tapi membantu orang dalam kesusahan tu, hukumnya fardhu kifayah, Rip! Bila bapak kamu tak bersetuju, aku tak bertanya lagi, aku tukar perbualan, nak ajak kamu menjenguk kebun..” sambung Pak Seli lagi..
“Pak Seli nak aku tolong ke?” aku tanya pada Pak Seli.
“Tolong apa?” tanya dia bagaikan musykil sungguh dengan pertanyaan aku
“Tolong pujuk abah laa..” balas aku spontan
“Tak perlu lah, kalau dia dah tak mahu.. Jangan lah di paksa-paksa.. Nanti niat nak membantu, jadi benda lain pulak..” kata Pak Seli sambil ketawa kecil
“Hmmmmm…” aku balas tanda setuju
Hening seketika, masing-masing mengelamun dalam angan sendiri..
“Mari Rip, aku tunjuk kamu buah pukul petir..” kata Pak Seli dan bingkas melompat bangun menuju ke tanah di depan teratak..
Aku mengikut pak seli, tanpa banyak bicara. Ini lah punca sebenar, jika mendapat undangan mengikut Pak Seli, jarang sekali aku tolak, Pak Seli tak kedekut dalam memberi gerakan dan langkah silat yang difikir sesuai sekadar penerimaan bagi umur aku..
Kami pulang menjelang pagi selepas mandi embun, dan berjemaah diteratak ditengah dusun, dan masing-masing dengan haluan sendiri..
Tiada perbualan yang berlaku antara aku dan bapak pada pagi tersebut, bagaikan bapak dah menghidu, Pak Seli dah membocorkan rahsianya.. Haha
Lewat petang saat bersiap ke surau untuk berjemaah maghrib bersama dikampung, bapak panggil aku duduk diruang tamu, betul-betul sebelum kami bertolak ke masjid.
“Aku rasa, baik kita ikut Pak Seli pergi menjenguk anak saudaranya diutara..” tuturnya jelas
“HAHHHH?” aku balas dengan sedikit terkejut
“Kau jangan nak main wayang dengan abah, Rip… Ha ha ha… Macam lah abah tak tau, Pak Seli dah suruh kau pujuk abah, kan?” bapak aku ketawa kecil dengan reaksi terkejut aku..
“Errrr…. Takde! Sumpah takde…” aku balas kembali
“Apa yang sumpah? Jangan termakan sumpah nanti.. Macam lah abah tak tau.. Kau bukan penipu yang baik, Rip!” bapak aku bercakap sinis dalam nada acuh tak acuh..
“Takde, dia tak suruh pujuk pun.. Dia kata biarkan aje, kalau abah taknak pergi..” aku balas semula, dengan nada kendur..
“Hurmmmmmmm… Takpelah, kalau dia cakap macam tu, tapi abah dah tukar fikiran, baik kita ikut saje, lagipun membantu orang yang kesusahan tu, dah macam darah daging dengan Pak Seli..” tutur bapak aku, panjang lebar..
“Jadi kita pergi ke bah?” tanya aku minta kepastian, dalam hati dah melonjak-lonjak gembira, cuma tak dizahirkan aje..
“Aku fikir begitulah, mohlah kita ke surau.. Dah lewat dah ni..” sanggah bapak aku
Persiapan dilakukan, dan dua hari kemudian, kami mula bertolak betul-betul selepas solat subuh, perjalanan yang memakan masa hingga 8 jam, aku banyak habiskan masa tergolek buat tahi mata di kerusi belakang, sedang bapak dan Pak Seli lebih banyak muzakarah tentang ilmu agama..
Seingat aku, tiga ke empat kali kami berhenti membasahkan tekak, dek kerana memandu terlalu lama boleh menyebabkan mengantuk pada bapak.
Kami sampai menjelang asar di sebuah pekan kecil dalam sebuah kampung, Pak Seli mula memberi arahan pada bapak untuk pusing-pusing disekitar kampung sebelum terjahan dibuat disebelah malam.
Maghrib berjemaah dikampung sini, takde beza dengan kampung kami, penduduknya ramah, dan beberapa lelaki yang aku kira ahli jawatankuasa masjid berbual-bual dengan kami, bertandang kerumah siapa, dan atas urusan apa..
Dan dari perbualan yang aku dengar dan kutip dari bapak dan Pak Seli, sekolah yang banyak kerasukkan tu, asalnya bekas jirat lama..
Mungkin proses pemindahan sebelum meratakan tanah tidak dilakukan dengan sempurna, memang kerap berlaku kerasukkan, paling kurang dua kali dalam sebulan. Paling teruk, setiap hari dalam seminggu..
Pak Seli mengajak bapak menjengah sekolah selepas isyak, selepas petangnya kami berehat di rumah inap desa dalam kampung yang sama..
Terjahan pertama yang dibuat, sekolah sunyi sepi, mungkin bukan minggu peperiksaan, dan murid-murid dah habis kelas malam..
Lepas minta izin dengan pengawal keselamatan, aku, bapak dan Pak Seli masuk dan berdiri di padang sekolah, mengadap ke tiga buah blok yang besar dan agam ditengah malam..
Sunyi..
Pak Seli diam dan merenung ke depan, macam memerhati secara dalam dengan pandangan dari mata hati. Tangannya disilang ditengah dada, dan berdiri bagaikan panglima yang memerhatikan pendekar bersilat didepan mata..
“Memang hitam tempat ni…” keluh Pak Seli
“Banyak benda aku nampak berterbangan dan bersembunyi dibalik pokok..” katanya lagi..
“Tapi yang paling ‘besar’ duduk dikawasan pagar menghala ke semak tu!” kata Pak Seli sambil jarinya ditudingkan dikawasan berpagar jauh dihujung padang.
“Jadi macam mana sekarang, bang?” tanya bapak aku..
“Mari kita balik, tak boleh buat apa-apa kalau takde persediaan..” balas Pak Seli semula..
Kami melangkah meninggalkan padang sekolah..
Tiba-tiba..
AAARRRGGGGHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHH
Dari jauh terdengar bunyi seperti pelajar perempuan memekik.. Sungguh kuat dan nyaring.. Boleh didengar dalam jarak seluas padang bola..
Aku cuba menoleh dan memerhati dari mana datangnya bunyi tersebut. Tapi ditegah Pak Seli..
“Biarkan, dia dah tau kita datang, dia sengaja mengumpan untuk kita masuk.. Takde siapa pun yang sebenarnya menjerit!” kata Pak Seli
Meremang juga lah bulu roma dengan jeritan panjang tu. Macam ‘ucapan selamat datang’ buat kami..
Aku buat tak tahu, dan kembali berjalan beriringan dengan Pak Seli dan bapak, lewat dihujung padang, bunyi yang nyaring dan panjang tadi, berubah seperti bunyi kawanan beruk yang mentertawakan kami..
Sekolah ditinggalkan dan kami kembali kerumah, malam dihabiskan dengan bacaan ayat suci oleh bapak dan Pak Seli, aku sendiri, lepas tahajud hanyut dibuai mimpi..
Pagi keesokkannya, kami berjemaah di masjid berdekatan, dan kemudian kembali ke sekolah tersebut..
Kedatangan kami disambut oleh anak saudara Pak Seli, yang merupakan salah seorang dari tenaga pengajar disekolah tersebut..
Ohh.. Begini rupanya orang yang menolak pinangan bapak, boleh tahan juga ‘citarasa’ bapak aku, walaupun wajahnya dah dimamah usia.. Gumam aku sendiri dalam hati. Mereka berdua bagai mengelak bertentangan mata. Sungguh mengelikan hati..
Kami dibawa berjumpa dengan guru besar, dan agak menghairankan juga, kerana selepas insiden demi insiden yang berlaku, guru besar dengan keras menafikan terdapat gangguan disekolahnya..
Ah barangkali dia bukan jenis yang percaya tentang kejadian mistik.
Dengan wajahnya yang serius dan misai yang lebih melenting dari misai bapak, dengan kulit yang sedikit gelap, bingkai kaca mata yang besar terletak diatas hidung, dia kelihatan sangat tegas dan betul-betul berkharisma sebagai guru besar dalam sekolah.
Persetujuan berjaya dicapai dua hari kemudian, selepas guru-guru kanan yang lain mendesak di ikhtiarkan sesuatu, memandangkan kejadian histeria masih tak berhujung tepi disekolah.
Tenaga pengajar dah mula muak dengan insiden demi insiden yang berlaku, dan ada sesetengah guru, khabarnya minta untuk ditukarkan sekolah secara mengejut, kerana tak tahan dengan kejadian mistik didalam kawasan sekolah.
Khabarnya selepas beberapa mesyuarat tergempar disekolah, kami diundang untuk datang kembali kesekolah, dua malam berikutnya. Mengikut janji dan upacara yang diminta Pak Seli, Pak Seli minta perjumpaan dijalankan sebelah malam hari tersebut, lepas isyak dengan lebih tepat!
Guru besar sendiri turun padang untuk melihat dengan mata kepalanya. Masih aku ingat, pandangan sinis guru besar pada kami, matanya seolah memberitahu ‘ini sekolah i, i taulah! i dah cakap, sekolah i takde problem!’
Tapi Pak Seli dan bapak masih berhemah dan membalas tutur kata guru besar dengan baik dan bersopan..
Selepas perbincangan kecil dilakukan mereka didepan pondok pengawal. Pak Seli bawak kami berempat menghampiri pinggir padang sekolah, menghala ke kawasan berpagar yang memisahkan sekolah dan hutan kecil..
Pak Seli bergerak ke depan, kemudian guru besar dan diikuti bapak, aku berada dibelakang sekali..
Pak Seli berjalan menghala ke pagar hijau yang menandakan penghujung kawasan sekolah, berdiri dan diam seketika disitu, kemudian terkumat kamit membaca sesuatu..
Suasananya hening dan suram, sesekali terdengar suara burung jampuk dikejauhan. Angin malam bertiup menambahkan keseraman kawasan sekeliling.
Kesunyian kawasan sekolah dimalam hari, dengan blok-blok agam yang gelap..
‘Real’ depan mata aku!
Mula-mula aku nampak pokok bergegar!
Bergegar-gegar macam seolah digoncang-goncangkan pontianak!
BRRRRRRRRRRRRRR
BRRRRRRRRRRRRRR
BRRRRRRRRRRRRRR
Habis luruh jatuh daun-daun dari dahan pokok
“Ini semua kerja beruk, tuan-tuan! hahaha.. Jangan takutlah kalau sekadar pokok bergoyang! Sini banyak beruk, tuan-tuan!” Guru besar bersuara spontan dengan sinis. Cuba berjenaka untuk membuktikan yang telahan Pak Seli salah.
Aku nampak satu mahluk turun dari atas pokok yang batangnya berada diseberang pagar. Dahan yang besar masuk ke kawasan berpagar, berada betul-betul atas kepala kami.
Turun dengan senyap, betul-betul dibelakang guru besar, dan aku pasti dia masih tak perasan lagi!
Sama ada hanya aku yang nampak mahluk tu, atau bapak pun nampak sekali tapi buat tak endah, tak dapat aku pastikan!
“Bbbbbbaaaaahhhhhhh….” Aku mula mengamit bapak aku
Bapak angkat jari telunjuk dan letak dibibir.
“Sssssshhhhhhhh..” Sambil ditunjukkan pada Pak Seli.
Mahluk setinggi Enam kaki tu berpaling dan menyeringai melihat muka aku. Memberi senyuman ‘mengejek’
Rupanya kalau nak digambarkan seperti nenek tua berkulit yang berkedut teruk, dengan segugus rambut panjang menutupi ‘keseluruhan’ badan. Tak berbaju dan badan tak dapat dilihat dengan jelas, kerana banyak rambut yang meliputi badan! Kaki dan tangan yang tirus dan runcing, bagaikan ranting pokok. Berbau masam, macam bau tanah lepas hujan.
Dia mencuit bahu guru besar dua kali dengan perlahan..
Guru besar dengan selamba, menguis-nguis bahu kanan nya..
Bahunya dicuit lagi!
Aku dah beralih berdiri rapat dengan bapak..
Masih lagi tangan guru besar menguis-nguis dan mengaru-garu bahu kanan yang dicuit..
Aku dah meremang-remang tengok insiden depan mata..
Aku nampak mahluk seperti nenek tua tu, ‘berbisik’ dibelakang telinga kiri guru besar selepas guru besar tak bertindak balas dengan cuitannya….
HARRRRRRRRRRRRRRR
Semua tindak tanduk perbuatannya, aku nampak dengan jelas!
Kali ni guru besar berpusing dan menoleh!
“OMAIGOD!!!” Suaranya terpekik!
Aku nampak seluarnya dah mula basah dan kakinya terketar-ketar..
Bapak dan Pak seli spontan berpaling dan melihat guru besar!
Pak Seli dengan spontan menudingkan jari dengan mulut terkumat kamit, mengarah ke belakang guru besar.
Kehadiran ‘nenek tua’ tersebut dah dikesan oleh semua orang!
Guru besar masih cukup kuat semangat untuk tak jatuh tergolek dan pengsan!
Nahhhhhhhh! Rasain Lho! Penuh nyali didada gak? Tadi sembang ‘lawa’ kan?
Aku jeling bapak, jeling Pak Seli, dan akhir sekali jeling semula guru besar..
Guru besar dah hilang!!
Berlari melintasi padang dengan terpekik-pekik
“TOLONGGGGGGGGGG!!!! GHOSTT!!!!”
Pantas sungguh dia berlari, tak padan dengan susuk badannya yang besar, boleh kalah Rabuan Pit atau Halim Jantan kalau bertanding dengan dia.
Aku rasa nak tergelak, tapi mahluk berupa nenek tua tu, masih lagi berdiri didepan mata aku.
HAAAAARRRRRRRRRRRRRR
Suaranya besar dan garau, sambil menyeringai!
Aku dengar Pak Seli membaca potongan-potongan ayat 7 Salamun, sambil jarinya diarahkan pada nenek tua. Nenek tua nampak macam marah!
Dia libas tangan kanan yang berada dekat dengan pagar hijau, dengan sekali libas pagar bungkas!
HEBAT!
Hebat sungguh kekuatannya!
Seketika kemudian, dia mula melompat semula ke pokok yang dahannya berada diatas kepala kami, pokok nampak bergegar-gegar seolah ‘beruk’ cuba melarikan diri dari pokok ke pokok!
“Mari!” Kata Pak Seli
Kami mula berjalan merentasi padang sekolah, menuju ke pondok pengawal, dan dihujung padang, kami nampak pengawal keselamatan sedang mengipas-ngipas guru besar yang terlentang tanpa baju, baju entah sudah dimana!
Aku tergelak kecil sebab tak tahan melihat dengan mata aku, kelakuan lucu guru besar, nafasnya turun dan naik semasa dia terlentang diatas padang, menampakkan perut buncitnya yang kembang dan kuncup dimasuki angin.
Bapak menjegilkan biji mata saat aku ketawa, dan aku berpaling ke arah lain, taknak bertentang mata dengan bapak.
Aku simpan ketawa dalam hati, dan melihat tindakan selanjutnya dari Pak Seli.
“Sudah percaya kah cikgu?” tanya Pak Seli sambil tersenyum.
Guru besar menyusun sepuluh jari meminta maaf dan menyembah-nyembah supaya dimaafkan khilafnya kerana bongkak sebentar tadi.
“Ampunkan saya pakcik, saya tiada tahu, saya ikut sahaja apa pakcik cakap, tapi saya tak mahu ikut ini ‘ritual’ lagi..” kata guru besar memohon belas dan kasihan.
“Takpe, takpe.. Cikgu tak tahu… Jadi tadi bukan beruk kan?” kata Pak Seli lagi
Tak mahu membalas ayat Pak Seli, Guru besar hanya mengeleng-gelengkan kepala seperti Pak Kaduk yang hanya menurut saja
“Baik cikgu, malam esok kami akan datang kesini lagi.. Kami perlukan persiapan untuk mengusir mahluk yang cikgu nampak tadi..” Kata Pak Seli.
Guru besar hanya mengangguk tanda setuju. Dan semasa kami melangkah keluar dari pintu gerbang sekolah, suara anjing melolong bersahut-sahutan jelas kedengaran.
Keesokkan hari, lepas Subuh berjemaah, Pak Seli ajak aku meneman dia masuk ke hutan berdekatan, ‘meninjau’ katanya..
Kami berjalan sebatu kedalam hutan, hingga bertemu kawasan berair. Air yang bertakung, kawasan yang sedikit curam dibahagian selatannya dan separuh dari bahagian air bertakung terlindung dari sinaran matahari.
Kawasan yang boleh dikategorikan menyeramkan, kerana kedudukan dan posisinya. Entah apa yang difikir dan ditenung Pak Seli, tak dapat aku pastikan.
“Kawasan yang baik, tak ramai manusia yang lalu lalang disini, belum membangun, dan air yang bertakung, bukan kegemaran kaki pancing.. Binatang pun jarang-jarang datang dan minum disini..” kata Pak Seli tiba-tiba.
“Kenapa pak?” aku menyoal
“Hmmmm.. takde apalah, nanti kamu akan tahu. Moh la kita kembali ke rumah..” balas Pak Seli.
Kami sampai kerumah sebelum makan tengahari, dan bapak mengajak makan diluar.
“Jumpa ke ‘kawasan’ nya bang?” Soal bapak aku masa menjamah makan.
“Jumpa! Tengoklah macam mana, aku rasa elok sangat dah, sebab takde manusia lalu disitu..” Balas Pak Seli.
******************************************
Kami berjemaah dirumah dari maghrib membawa ke isyak, dan selepas bersiap barulah bergerak dengan motokar ke kawasan sekolah, bapak memandu agak perlahan pada malam ni.
Bapak mengenakan baju melayu warna hijau tua dengan seluar slack berwarna biru tua, dan membawa bersama dua keris yang dihadiahkan padanya. Disisip di tali pinggang dibahagian dalam baju melayu, terlindung dari dilihat.
Manakala Pak Seli selesa dengan baju pagoda putihnya dan parang menebas yang dibawa dan diselitkan dibahagian belakang badan.
Aku sendiri hanya berpakaian biasa baju tee tanpa kolar, dengan seluar silat senteng yang aku kira sangat selesa dan memudahkan pergerakkan. Dan keris lima lok hadiah guru sunting, tak pernah aku tinggalkan.
Kami sampai ke perkarangan sekolah, ada beberapa cikgu selain dari guru besar dah sedia menanti, ‘crush’ bapak pun ada sekali.. haha.. tergelak aku bila mengenangkan dia tolak pinangan bapak.
Guru besar memperkenalkan kami pada tetamu-tetamu yang dijemputnya malam tu, kebanyakkannya warden sekolah, mereka datang dengan sukarela untuk memberikan bantuan sekadar termampu.
Ada perbezaan ketara antara guru besar yang baru dan guru besar sebelum insiden semalam. Lebih terbuka dan lebih rasa hormat, berbanding semalam.
Maaflah gais, charachter limit. Esok aku sambung lagi..
Dapatkan novel aku, bapak dan Pak Seli yang bertajuk ‘PUSAKA’. Dari admin ‘Book mesh’.
stay safe and stay healthy!
xoxo
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Aku nk tanye. Mandi embun tu camne?
Mandi embun tu macam kau mandi koboi
Assalamualaikum ..
akhir dapat juga naskhah dari Bang Arip ..
hilang rasa rindu pada penulisan bercorak ala Tamar Jalis …
dalam Versi Bang Arip,Bapak Seli dan Bapak beliau sendiri …
rupanya ada Buku dah yer …Pusaka ..Menarik ..
Semoga Sambungannya akan Cepat keluar …
watak guru beso tu mmg lawak 😀
Assalamualaikum Arif Yahya. Saya mmg suka betul dengan penulisan Arif Yahya ni. Bila baca smooth je dan memang dapat hayati betul jalan cerita nya.
Ps : baru lepas purchased Pusaka dari BookMesh. Tak sabar tunggu buku sampai!
Jilake! Rupanya promo buku.