Terakhir Dariku

Assalamualaikum dan salam sejahtera admin dan para pembaca FS.

Seperti yang sudah ku terangkan pada perkongsianku yang pertama dulu, menjadi seseorang yang dapat melihat dan merasa benda yang orang lain tak nampak ni, bukanlah sesuatu yang menyeronokkan, ianya lebih kepada kekurangan dari kelebihan padaku. Dalam beberapa kisah yang pernah aku kongsikan, ada juga yang menyarankan agar aku mempelajari ilmu perubatan alternatif, gunakan apa yang aku ada ini ke jalan menolong orang. Ya.. aku faham, dan aku memang sangat suka menolong orang, tetapi bukan dengan cara yang begitu. Cukup bagiku siksa melayan pemandangan ini, yang kadang kita tak pasti sama ada ianya realiti atau bukan.

Walaupun aku di cop seorang yang kering hati, tapi tetap akan ada rasa takut dan kurang yakinnya aku pada semua yang terjadi pada diriku. Rasa curiga dan berhati-hati mula timbul apabila aku melanjutkan pelajaran di Selangor. Bila berjauhan dengan keluarga dan mula kenal dunia luar, bermacam-macam jenis orang yang kita jumpa. Maaf jika cerita kali ini kurang atau tak seram langsung. Ianya lebih kepada perkongsian pengalaman hidup yang ku lalui.

Seperti yang pernah aku ceritakan terdahulu, aku terlibat dalam team kebudayaan di tempat aku belajar. Setelah hampir beberapa bulan dan beberapa persembahan kami lakukan, aku perasan akan ada seorang kakak ni datang untuk menyaksikan persembahan kami. Pada pandangan yang lain, dia datang bersendirian, tetapi padaku, ada yang turut menemanimya. Apabila pandangan kami bertemu, dia akan menghadiahkan senyuman dan ketika itulah aku akan rasa terkedu dan betapa susahnya untukku menelan air liur. Aku tak tahu pada mulanya sama ada itu secara kebetulan atau tidak, tak pasti sama ada itu petanda yang baik atau pun buruk.

Sehinggalah pada suatu hari selepas persembahan kami, salah seorang ahli kumpulan ku membawa kakak ini bertemu denganku, kenalan dia rupanya. Katanya dia sudah lama perhatikan ku, cuma menunggu waktu yang sesuai sahaja untuk berkenalan. Dia memperkenalkan diri sebagai Kak Siti.

“Nama kawan akak tu?” soalku setelah dia memperkenalkan diri.

“Aku Uda lah,” kawan yang memperkenalkan Kak Siti kepadaku menyampuk.

“Panggil sahaja dia Nur,” tersenyum lebar Kak Siti bila ku tanyakan nama penemannya.

Uda yang turut bersama kami terpinga-pinga.

“Kawan akak yang lain, Uda,” terang Kak Siti.

“Ooo.. yang lain tu..” dan Uda pun berlalu meninggalkan kami berdua. Aku tak berapa selesa sebenarnya, tapi ku layan sahaja, tak mahu di tuduh kurang sopan.

Malam itu selepas kami kemaskan peralatan muzik kami, aku memenuhi permintaan Kak Siti untuk minum dan katanya ada sesuatu yang hendak ditunjukkan kepadaku. Pada mulanya aku tolak perlawaannya, ye lah, baru jumpa sudah ajak keluar, sudah hampir awal pagi pula ketika itu. Tetapi setelah dia beritahu Uda dan aku boleh bawa Nina (seorang lagi ahli muzik kumpulan kami) , dan juga akan ada beberapa orang lain yang pertama kali akan berjumpa di restoren yang dinyatakan, barulah aku bersetuju.

Selepas minum dan beramah mesra dengan kenalan baru yang lain, Kak siti mengajak kami bertukar lokasi, ku turutkan sahaja walaupun mata sudah semakin mengantuk. Mahu tak mahu terpaksa juga ikut kerana aku menumpang kereta Kak Siti. Destinasi seterusnya adalah di hadapan kolej salah sebuah IPTA yang agak jauh juga dari tempat kami tetapi masih lagi di dalam Selangor.

Kami kemudian duduk bersila mengelilingi Kak Siti. Kemudiannya dia menyebut nama kami, hanya yang tertentu sahaja, Uda dan Nina tak ikut ritual ini, mereka bersandar di kereta memerhatikan kami.

“Ikut apa yang Kak Siti ayat ni,” bila dengar dia beri arahan begitu, aku segera bangun.

“Nami.. duduk.. ini yang akak nak tunjuk ke kamu,” tak tahu kenapa aku rasa semakin kurang selesa, tiba-tiba aku rasa seperti terperangkap, ada benda yang rasa tak kena ketika itu.

“Kalau nak panggil hantu ke entiti ke, saya tak nak terlibat kak. Akak teruskan lah, saya join Nina,” aku mula mengundur dan berpusing menghala ke Uda dan Nina. Tapi langkah ku terhenti apabila nampak Nur, peneman Kak Siti sedang berdiri di atas bumbung kereta sambil merenung tajam ke arahku. Entah bila dia muncul semula kerana ketika di restoren dan semasa perjalanan ke tempat ini, Nur tak kelihatan langsung.

“Nami.. duduk..” sekali lagi Kak Siti memberi arahan.

Aku akhirnya mengalah dan kembali bersila melengkapkan kembali bulatan tadi.

“Ikut apa yang Kak Siti nak baca ni ye, jangan ada yang mengelat tak baca, Kak Siti tahu..lagipun apa yang Kak Siti nak baca ni ayat Quran,” pandangannya terhenti padaku.

Dalam fikiranku, kalau dia tipu pun bukan kami tahu, bukannya kami ni hafal keseluruhan Quran. Ku toleh ke belakang, Nur tiada di atas bumbung kereta, pandangan aku dan Nina bertemu,

“Rakam..” kataku tanpa bersuara. Nasiblah Nina faham isyarat mulutku. Nina, memang sentiasa ada alat perakam suara dengannya kerana
tuntutan bidang yang diambilnya.

Oleh kerana hampir sepanjang masa bacaan itu mata Kak Siti memandang kepadaku, terpaksalah aku ikut juga apa yang dibacanya. Tujuh kali kami ulang ayat yang boleh tahan panjangnya, kemudian diam untuk beberapa ketika.

“Cuba tengok keliling,” arah Kak Siti.

Aku tak tengok keliling dahulu, aku tengok gelagat umat yang lain yang turut serta dalam ritual itu. Berpusing-pusing mereka tengok keliling, kemudian barulah aku perhatikan persekitaranku.

“Tengok apa kak?” seorang dari kami bertanya.

“Tu.. dia nak kita tengok makhluk yang atas bangunan tu,” aku menjuihkan bibir ke arah bangunan kolej di hadapan kami.

“Selain Nami, siapa lagi yang nampak?”soal Kak Siti.

“Saya nampak tepi semak tu, atas bumbung tak nampak,” salah seorang bersuara.

Ku toleh ke semak yang ditunjuk. Memang, ada seorang berbadan sasa sedang berdiri di tepi pokok dalam semak. Ku angguk kan kepala.

“Lagi?” soal Kak Siti.

“Tepi Kak Siti, tapi bukan Nur.. kat tepi tiang lampu tu pun ada, anjing besar,” kataku. Ketika ini ku tundukkan pandanganku ke jalan tar.
Tersenyum Kak Siti mendengar jawapanku.

“Yang lain-lain?” mereka menggelengkan kepala.
“Belum sampai masa lah tu..”

“Ni ke yang akak nak tunjuk?” soalku.

Kak Siti tersenyum dan mengangguk.

“Dah tengok.. suruh lah semua pergi,” kataku lagi.

“Boleh, tapi ada yang satu ni kata nak jumpa Nami, dia kata rindu,” lemah lutut aku mendengar kata-kata Kak Siti. Nasib aku masih bersila, kalau berdiri pastinya aku sudah terjelepok jatuh.

Berdebar.. aku tak pernah sesekali pun memuja atau memanggil makhluk ini. Ini barulah pertama kali ku ikut kerja gila ni.

“Nami..” tak sempat aku jawab, kedengaran suara memanggil namaku.

Datangnya dari makhluk di atas bangunan. Entah bila dia bergerak
menghampiriku kerana dalam sekelip mata, dia berada di hadapanku.
Pada ketika itu, aku rasa jika mukaku di toreh pisau, takkan ada d***h yang keluar kerana pucat, degupan jantung pun rasanya terhenti. Aku kenal yang datang menyapaku ini. Aku pernah bercerita tentangnya sedikit dalam cerita pertama yang ku kongsikan dahulu. Perempuan yang sering menemaniku ketika menunggu adikku habis tuisyen. Yang terus aku tinggalkan tempat ‘lepak’ kami selepas tahu dia bukan manusia.

“Kenapa..” soalku. Tersekat di situ sahaja. Otak tiba-tiba tak dapat berfikir.

“Kau yang seru aku.. aku memang tunggu nak jumpa kau balik, macam dulu,” dia senyum.

“Kak Siti, boleh suruh dia pergi balik kat tempat asal dia?” ku renung Kak Siti, tak mahu bertentang mata dengan ‘dia’.

Kak Siti senyum dan anggukkan kepala. Entah apa yang dibacanya, aura sejuk yang datang bersama ‘dia’ tadi hilang, menandakan ‘dia’ juga sudah pergi. Barulah aku alihkan pandangan dari memandang Kak Siti.

Sesungguhnya, memang aku menyumpah-nyumpah kebodohanku kerana memberi ruang orang mempergunakanku. Tak henti-henti aku beristigfar.

“Nami tak tanya pun nama dia tadi. Dia terasa tau,” Kak Siti bersuara semasa dalam perjalanan pulang ke kolej ku.

“Seri..” kataku.

“Ingat lagi ya?” soal Kak Siti.

Ku anggukkan kepala.

“Itu.. bukan hantu tau. Itu pendamping Nami. Dia datang masa first time Nami panggil dia kat jalan m**i tu,” terang Kak Siti.

“Saya takde seru dia,” jawabku.

“Seru.. tak bermakna kena guna ayat-ayat tertentu. Masa duduk sorang-sorang kat batu kat jalan m**i tu, ada cakapkan bosan dan tak kisah siapa-siapa pun datang temankan, kan?”

Aku terdiam.

“Itu tempat dia, dia dengar dan sahut seruan Nami, tak baik tau buat macam tu kat dia. Berkawanlah dengan dia, biarkan dia jadi pendamping Nami. Ada banyak kebaikkannya tau. Selama ni dia ada je dekat dengan Nami, tapi dia tak berani datang lebih dekat dan tayang muka sebab dia tahu Nami tak nak jumpa dia lagi,” pujuk Kak Siti.

“Habis sekarang ni dia akan muncul lah bila-bila dia nak macam Nur?” soalku.

“Tak.. Cuma bila Nami seru,” balas Kak Siti.

“Bagus… terus jauh ye..”

Selepas itu, ku beri amaran kepada Uda, sekiranya Kak Siti mahu berjumpa atau hendak sampaikan apa-apa pesan, katakan pada dia yang aku tak berrminat.

Seperti yang ku jangka, Kak Siti tak berputus asa untuk menghubungiku.
Yang membuatkan aku berkeras untuk tidak ada apa-apa lagi urusan dengan Kak Siti adalah kerana ayat yang digunakan ketika ritual itu bukan keseluruhannya ayat Quran. Nina membantu ku untuk mencari ayatnya dari rakaman yang dibuat. Hanya beberapa baris sahaja ayat Quran, selebihnya bukan, entah ayat apa yang digunakan. Aku sebenarnya nak kaji lebih berkenaan ayat tambahan itu, tetapi Nina sudah buang rakaman tersebut kerana terlalu takut.

Bermula dari itu hidup aku sebenarnya kurang aman. Aku jadi malas untuk ke kelas, padahal aku sudah sampai di depan dewan kuliah atau bilik tutorial, entah kenapa diri ni jadi terlalu malas atau pun kepala rasa terlalu pening, aku akan patah balik ke bilik. Assignment sering lewat hantar atau pun buat sekadar memenuhi kewajipan. Hairannya, jika ada kawan yang minta bantuan berkenaan assignment mereka, laju sahaja aku siapkan atau bantu. Pointer ku jatuh teruk hinggakan Head Of Programme panggil ke biliknya dan tanyakan permasalahanku.

Fokus untuk bermain muzik dan berteater juga semakin kurang. Sebagai ketua dalam kumpulan muzik kami, aku tak dapat lead mereka untuk bermain dengan baik. Paluan rebana aku selalu off beat walaupun aku cuba sehabis baik. Bila dengan kawan-kawan baikku, aku jadi panas baran. Akhirnya aku dipanggil dan diberi amaran oleh Head of Programme ku kerana ku pukul sahabat baikku sendiri sehingga habis lebam muka dan badannya. Sampai felo kolej terpaksa tenangkan aku. Maafkan aku Ida. Penyesalan yang aku pikul sampai sekarang. Puncak segala yang berlaku, aku ponteng kelas dan berhenti dari bermain rebana. Aku duduk berdiam diri di dalam bilik kolejku. Telefon ku matikan kerana aku rasa keliru dengan segalanya.

Sepanjang masa ini, umat suruhan Kak Siti seringkali datang, sama ada sekadar berbisik tanpa menunjukkan diri, secara bayangan, dan juga secara terang-terangan. Pesanan yang ditinggalkan tetap sama,

“Buka hati..”

Aku akhirnya tak dapat siapkan thesis pada waktu yang ditetapkan. Kecewanya rasa ketika itu. Mana taknya, aku tolong siapkan 3 thesis teman sekuliahku, tetapi thesis aku, cuma sehingga bab 4 sahaja yang dapat ku siapkan. Setiap kali aku cuba buat, aku akan rasa mengantuk sangat dan jika ada yang datang membantu, mereka akhirnya akan turut berasa ngantuk yang teramat.

Aku extend masa pengajianku. Duduk di rumah sewa dengan rakan uni yang lain, yang bekerja di sini. Macam-macam dugaan juga yang aku lalui. Hinggakan ada satu ketika aku ikat kaki ku pada tombol pintu rumah sewa kami. Kenapa aku buat begitu? Kerana banyak kali aku tersedar ketika subuh, semua pintu di rumah sewaku terbuka luas. Kami hanya bertiga sahaja di rumah sewa itu. Teman serumahku kerja syif (dua-dua ambil waktu yang sama), kejadian pintu semua terbuka selalunya apabila aku tidur seorang di rumah. Aku ingatkan aku mengigau dan buka semua pintu, tetapi tidak, tali yang ku ikat di kaki ku panjangnya sehingga ke bilik air sahaja, jika mahu ke ruang tamu dan bilik lain, aku perlu buka ikatan di kaki.

Sehinggalah suatu hari aku ada kekuatan untuk berjumpa dengan Kak Siti. Soalan pertamanya apabila berjumpa,

“Sedia untuk buka hati?”

Masa tu aku tak tahu, nak cekik dia atau pun apa. Akhirnya aku menangis.
“Ikut Kak Siti, dan akak akan kembalikan semula yang Nami ada dulu. Sempat lagi ni nak siapkan thesis,” sambungnya.

“Akak seru khadam. Saya tak nak tu. Salah kak campur adukkan Islam dengan yang lain,” balasku.

“Guna khadam tak salah. Kalau salah Allah takkan turunkan Surah Jin dalam Quran. Kita manfaatkan mereka aje.”

“Manfaatkan itu yang saya taknak. Syirik,”kataku lagi.

“Tapi manfaatnya sangat tinggi.. sampai satu masa nanti kita akan sebaris dengan ahli sufi, setaraf Nabi Sulaiman. Pada masa tu amalan solat pun tak susah.. kalau tak sempat cukup niat sahaja, Allah terima sebab darjat kita dah tinggi. Nami ingat tak awal pagi tu, cuma Nami seorang sahaja yang nampak macam-macam? Yang lain tak? Sebab tu dari awal bila Uda cakap dia ada kawan yang pelik, Kak Siti terus rasa nak sangat jumpa Nami,” terang Kak Siti lagi.

“Nabi Muhammad yang dijamin masuk syurga pun solat kak. Nabi Sulaiman tu mukjizat Allah beri pada dia. Saya tak nak melebihi dari mereka tu,”

“Nabi Muhammad tu, macam posmen, tukang sampaikan aje pesanan, nak sedapkan bahasa digunakan perkataan wahyu. Nabi Sulaiman pun sama aje macam kita, kalau tak, takkan dia buat Balqis sampai angkat kainnya sampai ke betis.. kan aurat tu..” terdiam aku mendengar jawapan Kak Siti.

“Saya mohon kak.. saya taknak terlibat dengan orang macam akak,” rayuku.

Dia tersenyum dan menggelengkan kepala.

“Cukup tutup diri untuk akak susah baca.. buka diri dan hati tu.. semuanya nanti akan mudah..” katanya sebelum meninggalkan aku sendiri.

Itu kali terakhir aku berjumpa dengan Kak Siti, dalam tahun 2003.

Seminggu selepas kami bertemu, bila dia sudah mula ganggu teman serumahku, aku ambil keputusan untuk pindah dan mulakan hidup baru. Aku tak mahu mereka hidup dalam ketakutan.

Mana taknya, terkencing-kencing rakan serumahku yang bangun awal pagi untuk minum air di dapur, nampak ada orang membelakangkannya berdiri di peti ais yang terbuka. Bila dia sergah orang itu kerana disangkanya pencuri, orang itu toleh memandangnya sambil meratah daging ayam mentah. Muka yang penuh d***h dengan mata yang kosong.

Tak cukup dengan itu, baju-baju yang kami sidai dicampak ke atas bumbung (kami tinggal di tingkat paling atas sekali). Logik akal, tempat sidai baju kami berpagar, mustahil untuk semua baju terbang naik ke atas bumbung.

Telur yang baru kami beli, sepapan busuk.

Mihun sup yang dimasak rakan serumah dicampur dengan serpihan kaca. Masa masak tak perasan, tapi bila seorang lagi rakan serumah suap ke dalam mulut, tiba-tiba dia menjerit dan keluarkan mi yang didalam mulut, diludahnya beberapa kali ke dalam mangkuk mihun itu. Sup bertukar merah dek d***h yang diludahnya. Lidahnya terluka. Nasiblah tidak dalam dan besar lukanya.Terkejut kami. Kami tak puas hati dan cedok mi di dalam mangkuk besar, ya.. memang ada kaca di dalamnya. Sangat pelik.

Untuk beberapa ketika aku hidup dari satu tempat ke tempat yang lain. Macam orang tak betul pun ya juga.

Akhirnya aku ke Segamat, berjumpa kakak angkatku. Dia menasihatiku untuk balik ke rumah dan terangkan segalanya kepada ibu bapaku. Entah kenapa kali ini hati aku lembut untuk mendengar nasihatnya dan aku pun balik ke rumah ibu bapaku.

Abah segera buat sujud syukur apabila aku sampai ke rumah. Emak menangis sambil memelukku. Subhanallah.. sepanjang apa yang aku lalui selama ini, aku lupakan mereka. Pendinding dan penjaga terbaik untukku selepas Allah.

“Abah tau Nami akan balik. Sebab tu abah tak cari walaupun mak suruh. Abah tak nak halang Nami settlekan apa yang Nami nak settlekan selagi apa yang Nami buat tu tak tersasar dari landasan,” kata abah.

“Duduk sini, dah tak payah pergi sana lagi,” arah abah. Abahku sendiri yang pulihkan aku. Aku minta abah untuk buang kecacatan penglihatan aku yang nampak benda-benda yang tak sepatutnya aku nampak.

“Kalau buang.. dah bukan Nami lah..” balas abah.

“Belajar untuk terima kekurangan diri. Belajar juga untuk pentingkan diri sendiri.. dahulukan diri sendiri sebelum orang lain,” pesannya.

Sehingga kini aku masih lagi tinggal dengan kedua ibu bapaku. Bertahun aku diamkan diri dari sahabat-sahabat sekuliah, kerana tak mahu keberadaanku diketahui Kak Siti. ‘Radar’aktiviti aku di sini tertutup dari pengetahuannya, tetapi sehingga ke hari ini, bila aku berada di Selangor, pasti orang suruhannya datang bertemuku dengan tujuan yang sama. Abah kata kerana aku dekat dengannya bila di Selangor, mudah untuk dia tahu kedudukanku.

Bulan lepas aku ke Putrajaya atas urusan kerja, tiba-tiba Uda menghubungiku, entah dari mana dia dapat nombor telefonku dan aku bersetuju untuk berjumpa dengannya.

“Kak Siti kirim salam,” katanya pada perjumpaan kami.

Aku tergelak mendengarnya.

“Punya lama tak jumpa, bukan nak tanya khabar.. itu yang kau sampaikan dulu?” soalku.

“Itu yang utama,” balas Uda.

“Big boss kau sekarang ni eh?” dugaku.

“Hmmm.. tapi aku still tak puas hati dengan apa yang dia buat kat kau, Nami. Masa depan kau dia permain-mainkan. Kau ok tak? Kerja apa sekarang? Cukup duit tak?” soal Uda.

“Alhamdulillah.. cukup untuk sara hidup aku dan mak abah aku,” balasku.
“Kau ingat Kak Intan?” soalnya.

Aku geleng.

“Yang kata nampak benda time korang main seru-seru kat kolej tu dulu. Benda lain dia tak nampak tapi kau sorang je nampak,” terang Uda.

“Kenapa dengan dia?”

“Dia dan ada kerajaan sendiri sekarang,” jawab Uda.

“Huh? Barisan ke Harapan?” soalku.

“Bukan tu lah.. kerajaan dunia lain.. dia pergi masuk hutan haritu.. pendampingnya tunjuk satu tempat tu, dia gali dan dapat cokmar. Tapi satu je, pasangannya takde, dia balik rumah, tidur, bila bangun satu lagi cokmar ada kat tangan dia. Hebatkan? Kau tak nak ke? Rezeki dia pun murah. Rumah sewa ada 3,” bersemangat Uda bercerita.

Masih tak tahu erti kalah lagi rupanya mereka.

“Adalah dua tiga lagi yang ada kerajaan sendiri. Ada masa diorang tinggal dengan kerajaan diorang ni untuk berlatih,” tambah Uda.

“Berlatih?”

“Ya.. tak lama lagi Imam Mahadi nak turun. Masa tu nanti dajal semua akan muncul juga, jadi kami akan bantu Imam Mahadi perangi dajal-dajal ni semua,” sesungguhnya, aku sedih bila dengar ini dari mulut Uda.

“Aku tak berminat. Aku tak percaya semua ni. Bukannya aku tak percayakan Imam Mahadi dan dajal, tapi aku tak percayakan side story yang kau cerita pasal segala macam kerajaan ni. Buka mata kau Uda.. cari cikgu yang betul yang boleh bimbing kau,” ku nyatakan pendirianku.

“Aku bukan nak cakap apa.. tapi kau tengok Kak Siti tu sendiri.. hisap rokok daun.. bab solat ke yang berkaitan tu aku rasa kau lebih arif kan dengan pandangan dia. Aurat pun sama.. Kak Intan free hair kan? Sama merokok dan aku tau dia minum, sebab masa first time jumpa tu pun dia minta tambah vodka dalam sky juice dia, macam mana tu Uda..?”

Lama Uda termenung memandangku.

“Tolak tepi perkara ni.. kita masih kawan kan?” soalnya.

“Yes..” dia tarik tanganku dan genggamnya erat-erat.

“Nami.. kalau apa-apa jadi kat aku, kau adakan untuk bantu?” serius soalannya.

“Apart from dunia-dunia mistik ni.. aku Insyaallah ada untuk kau,”balasku.
Dia kemudiannya termenung lagi sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.

Aku berharap agar Uda kembali ke jalan yang benar. Dia seorang kawan yang baik, cuma minatnya terhadap dunia mistik ini menyebabkan dia tersasar.

Dari Uda juga aku tahu yang setiap kali aku ke Selangor, Kak Siti akan beritahu dia kedudukan aku. Tapi dia tak mahu mengganggu aku kerana dia tahu aku akan tetap dengan keputusanku.

Sekali lagi ku minta maaf kerana cerita kali ini agak panjang dan tak seram. Dialog antara aku dan Kak Siti juga tak seratus peratus seperti yang asal, tapi kandungan setiap bait ayat tu memang ada dalam intipati perbualan kami.

Semoga mereka-mereka itu tidak terlewat untuk fikirkan rasional perbuatan mereka. Apa-apapun kita adalah hambaNya.

Jadi pengalama yang aku lalui sehingga ke hari ini membuatkan aku serik dan tidak mahu terlibat dengan dunia mistik mahupun perubatan alternatif. Biarlah aku dengan keadaanku sekarang ini. Nampak benda yang tak sepatutnya, Alhamdulillah.. tak nampak lagilah Alhamdulillah.

Nami

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 4.5]
Nami

51 thoughts on “Terakhir Dariku”

  1. Pelik ngn mereka2 yang percaya mereka tentera imam mahdi. Seram baca kisah ni. Alhamdulillah anda masih mampu mmpertahankn akidah. Allahuakbar!!!

    Reply
  2. banyak point yg boleh kita jadikan tauladan dan sempadan dalam cerita ni . good job kak nami . cik panda suka baca story kak nami

    Reply
  3. Sebab tu alim ulama larang kita bersahabat dengan jin. Jin-jin ni pandai main tipu muslihat, tersilap langkah boleh syirik. Tahniah Nami, semoga anda terus istiqomah.

    Reply
  4. Semoga Nami sekeluarga sentiasa dalam perlindungan Allah..Bukan mudah menolak semua ‘kemanisan’ yang di janjikan di dunia ini..Semoga terus kuat menangkis dan menolak cubaan mereka semua..

    Reply
  5. terus terang dulu saya mcm ada pandang rendah pada perempuan. tapi semakin banyak membaca(dan seiring peningkatan usia), semakin saya sedar bahawa kaum perempuan lagi lebih banyak ilmu2 mistik dpd lelaki sebenarnya. sebab itu bila sudah berusia matang kini saya semakin “berhati2” dgn perempuan…

    thanks for sharing.

    Reply
  6. Allahu kak nami ,
    kuat kak nami , harap sy tk terjerumus lbih ke alam mistik , walaupun sy suka dgn bnda mistik ni ,
    keep strong kak nami ,
    ziq doakan moga kak nami lbh kuat dan kak nami dbrikan kesembuhan , dilindungi allah
    nanti share story lg kak nami 🙂

    Reply
  7. cerita real ke ni? Allahuakbar takut betul!! Macam-2 sekarang org buat bagi kita ikut cakap jin. Buat cik Nami, moga Allah melindungi hidup anda sekeluarga.

    Reply
  8. saya pernah jumpa dengan org yang katanya kalau nak solat cukup sekadar dengan niat.. x perlu wuduk dan solat mcm selalunya….masa tu dah rasa lain..

    Reply
  9. Ni ajaran sesat dah ni..xmo dedahkan ke..kalau biar makin ramai yg rosak akidah…sesat..murtad(barangkali)…aku pon pernah terjerumus ajaran mcm ni..sip baik ada ustaz(tok guru aku sekarang) yg selamatkan aku…’berperang’ ustax ngan ex-tokguru aku ni…alhamdulillah ..iblis xkan menang…tapi ko punya kes ni ajaran yg lagi dahsyat ni…aku dulu xdaklah sampai boleh ada kerajaan apa semua..smpai menidakkan nabi saw…nauzubillah…

    Reply
    • Masa mula dgr ada kerajaan di dunia lain.. Punyalah terkejut tapi x nk tunjuk ke dia yg kita tgh terkejut.. X nk dia fikir dia ada chance untuk cuba tarik lagi.

      Reply
  10. jauh sgt terpesong nii…alhamdulillah cik nami masih berpendirian teguh untuk mempertahankan akidah….tenkiu atas pengalaman yg diceritakan…..moga2 kita dijauhi dengan perkara2 begitu….dan semoga org yg dh jauh tersasar tuu diberi kesedaran….

    Reply
  11. bila baca mula2 rsau jgak pasal Nami,tpi dah baca smpai habis alhamdulillah kuat iman Nami supaya tak terus terjerumus dgn prkara2 yg hmpir nk menyekutukan Allah kita kat dunia ckup lah kita bergantung dan berharap kepada Allah swt jgn selain darinya..yeah memang betul dunia sekarang ramai islam mengaku Allah itu tuhan mereka tpi bab amalan dan suruhanNya tak pernah kita ikut kdg2..anyway all the best Nami dan smoga kekal kuat kay,stiap yang berlaku ada hikmahNya..cerita yang sgt menarik smpai boleh imagine kita sendiri ada kt situasi Nami hee,thnks for sharing 🙂

    Reply
    • Kadang2 tu apa yg parents ajarkan kita dari awal, kita pandang x endah.. Tapi rupanya ilmu yg mereka berilah yg jadi penguat smgt n Insyaallah teguh keyakinan pada Islam.. Saya pun masih ‘nakal’ lagi.. Ada masa leka dgn benda2 lagha.. Tapi as long as kita tahu kedudukan kita aebagai apa kat muka bumi ni.. Selagi itu Allah sentiasa ada utk kita

      Reply
      • yela kdg nak2 time remaja ‘zman memberontak’ kita slalu tak sehaluan pendapat dgn parents kita,then bila dah umur smakin mningkat baru sikit2 kita paham apa sbb dulu2 parents kita suh amalkn benda ini itu n larang buat itu ini..smuanya bersebab supaya kita tak mudah jatuh dgn godaan syaitan n tipu helah duniawi ni smua,yep setuju selagi kita sedar yg kita ni di pilih sbgai khalifah bumi kita tak akn mudah buat benda2 yg tak elok kita tahu batas mne yg baik mne yg buruk..hee nakal2 tu faham saya pun tak la baik sgt, kita kan mnusia biase 🙂

        Reply
    • Aamin.. Semoga kita sentiasa di dalam rahmatNya.. Rajin2 kena zikir padaNya.. Walaupun sekadar sebut Ya Allah.. Nampak mudah, tapi itulah yg Insyaallah membantu bila dlm kesusahan..yg penting ikhlas dlm beribadah.

      Reply
  12. nami,sampai skrg ni kak siti masih ada lagi dan masih mencari org utk ikot dia?
    kenapa tak lapor kepada yg berkaitan tentag kesesatan kak siti ni.aku tgk kak siti ni mcm pengikut iluminiti.sape yg ikot dia akan dapat segala didunia.kuasa dan kekayaan

    Reply
    • dia masih ada lagi.. utk mencari org utk ikut tu tak pasti.. sebab tak berhubung lagi dengan Uda selepas balik ke sini.
      mereka bergerak ikut pemikiran, luaran nampak sama aje macam kita semua, malahan dengan family dan orang luar, kalau masuk waktu, mereka akan solat macam biasa.. hanya yang terpilih akan didedahkan dengan fahaman mereka. yang pastinya ada pengikut yang bukan dari kalangan orang-orang biasa.

      Reply
  13. Allahuakhbar, nak nangis baca, sy pun ada dpt ujian mcm tu jugak.. alhamdulillah bukan terbuka hijab mcm cik nami, tapi ujian diganggu, kadang fikiran sy, mcm org xdak iman ja.

    sy ada saudara mcm ni sbb tu bila baca rasa sedih, sy ckp sy diganggu bila seorg diri di rumah, dia ajak sy pergi tanam HURUF JAWI something like that, katanya barulah kebal. bila dia ada kat rumah, mmg xda pulak gangguan, dy boleh ckp, itu sbb mereka takut dengannya. bukannya sy x cuba menerangkan dgn baik, bahkan dalil, hadis juga sy kemukakan, namun… Allah.

    sesungguhnya sy sedih sbb sy xmampu nak menarik dy ke jalan benar. tapi sy xkan mengalah untuk membawa dia ke jalan Pulang.

    membaca entri kali ni baru sy faham, apa kemungkinan kecelaruan sy, terkadang sedikit emosi, jodoh y bagaikan tersekat dan ada saja halangan mgkin la ada perkaitannya dgn mistik.

    doakan supaya sy kuat mcm cik nami. anyway i lke ur writing miss, kind a ur fan already. always looking up ur name whenever i visit fs.

    Reply
    • Aamin.. aamin.. Insyaallah Allah akan sentiasa ada bersama kita pada jalan yang ditentukan dan yang kita pilih. Mudah atau sukar jalan tu, jalan lupa sentiasa ingat pada kekuasaanNya. Dia sentiasa ada, cuma kadang hati dan keyakinan kita yang kurang padanya. Sentiasa mengharapkan jawapan n pertolongan dalam keadaan tergesa2. Ikhlaskan diri bila beribadah (wlpn mmg agak sukar). Jaga diri dan jgn putus berzikir meminta teduhan kasih dariNya.
      Hehe, jgn jadi fan.. jadilah friend.. supaya bila ada khilaf dlm saya menyampaikan pengalaman, mudah utk menegur kesilapan saya.
      Thanks anyway

      Reply
  14. Syabas Nami pass dlm ujian Allah yg Satu Ni..Bab mistik, Ada unsur “magik”, terbuka hijab, etc laju je org nak taksub. Tapi Bab yg fardhu,yg wajib tak terbuat.. ujung2, ikut short cut Jln Salah…nak patah balik, harap dgn rahmat Dan belas ikhsan Allah je..if not susah.

    Reply
  15. Aku pon peminat mistik tapi alhamdulillah aku tak diberi kelebihan dan ujian spt cik nami..kalau x, aku tak tahu boleh hadapi @ aku pon terjerumus..saya doakan kesejahteraan dan kekuatan dalam hidup cik nami..

    Reply
  16. Suka betul baca kisah nih …
    aku pon pernah jumpa Guru sufi yang tah
    k solat tapi cakap maqam tahap Wali Abdal …
    sungguh dahsyat tipu daya Syaithonirrojim ….
    Imam Al Ghazali pon Beruzlah selamanya 40 tahun untuk berjaya mengarang Kitab Ihya Ulumuddin dan berterusan Amalan Syariatnya …
    Semoga Terus Istiqamah menjaga Akidah Sunnah ..
    Insha Allah …
    Alhamdulillah …

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.