Hai nama aku Arif dan cerita ni hanya secebis dari pengalaman hidup aku, sebelum aku jadi pelupa, baik aku kongsikan.
Baiklah tanpa berbunga-bunga, sambungan dari episod yang lalu..
Ada perbezaan ketara antara guru besar yang baru dan guru besar sebelum insiden semalam. Lebih terbuka dan lebih rasa hormat, berbanding semalam
Pak Seli dengan berhemah menolak dengan baik, cuma Pak Seli beri keizinan pada seorang ustaz, Ustaz Amin namanya untuk turut serta, selepas ustaz memberi jaminan untuk tidak terlibat secara langsung.
Kami difahamkan, Ustaz Amin yang banyak membantu murid-murid semasa kejadian histeria berjangkit berlaku. Dan Ustaz Amin berkenan jika kali ni dapat bersemuka sendiri dengan hantu atau puaka yang selama ni menganggu sekolahnya.
Kami mula berjalan hingga ke pagar hijau semalam, nampaknya pagar ni mungkin guru besar dah panggil orang untuk dibaiki. Nampak ada pagar baru yang masih dalam gulungan dan belum dipasang terletak di bahagian tepi. Nampak alatan untuk bancuhan simen dan bermacam alatan lagi ada disekitar.
Pokok yang dahannya masuk kedalam kawasan pagar juga dah dipotong. Cepat betul guru besar bertindak. Bagus juga aku fikir. Sebab dia memikirkan keselamatan murid-murid yang belajar disitu.
Pak Seli mula menghampiri pagar yang bungkas, berdiri tegak mengadap hutan kecil yang berada diseberang pagar. Dengan mulut yang terkumat kamit membaca ayat yang tak dapat aku tangkap.
Aku jeling Ustaz Amin, dia masih membilang-bilang tasbih ditangan kanan, dan bapak masih berdiri dengan tenang, menanti sebarang kemungkinan yang berlaku.
Angin secara tiba-tiba bertiup kencang!
Daun-daun kering jatuh dan gugur berselerak, dan yang sudah ditanah, berterbangan ditiup angin, suasana yang bagaikan nak ribut sebentar lagi.
Pokok kembali bergegar-gegar seperti semalam, bagaikan digoncang pontianak!
Ustaz Amin masih tenang, dan aku dah meremang-remang, antara remang aura yang naik atau kerana insiden yang separa seram seperti sekarang.
Nenek tua turun dari pokok diseberang pagar, berdiri membelakangkan kami!
EEEEEEEEEEEKKKKKKKKKKKKK!!
Suaranya nyaring dan lantang, membingitkan telinga! Lidahnya yang panjang sengaja dijelir-jelirkan menjilat mukanya sendiri.
Nenek tua berpusing dan kini mengadap kami dengan wajah hodohnya..
Aku nampak Pak Seli bertutur dengan Nenek tua tersebut, tapi tak dapat didengari dengan jelas kerana angin berputar dan meniup dengan kencang!
“TIDAKKKKK!!! INI RUMAH AKU!! MANUSIA DURJANA SEPERTI KAMU YANG DATANG, MEMBUAT BISING, BERMAIN DAN MEMBUANG TINJA DIRUMAH AKU!!!” Kata nenek tua yang setinggi enam kaki tersebut! Suaranya keras seperti memarahi Pak Seli, dan aku rasa sedikit aneh, kerana dia bertutur dengan menggunakan dialek melayu lama.
Nampak Pak Seli membalas ayat nenek tua tersebut, tapi masih gagal aku dengari, mungkin sebab Pak Seli tak menjerit dengan suara yang nyaring dan kuat seperti suara nenek tua tersebut.
“TIDAKKKKKKK!!! AKU SUDAH TINGGAL DISINI LEBIH DARI 300 TAHUN! HIDUP DAN MATI AKU AKAN TETAP DISINI!” Balasnya lagi sambil ketawa mengejek pada Pak Seli..
Pak Seli mencabut parang yang tersemat dibelakang pinggang sedari tadi, dan dengan sekali tujah, parang jatuh terpacak kebumi.
Tak semena-mena angin berhenti bergolak!
Tinggal dedaunan yang tadinya masih terapung, jatuh ketanah.
“Kalau kamu tak mahu bertolak ansur, aku akan musnahkan kamu!” Balas Pak Seli tanpa ragu-ragu! Kali ni aku dengar tutur kata Pak Seli dengan jelas.
“KAU TAKKAN MAMPU MENGALAHKAN DAKU!” Suara nenek tua jelas angkuh!
Bapak bergerak merapati aku dan Ustaz Amin, mengamit kami berdiri sedikit jauh dari Pak Seli dan nenek tua..
“Tetapkan hati, kuatkan iman, ini semua permainan untuk menyesatkan kita!” kata bapak pada kami. Ustaz Amin mengangguk-angguk..
Aku nampak Pak Seli membaca doa saidina Umar..
Bismillahiladzi la yadhuru..
Dan seketika kemudian dari berdiri Pak Seli bertinggung dengan kaki kanan. Dia tunduk merenung tanah..
Pak Seli kembali berdiri..
“Baiklah! kalau kamu berjaya dikalahkan, aku perintahkan kamu untuk berpindah! Dan jangan kembali lagi kesini! Dan JANGAN KAU GANGGU ANAK CUCU KETURUNAN ADAM!” Tutur Pak Seli keras.
“Dan jikalau kamu yang kalah? Aku mahu budak itu!!” Suaranya masih mengejek-ngejek. Sesekali dia ketawa terkekek-kekek. Tangannya dituding ke arah aku!
Ehhhhh… Seram la pulak!
Meremang-remang aku rasa! Naya aku kalau Pak Seli kalah!
“Jika aku yang kalah, tempat ini akan ku tutup dari laluan manusia! Takkan ada satu manusia yang akan masuk dan lalu disini lagi! Dan kamu tidak berhak atas keturunanku!” balas Pak Seli dengan sedikit marah!
Nenek tua melangkah dengan kaki tirusnya melepasi batas pagar yang bungkas semalam. Berdiri dalam jarak sedepa dengan Pak Seli.
Dengan sekali hayunan belakang tangan kanan, aku nampak Pak Seli dah tercampak ke kiri!
Jatuh berguling-guling bagaikan bola yang gagal ditangkap penjaga gol.
SUPPPPPP!!!! Darah naik menyirap ke kepala aku!
KEKEKEKEKEKEKEKEKEKEKE!!
Suaranya ketawa melihat Pak Seli jatuh..
Bapak singkap baju melayu, dan cabut keris pusaka yang berada dipinggang!
Pak Seli berjaya berdiri! menongkat separuh bertinggung dengan kaki kanan, hingga berjaya berdiri tegak..
Nenek tua datang merapati Pak Seli, bagaikan tak memberi peluang untuk dia bangun dan berdiri.
Bapak berdiri dan menghadang di pertengahan! Tangan dibuka penuh menampakkan dadanya yang bidang!
Satu lagi hayunan tangan kanan dari nenek tua, dihadiahkan pada bapak!
Bapak nampak cukup bersedia, dengan merendahkan badan, dan entah bila keris dah dilepaskan dari sarung dan diacukan kepada nenek tua..
Bapak masuk berguling!
Keris digarit di peha kiri nenek tua!
AAAAAAAAKKKKKKKKKKKKK!!!
Bapak sambung berguling melepasi nenek tua!
Dada aku berombak kencang, nafas naik putus-putus! Bagaikan mahu turut serta dalam perkelahian ni! Tapi mengenangkan lawannya bukanlah manusia yang sama tinggi, sama ilmu, lebih baik duduk diam..
Belum tentu aku boleh berdiri dengan hayunan sekuat tu, tadi! Lagipun kalau kalah, aku jugak yang diminta oleh setan keparat ni!
Nenek tua berpaling arah bapak! Marah sungguh dia dilukakan begitu! Tangannya dibuka cakar kedua-duanya dan menyasarkan ke kepala bapak aku..
Bapak tunduk lagi!
Tapi kali ni silap! Pergerakan bapak dah dibaca! Nenek tua tu berpaling dan menghadiahkan tendangan kaki belakang pada bapak! Macam tendangan kuda bila ada yang memaut kaki belakangnya!
Padu!
BERDEBAB bunyi bila singgah ke dada bapak!
POMMMMM!!!!
Asap nipis naik dari baju yang dipakai bapak!
Bapak jatuh terlentang kebelakang!
ALLAHU AKHBAR!!!!
Suara bapak separuh menjerit!
Aku dah mula panik! Ustaz Amin masih ‘larut’ dalam zikir dengan biji tasbihnya, bagaikan tiada apa yang berlaku
Aku pandang Pak Seli! Pak Seli angkat tangan, isyarat jangan campur! Tunggu dan lihat!
Tak semena-mena Ustaz Amin melaungkan azan!
Berlagu-lagu azan dilaungkan dengan taranum yang betul.
Pantas betul tindakannya, tanpa disuruh-suruh. Memang berpengalaman dalam hal-hal mistik, barangkali. Atau dia dah bosan dengan ‘drama’ nenek tua yang memberi histeria berjangkit disekolahnya.
Nenek tua bagaikan kepanasan dengan azan yang dilaungkan, menjadi semakin marah dan liar!
Pak Seli kembali berdiri dan membuka langkah sendeng, lawannya bukanlah manusia, maka ‘pukulannya’ biarlah setara.
Bagaikan ayam jantan yang galak bertarung dalam menari sendeng, dan langkah bersilang yang membunuh jika tak berjaya dielakkan.
Nenek tua berpaling mengadap Pak Seli, masih lagi dengan cakar dari kuku runcingnya..
Aku beranjak ke tempat bapak, dan dengan segala kekuatan, aku heret bapak ke arah Ustaz Amin.
Pak seli bersedia!
Nenek tua masuk menyerang!
HARRRRRRRRRRRRRRRRRRR
Tendangan kaki runcing dari arah depan menyasarkan ke dada Pak Seli, Pak Seli mengelak ke sampingan, dan melepaskan satu bentesan keras dikaki yang berdiri.
Nenek tua jatuh bedebuk ke tanah!
Dalam sekelip mata, aku nampak dia dah melompat dan kembali berdiri!
HARRRRRRRRRR!!
Wajahnya bertambah marah dengan Pak Seli!
“Teruskan azan ustaz! Jangan berhenti!” kata Pak Seli. Bila Ustaz dah tamat azan..
Bapak dah berjaya didudukan..
Bapak bangun dan berdiri macam tak pernah diserang siapa-siapa sebentar tadi. Baju melayu yang dipakai bapak hangus dan berlubang dibahagian dada menghala ke perut, bau hangit menusuk hidung..
Nenek tua masih melompat dan menyerang Pak Seli. Kaki tangan dihempas dan dilepaskan membuta tuli, asalkan sangkut dibadan Pak Seli. Bagaikan tiada siapa yang kisah dengan gerakan membuta tuli tersebut.
Pak Seli melompat ke kiri dan kanan mengelakan dari terkena serangan membabi buta..
Mengacah dan menunggu peluang untuk serangan balas pada bila-bila masa..
-Bismillah hirrohman nirrohim-
Aku dengar Pak Seli tarik nafas yang panjang dan tahan!
-Maaliki yaumiddin-
Suara Pak Seli separuh menjerit membaca Basmallah dan petikan dari Umul kitab, dalam keadaan masih lagi melompat-lompat mengelakkan hayunan dan hempasan nenek tua..
Meremang-remang aku rasa pada saat Pak Seli melafazkan Maaliki yaumiddin tu. yang membawa maksud ‘Dia’ Yang Menguasai Hari Pembalasan! Tersembunyi seribu satu makna, hanya dalam sebaris ayat yang mudah..
Pergerakan Pak Seli yang lincah menangkap pandangan mata aku. Bapak sekali lagi mara merapati ‘medan pertempuran’ Pak Seli dan nenek tua
“Sabar Mahat! Jangan masuk dulu! Biar dia bermain dulu!” Kata Pak Seli dalam pada dia masih gigih melompat ke kiri dan ke kanan..
Keris bapak yang terlucut dari tangan masa ditendang tadi, bapak kutip. Disilang-silangkan seolah memanaskan badan untuk ‘pusingan kedua’. Bapak memutar-mutar tangan kanan berganti tangan kiri..
Tak menyinggah serangannya pada Pak Seli, nenek tua beralih pada bapak, bapak pun nampak semakin lama, semakin merapati pertempuran mereka..
Dengan sekali terkam, aku nampak bapak dah terngadah kebelakang, tak sempat berkuda-kuda, dan semasa didudukan dari atas, bapak dicakar dengan kukunya yang panjang!
Keris ke mana, bapak dah ke mana..
Apa dah jadi ni?
Sretttttt!! Sretttt!!
Aku dengar baju bapak dicarik dengan kuku tajam!
ALLAHU AKHBAR!!!!
Suara bapak aku menjerit!
ADUHHHH!
Aku yang jadi tak keruan!
Tak bersedia, kenapa nak turut serta?
Tadi kan Pak Seli dah kata, ‘biar dia bermain dulu!’
Taknak dengar kata, bapak aku ni!
Pak Seli sedang ‘berkira-kira’ untuk masuk dan mencuri peluang!
Selagi bapak tak ‘putus nyawa’ dan ‘putus asa’, aku tak boleh berdiam diri dan ‘putus akal!’..
Aku capai keris yang tersisip dibelakang dengan berhati-hati.. Keris aku cabut dari sarung, sarung aku lempar ke tanah. Keris dalam gengaman tangan kanan, aku ramas ketat-ketat supaya tak terlepas! Aku tunggu ‘peluang’ aku sampai..
HAAAAAAAAAA!!
Suara Pak Seli menjerit, menarik perhatian nenek tua!
Aku nampak nenek tua menoleh pada Pak Seli!
Peluang!
“Arippppppp!!!! JANGAN!!!!!!” Suara Pak Seli menghalang!
Tapi dah terlambat! Aku tak betah nak biarkan bapak aku dikokak nenek tua keparat ni!
Dengan senyap dan dua kali meloncat, keris dah aku tancapkan di rusuk kiri belakang nenek tua!
Antara sedar dan tidak, keris hadiah guru dah pun ‘berbakti’ pada aku!
Tangan aku ‘lepaskan’ dari mengenggam keris!
Aku tertegun berdiri disitu!
Tangan kosong..
Fikiran pun kosong..
Nenek tua bangun dari menindih bapak!
Berdiri tegak melepasi ketinggian aku!
Badan aku terlindung dengan bayang nenek tua tersebut!
HHHHAAAARRRRRRRRRRRRRRR!!!!!
Dengusnya dengan sangat marah!!
Tak sempat dielak!
Dengan sekali hayun, aku masih ingat lagi aku tercampak ke tepi gulungan pagar hijau, dan pitam!
***********************************
“Bangun, Rip!” bapak membangunkan aku, sambil mengusap-usap lembut rambut aku..
“Ikut aku mengucap, Rip! Ashadu anla, ila ha..illah..”
“Ashadu anla ila ha illah…” aku tuturkan lemah..
Aku masih mamai, tapi mampu menuturkan seperti yang bapak mintak.
“Bangun, bangun.. Alhamdulillah, dah selesai semuanya.. Mari kita pulang..” Sahut Pak Seli, sambil mengutip barang-barang dari tanah, sarung keris, keris, parang dan barang yang dibawa dari mula tadi..
Kami mula berjalan mengarah ke pondok pengawal, dan Ustaz Amin meminta air, dibacakan beberapa potongan ayat, dan surah al-Ikhlas, lalu diberi minum pada aku..
Aku teguk dengan Bismillah..
Penat!
Badan sengal-sengal sebab jatuh terpelanting. Bahu kiri ada lebam besar membulat, sampai lenguh terasa menangkap seluruh tangan kiri..
Aku perasan ditangan Pak Seli ada anak pokok yang dibawa bersama, dibungkus cermat dengan baju bapak yang dah koyak rabak. Bapak tak berbaju, mendedahkan separuh bahagian badannya yang dah calar balar..
Macam pendekar baru balik berperang!
Ada kesan garit empat kuku, merata dibahagian dada! Bagaikan baru bertempur dengan harimau!
‘Crush’ bapak curi-curi pandang, bapak aku tak berbaju.. haha… Dia ingat aku tak perasan?
Baju aku sendiri koyak dibahagian dada, melintang sampai ke bahu kiri!
Bapak menyarung baju bekalan yang dibawa dari dalam kereta..
Pak Seli meninggalkan aku dan bapak didepan pondok pengawal, dan keluar berdua dengan Ustaz Amin kearah sekolah, memagar kawasan sekolah katanya. Aku nampak Pak Seli bawak buluh kuning beberapa batang..
Upacara selesai setengah jam kemudian. Ditamatkan dengan bacaan fatihah beramai-ramai dan bacaan doa selamat yang dibacakan Ustaz Amin dan diaminkan beramai-ramai oleh kami..
Dan guru besar dengan senang hati memberikan Pak Seli dan bapak duit upah. Tapi ditolak dengan berhemah. Dengan aku pun diberikan juga, tapi bapak dah bagi amaran dari awal, ‘jangan diambil!’
“Kita tak cari makan dengan cara ni, ini ibadah fardu kifayah kita pada masyarakat! dengan PUSAKA yang kita tuntut dari susur galur kita dahulu!” pesan bapak dengan tegas pada aku, lama dahulu..
Selepas ucapan selamat tinggal dengan guru besar, aku, bapak, Pak Seli dan Ustaz Amin menaiki motokar meninggalkan kawasan sekolah.
Aku perasan ‘crush’ bapak curi-curi pandang pada bapak lagi, masa kami meninggalkan kawasan sekolah… Haaaa menyesal ke? haha…. Bapak aku harimau berotot.. Ganteng kan ‘papaku’? hahaha
Kami keluar dari perkarangan sekolah, menuju ke warung terdekat. Sesampai diwarung, ustaz memilih meja yang agak tersorok dari orang ramai dan mula bercerita selepas memesan makanan..
“Sebenarnya, dia ni lah yang kerap merasuk pelajar saya, bila diusir dia marah! Hilang sekejap, nanti dia rasuk lagi pelajar lain pulak! Dan ada sekali dua seingat saya, berpeluh nak rukyah pelajar yang kena histeria berjangkit ni! Ada satu masa, lepas sorang pelajar, sorang lagi kena.. Sampai ke subuh!”
“Saya tak pernah jumpa dia secara berdepan, biasanya dengar suara atau nampak bebayang je, tapi hari ni, Allah rezekikan saya untuk nampak secara langsung! Maha Suci Allah!” kata Ustaz Amin..
“Kita je yang nampak dia, ustaz… Orang lain tak nampak.. Orang lain nampak kita bersilat sendirian je, macam orang gila!” balas Pak Seli mendatar, bapak mengangguk-angguk..
“Jangan dia kembali lagi, sudahlah.. Asalnya masa saya berdialog dengan dia, semasa kejadian histeria yang pertama sekali jadi disekolah, dia marah-marah! Katanya pelajar buat bising dikawasan rumahnya! Ada pulak pelajar yang gatal, buang air besar di kawasan semak sekitar pokok…”
“Pagar hijau tu pun, baru je dibina dalam tahun ni, sebab ada laporan pelajar ponteng kelas, cabut keluar dari kawasan semak tu..” Jelas Ustaz Amin..
“Kenapa ustaz tak halau je dia dari kawasan sekolah?” Soal bapak aku
“Saya takde kepandaian untuk menghalau, lagipun saya tak dapat cari ‘titik punca’ dari mana ‘dia’ ni berasal” kata Ustaz Amin merendah diri..
“Tak mengapalah ustaz, kita anggap jelah perkara dah selesai, lagipun dia dah dipindahkan secara batin selepas kalah tadi kan? Dan Alhamdulillah, sekolah pun dah dipagar..” Sahut bapak..
“Hmmm.. saya harap takde lagilah insiden sama lepas ni.. jenuh nak hadap, kerja dah sememangnya banyak, bertambah-tambah pulak dengan kejadian macam ni..” keluh Ustaz Amin
“Sabar ustaz, setiap yang terjadi ada hikmahnya, InshaAllah dia takkan kembali lagi..” balas Pak Seli tersenyum-senyum..
Kami makan dengan berselera malam tu, dengan badan yang bengkak bengkil disana sini..
Ustaz Amin dihantar kembali ke kawasan sekolah, kerana katanya asrama berada dalam jarak satu rantai je di belakang sekolah, dan kami kembali ke inap desa yang menjadi rumah tumpangan kami untuk semasa disini.
Keesokkan hari, lepas subuh, Pak Seli sekali lagi mengajak aku mengikutnya ke hutan berdekatan. Aku ikut tanpa banyak soal, bapak pulak bawak kereta ke bengkel, di servis untuk perjalanan pulang..
Entah iya servis kereta, entah tidak, tak tau lah… hahahaha..
Pak Seli lebih banyak berdiam diri dari biasa, kami berjalan sebatu kedalam hutan ke tempat tempoh hari. Hingga terjumpa kawasan berair yang bertakung ditengah hutan..
Anak pokok dikeluarkan dari serpihan baju bapak yang koyak rabak, ditanam disatu kawasan yang terlindung dari cahaya matahari, mengadap matahari terbenam..
Pak Seli membaca beberapa potongan ayat. Berdiri dan kiam mengadap pokok yang ditanam, sesekali dia mengigit ibu jari kiri dan mengerutkan kening..
Aku nampak Pak Seli depakan tangan mengadap pokok, dibuka sepuluh jari ke arah pokok, kemudian Pak Seli bertutur..
“Mulai hari ini, inilah rumah barumu! Aku tutup kamu dari bersilang dengan dunia manusia, melainkan manusia melanggar rumahmu terlebih dahulu! Selagi keturunanku masih bersusur galur, kamu tiada daya dan upaya untuk menyesatkan kami!” Pak Seli melafazkan ayat yang aku kira ditujukan pada pokok tersebut.
“Mari kita balik, Rip.. Alhamdulillah, dah selesai!” Pantas Pak Seli bagi arahan. Aku sekadar mengikut jejak langkah Pak Seli keluar dari hutan. Baju bapak yang dah koyak rabak dibawa pulang sekali.
Kami bertolak pulang ke kampung pada petang hari yang sama, selepas bapak membayar duit penginapan, dan kami selesai makan tengahari dan Zuhur di masjid terdekat.
Sampai ke kampung lewat malam, dan keesokkannya aku cari bapak untuk mengetahui apa terjadi lepas aku pitam malam semalam!
Bapak yang tengah sibuk minum kopi dan baca surat khabar diruang tamu, aku terjah..
Kata bapak..
“Nenek tua tu menerpa kau lepas dah ditikam! Dengan keris masih tertancap dibelikat kiri! Aku baru nak bangun, tapi Pak Seli lebih ‘pantas’ dah masuk dari belakang!”
“Dengan sekali kilas, keris kau dah ditarik ke tengah belikat, dan Pak Seli tumbangkan dia dengan bentesan keras. Mengelupur dia bila Pak Seli injak dari atas! Yang kelakarnya, dia jatuh tertiarap menimpa atas kau!”
“Masa dia mengelupur dipijak pun, dia masih atas badan kau!” kata bapak sambil ketawa kecil.
Ohhhh… Patutlah ada lebam-lebam badan aku! Mesti Pak Seli dah terlepas dua tiga das buah pukul yang dah terbabas kena badan aku!
“Hmmmmmm…..”
“Apa yang hmmmmm, bah?” tanya aku
“Dalam keadaan tertiarap tu, aku nampak kepala dia berpusing 360 darjah! habis berselirat rambut panjang dia menutup muka! Bersembur-sembur darah ke apa entah dari mulut dia!” balas bapak aku..
“Bila dah diugut bunuh, baru dia mengaku kalah.. Keris kau lah yang jadi ‘senjata utama’.. hahaha.. Tak sangka aku..” kata bapak sambil ketawa.
“Apa pulak yang tak disangkanya, bah?” Aku bertanya, musykil!
“Sayang jugak kau pada aku, Rip! hahaha!” bapak aku sambung ketawa, puas hati..
Haish bapak aku ni, ke situ pulak dia!
“Habis dia dah mengaku kalah, Pak Seli buat apa pulak?” Tanya aku bersahaja
“Pak Seli cuba nak Islamkan dia dan hantar ke Mekah, tapi dia taknak! Dia sayang agama majusi yang dia dah ikut untuk 300 tahun, jadi Pak Seli pindahkan dia secara batin, anak pokok yang kau nampak dibungkus dengan baju abah tu, buat syarat perpindahan je lah!” kata bapak aku
“Nasib baik Pak Seli tak kalah, kalau tak…”
“Kalau tak apa bah?” Aku tanya macam orang dungu..
“Kalau tak, jadi tarzan la.. anak aku si Arip.. beribu kan jembalang hutan! hahahaha” Bapak aku ketawa dan meninggalkan aku termangu-mangu diruang tamu rumah.
Petang hari yang sama, masa aku keluarkan pakaian kotor untuk dicuci, aku seluk poket seluar, ada duit 200 ringgit, entah dari mana duit ni datang..
Bila aku fikir-fikir, aku rasa Ustaz Amin dah letak dalam saku masa aku tak perasan, sementelah diberi pada bapak dan Pak Seli, tapi mereka menolak..
Aku maklumkan pada bapak, bapak kata maghrib ni, masa berjemaah disurau, masukkan dalam tabung masjid!!
Melepas angan-angan aku nak ‘upgrade’ barang basikal yang baru.. Alahai..
Begitulah ceritanya untuk kali ni, semoga kita semua dijauhkan dari tipu daya syaitan dan iblis. Segala tipu daya bermula dari empat perkara yang kecil dari dalam hati kita sendiri yang adakalanya kita sendiri tak perasan iaitu ujub, riak, takbur dan iri.. Jagalah hati, kerana jika rosak hati, maka rosaklah diri..
Sekian
TammaT
Selamat menyambut Ramadhan Al Mubarroq!
Semoga berjumpa lagi di episod yang akan datang.
Jangan lupa dapatkan ‘PUSAKA’.. Dijamin tak mengantuk!
Stay safe and stay healthy!
xoxo
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
mcm mana nak dapatkan Pusaka tu…. Nakkk….
bg info mcm mn nk dpt kn PUSAKA?
Hebat …
Sayembra Persilatan yang hebat ..
sangat best
Terbaik
Hebat! Bnyk pelajaran yg diselitkan dlm 2 cerita saudara Arif. Cerita mcm ni la yg sy tunggu2… Diselitkan jg elemen humor… Syabas
Mcm mana Nak dapatkan buku pusaka