Tuan Sheikh

Salam kepada admin dan para pembaca yang dihormati. Namaku Azim. Sebenarnya agak banyak pengalaman yang aku lalui berkaitan gangguan makhluk halus, walaupun mungkin tidak sebanyak pengalaman sesetengah pembaca, tetapi kesibukan tugas seharian menjadi penghalang untuk aku menulis semua kisah-kisah tersebut, tetapi demi untuk pengajaran kepada kita semua, aku usahakan juga untuk siapkan kisah ini.

Aku adalah seorang jurulatih satu aliran silat. Sejak hampir sepuluh tahun yang lepas, aku diminta untuk mengajar silat di sebuah sekolah Maahad yang semua pelajarnya adalah wanita. Latihan diadakan sekali seminggu pada setiap hari Sabtu waktu pagi. Pelajar-pelajarnya berusia dalam lingkungan tiga belas hingga dua puluh tahun berjumlah lebih kurang lima puluh orang dan semuanya tinggal di asrama. Latihan diadakan di ruang terbuka di bahagian tepi asrama yang agak lapang, lantainya simen dan berbumbung tanpa dinding. Sejak awal aku mengajar di situ lagi, melalui salah seorang warden lelaki, aku diberitahu tentang wujudnya gangguan makhluk halus di sekolah tersebut, yang mana pada masa itu gangguan adalah dalam bentuk yang paling biasa, seperti bunyi lesung batu, bunyi guli dan bunyi perabut ditarik. Selalunya mereka akan membacakan ayat-ayat ruqyah pada air dan semburkan di sekeliling sekolah dan asrama, dan gangguan akan berhenti. Perkara yang sama juga mereka lakukan bila gangguan berulang semula. Pada masa itu aku belum belajar merawat gangguan makhluk halus, jadi aku cuma boleh dengar mereka bercerita tanpa dapat membantu apa-apa.

Beberapa tahun selepas itu. Ada beberapa insiden yang berlaku dalam hidupku yang membawa kepada takdirku mempelajari ilmu merawat gangguan makhluk halus, walaupun di fikiranku sendiri tak pernah terlintas untuk mempelajarinya. Pada masa akan datang, insyaAllah akan aku ceritakan apa insiden-insiden yang berlaku yang membuatkan hatiku terbuka untuk mempelajari ilmu rawatan ini.

Latihan silat masih berjalan seperti biasa, tetapi tidak seperti pada tahun-tahun awal latihan, warden dan pelajar-pelajar sudah tidak bercerita tentang gangguan makhluk halus lagi. Mungkin gangguan telah tiada, atau mungkin mereka sudah lali dengan gangguan berulang, atau mungkin juga mereka merasakan tidak relevan untuk diceritakan kepadaku lagi perkara yang sama. Setiap minggu aku meneruskan rutin mengajar, sehinggalah pada suatu hari… seorang pelajarku pengsan sewaktu sesi latihan silat sedang berjalan, tetapi nasib baik hanya sekejap. Bila dia tersedar kembali, aku menyuruh pelajar lain membawanya ke bilik untuk berehat. Pada masa itu, gerak hatiku merasakan ada sesuatu yang tak kena berlaku pada pelajar tersebut. Apabila latihan berakhir pada hari itu, ada dua orang pelajar senior, Ika dan Aty, yang aku lantik sebagai pembantuku mengajar silat, datang menemuiku.

“Cikgu, boleh kami bercakap dengan Cikgu sekejap?” Ika meminta izin.

“Boleh Ika.” Jawabku. Aku duduk di kerusi yang memang dikhaskan untuk aku di tepi ruang latihan. Ika dan Aty duduk di kerusi berdepan denganku dengan dipisahkan oleh satu meja.

“Saya ada perkara nak tanya pendapat Cikgu,” Ika memulakan.

“Ya Ika, apa dia?”

“Pada pendapat Cikgu, kalau jin cakap atau suruh kita buat perkara yang baik, bolehkah kita dengar cakap dia?” Soal Ika.

Pelik benar soalan yang aku dapat hari ni. Naik tercengang aku dibuatnya, tapi aku berjaya sembunyikan rasa musykilku itu.

“Mmm… pendapat saya, elok kita jangan dengar atau percaya cakap jin. Walaupun apa yang dicakapkan tu betul, tapi kita risau ada muslihat disebaliknya. Lagikan kawan yang selalu dengan kita pun boleh tipu kita, inikan pulak jin yang kita tak nampak.” Aku menyuarakan pendapatku sambil fikiranku berputar mencari jawapan tentang sebab Ika bertanyakan soalan sedemikian kepadaku.

“Oooo… begitu.” Ika mengangguk, tetapi masih nampak seperti ada sesuatu yang masih bermain di kotak fikirannya.

“Cikgu, boleh saya bercakap secara personal dengan Cikgu?” Aty pula bersuara. Menambahkan lagi rasa ingin tahuku.

Aku cuma mengangguk. Memahami permintaan Aty, Ika segera meminta izin kepadaku untuk beredar dari situ.

“Cikgu, sebenarnya soalan Ika tadi ada kena mengena dengan salah seorang pelajar di sini.” Aty memulakan bicara. “Pelajar tersebut namanya Imah, dialah yang pengsan tadi cikgu.”

“Ya Aty, teruskan.” Aku fokus mendengar. Baru aku tahu nama pelajar yang pengsan itu namanya Imah. Ya lah, aku bukannya ingat semua nama murid-murid silatku itu, apatah lagi mereka semua memakai niqab dan purdah sewaktu latihan, cuma nampak dua biji mata sahaja. Aku cuma ingat nama beberapa orang pelajar senior yang menjadi pembantuku sahaja, itupun sebab mereka selalu berurusan denganku tentang hal-hal berkaitan latihan silat.

“Imah baru je masuk sekolah ni awal tahun ni.”

“Sekarang bulan Mac, bermakna dah tiga bulan Imah masuk dan belajar di sekolah ni kan?” Tanyaku inginkan kepastian, walaupun aku rasa aku dah tahu jawapannya.

“Ya, betul Cikgu. Macam ni sebenarnya Cikgu… Imah ni selalu sahaja pengsan, badannya selalu lemah. Tapi ada perkara yang saya agak kurang senang tentang Imah…” Kata-kata Aty terhenti seketika, mungkin mencari ayat yang sesuai untuk diungkapkan.

“Selalu ke dia pengsan, dan lama ke setiap kali dia pengsan?” Aku cuba memahami dengan lebih lanjut.

“Kadang-kadang selang sehari Cikgu. Pengsannya pula ada yang lama, sampai berjam-jam, kadang-kadang sekejap aje.”

“Jadi… apa perkara yang Aty kurang senang tadi?”

“Kalau Cikgu nak tahu, ada masa-masanya ada sesuatu yang bercakap melalui Imah. Suaranya memang suara Imah, tetapi perkara yang dicakapkan tu dan cara percakapannya memang langsung tak sama dengan perwatakan Imah. Perkara ni dah agak lama terjadi, sejak awal Imah masuk belajar di sini, sehingga semua pelajar di asrama ni, termasuk juga ketua pelajar asrama, dah terima kehadiran benda yang bercakap melalui Imah tu. Dia selalu bercakap mengenai solat, ikhlas, doa dan macam-macam perkara berkaitan agama, jadi kami semua panggil benda tu Tuan Syeikh. Ada masanya saya nampak ketua pelajar berbual dengan Imah, tapi bila saya hampiri mereka, kedua-dua mereka berhenti berbual, jadi tahulah saya yang sedang bercakap dengan ketua murid tu sebenarnya bukan Imah, tapi Tuan Syeikh. Cikgu, Tuan Syeikh tahu ke yang saya tak suka kehadiran dia?” Soal Aty dengan nada risau setelah bercerita agak terperinci.

“Ya, dia memang tahu, sebab dia ada di sini sepanjang masa. Kita je yang tak nampak dia. Tapi Aty jangan risau, insyaAllah kita dalam lindungan Allah, berdoalah kepada-Nya, mohon perlindungan daripada kejahatan jin dan syaitan ini.” Aku cuba meredakan kebimbangan Aty.

Terungkai sudah persoalan yang bermain difikiranku bila Imah pengsan waktu latihan tadi, dan terjawab sudah kenapa Ika bertanya soalan yang pelik tadi. Sekarang, penyelesaiannya pula yang perlu aku fikirkan.

“Aty boleh tolong panggilkan Imah jumpa saya sekarang? Ada beberapa perkara yang saya perlu tanya dia”

“Baik Cikgu.” Aty segera memanggil Imah. Imah datang dan duduk di sebelah Aty.

“Begini Imah… Aty dah ceritakan semuanya kepada saya. Boleh saya tahu dah berapa lama perkara ni berlaku pada Imah… maksud saya yang kerap pengsan, dan juga dah berapa lama wujudnya Tuan Syeikh?”

“Sejak saya darjah enam Cikgu,” ringkas Imah menjawab. Mungkin keadaannya masih lemah selepas pengsan tadi. Dari Aty, aku tahu Imah sekarang berusia tujuh belas tahun, maknanya masalah ini dah berlarutan selama lima tahun.

“Ayah dan mak pernah bawa berubat?” Tanyaku lagi.

“Pernah, dah agak lama, dah dua tempat saya pergi berubat. Tapi setakat ni tiada apa-apa perubahan,” jelas Imah.

Aku berfikir sejenak, kemudian menyambung, “Macam ni lah Imah, saya ada kenal ustaz yang membuat rawatan Islam, ni saya bagi nombor telefon ustaz, nanti Imah bagi kepada ayah, kalau dia nak ikhtiarkan berubat Imah lagi, bolehlah dia hubungi ustaz.” Aku tahu memang terdapat ramai perawat Islam dan pusat rawatan Islampun ada di banyak tempat, tetapi aku cuma memberi pilihan kepada ayah Imah.

“Untuk sementara ni, boleh Imah ambilkan air?” Imah beredar, mengambil sebotol air dan memberikan kepadaku. Aku bacakan beberapa ayat dan hembuskan pada air tersebut. Kemudian aku berikan kembali botol berisi air tersebut kepada Imah. Memandangkan keadaan Imah waktu itu akan menyebabkan pelajarannya terganggu, aku cuba ikhtiarkan dulu apa yang boleh.

“Minumlah air ni bila-bila perlu, tak ada pantang apa-apa. Kalau dah hampir habis boleh tambahkan lagi air dalam botol ni. Waktu nak minum, bacakan Takbir sebanyak tiga kali dan selawat juga tiga kali, itu aje. Sambil tu jangan lupa banyakkan berdoa agar Allah sembuhkan sakit Imah,” aku memberi penerangan. Imah mengangguk dan meminta izinku untuk beredar.

Selepas hari itu, aku tidak dapat hadir mengajar silat selama lebih kurang dua bulan kerana bekerja di luar kawasan. Selama dua bulan, Ika, Aty dan beberapa orang lagi pembantu mengambil alih tugas mengajar. Dan selama dua bulan juga aku tak tahu apa yang terjadi kepada Imah. Hadirnya kembali aku ke kelas latihan silat selepas dua bulan, aku bertanya kepada Aty terlebih dahulu tentang keadaan Imah. Seperti biasa, apa-apa perbincangan akan dibuat selepas sesi latihan berakhir.

“Bagaimana keadaan Imah sekarang?” Tanyaku kepada Aty.

“Imah dah tak pengsan Cikgu. Dua bulan lepas, selepas Cikgu bagi dia air, pada malamnya dia minum air tu, dia pengsan sebanyak dua kali, itulah kali terakhir dia pengsan,” jelas Aty.

“Adakah maksudnya Tuan Sheikh dah tak ada Cikgu?” Aty melontarkan persoalan.

“Dia masih ada Aty. Air yang saya bagi hari tu sekadar untuk tengok reaksi Tuan Sheikh, tapi selagi kita tak buang dia, dia masih tetap akan ada dengan Imah. Cuma sekarang ni Tuan Sheikh mungkin bersikap low profile untuk menipu kita, nak suruh kita percaya yang dia dah tak ganggu Imah.” Agak panjang lebar aku menjelaskan kepada Aty.

Aty menggangguk tanda faham, walaupun reaksi wajahnya menunjukkan sedikit kebingungan, mungkin sebab dia tak pernah alami perkara sedemikian.

Air yang aku buatkan itu sebenarnya menjadi racun kepada Tuan Sheikh, iaitu jin yang berada di dalam badan Imah. Setelah mengetahui ada tindak balas Tuan Sheikh dengan air tersebut, selang beberapa hari selepas itu, aku jalankan operasi membuang dan menghalang Tuan Sheikh daripada mengganggu Imah lagi.

Pada sesi latihan berikutnya, selepas latihan aku panggil Imah bertemu denganku.

“Bagaimana keadaan Imah sekarang?” Tanyaku kepada Imah.

“Alhamdulillah Cikgu, semakin baik,” balas Imah.

“Bagaimana dengan Tuan Sheikh? Masih ada dengan Imah?” Tanyaku lebih lanjut.

Biasanya orang yang telah lama mengalami gangguan jin, atau saka, atau pendamping, akan merasakan kelainan dan tahu bila gangguan yang dialaminya selama ini telah tiada.

“Dah tak ada Cikgu.” Jawab Imah dengan yakin.

“Sejak bila?” Tanyaku menduga.

“Sejak tiga hari lepas,” Balas Imah.

“Alhamdulillah,” aku tersenyum. Aku tak beritahu Imah tentang operasi menggempur Tuan Sheikh yang aku lakukan tiga hari lepas.

Aku amat bersyukur Imah dah tak selalu pengsan macam dulu dan boleh meneruskan pembelajaran tanpa gangguan.

Ini kes pertamaku melibatkan jin yang mengambil alih tubuh manusia untuk bercakap perkara-perkara berkaitan agama dalam menjalankan tipu muslihatnya. Walaupun pelajar-pelajar Maahad tersebut belajar agama, tetapi mungkin sebab mereka masih muda dan kurang pengalaman dan pengetahuan tentang tipu daya jin, menjadikan mereka mudah terpengaruh bila jin tersebut bercakap tentang agama, tanpa mereka ketahui bahawa itu semua adalah umpan untuk memperdayakan mereka.

Guruku pernah berkata, jin yang mencampuri urusan manusia adalah jin jahat, tak kira jin Islam ataupun kafir.

Segala puji-pujian hanya kepada-Mu Ya Allah, Tuhan sekalian alam. Lepaskan dan lindungilah kami dari segala tipu daya dan pengkhianatan iblis, dan syaitan dari kalangan jin dan manusia. Sesungguhnya hamba-Mu ini tiada sedikitpun daya dan upaya tanpa pertolongan dan keizinan-Mu Ya Allah. Amin Ya Rabbal Alamin.

-AZIM-

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

15 thoughts on “Tuan Sheikh”

  1. Menarik. Lebih menarik kalau ustaz cerita situasi ketika menggempur Pak Syeikh tu. Share la lagi pengalaman lain ya. Olahan cerita dan ayat tidak membosankan.

    Reply
  2. Sebuah nukilan bagus penuh teladan …
    Persilatan yang baik membawa kebaikkan dalam setiap gerak dan langkah,semuanya dengan izin Allah swt dan Rahmatnya jua …
    Silat Melayu memang mengasyikkan terutamanya dalam sembah tari …
    Apapun terima kasih kepada Penulis yang sudi share kisahnya …
    share yang panjang2 pon tak per …

    Reply
  3. Woh. Writer camginih susah nk jumpa woi! Seronok baca. Geng2 Edi arjuna, kucing kelabu, carlito rocker eyh ramai lg. Min mohon letak hashtag next story nnt senang kami nk refer hu3.

    Reply
  4. masa saya study dlu, kwan sya pernah kena macam ni… suruh solat, bersihkn rumah, ngaji smue tu.. tapi selalu merasuk kawan saya tiap2 malam, katanya penjaga pda kawan saya tu.. sampai saya penah kena cekik .. fahm dah sekarang .. thnkss atas perkongsian.

    Reply
  5. Menarik ni..nak tanya,mcm mana nak contact tuan ye?sebab nya ada org ni bagitaw y keluarga kami disihir..sbb nak porak perandakan keluarga kami..tp sy tak tahu nak rujuk pd sapa2..huhu..mungkin tuan boleh bantu tgk2 betul atau tak?

    Reply
  6. Assalamualaikum en azim..
    Boleh bg tau..apa ayat2 doa utk racun jin dlm badan manusia???..
    Dan cara amalan apa2 yg boleh benda2 gini xboleh masuk dlm badan manusia??
    .

    Sebab saya ada gangguan ..ada benda2 yg bergerak2 dlm badan saya..paling kerap bergerak bahagian kaki..sampai saya nampak benda tu mcm guli mcm main kejar2 pulak..sekarang benda ni dh bergerak ke bawah mata sebelah kiri..

    Saya pernah marah benda yg bergerak dalam badan saya ni..eh makin menjadi2 dia serang saya bahagian payudara kiri masa saya tgh tido lena..sampai berguling2 saya menanggung sakit bisa tu..lepas tu saya cuba nak bertanya ke kawan saya masalah benda ni..tiba saya dpt ilham..baca ayat kursi, alfatihah & 3 qul..
    jd skrg benda tu masih ada lg bergerak2 mcm main kejar2..benda ni saya perasan berlaku masa tahun 2013 gitu..saya tak tau dari mana benda dtg..

    mohon jasa baik en.azim bg tunjuk ajar utkm kes mcm ni..
    Semoga saya sembuh dan semoga tuan berjaya dunia & akhirat..
    Terima kasih banyak2..jazakallah khairan katsiran..

    Reply
    • Wslm. Utk jin yg mmg ada dlm badan elok kalau jumpa dgn perawat terlebih dahulu..sbb takut keadaan jd tak terkawal.. selepas itu baru blh cuba rawat dan lindungi diri sendiri. Blh email sy jika perlu panduan selanjutnya. [email protected]

      Reply
  7. Saya ada sorang ahli keluarga seperti imah yg berhubung dgn jin yg juga bernama pak sheikh, ahli keluarga sy (makcik) Seong guru terlalu obses dgn pak sheikh ni, apa2 hal biasa dia merujuk pada pak sheikh ni, sy jd risau takut dia akan memudarat kan diri nya sendiri.

    Reply
    • Lama kelamaan kesannya akan nampak… biasanya bukan hanya pd makcik yg berhubung dgn pak sheikh.. tp kpd keluarga dan org2 terdekatnya juga. Moga makcik diberikan hidayah oleh Allah s.w.t.

      Reply
  8. Sy dah reply satu persatu kpd yg berkenaan, tp sy x tau kenapa x keluar. Jadi kpd yg berkenaan blh email sy di azim.jsr2017[at]gmail.com. Tq

    Reply

Leave a Comment