Kejadian ini berlaku pada tahun 2012, sewaktu aku dan tiga rakan sekuliah Haris, Dani, dan Zul dalam perjalanan pulang dari sebuah universiti di Pantai Timur menghala ke utara tanah air. Disebabkan masalah pertukaran kampus di saat akhir, kami terpaksa meredah perjalanan jauh merentasi banjaran gunung untuk pulang ke kampung halaman sebelum semester baru bermula.
Kami bertolak dari Kelantan lewat petang. Menjelang jam 11 malam, kami melalui jalan pintas yang menghubungkan sempadan Perak dan Kedah melalui kawasan Jeniang. Suasana sangat sunyi. Haris yang memandu ketika itu tiba-tiba berhenti di pinggir jalan yang sangat gelap kerana ingin ‘melepaskan hajat’.
“Janganlah berhenti kat tempat gelap macam ni, Ris. Carilah stesen minyak,” tegur aku dari tempat duduk belakang.
“Dah tak tahan sangat ni, Yan (Nama aku Rayyan dan panggilan nama aku Yan) Kejap je,” balas Haris. Dia dan Dani keluar dari kereta dan menuju ke arah semak yang tebal. Aku perhatikan mereka hanya ‘melepaskan’ di situ tanpa rasa bersalah. Sebaik sahaja mereka masuk semula ke dalam kereta, bau hanyir yang sangat kuat menerpa masuk, tetapi mereka berdua seolah-olah tidak menghidunya.
Perjalanan diteruskan, namun keanehan bermula. Mengikut peta, kami sepatutnya sudah sampai ke jalan besar dalam masa 30 minit. Namun, sudah sejam berlalu, kami masih di jalan yang sama. Jalan itu seolah-olah berulang pohon beringin yang sama, jambatan kecil yang sama.
Tiba-tiba, suhu dalam kereta menjadi sangat sejuk hingga wap nafas kami kelihatan. Bulu roma aku dan Zul yang duduk di belakang meremang hebat. Kami berpandangan sesama sendiri dan mula terkumat-kamit membaca ayat Kursi.
“Ris, tukar. Aku drive,” kata aku tegas apabila melihat Haris mula termenung sambil memegang stereng.
Anehnya, sebaik sahaja aku mengambil alih stereng, kami menemui satu simpang kecil yang tidak kelihatan tadi. Aku membelok masuk. Dalam masa hanya 5 minit, kami sudah keluar ke jalan besar Baling-Gerik. Secara logiknya, jarak itu sepatutnya memakan masa 40 minit. Zul, Haris, dan Dani terus tertidur kaku serentak, seolah-olah dipukau.
Hujan renyai mula turun. Lampu kereta Proton Saga lama aku agak malap. Aku memandu perlahan, sekitar 50km/j kerana jalan mendaki. Tiba-tiba…
ZUPPP!
Sehelai kain putih yang sangat panjang melintang di tengah jalan, tidak sampai 10 meter di depan! Aku menekan brek sekuat hati hingga bunyi tayar menjerit membelah sunyi malam.
“GEDEGANGGG!”
Kereta terasa seperti menghentam sesuatu yang sangat keras. Bonet depan terangkat dan remuk teruk. Kawan-kawan aku terjaga dalam keadaan trauma. Kami semua keluar memeriksa, menyangka kami melanggar lembu atau babi hutan.
Tetapi… kosong. Tiada bangkai, tiada darah, tiada apa-apa di jalan raya. Cuma kereta aku yang hancur di bahagian depan seolah-olah merempuh tembok batu. Lebih pelik, lampu tinggi (high beam) aku yang sudah setahun rosak, tiba-tiba menyala dengan sendiri dengan sangat terang.
Kami meneruskan perjalanan dengan hati yang berdebar. Semasa berhenti sebentar di kawasan rehat Tasik Banding yang lengang, aku menjeling ke arah cermin sisi. Jantung aku hampir luruh. Aku nampak bayangan seorang wanita dengan rambut menutupi muka sedang berdiri tegak di belakang kereta kami, merenung tajam ke arah dalam.
“Jangan keluar! Kita gerak sekarang!” arah aku kepada yang lain. Kami terus memacu kereta sehingga kepenatan yang amat sangat memaksa kami berhenti di sebelah sebuah lori treler yang rosak di tepi jalan.
Baru sahaja kami terlelap seminit, Dani menjerit histeria, “Rayyan! Kereta jalan sendiri! Brek, Yan! Brek!”
Aku tersentak. Kereta kami sedang bergerak laju menuju ke arah gaung walaupun gear dalam keadaan ‘neutral’ dan brek tangan ditarik rapat! Kaki kanan aku terasa seperti ditekan oleh sesuatu yang berat di atas pedal minyak. Aku bergelut sekuat tenaga menarik brek tangan berkali-kali dan akhirnya kereta berhenti tepat di bibir gaung.
Sekembalinya kami ke kampung, gangguan tidak berhenti. Ayah aku tiba-tiba jatuh sakit dan meracau dalam suara wanita yang mendayu-dayu, menuntut “barang” yang dicemarkan di kawasan semak tempoh hari.
Kami membawa ayah berjumpa dengan seorang pengamal perubatan Islam. Ustaz tersebut terdiam lama sebelum berkata, “Kamu ada terlanggar ‘dia’ ya? Dia ikut kamu balik sebab kawan kamu dah kotorkan ‘rumah’ dia di tepi jalan Jeniang tu.”
Menurut ustaz itu, entiti tersebut adalah roh seorang wanita yang meninggal dunia akibat kemalangan ngeri digilis treler di simpang tersebut bertahun-tahun dahulu. Wajahnya hancur sebelah, dan dia mendendam kepada sesiapa sahaja yang melalui kawasan itu tanpa adab.
Selepas upacara ‘memulangkan’ dan memohon maaf melalui perubatan Islam, barulah keadaan kembali pulih. Namun, kesan remuk pada bonet kereta aku kekal sebagai peringatan abadi. Sejak hari itu, kami bersumpah tidak akan lagi memandang remeh soal adab di jalan raya, terutamanya di laluan-laluan sunyi yang mempunyai “penghuni” yang tidak terlihat.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit