#TokMoh – Cinta Hujung Nyawa

Bismillahirrahmanirrahim..
Terima Kasih kepada Admin FS kerana menyiarkan penulisan aku yang terdahulu.
Rumah Banglo Seksyen 12 dan membina untuk aku menulis lagi.

Aku melihat jam di tangan, jarum jam menunjukkan hampir pukul 10 malam. Jika mengikutkan perjanjian aku dengan Anip, masa yang sepatutnya kami berjumpa dah 30 minit berlalu. Tapi disebabkan aku yang meminta perjumpaan ni, jadi aku tabah je la bersabar. Aku teringat kembali perbualan telefon kami dua hari lepas “Tok Moh.. Ko tulis cerita pasal kita ke? aku baca dekat FS tu macam lebih kurang apa yang jadi kat kita dulu je?” soal Anip.

Aku tahu perkara tu boleh kantoi. Sebabnya, Anip ni pon suka membaca cerita-cerita seram di FS ni. Jadi tak hairan jika dia boleh sedar kalau akhirnya kisah itu berkisar tentang kami. Dan perjumpaan sebentar lagi bakal berlaku kerana kata-kata Anip ini “Kalau ko nak tulis cerita lagi, cuba ko tulis pasal housemate aku ni, nanti kita lepak di mamak, ko boleh tanya dia apa yang ko nak tulis”.

Maka, terjadilah perjumpaan antara aku, Anip dan Hadi malam ni. Ditemani air kopi yang dibancuh dengan penuh kasih sayang Mamak Salih, Hadi membuka cerita untuk dikongsi. Selepas ini, aku dalam cerita ini adalah Hadi. Aku harap cerita lepas ni akan jadi serius seperti muka Hadi yang sedang menghisap rokok John seludup yang tak ada amaran KKM dekat kotak.

======

Nama Aku Hadi…

Aku berasal dari Kuala Selangor, wajah tak kacak sangat. Tapi kalau letak sebelah besen kedai dobi, aku masih yakin kalau gadis-gadis pilih aku untuk dijadikan teman hidup. Aku dilahirkan dalam keluarga yang dekat dengan benda-benda mistik ni. Nak memudahkan cerita, datuk dan nenek aku memang ada membela jin untuk membantu kerja-kerja berat dan menjaga harta benda milik keluarga. Dan aku rasa benda ni memang dah biasa di kalangan orang Melayu dulu-dulu.

Walaupon datuk dan nenek aku mengamalkan benda-benda sesat ni, tapi ibu dan ayah aku langsung tidak menggalakkan anak-anak mereka mengikut jejak langkah datuk dan nenek. Malah, ibu dan ayah pon cuba sedaya upaya untuk tidak bersekongkol dalam apa jua bentuk amalan mistik datuk dan nenek. Kalau kami pulang ke kampung pon, masi ng-masing dah lali dengan perkara-perkara pelik.

Pernah sekali tu, aku sakit perut waktu tengah malam. Faham-faham saja la rumah kampung lama, jamban memang dekat luar. Disebabkan takut pergi memerut seorang diri, aku pon ajak la adik aku temankan. Dalam hal macam ni biasanya konsep mutual understanding dah biasa diamalkan, nanti kalau sampai masa adik aku pulak sakit perut tengah-tengah malam, aku pulak kena temankan dia. Jadi masing-masing tak boleh merungut walaupon dalam hati kau mencarut macam Datuk Alip Sukri marah orang gaji dia curi tudung sambil buat live FB.

Balik kepada cerita aku nak memerut di tengah malam tu, biasanya kalau memerut tengah malam ni memang asal boleh je. Sudah la keadaan seram-seram sejuk dalam jamban tu, lepas tu kau rasa macam risau je kalau ada benda keluarkan kepala dia dekat ruang lopong antara dinding dengan bumbung jamban tu. Sambil-sambil memerut biasanya kena la berbual dengan tukang teman, sebab dua-dua penakut. Jadi di sini konsep win-win situation pula kami amalkan..hahaha.

“Angah..cepat la sikit.. aku sejuk ni dekat luar, rasa pon dah lain macam ni” kata adik aku. “Kejap la.. Angah dah nak habis ni, ni dah pusingan terakhir dah.. kejap lagi sampai la garisan penamat” balas aku. Kami meneruskan perbualan dalam 2-3 minit sebelum keadaan sunyi. Disebabkan perasaan yang agak tak best, aku mempercepatkan pecutan dan menamatkan perlumbaan bagi membolehkan aku menyambung tidur untuk malam tu. Masa aku keluar tu, aku tengok adik aku dah tak ada. Jadi aku terus la lari masuk ke rumah. Apa yang membuatkan hati aku panas, aku tengok adik aku tengah bersantai je minum air dekat dapur.

“Apasal kau tinggal angah sorang-sorang tadi?” aku meninggikan suara pada adik.
“Tadi aku dahaga, lepas tu aku ternampak nenek tengah tengok-tengok ayam dia dekat reban, jadi aku pon pergi la dekat nenek” kata adik.
“Nenek buat apa malam-malam tengok ayam tu?” tanya adik.
“Aku hendak melihat-lihat ayam ni, takut kena makan dek anjing” balas nenek
“Nenek boleh temankan angah berak kejap tak? adik dahaga nak minum air” kata adik aku.
“Pergi lah kau ke dapur, nanti aku tengokkan abang kau” kata nenek kepada adik.
Maka adik aku pon terus masuk ke rumah untuk menghilangkan haus.
“haaa… sebab tu laa aku masuk je minum, aku dah mintak nenek temankan kau tadi” adik memberi alasan.
“Mana ada nenek tunggu aku kat sana tadi, kau jangan nak bagi alasan banyak sangat” terus aku membalas.
Tiba-tiba terdengar bunyi orang keluar dari bilik datuk dan nenek. “Bisingnya kau berdua ni, kenapa tak tidur lagi? marah nenek.
Aku dengan adik berpandangan antara satu sama lain, kalau betul nenek dekat luar tadi, bagaimana dia dah ada dalam bilik pulak?. Dah tu, dia boleh tanya pulak kenapa kami tak tidur lagi. Esoknya adik aku demam 2 hari. Sejak tu, kalau siapa-siapa sakit perut tengah malam, kami lebih rela tahan sampai subuh sebab takut terjumpa penjaga yang menjaga sekitar rumah nenek ni.

Berbalik kepada tujuan asal kita. Aku tahu kau nak tulis cerita pasal kisah aku, Anip pon dah beritahu dan aku setuju berkongsi jika ia akan memberi pengajaran berguna kepada pembaca-pembaca cerita kau nanti. Tapi aku harap kau tak dedahkan siapa aku sebab biarlah ia menjadi hak peribadi aku.
…………………………………………………………………….
Ceritanya bermula begini..

Selepas habis SPM, aku ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran peringkat diploma dekat sebuah universiti di utara. Tak dinafikan memang tawaran tu merupakan perkara yang aku tunggu-tunggu kerana ia merupakan peluang untuk aku berdikari dan tidak terkongkong untuk berada di sisi ibu dan ayah aku. Dan peluang itu aku gunakan sebaik-baiknya untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang selama ini aku tak dapat lakukan.

Titik tolak yang merubah hidup aku bermula ketika aku berada di semester pertama. Aku terpikat dengan rakan sekelas bernama Mira. Semua orang tak boleh nafikan Mira ni cantik, sekali pandang wajah dia iras-iras macam Janna Nick pelakon tu. Waktu tu ramai yang meminati Mira dalam diam termasuklah aku. Secara hipotesisnya, boleh dirumuskan bahawa semua lelaki yang normal dalam kelas aku memang ada menyimpan perasaan pada Mira.

Adat anak gadis rebutan, ibarat merak dari kayangan, mana memandang insan kebanyakan, bak burung pungguk mengharapkan si bulan. Aku pernah cuba-cuba juga mengajak Mira keluar, tapi ditolak mentah-mentah. Dan kemuncaknya bila aku dimalukan di depan khalayak oleh Mira.
“Sorrylah Hadi.. Aku kalau nak keluar dengan lelaki pon, engkau akan jadi orang terakhir aku pilih.. Cuba la kau ambil gambar selfie dan tengok muka kau, tak payah guna cermin pon boleh” kata Mira.

Teruk aku ditertawakan kerana cinta kena tolak. Tapi salah aku juga, muka macam penunu bunsen makmal sekolah, ada hati ingin memetik bunga di taman larangan pengetua. Tapi apa yang membuatkan aku berdendam adalah cara aku ditolak. Tercalar maruah aku bila Mira perlakukan aku macam tu di depan kawan-kawan. Dan sejak itu, aku dijadikan bahan ejekan dan cacian kerana peristiwa memalukan tu. Mentang-mentang la muka aku tak K-pop, sampai hati dia hina sampai macam tu.

Dan kerana terlalu malu dengan peristiwa itu, aku akhirnya menjual jiwa aku pada syaitan. Tanpa pengetahuan ibu dan ayah, hujung minggu itu aku pulang ke kampung datuk dan nenek di Teluk Intan. Aku kena langsaikan hutang maruah aku dengan Mira dan untuk melaksanakannya, aku rela melakukan apa sahaja.

Ketibaan aku disambut oleh senyuman pahit oleh datuk, mesti dia hairan kenapa aku balik kampung seorang diri tanpa bersama keluarga. Jangkaan aku meleset, datuk sudah sedia tahu kenapa aku tiba-tiba pulang berjumpa dengan mereka. Malam itu selepas selesai makan malam, datuk mengajak aku duduk bersantai di serambi rumah. Dia mengarahkan nenek menghidangkan kopi untuk kami.

“Ketika kau sampai tengahari tadi, aku dah tahu masalah kau” kata datuk sambil menggulung rokok daunnya.
“Hadi malu tok.. dia dah malukan Hadi depan kawan-kawan, Hadi tak tahu mana nak letak muka lagi” Jawab aku.
“letak la muka kau tu di kepala” kata datuk sambil ketawa.
Besar-kecil-besar-kecil je aku tengok datuk aku, orang tua ni boleh gelakkan aku pulak waktu-waktu begini.
“Kalau kau mahu perempuan itu tunduk pada kau, aku boleh buatkan, tetapi kau kena berani menurut syaratnya” kata datuk.
“Hadi sanggup asalkan Hadi dapat balik maruah Hadi” balas aku lagi.
“Waktunya belum tiba.. nanti aku akan panggil kau balik ke sini bila sampai waktunya. Jangan kau risau, kau akan dapat apa yang kau hajati, malah lebih dari itu lagi” kata datuk sambil menghirup kopi o.

Perbualan kami seterusnya banyak berkisar tentang keluarga dan sejarah ilmu datuk aku, aku ada juga bertanya soalan dari mana dia dapat ilmu yang dia ada sekarang. Cuma jawapannya sedikit menakutkan.
“Moyang kau dulu bukan orang biasa-biasa, dia berasal dari Riau di Sumatera. Merantau ke sini mencari penghidupan bersama seorang rakannya. Dia cuma datang menggunakan perahu sahaja menempuh Selat Melaka. Malahan dia dan rakannya yang membuka tanah di sini, dahulu kawasan ini hanya hutan belantara dan tiada sebarang kemudahan.

Adakah kau rasa orang-orang dahulu mampu datang meneroka tanah hutan tanpa bekalan ilmu di dada?” terang datuk kepada aku.
Betul juga kata datuk aku, bukan mudah nak buka tanah hutan tanpa sebarang bantuan teknologi dan jentera. Jadi dari situ aku dapat mengagak kemampuan moyang aku.

Esoknya aku pulang kembali ke kampus kerana hari berikutnya aku masih ada kuliah yang perlu dihadiri. Dalam kepala aku, serabut juga memikirkan kenapa datuk aku perlu menangguhkan ke hari lain. Kenapa dia berkata bahawa waktu aku pulang itu bukan waktu yang sesuai. Tapi aku tahu, datuk aku lebih arif tentang itu.

Selepas 2 minggu, datuk aku menelefon aku dan meminta aku pulang ke kampung. Katanya dia sudah siapkan segalanya untuk aku. Hujung minggu tu, aku terus pulang ke kampung seperti yang dijanjikan. Malam pertama di kampung, datuk panggil aku masuk ke biliknya. Bilik datuk dengan nenek memang tempat larangan untuk anak cucu dia. Memang datuk dengan nenek aku je yang boleh masuk bilik tu. Kiranya, aku ni yang pertama la di kalangan anak cucu dapat masuk ke bilik tu.

Bilik datuk dengan nenek aku besar, cuma bilik tu dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian utama ada katil, almari dan meja perkakasan nenek aku. Bahagian kedua terlindung dengan dinding playwood dan ditutupi langsir. Aku diajak ke ruangan di bahagian kedua oleh datuk. Rupanya ini bilik yang dia pakai untuk melakukan pemujaan. Selangkah ke bilik itu, aku rasa semacam menyesal dan takut. Tapi disebabkan dendam, aku cuba juga bertahan di situ.

“Hari ini 15 haribulan kalendar hijrah, bulan mengambang penuh. Waktu paling sesuai untuk aku serahkankan dia kepada kau” ujar datuk.
“Apa yang datuk nak bagi kepada saya?” soal aku.
“Kau ambil minyak ini, orang Melayu kita panggil minyak dagu. Minyak ini aku sendiri yang buat. Tapi kau kena berjaga-jaga kerana minyak ini gred paling tinggi aku hasilkan” kata datuk lagi.
Dalam hati aku masa tu berfikir, ada pulak gred-gred minyak dagu ni. Aku ingat minyak petrol je ada gred. Tapi aku dengar je apa datuk aku cakap.
“Minyak ni dari perempuan m**i mengandung anak sulung, dari dagunya, pipi kiri dan kanan serta kedua siku di tangan. Ia juga telah aku campurkan dengan abu mayat bagi menambah kekuasaannya. Jangan kau bawa ia merentas sungai atau lautan sesuka hati mu. Dan jangan kau letakkan ia sebilik dengan engkau. Minyak ini dijaga qarin si m**i, setiap kali bulan purnama dia perlukan d***h dari tuannya. Itu tugas kau untuk memastikan dia terus patuh menjaga dirimu”. Tegas datuk lagi.
Masa ni memang aku rasa dah tak tentu arah, kalau aku tolak bermakna aku mengundang padah. Kalau ibu dan ayah aku tahu, dah tentu bernanah telinga aku kena leteran.
“Kau faham tak apa aku cakap?!!” bentak datuk.
“Ye tok.. Hadi faham..”
“Kau cuma perlu arahkan ke arah kiblat dan hajati apa yang engkau mahu, dan sapukan setitik minyak ini pada dia, kelak jasad dan jiwanya jadi milik kau selamanya” tegas datuk lagi.

…………………………………………………………………….

Hati aku tak tenang. Hari ini sampai masanya untuk aku melaksanakan apa yang selama ini aku hajati. Malam semalam aku telah menghalakan minyak yang diberi datuk ke arah kiblat dan menyatakan hajat aku. Aku terpaksa melakukan ketika tengah malam kerana risau nanti roommate yang lain sedar pulak aktiviti aku.

Pagi tu sewaktu di luar kelas, aku secara sengaja melanggar Mira yang sedang berdiri berhampiran pintu dewan kuliah. Bukan main marah lagi Mira dengan aku kerana menyebabkan buku-buku notanya jatuh. Aku terus membantu mengutip kembali buku-buku tu untuk Mira, dan ketika memulangkan buku-buku tu, aku calitkan sedikit minyak yang telah awal-awal aku sediakan untuk dia.

Aku tak perlu tunggu lama, malam tu Mira dah mula menghantar mesej whatsapp kepada aku. Memang aku agak terkejut pada permulaan, tapi aku tahu ini adalah kesan dari minyak yang aku sapu pada Mira.
“Hai Hadi.. sorry ganggu.. tiba-tiba teringatkan Hadi.. cuma nak tanya khabar je..Hadi buat apa tu?” Mesej dari Mira.
Budak ni dah gila ke?? fikir aku, padahal baru je siang tadi jumpa aku dekat kelas. Dah tentu la aku sihat. Aku ni minum MILO hari-hari, sebab tu aku sihat dan kuat.
“Hadi ok je..tengah tengok movie dengan roommate..Mira ok ke??” Aku membalas mesej kepada Mira.
Tak sampai 20 saat, Mira membalas mesej aku.
“Mira tak sedap badan sikit malam ni.. tiba-tiba rasa rindu pada Hadi..” balas Mira.
Terbeliak mata aku membaca mesej tu. Aku rasa macam satu keajaiban. Perasaan tu kalau kau nak tahu, macam tiba-tiba kau menang cabutan bertuah motor dekat pasaraya Billion.
Aku sengaja tak balas mesej tu, sebab nak tengok apa yang akan jadi kemudian. Selepas beberapa minit, satu lagi mesej dihantar.
“Mira minta maaf ganggu Hadi, juz nak cakap rindu je.. See u tomorrow..” mesej Mira lagi.
Aku tak tahu nak balas apa. Apa yang aku tahu, hati aku memang berbunga-bunga bila Mira menunjukkan reaksi begitu.
Sejak hari itu, Mira dan aku macam belangkas. Pergi ke mana pon berdua. Kadang sampai aku nak pergi berak pon dia nak ikut, cuba bayangkan kalau aku cirit birit, takkan 10 kali pergi jamban aku nak bawak dia sekali.
Aku tak nafikan memang hati aku bahagia, Mira memang manja gila dengan aku. Sampai kadang aku tak cukup duit, Mira sanggup keluarkan duit dia untuk ajak aku keluar hujung minggu.
Tapi aku bodoh…bodoh sangat…..
…………………………………………………………………….
Hadi tunduk memandang ke bawah dan melepaskan lelah yang macam dah lama tersekat di dada. Dia mengangkat kembali mukanya dan memandang aku dan Anip. Dia mengambil sebatang lagi rokok. Itu rokok yang terakhir dalam kotak tu. Aku lantas menyuruh Anip membelikan rokok lagi sekotak dekat kaunter.
“Anip..kau belikan jap rokok untuk Hadi ni..” kata aku kepada Anip.
“Ehhh.. masuk ni dah 6 batang dia hisap, kau nak suruh dia m**i cepat ke?” balas Anip.
“Aku redha kalau Allah tarik nyawa aku, mungkin itu balasan untuk aku..” kata Hadi tiba-tiba..
Anip yang macam orang blurr terus bangun dan membelikan rokok lagi untuk Hadi.
“Aku sambung semula cerita aku” kata Hadi lagi.
…………………………………………………………………….
Aku bodoh…
Sepanjang hubungan aku dengan Mira, aku tak pernah terfikir bertanya tentang keluarganya. Kami lebih asyik dengan kebahagiaan berdua hingga lupa segalanya. Walaupon begitu, aku masih mengikut pesanan datuk untuk memastikan qarin minyak dagu yang dibekalkan terus patuh pada aku. Setiap kali bulan purnama, aku melaksanakan perjanjian berdarah aku dengan qarin.
Hubungan aku dengan Mira berjalan seperti biasa. Jasad dan jiwa Mira sepenuhnya untuk aku. Hinggakan dia rela menyerahkan mahkota kewanitaan dia kepada aku.
…………………………………………………………………….
“Mahkota kewanitaan tu apa?” tanya Anip
“Kau ni apa bebal sangat Anip?, banyak sangat minum ketum.. otak pon dah slow” kata Hadi kepada Anip.
…………………………………………………………………….
Aku dah banyak kali terlanjur dengan Mira. Kadang aku rasa macam aku ni suami dia. Cuma aku tak nikah je la dengan Mira. Ketika itu, aku hanya fikir keseronokan duniawi je. Kau tak perlu tanya solat 5 waktu, memang aku dah lupa bentuk sejadah tu petak empat segi ke bentuk heksagon.
Ketika itu kami dah di semester empat, aku mendaftar untuk menjadi fasilitator untuk Minggu Orientasi pelajar baru. Tujuannya hanyalah nak mengumpul wang saku tambahan kerana setiap fasilitator akan diberikan elaun mengikut bilangan hari bertugas.
Ketika minggu orientasi tu la aku berkenalan dengan Atikah. Atikah budak cantik, rupa dia ada iras-iras macam Emma Maembong tu. Kalau korang tengok pon, mesti terpikat tengok budaknya. Lemah lembut, sopan dan baik. Memang memenuhi citarasa aku la.
…………………………………………………………………….
“Taste kau memang semua macam artis-artis erk?? memang semua tak padan la dengan rupa kau kan??” soal Anip.
“Kau apa tau?? kalau aku nak, aku tahu aku boleh dapat..” jawab Hadi.
Jawapan Hadi membuat kami terdiam.
“Aku sambung balik cerita tadi..” sambung Hadi.
…………………………………………………………………….
Walaupon ketika itu aku ada Mira, aku tak nafikan yang aku juga tertarik pada Atikah. Dalam diam aku cuba mendekati Atikah. Mungkin sebab aku ni senior, jadi Atikah terpaksa juga melayan ajakan aku untuk keluar berjumpa. Malangnya, kali kedua cinta aku ditolak. Rupanya Atikah dah ada teman lelak sejak dari zaman sekolah. Tapi mereka dipisahkan dengan jarak kerana teman lelakinya belajar di Universiti Malaya Kuala Lumpur.
Walaupon ditolak, tapi aku masih boleh bertenang. Mungkin sebab penolakan itu tidak sepahit cara Mira menolak cinta aku dulu. Lagipon aku tau aku masih boleh memiliki Atikah dengan cara halus. Dan sekali lagi aku melakukan perkara yang sama aku lakukan pada Mira, cuma kali ini pada Atikah.
Tapi aku bodoh…
“Kenapa??” tanya aku dan Anip serentak..
Aku bodoh kerana menyangka aku boleh bercinta dengan dua orang perempuan serentak. Awalnya memang aku dapat simpan rahsia tu, tapi akhirnya rahsia tu dapat dihidu Mira. Ketika tu, ibarat Perang Dunia ke-2 meletus kembali. Aku sendiri pon tak sangka Mira yang selama ini lembut dengan aku boleh berubah menjadi singa. Aku masih ingat lagi waktu tu, aku sendiri tak dapat mengawal amarah Mira.
“Apa kurangnya Mira berbanding dia?” soal Mira sambil menundukkan matanya ke bawah.
“Mira tak ada kurang apa, cuma Hadi yang tak dapat mengawal hati Hadi..” jawab aku.
“Selepas apa yang Mira serahkan pada Hadi?? selepas Hadi dah dapat apa yang Hadi mahukan dari Mira??” Mira sudah mula meninggikan suara.
“Itu balasan untuk engkau yang dulu memandang rendah pada aku. Kau malukan aku depan ramai orang..” balas aku kepada Mira.
“Tapi Mira sayang pada Hadi.. Mira sanggup buat apa saja asalkan Hadi tinggalkan dia dan kembali pada Mira” Mira merayu pada aku.
“Aku tak nak perempuan yang dah tak suci seperti kau.. Mulai hari ini, aku harap kita boleh teruskan hidup masing-masing”. Kataku kepada Mira.
Mira tak berhenti merayu kepada aku. Hati aku ketika itu nekad untuk meninggalkan Mira untuk Atikah. Aku tahu hati aku dah tak betah untuk cinta Mira. Lagipon aku anggap ini sebagai balasan untuk Mira kerana memalukan aku dulu. Lagipon aku sudah ada Atikah. Sudah dapat gading bertuah, apalah yang ada pada tanduk. Lebih baik aku menumpukan perhatian pada Atikah.

Sejak hari itu, aku terus sekat nombor telefon Mira. Aku tahu dia akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan aku semula. Walaupon nombor telefonnya telah aku sekat, tapi dia masih lagi cuba menghubungi aku melalui teman sebilik dan rakan-rakan rapat aku. Tak cukup dengan itu, ketika kuliah pon dia terus terusan cuba menghampiri aku. Nampaknya kuat betul kesan minyak dagu ni.
Malam itu, aku menelefon datuk.
“Lama tak dengar khabar.. Aku ingatkan dah lupakan aku selepas dapat apa yang kau hajatkan..” kata datuk dengan nada perli.
“Takde la tok.. sibuk sikit belajar.. Ni kan Hadi telefon tanya khabar tok..” jawab aku.
“Kau ingat aku tak tahu apa yang kau lakukan?? Aku tahu kau ada masalah, jika tidak masakan kau telefon aku ketika ini..” perli datuk lagi.
“Hadi minta maaf tok.. Tapi Hadi dah tak tahu nak buat macam mana. Hadi dah cakap pada dia yang Hadi dah tak nak dengan dia lagi. Tapi dia tetap juga terus ganggu Hadi” aku akhirnya meluahkan masalah itu kepada datuk.
“Macam yang aku katakan, minyak itu kuat kesannya. Bila kau gunakan pada dia, dia akan terus patuh dan tunduk pada kau. Hanya ajal yang boleh memutuskan perjanjiannya. Selagi dia hidup, dia akan terus tunduk pada kau. Bukan calang-calang orang boleh merungkaikan ikatan itu” kata datuk.
“Macam mana kalau Hadi nak buat dia benci pada Hadi?? Boleh tak kalau tok tolong??” soal aku.
“Perjanjian itu antara kau dan dia. Macam yang aku katakan tadi, cuma ajal boleh merungkaikan perjanjian kau dengan dia. Jika kau mahu, aku boleh bantu kau tamatkan riwayat hidupnya” tegas datuk lagi.
Ketika itu memang aku takut. Aku tak nafikan yang hati aku sudah tawar untuk cinta Mira, tetapi tidak lah sampai sanggup mengorbankan nyawanya. Sesungguhnya aku tidak sekejam itu.
“Hadi tak nak tok buat sampai macam tu, Hadi tak sanggup kalau sampai mengorbankan nyawa Mira” jawab aku pada datuk.
“Kalau macam tu, kau uruskan sendiri perkara ini. Cuma nasihat aku, jangan memandang rendah kuasa minyak tu” jawab datuk dan menamatkan perbualan kami.
Aku buntu.

Entah apa lagi yang dapat aku lakukan bagi memutuskan pertalian antara aku dengan Mira. Dalam masa yang sama, hubungan aku dengan Atikah terus berjalan tanpa sebarang masalah. Malah aku senang dengan kehadiran Atikah di sisi aku. Aku tahu kebahagiaan kami adalah merupakan penyeksaan berat untuk Mira.

Melalui rakan-rakan, aku diberitahu Mira sudah banyak berubah, kerap marah-marah dan menyendiri. Dia juga dah tak nak makan, bercakap seorang diri dan dah tidak terurus. Kerap kali juga aku diminta untuk cuba berjumpa dan memujuk Miira. Tapi aku sudah nekad untuk menjauhkan diri dan tidak membebankan diri dengan masalah Mira. Hampir sebulan juga Mira gagal hadir ke kelas kerana masalah itu.
Dan kemuncaknya bila keluarga Mira akhirnya memutuskan untuk membawa pulang Mira ke kampung halaman. Aku juga dimaklumkan keluarganya mahu memindahkan Mira ke kampus lain dan memohon untuk dia menangguhkan pelajarannya. Hati aku kini lebih gembira kerana sekurang-kurangnya tak perlu lagi terbeban dengan rasa bersalah.
Pagi itu selepas habis kelas, tiba-tiba nama aku dipanggil.
“Hadi..tunggu kejap” Ayu memanggil aku.
“Kenapa? aku dah lewat ni” kataku kepada Ayu.
Ayu merupakan teman sebilik Mira dan juga rakan sekelas aku.
“Aku tak tahu apa masalah antara kau dengan Mira, aku juga tak tahu kenapa Mira boleh tergila-gilakan sangat lelaki macam kau ni. Entah apa la yang kau dah buat pada dia, aku cuma menyampaikan amanah Mira. Ini untuk kau” kata Ayu sambil menghulurkan sepucuk surat dan berlalu pergi.
Hati aku sedikit panas dengan sindiran Mira. Tapi aku sedar itu memang perkara betul dan aku membiarkan sahaja kata-kata Ayu itu. Aku melihat saja surat yang diberikan Ayu. Mungkin nanti bila dah balik ke hostel barulah aku baca isi surat ni.
Assalamualaikum..
Hadi..
Dulu janji sehidup semati..
Dulu berjanji sepenuh hati..
Dulu lautan api pon sanggup renangi..
Dulu setiap waktu bahagia menanti..
Kini janji tinggal janji..
Kini kasih telah berbagi…
Kini pedih dan kecewa silih berganti..
Kini bahagia sudah jauh pergi..
Hadi..
Mira sakit..
Mengharapkan Hadi kembali…
Tapi Mira tahu bahagia itu bukan milik Mira…
Hadi..
Hati ini tetap milik Hadi..
Kasih Mira kekal hingga hujung nyawa..
Biar roh sudah terpisah dari jasad…
Cinta Mira tetap ada bersama Hadi…
~Mira~

Tanpa aku sedar, air mata jantan aku gugur jua. Aku rasa bersalah pada Mira setelah apa yang aku lakukan. Aku sedar aku tidak berlaku adil dengan cinta Mira. Aku kejam kerana mempermainkan cintanya. Tambahan pula, aku mendapatkan cinta itu tanpa kerelaannya. Sesungguhnya aku sedar betapa kejamnya aku. Dan semuanya aku lakukan kerana nafsu.
Hubungan aku dan Atikah terus berjalan seperti biasa. Kadang Atikah juga ada bertanya tentang perubahan aku. Aku kini lebih banyak berfikir tentang dosa-dosa yang aku lakukan. Aku juga terfikir untuk membuang minyak yang diberi oleh datuk. Dan aku nekad untuk memberitahu datuk hasrat aku. Dan hujung minggu itu, aku pulang ke kampung untuk menyerahkan semula benda haram jadah tu. Setibanya aku ke rumah datuk, aku disambut dingin oleh datuk dan nenek. Aku kira mungkin kerana mereka sudah tahu hasrat aku. Dan malam itu, tanpa berlengah aku menyatakan hasrat itu secara berdepan dengan datuk.
“Hadi dah tak nak benda ni tok..” kata aku sedikit takut-takut.
Aku lihat datuk tenang sahaja sambil menghembuskan asap rokok daunnya. Aku tunggu juga kalau-kalau dia boleh buat “O” pakai asap tu.
“Engkau mengecewakan aku.. engkau tak kuat dengan cabaran..” keluh datuk.
“Hadi rasa bersalah. Semua ni salah tok.. Hadi dah tak nak lagi” kata aku lagi.
“Baiklah.. tapi lepas ni, jika apa yang terjadi kepada kau, aku tidak mahu lagi membantu kau..” kata datuk sambil menjeling ke arah aku.
Keesokan harinya, aku terus pulang semula ke kampus. Aku harap, aku dapat lupakan dosa-dosa yang aku lakukan. Aku juga nekad nak mencari semula Mira dan memohon maaf atas salah dan silap aku. Tapi aku sendiri tak tahu bagaimana nak mencari Mira. Sebabnya, aku sendiri selama ini tidak pernah bertanya lebih lanjut di mana kampungnya. Yang aku tahu cuma Mira berasal dari Terengganu dan dia anak bongsu dari tiga adik beradik.
Sudah seminggu sejak aku pulang ke kampung dan menyerahkan semula “benda” tu pada datuk. Hidup aku berlangsung seperti biasa sejak itu. Pergi ke kelas dan memenuhkan masa terluang bersama Atikah. Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan lebat dengan ribut petir sekali di tengahari. Malam tu aku membuat sedikit ulang kaji kerana esoknya ada ujian untuk subjek Accounting.
…………………………………………………………………….
“Kau pon tahu la budak-budak U macam mana.. Esok nak test, malam ni baru la nak tengok buku, hari lain sibuk berdating, main game, tengok movie dan baling telur dengan tepung sambut birthday member-member..” kata Hadi sambil ketawa.
Malam tu aku buat ulangkaji sampai lewat, sebab tak nak ganggu kawan-kawan bilik tidur, aku cuma buka lampu meja belajar je. Itu pon dah cukup untuk aku. Masa tu aku memang terpaksa fokus sebab carry mark untuk subjek tu memang penting. Aku pulak lemah sikit bab mata pelajaran kira-kira ni. Aku cuma terer bab mata pelajaran mencintai Atikah je (ok..yang ni aku yang tambah).
Waktu tu dah pukul 2 pagi, mata pon dah letih sebenarnya. Jadi aku memutuskan untuk rehat sekejap dan membancuh air kopi untuk membantu memberi tenaga tambahan. Masa aku nak bangun dari kerusi tu, aku macam perasan ada bayang di tingkap, aku pandang sekali lagi terus ternampak bayang perempuan dengan rambut panjang dengan pakaian putih dekat tingkap.
Tak jadi aku nak bancuh air, terus aku lompat ke atas katil. Apa tidaknya, bilik aku dekat tingkat empat. Agak-agak la kalau manusia boleh duduk dekat luar tu. Aku terus berselimut sampai ke kepala. Tiba-tiba aku dengar suara macam berbisik di telinga.
“Hadi..Mira datang.. Mira rindu pada Hadi…”
Aku menyelak selimut dan memandang sekeliling, tapi aku tak dapat mengesan dari mana suara itu datang. Disebabkan rasa takut, aku memutuskan untuk berselimut hingga ke kepala dan tidur sahaja serta tidak menyambung membuat ulangkaji. Sewaktu di bawah selimut, aku terbau haruman yang pelik.

“Hadi..Mira datang.. Mira rindu pada Hadi…”
Suara tu dekat dengan telinga aku. Aku terus membaca doa-doa yang aku hafal. Aku mengaku aku jahil, tapi aku masih boleh hafal ayat Kursi dan doa-doa yang lain. Aku cuba pejamkan mata dan mengharap supaya dapat tidur dengan aman. Aku harap itu hanya mimpi, mungkin itu mainan perasaan aku saja.

Lama-kelamaan aku dapat tidur, tapi benda musibat lain pulak yang jadi. Pagi tu, aku dikejutkan dari tidur oleh suara yang aku tak kenali. Buka je mata, aku perasan aku tidur di atas lantai dalam bilik dobi. Patutla rasa sejuk je badan. Mujur la ada pelajar lain yang nak membasuh baju pagi ni dan ternampak aku tidur kat situ. Nyaris-nyaris aku terlepas nak pegi ambil test Accounting pagi ni.

Masuk je ke dalam bilik, semua teman sebilik aku dah tengok aku pelik, dengan baju comot dan basah tiba-tiba balik bilik. Nak katakan baru balik mandi, tuala pon tak bawak. Jadi aku pon menipu la kawan-kawan kata aku jatuh longkang masa turun nak pergi sarapan kat dewan makan. Sudahnya aku jadi bahan ketawa pulak pagi tu. Tapi aku tahu, aku bukan bermimpi malam tadi. Mesti ini semua angkara Mira sampai aku boleh berubah tempat tidur sampai ke bilik dobi.

Hari itu memang aku tak tenang sampaikan aku dah malas nak fikir apa yang aku jawab ketika test Accounting tadi. Malam tu aku makan bersama Atikah. Aku tahu dia sedar perubahan aku yang sedikit murung. Setiap soalan Atikah aku jawab dengan endah tak endah. Sedaya mungkin aku cuba menyembunyikan apa yang terjadi. Aku tidak mahu dia risau dan terjebak dengan masalah yang aku hadapi.

Malam itu aku diganggu lagi, disebabkan balik lewat dari makan malam bersama Atikah, jadi aku mandi agak lewat malam tu. Bilik air pon lengang, sebab jarang sangat orang nak mandi tengah-tengah malam macam ni. Sebelum mandi, aku sangkutkan tuala di pintu bilik mandi seperti biasa. Ye la kan, takkan nak letak tuala dekat lantai pulak kan. Tengah sedap-sedap mandi dan memakai shampoo, tiba-tiba lampu bilik air terpadam. Serentak dengan itu air shower pon berhenti.

Dalam keadaan mata tertutup sebab buih shampoo banyak sangat, aku meraba ke arah pintu untuk mengambil tuala. Bila tangan dah mencapai tuala, aku rasa lain macam. Sebab yang aku capai tu bukan tuala, tapi rambut. Dan rambut itu panjang meleret. Tiba-tiba aku dengar suara.
“Hadi..Mira datang.. Mira rindu pada Hadi…”

Esoknya satu hostel kecoh kisah aku berlari bogel dari bilik air untuk balik ke bilik. Gangguan malam tu berakhir di situ. Hari demi hari bertambah banyak gangguan yang aku dapat. Hinggakan aku penat dan akhirnya aku tewas. Aku akhirnya menelefon datuk untuk memohon pertolongan. Mungkin orang tua itu tahu cara untuk menghentikan gangguan itu. Tapi jawapan datuk agak mengecewakan.

“Sudah aku katakan, hanya maut bisa memisahkan kasihnya pada kau” kata datuk.

Aku nekad, aku tahu aku perlu mencari di mana Mira. Adakah dia masih hidup atau telah m**i, aku pon tak tahu. Melalui seorang kawan yang juga salah seorang AJK di dalam Majlis Perwakilan Pelajar, aku mendapat maklumat mengenai alamat Mira. Itu pon setelah dia menipu pegawai di Hal Ehwal Pelajar dengan mengatakan perlu menghantar baki barangan Mira yang masih tertinggal di kampus.

Cuti study week sebelum peperiksaan akhir tahun aku gunakan untuk mencari di mana Mira dan keluarganya tinggal. Dari Kuala Selangor, aku memandu ke Kuala Terengganu dengan menggunakan kereta ibu. Aku terpaksa menipu dengan mengatakan yang aku hendak ke Terengganu atas alasan ingin menghadiri kenduri kahwin abang teman sebilik.
Aku bertolak tengahari kerana terpaksa menyelesaikan beberapa perkara pagi itu. Aku hanya pergi berseorangan kerana tidak mahu melibatkan orang lain dalam masalah ini. Aku tiba di sekitar Jabor pada pukul 5 petang dan meneruskan perjalan melalui laluan Jabor melalui Cheneh, Bukit Besi, Ajil dan terus ke Kuala Terengganu.

Memandangkan ketika itu Lebuhraya Pantai Timur 2 belum siap, jadi itulah laluan yang paling dekat untuk aku gunakan. Lagipon dalam kereta ibu memang ada GPS PAPAGO yang akan memudahkan perjalanan aku. Perjalanan antara Jabor ke Kuala Terengganu menggunakan laluan lama memang sedikit sukar melalui kawasan felda dan ladang kelapa sawit.
Aku melepasi Bukit Besi sekitar senja dan keadaan sedikit sejuk kerana hujan rintik-rintik. Disebabkan sedikit dahaga, aku memberhentikan kenderaan di sebuah gerai yang terletak di pinggir jalan untuk membeli minuman. Sambil itu, dapat juga aku mengendurkan otot-otot yang sedikit keletihan kerana memandu terlalu lama.

Gerai tersebut agak kecil dan cuma menjual air dan goreng pisang. Pemilik gerai yang juga seorang anak muda kelihatan seperti mengemas gerai menampakkan seperti waktu perniagaannya sudah hampir tamat.
“Dah nak tutup gerai ke dik?” sapa aku padanya.
“Iya bang.. saya berniaga sampai pukul tujuh je.. Ni tengah kemas-kemas nak tutup dah.. Abang nak beli apa-apa? air tinggal tebu ni je, pisang goreng pon ada sikit” katanya.
“Kalau macam tu.. air tebu satu, pisang goreng tu bagi je la berapa yang ada” jawab aku padanya.
“Air nak satu je?? Abang sorang je ke?” tanya pemuda tu lagi.
“Awak nampak macam abang datang satu kampung ke?? hahaha..” jawabku dengan nada bergurau.
“Bang.. dalam 1 km ke hadapan, ada satu masjid, ni pon dah nak masuk waktu Maghrib, nanti abang berhentilah dulu solat Maghrib di situ. Dekat tempat duduk belakang ada penumpang, perempuan pakai baju putih.. cantik orangnya, tapi muka pucat sangat.. dia tengah pandang ke sini, rasanya dia dah tahu saya beritahu abang pasal dia.. Nanti berhentilah lama sikit dekat masjid tu, nanti abang jumpa Tok Imam Haji Amin dekat masjid tu, mintak dia tolong tengokkan siapa yang menumpang kereta abang tu” kata pemuda itu perlahan sambil tunduk seperti melarikan pandangannya dari melihat aku.

Aku sedikit terkejut dan takut mendengar kata-kata pemuda tu.
“Berapa semua ni dik?” kataku dengan nada tersekat-sekat kerana sedikit takut mendengar kata-katanya tadi.
“Abang ambil la..saya halalkan, lagipon saya dah nak tutup gerai dah ni” katanya lagi sambil tangan mengemas sisa barangan jualan yang ada.
Aku berlalu sambil mengucapkan terima kasih dan berjanji untuk terus ke masjid selepas ini.

Dalam perjalanan ke masjid, aku menghabiskan masa dengan membaca surah-surah yang aku hafal. Aku cuma mengharapkan perjalanan aku ke masjid akan berlaku tanpa sebarang gangguan. Aku mengelakkan dari melihat cermin belakang kerana takut ternampak benda yang tidak sepatutnya. Dalam keadaan takut-takut memandu, aku mendengar suara yang sudah biasa aku dengar.
“Hadi..Mira datang.. Mira rindu pada Hadi…”
Tanpa sedar aku menangis.
Aku menangis bukan kerana ketakutan, tapi aku menangis kerana mengenangkan betapa besarnya dosa yang telah aku lakukan. Aku juga terfikir bagaimanakah seksanya keadaan Mira ketika ini?. Dan aku terus menangis sehingga aku menemui masjid yang diberitahu oleh pemuda tadi.
Aku tiba di masjid tepat pada waktunya azan solat Maghrib berkumandang. Dan pada senja itu, setelah beberapa tahun lalai, aku akhirnya sujud menyembah Yang Maha Pencipta.

Seusai aku menunaikan solat Maghrib secara berjemaah, aku menanti para jemaah untuk mula beredar agar memudahkan aku menemui imam masjid tersebut dengan lebih mudah. Setelah mengenalpasti imam yang mengetuai solat maghrib tadi, aku bertanyakan beliau mengenai insan yang bernama Tok Imam Haji Amin.

“Nampaknya Allah mempermudahkan hari kamu, sayalah Haji Amin. Apa hajatnya tu mencari tok?” kata orang tua itu.
“Tadi saya berhenti di gerai pisang goreng tepi jalan sana, anak muda yang menjaga gerai tu menyuruh saya bertemu dengan tok imam, katanya tok imam boleh bantu saya” balas aku kepada pertanyaannya.
“Owh.. itu Afiq, kebetulan dia tu cucu atok.. Apa yang tok boleh tolong kamu?” katanya sambil tersenyum.
Aku kemudiannya mengajak Tok Imam Haji Amin keluar dari ruang solat masjid agar memudahkan kami berbicara dengan lebih lanjut.
“Saya dah buat dosa besar tok.. saya berdosa, saya rasa Allah pon tak akan maafkan dosa saya, saya hanya layak masuk neraka je tok” kataku sambil menangis.

“Cuba kau ceritakan pada tok, apa yang telah kau lakukan, mungkin tok boleh bantu sedaya mungkin.
Di hadapan Tok Imam Haji Amin, aku menangis sambil menceritakan dosa-dosa yang telah aku lakukan kepada Mira dan Atikah. Aku lemparkan jauh-jauh rasa malu aku.

“Dosa kau ni besar kerana menyekutukan Allah, malahan pula ia melibatkan dosa sesama manusia, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun. Bertaubatlah kau, mengucap dua kalimah syahadah. Semoga segala dosa itu diampunkan oleh Allah. Dosa kau dengan Mira dan Atikah perlu kau selesaikan dengan mereka. Mohonlah ampun dari mereka. Carilah orang yang berilmu yang boleh membantu kau mengubati mereka semula” kata Tok Imam Haji Amin.

“Tok.. tadi Afiq beritahu saya, dalam kereta tu ada yang menumpang.. Saya tak tahu sama ada itu Mira atau bukan. Saya memang dalam perjalanan ke Kuala Terengganu untuk mencari Mira. Saya nak minta maaf kepada dia” kataku kepada Tok Imam Haji Amin.

Selepas aku menghabiskan kata-kata, Tok Imam Haji Amin melangkah pergi ke arah kereta ibu aku. Ketika itu hanya kereta ibu aku sahaja satu-satunya kenderaan yang ada di perkarangan masjid tu. Jadi tak perlu aku tunjuk, Tok Imam Haji Amin dah tahu yang mana satu kereta yang aku maksudkan.

Aku melihat Tok Imam Haji Amin berdiri di tepi kereta itu dan seolah bercakap-cakap dengan seseorang. Tak lama kemudian, Tok Imam Haji Amin kembali ke tempat kami berbual.
“Kau teruskanlah perjalanan kau ke sana, In Shaa Allah akan dipermudahkan. Tok telah bercakap dengannya. Dia tidak akan mengganggu perjalanan kau. Cuma dia ingin sampaikan sesuatu pada kau. Katanya dia akan menunggu kau datang berjumpa dengannya esok, jangan lupa pesan tok, janganlah meninggalkan solat dan kembalilah ke jalan Allah” nasihat Tok Imam Haji Amin.

Aku meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu. Walaupon hari sudah lewat malam, tetapi perjalanan aku dipermudahkan dan keadaan jalan tidaklah begitu sunyi kerana terdapat lori-lori yang turut menggunakan laluan yang sama.

Aku tiba di Kuala Terengganu hampir pukul 1 pagi. Perjalanan hari ini mengambil masa yang amat panjang mungkin kerana aku kerap berhenti dan tambahan pula aku berhenti agak lama di masjid ketika bertemu Tok Imam Haji Amin.

Aku mengambil keputusan untuk menginap di sebuah hotel murah di tengah bandar Kuala Terengganu. Itu pon sudah lebih dari mencukupi memandangkan aku hanyalah seorang pelajar universiti yang bukanlah berduit sangat. Bak kata pepatah, kais pagi makan roti, kais petang makan megi.
Memang benar kata-kata Tok Imam Haji Amin. Perjalanan aku selepas bertemu beliau dipermudahkan dan segala urusan aku berjalan lancar. Keesokan harinya selepas bersarapan ringkas, aku tidak melengahkan masa untuk mencari tempat tinggal keluarga Mira. Aku nekad untuk berjumpa dengan Mira dan keluarganya serta meminta maaf atas dosa-dosa aku.

Berpandukan alamat yang diberi oleh pihak Hal Ehwal Pelajar, aku menemui rumah yang dikatakan milik keluarga Mira. Walau bagaimanapun, rumah tersebut kelihatan kosong dan tidak berpenghuni. Aku memberi salam sambil berharap agar ada respon dari penghuni rumah tersebut.

Setelah berulang kali memberi salam, aku disapa oleh seorang wanita tua yang tinggal bersebelahan dengan rumah keluarga Mira.
“Anak cari siapa tu? Cari penghuni rumah ni ke?” kata wanita itu.
“Iya makcik, saya cari Mira.. Ini rumah keluarga Mira kan?” soal aku lagi.
Wajah wanita itu sedikit berubah bila aku menyebut nama Mira.
“Ya betul.. ni rumah keluarga Mira, tapi sekarang dah tak ada siapa tinggal di sini, mereka dah tak ada” kata wanita itu lagi.
“Kalau macam tu, boleh tak saya tinggalkan nombor telefon saya pada makcik? nanti bila keluarga Mira dan balik, minta tolong mereka hubungi saya, kerana ada hal penting yang perlu saya selesaikan” kataku dengan harapan agar wanita ini sudi membantu.

“Nak.. macam makcik dah cakap tadi.. mereka dah tak ada, rumah ni kosong.. dah tak ada siapa yang tinggal, abang dan kakak Mira tinggal di Kuala Lumpur” kata wanita itu.

Aku pada mulanya tidak begitu memahami apa yang diperkatakan oleh wanita itu. Melihatkan wajah aku yang mungkin kelihatan agak sedikit keliru, wanita itu bersuara lagi.

“Beberapa bulan yang lalu, mak dan ayah Mira pergi ke kampus Mira. Dengarnya mereka terpaksa membawa pulang Mira kerana keadaan kesihatan Mira yang ketika tu agak membimbangkan. Dalam perjalanan pulang dari utara melalui laluan Gerik-Jeli, kereta mereka mengalami kemalangan. Disebabkan perjalanan ke hospital terdekat agak jauh dari tempat kejadian, ketiga-tiga mereka menemui ajal dalam perjalanan ke hospital. Jenazah mereka dikebumi dekat masjid tidak jauh dari sini. Kalau anak nak pergi ziarah, makcik boleh minta anak makcik tunjukkan kuburnya” kata wanita itu.

Tanpa sedar air mata aku menitis. Aku tak tahu bagaimana hendak memohon maaf kepada Mira atas kesilapan yang telah aku lakukan. Dengan bantuan anak Makcik Senah yang juga jiran keluarga Mira, aku akhirnya dapat menemui kubur Mira yang terletak bersebelahan kubur ibu dan ayahnya.

Aku menangis sepuas hati di situ, aku memohon maaf atas kesilapan aku sambil mengharapkan agar dosa-dosa itu diampunkan. Tetapi aku tahu semua itu sudah terlewat. Aku membaca surah Yasin dan mendoakan agar roh mereka tenang di sana. Barulah aku faham kata-kata Tok Imam Haji Amin semalam bahawa Mira menunggu kedatangan aku hari ini.
Selepas menghabiskan waktu yang agak lama di tanah perkuburan, aku memutuskan untuk pulang ke hotel untuk mandi dan mengemas pakaian untuk pulang ke Kuala Selangor. Aku juga merancang untuk singgah di masjid semalam untuk berjumpa dengan Tok Imam Haji Amin bagi mengucapkan terima kasih atas pertolongan beliau.

Dalam perjalanan pulang, aku cuba mengingati kembali lokasi masjid tersebut. Mungkin disebabkan waktu aku singgah semalam adalah waktu malam, jadi agak sukar untuk aku mengenalpasti lokasinya. Dalam waktu yang sama, aku juga mencari kalau-kalau berjumpa dengan gerai pisang goreng milik Afiq. Walau bagaimanapun aku gagal menemui lokasi kedua-duanya.

Ketika berhenti untuk mengisi minyak di sebuah stesen minyak kecil, aku mengambil kesempatan bertanya dengan seorang pakcik yang berkerja di stesen minyak tersebut tentang lokasi masjid dan gerai pisang goreng yang aku cari. Tapi jawapannya agak mengejutkan.

“Depan sana tu mana ada orang berniaga nak.. sana tu ladang sawit je ada, jangankan masjid.. rumah orang pon payah nak jumpa.. Tapi bukan kau seorang je yang pernah jumpa masjid tu, pernah je orang lain jumpa. Kiranya.. kau orang ni golongan yang bertuah sebab dipilih” kata pakcik tu sambil tersenyum.

Aku meneruskan perjalanan pulang dengan perasaan bercampur baur. Aku pon tak tahu bila kejadian-kejadian mistik ni boleh berhenti dari mengganggu hidup aku. Apa yang boleh aku lakukan hanya berdoa.
……………………………………………………
Hadi menghembuskan asap rokoknya ke udara umpama melepaskan keluhan yang paling berat dalam hidupnya. Beban yang seperti tidak tertanggung lagi.

“Habis macam mana dengan Atikah?? Kau masih dengan dia?” Tanya Anip.
“Selepas aku balik dari Kuala Terengganu, aku pergi berjumpa keluarga Atikah, aku mengaku pada keluarga Atikah tentang minyak dagu tu, aku minta keluarganya mencari bomoh yang pandai membantu, khabarnya mereka terpaksa pergi ke siam untuk mengubati Atikah” jawab Hadi.
“Keluarga Atikah tak marah kau??” tanya Anip lagi dah macam wartawan Melodi.

“Gila kau tak marah, lunyai aku kena belasah dengan ayah dan abang Atikah, bengkak sana-sini.. Tapi aku redha sebab memang salah aku pon” kata Hadi tenang.

“Sejak tu hang ada kena ganggu lagi dak dengan hantu Mira??” aku pula melontarkan pertanyaan.

“Macam datuk aku cakap, hanya ajal sahaja yang boleh menamatkan semua ni.. Rupanya ajal aku je yang boleh menamatkan semua ni” jawab Hadi.

“Maksud hang??” aku menyambung pertanyaan.
“Mira ada duduk dekat sebelah kerusi kau tu, nanti malam ni biar dia terangkan sendiri pada kau, kalau nasib kau baik bolehla kau tengok rupa Mira” kata Hadi sambil bangun dan berjalan ke arah kereta.
Tiba-tiba aku rasakan bagai ada angin menyapa lembut leher aku. Dalam hati aku menyumpah..Celaka punya Hadi, dah la minum tak nak bayar, dia tinggal pulak hantu Mira dekat sini.

Tq ~Tok Moh~

Rating Pembaca
[Total: 47 Average: 4.8]
TOK MOH

33 thoughts on “#TokMoh – Cinta Hujung Nyawa”

  1. Salam tok moh,

    Aik? Dalam entry cite tok moh yg Rumah Banglo seksyen 12, kata tok moh, si wawa tertinggal telefon n tok moh mesej hantu tu siap ‘dia’ send mms tunjuk banglo berhantu tu.

    Dalam entry cite ni pula bagitau sesiapa jumpa nokia sabun tu minta halal… Nak tanya, nokia sabun tu bukan nokia 3310 ke? Siap ada camera tu… Ke saya salah faham nokia sabun tu as nokia 3310? Peningnyaaa

    Reply
  2. ingtlah sesungguhnya dosa yg Allah tidak ampunkan adalah dosa mnsyirikkan Allah dan dosa sesama manusia. #donedakwah #donemakcikbawang
    #cumel

    Reply
  3. Ni yg xnk mengaku org kuala selangor ni…. hahaha… gurau je.. ape pun jln cerita mmg best. kesian pd mira dan atikah jd mangsa minyak dagu.. harap² semuanya baik² saja.. btw hadi ni org jawa ke? Tanye je…..

    Reply
  4. sedih siot cter ni… tiba2 ak rse cter ni boleh buat drama sbg pengajaran kepada student2 skg jgn perlekehkan org yg melamar cinta, dan jgn duk taste tinggi sgt kalau muka mcm tongkang pecah kelak sendiri sakit hati cinta ditolak, hujung2 duk aniaya org guna bomoh pulak.

    Reply
  5. hahaha…ko jampi lah apa2 tok moh supaya mira ikut hadi balik….hahaha… cerita penuh pengajaran…
    teruskn bercerita lagi yea tok moh…

    Reply
  6. Mengarutlah cite ni. Mana ada kuasa yg lebih hebat dari kuasa Allah SWT. Cuma tahap keyakinan yg tinggi je diperlukan. Ini tak, suruh pegi berubat dgn bomoh siam pulak… Konon dh insaf… Kan baik kalau bnykkan buat solat malam…(solat taubat & istikharah)

    Reply
  7. Entahla 🤣🤣🤣 aku takleh go. Kau punya pengunaan hyperbola tu kelakar jalan cerita dia. Aku berdekah hanat, HAHHAHAHAHAHHAHAH 🤣🤣🤣 penunu bunsen, minum milo, CABUTAN BERTUAH MOTO KAT BILLION HAHAHAHHAH takleh weh, sorry not to offend you but demmit kelakar. Anyway cerita kau padu. Serious talk. Enjoyed baca.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.