Tempias

Hi semua, aku Nur. Ini pertama kali aku bercerita di Fiksyen Shasha. Pengalaman seram yang aku nak ceritakan di sini bukanlah sepenuhnya aku yang alami. Ia adalah pengalaman kawan aku dan aku berada bersama beliau ketika peristiwa ini berlaku.

Kisah ini berlaku pada tahun lepas sewaktu kami berdua dan lagi 2 rakan sekerja lelaki ditugaskan bekerja di luar kawasan selama 3 hari 2 malam. Kami berempat (aku, Ila, Muhd & Aziz) dihantar untuk menghadiri sebuah event di utara dan sepanjang event berlangsung, kami tinggal di sebuah hotel berhampiran. Dan semestinya aku tinggal dengan Ila sebilik, Muhd dan Aziz tinggal sebilik di aras hotel yang berbeza.

Pada hari pertama selepas check in hotel, kami tak tinggal lama di situ sebab perlu bergegas ke tempat event. Kami hanya pulang ke hotel pada waktu malam untuk berehat dan tidur. Malam pertama di situ lancar dan tak ada apa-apa pun berlaku. Kalau ikut rancangan asal memang kami cadang akan keluar ke tempat event dan pulang selepas semua selesai sebab event tu habis sekitar jam 10.00pm. Tapi pada hari kedua tu, selepas asar kawan aku Ila ajak balik ke hotel untuk berehat dan keluar semula selepas maghrib. Entah kenapa, dia nampak lesu betul hari tu. Aku sangka sebab panas dan bising yang amat mungkin jadi punca dia tak selesa. Dan bila ingat balik sebelum Asar tu ada slot persembahan muay thai dengan bunyi gendang-gendang yang sangat bingit. Aku pun rimas juga.

Kami bersetuju untuk pulang ke hotel dan setuju untuk tunggu di lobi hotel selepas solat maghrib untuk ke tempat event semula. Kiranya aku dan Ila balik ke bilik kami, Muhd & Aziz balik ke bilik mereka. Sampai je kat bilik, aku nampak Ila tutup semua langsir sebab matahari agak terik. Aku masuk tandas untuk ambil wudu’ sebab belum solat Asar. Lepas keluar dari tandas, aku nampak Ila dah berselubung tidur. Mungkin sakit kepala sangat. Dia pula tengah uzur dan tak boleh solat.

Antara jam 6.00 pm ke 7.00 pm tu, aku tengok Ila tidur tak bergerak langsung. Aku tak tidur, memang scroll phone je sejam tu. Bila dah nak masuk maghrib, aku kejut Ila sebelum masuk mandi. Aku tepuk-tepuk bantal dia perlahan. Dia kaku je tidur berselubung. Aku terus masuk mandi dengan niat nanti aku kejut lagi. Tapi lepas aku solat, dengan pungpang bersiap makeup bagai pun, Ila masih lagi tak bangun. Aku fikir, letih betul dia ni. Masa tu dah 7.45 pm, event akan start pukul 8.00 pm. Aku call Muhd ajak dia pergi bertiga je. Aku bagitau Ila tidur tak bangun mungkin penat sangat ke senggugut ke apa. So Muhd pun okaykan aje dan kami bergerak ke tempat event. Sampai je kat sana sebelum nak turun kereta, aku dapat call dari Ila.

Ila bagitau dia baru tersedar, kami suruh dia sambung rehat dan nanti kami belikan makanan. Tengah bersembang tiba-tiba Ila macam cemas dan terus tekan video call. Dia cakap jangan letak. Nampak dia kelam kabut bangun dari katil, berlari keluar bilik sampai dia turun ke lobi. Dia menangis sambil cakap jangan letak call dan suruh kami balik ambil dia. Mujur jarak tempat event dan hotel tak jauh, kami pun decide patah balik dan tak attend event malam tu.

Sampai kat sana nampak Ila duduk di lobi dengan tudung senget benget. Dia memang turun bawa diri je, nasib baik memang dia pakai baju siang tadi tak tukar baju tidur ke apa. Kad hotel pun dia tinggal dalam bilik. Dia cakap masa balik ke hotel petang tadi, dia tak tidur pun sebab bising bunyi budak-budak berlari dari bilik atas. Lepas tu dengar bunyi macam staff hotel tengah housekeeping. Yang peliknya aku tak dengar apa-apa. Pastu jadahnya housekeeping petang-petang. Dia kata tak sedar tertidur waktu bila tapi dia tak rasa langsung macam dikejut. Padahal aku kejut dia nak dekat 5 kali.

Yang paling seramnya adalah bila dia tersedar dan call aku, masa tengah sembang tu ada suara tepi telinga dia tanya “Dok sorang ke tu?” Dia tersentak dan terus bangun capai tudung yang tergantung kat tepi langsir yang terbukak luas. Seingat aku, langsir tu dia yang tutup rapat. Dia terus keluar dari bilik dan tinggal semua benda. Dia rasa lama sangat nak sampai ke lif dan turun ke lobi dengan rasa berdebar-debar.

Malam tu, dia call suami dia. Suami dia akan datang dan teman. Diorang tempah bilik baru di hotel yang sama. Aku pula kena tinggal sorang-sorang. Takkan nak duduk sebilik dengan Muhd & Aziz. Lagi gila. Aku call tunang aku, kebetulan hotel tu berdekatan dengan rumah family dia. Mak dia ajak aku tidur sana. Alhamdulillah lega rasanya.

Esoknya sebelum event tamat, baru la aku tau yang Ila sebenarnya memang ada gangguan dari kecil dan pernah jadi target untuk menerima warisan nenek. Seram aku dengar. Lepas ni taubat aku taknak dah duduk berdua je dengan dia.

-Nur-
Pertama kali bercerita.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Leave a Comment