#TujuhPintu – Mustafa Bin Deli

Kampung Alor: Mustafa Bin Deli

Ramai tokoh-tokoh yang terkenal berasal dari Kampung Alor. Ada yang baik, ada pula yang buruk. Antaranya, Haji Dermaga. Satu-satunya orang Melayu yang memiliki lombong timah di Selangor suatu ketika dahulu. Orangnya kaya. Hartanya pula banyak disumbangkan ke arah membantu pihak-pihak yang melawan penjajah orang putih.

Pawang Busu pula masih disebut-sebut namanya di dalam buku sejarah. Menjadi rujukan orang-orang putih untuk mendapatkan nasihat dan panduan berkenaan ilmu-ilmu kebatinan. Tercatat namanya di dalam sejarah sebagai pengkhianat bangsa. Pawang Busu juga terkenal dengan gelaran ‘Pawang Dua Kubur’.

Mustafa pula hanyalah seorang lelaki tua biasa. Menjadi terkenal di bawah bayang-bayang cucunya yang dianggap oleh dunia sebagai seorang pembunuh kejam.

Namun, setiap kali aku menyelami catatan-catatan kes ini, entah kenapa, firasatku sering menyebelahi Faris. Sejak dari mula lagi, aku rasakan Faris sekadar menjadi mangsa keadaan. Tiada cara untuk aku menggali kisah ini dengan lebih dalam kecuali dengan menemuramah lelaki bernama Faris Ja’afar itu. Namun, seperti yang diketahui umum, tiada sesiapa pun yang dibenarkan melawat lelaki itu. Tiada sesiapa pula yang tahu di mana dia dipenjarakan.

Nama aku Zainuddin. Seorang wartawan gagal yang sedang kelemasan, hampir m**i tanpa idea. Mungkin kerana itulah mindaku menjadi taksub dengan kes pembunuhan tiga orang kanak-kanak ini. Secara peribadi, aku boleh mengaitkan kes ini dengan masa silamku. Aku dibesarkan oleh bapa saudaraku. Seorang kaki botol. Ianya merupakan suatu penderaan bagiku baik dari segi fizikal, mahupun mental. Tak mungkin dapat aku lupakan tatapan matanya yang kejam itu. Namun, aku tidak melihat kekejaman itu pada wajah Faris. Matanya bukanlah mata seorang pembunuh. Seorang gila, mungkin. Tapi bukan pembunuh.

Setelah berbulan-bulan aku cuba untuk mencari sumber maklumat yang paling boleh dipercayai, akhirnya aku ditemukan dengan Mustafa. Satu-satunya sumber yang tinggal. Satu-satunya harapan untuk aku bernafas semula dalam bidang kewartawanan ini.

Satu pagi yang penuh dengan harapan ketika aku menjejakkan kakiku ke rumah lelaki itu di Kampung Alor. Mustafa Deli menyambutku dengan wajah berkedutnya yang mesra. Namun, kegusarannya boleh aku lihat di dalam mata tuanya itu. Kematian isterinya dua bulan lepas menambahkan lagi kepedihan dalam menjalani sisa-sisa kehidupannya.

Yang hendak aku ceritakan di sini bukanlah mengenai butiran temuramahku bersama lelaki berumur 75 tahun itu. Tetapi, tentang bagaimana kepercayaan dan prinsip hidup yang aku pegang selama ini digugat sepanjang aku berada di kampung itu. Tiga malam yang tidak mungkin dapat aku lupakan seumur hidup aku.

Menurut Mustafa, Faris adalah seorang lelaki yang baik dan penyayang. Begitu juga dengan isterinya, Zulaikha. Bagi Mustafa, adalah sesuatu yang tidak masuk akal bagi cucunya itu melakukan perkara sekejam itu. Lebih-lebih lagi kepada anak-anaknya sendiri.

“Kalau kamu kenal sendiri dengan cucu aku tu, kamu pun tak mungkin akan percaya dengan berita dalam TV tu.”

Menurut Mustafa lagi, kematian Doktor Roslan dan Konstabel Khalid sejurus selepas mereka melawat rumah Faris tidak lama dahulu, adalah sesuatu yang sangat mencurigakan. Mustafa sering menyebut perkataan-perkataan seperti ‘sihir’ dan ‘sumpahan’ sepanjang temuduga itu. Namun, sebagai seorang yang profesional, aku tidak boleh berfikiran kolot seperti itu. Aku harus kekal rasional.

Malam selepas temuduga itu, aku terpaksa bermalam di rumah Mustafa. Satu-satunya jalan keluar masuk ke kampung itu terhalang akibat tanah runtuh. Kecoh juga orang-orang Kampung Alor malam itu. Menurut mereka, tidak pernah berlaku tanah runtuh di sekitar kawasan itu. Aku percaya sepenuhnya kerana kawasan itu bukannya kawasan berbukit! Seakan-akan halangan itu sengaja diletakkan di situ untuk menyekat penduduk Kampung Alor daripada keluar.

Malam itu wajah Mustafa tampak lain macam gusarnya. 180 darjah lainnya jika dibandingkan dengan wajahnya ketika dia keluar menyambutku siang tadi. Seperti ada sesuatu yang lebih menakutkan daripada tanah runtuh itu sedang mengganggu fikirannya.

“Pakcik, pakcik tak apa-apa?”

“Aku…aku rasa dah tiba giliran aku. Dah tiba giliran aku!”

“Tiba giliran pakcik untuk apa?”

“Kau lembab! Bapa aku m**i terbakar. Anak aku m**i terbakar. Cicit-cicit aku m**i d*****h. Itu semua sumpahan! Sekarang benda itu datang nak b***h aku pula!”

“Pakcik, zaman sekarang dah tak ada sumpahan-sumpahan lagi. Ini zaman teknologi!”

“Kau tengok dalam mata aku dan bagitahu aku, kau tak nampakkah ini macam satu sumpahan dalam keturunan aku!?”

Aku terdiam memikirkan kata-kata lelaki tua itu. Semenjak dari kematian bapanya, Deli Khamis lebih 70 tahun dahulu, keturunan lelaki itu semuanya m**i dalam cara yang mengerikan. Aku menolak fikiran rasionalku ke tepi. Kalau betul ini satu sumpahan bagi keturunan lelaki di hadapanku ini, seperti Doktor Roslan, aku juga sudah terlibat dengannya. Apa yang akan dihadapi oleh lelaki itu, mungkin akan dihadapi olehku juga. Bagaimana teliti pun aku memikirkan tentang kejadian tanah runtuh di hilir kampung itu, ia tetap tidak masuk akal.

Malam itu, seluruh penduduk kampung diminta untuk tidak pergi ke hilir kampung. Ketua Kampung Alor, Pak Ngah, mengumumkan bahawa perkara itu sudah dilaporkan kepada pihak berwajib. Selain daripada kejadian tanah runtuh itu, tidak ada apa-apa lagi perkara yang pelik berlaku pada malam itu. Semuanya baik sahaja.

Melihatkan keadaan itu, aku kembali berfikir secara rasional. Aku rasakan mengarut pula isu sumpahan yang aku risaukan siang tadi.

“Tengok, pakcik. Tak ada apa-apa, kan? Biasalah tu tanah runtuh.”

Lelaki tua itu sekadar mengangguk separuh hati. Wajahnya kelihatan sedikit tenang berbanding tadi. Aku cuma berharap agar maklumat berkenaan kematian-kematian keturunan Deli itu dapat aku gali malam itu.

“Pakcik, kalau pakcik tak kisah, boleh saya tahu macam mana ayah pakcik boleh meninggal?”

Lelaki tua itu senyap seketika.

“Orang kata, sebab nak selamatkan sepasang suami isteri dari kebakaran. Bapa aku dengan dua orang kawannya. Ikut cerita, orang asli yang bakar rumah tu. Entah betul ke tidak, aku pun tak tahu.”

“Suami isteri tu selamat?”

“Tak ada siapa yang tahu.”

“Maksud pakcik?”

“Tak ada siapa yang jumpa pasangan tu lepas kejadian tu.”

“Pendapat pakcik sendiri?”

“Entahlah. Macam-macam aku dengar. Tapi, ada sesuatu yang buat aku betul-betul yakin tentang kewujudan sumpahan ini.”

Aku memandang tajam wajah lelaki tua itu. Tidak berani bersuara, takut-takut akan mengganggu ceritanya.

“Malam beberapa hari lepas kejadian tu, orang-orang kampung serang penempatan orang asli. Katanya untuk balas dendam atas kematian bapa aku dengan dua orang kawannya, Kadir dan Adan. Tapi, pada malam yang sama, ibu bapa Kadir dan Adan pula d*****h.”

“D*****h macam mana?”

“Kejam. Itu yang aku dengar.”

“Kenapa mak dan ayah mereka pula jadi mangsa?”

“Entahlah.”

“Keluarga pakcik selamat?”

Lelaki itu memejamkan matanya. Seakan-akan cuba mengingati sesuatu yang sudah lama dilupakannya.

“Menurut cerita yang aku dengar lama dulu, malam keluarga Kadir dan Adan d*****h, datang seorang lelaki ke rumah kami. Wajahnya hitam terbakar. Aku rasa lelaki itu yang b***h keluarga Kadir dan Adan.”

“Apa kaitannya sengan sumpahan yang pakcik sebut-sebut tadi?”

Sekali lagi lelaki tua itu terdiam. Sejenak kemudian, dia menyambung dengan suara yang luar biasa terketarnya;

“Entahlah. Ka…kadang-kadang aku rasa macam orang-orang asli tu langsung tak ada kaitan dengan kebakaran malam tu.”

“Habis, siapa yang bakar rumah tu?”

“Macam mana kalau bapa aku dengan kawan-kawannya yang bakar rumah tu? Macam mana kalau yang datang ke rumah kami malam tu, tuan rumah yang hendak membalas dendam?”

Tangan aku terasa lenguh mencatat setiap patah perkataan yang diucapkan oleh lelaki tua itu. Jantungku pula berdegup semakin kencang. Terasa bagaikan aku melihat sendiri peristiwa yang berlaku lebih 70 tahun lepas itu. Keluarga Kadir d*****h dengan kejam. Begitu juga dengan keluarga Adan. Tapi, kenapa keluarga Deli tidak diapa-apakan? Menurut lelaki tua itu, dia pernah terdengar beberapa khabar angin yang mengatakan bahawa ketiga-tiga lelaki yang m**i terbakar di dalam rumah itu sebenarnya yang membakar rumah itu. Namun, yang menjadi persoalannya adalah; Siapakah yang m******h keluarga Kadir dan Adan malam itu?

Malam itu, aku langsung tidak dapat melelapkan mata dek memikirkan perkara itu. Esoknya, Mustafa bersetuju untuk membawaku ke tapak rumah yang terbakar itu. Kelihatan kawasan rumah di hujung kampung itu sudah dilitupi pokok-pokok besar. Yang tinggal hanyalah pancangan kayu-kayu reput yang dahulunya menjadi sebahagian dari rumah yang menyaksikan kejadian yang meragut banyak nyawa itu. Di situlah tempat bapanya m**i, namun Mustafa langsung tidak kelihatan terganggu dengan hal itu. Mungkin kerana dia tidak pernah mengenali bapanya itu. Mungkin baginya, Deli hanyalah salah seorang lelaki yang pernah duduk di kampungnya, lama dahulu.

Selain dapat melihat sendiri di mana terletaknya rumah itu, tidak banyak lagi maklumat yang dapat aku kumpulkan dari lawatan singkat itu.

Dalam perjalanan keluar dari kawasan yang hampir menjadi hutan itu, mataku tertarik pada secebis kain merah tebal dengan kesan terbakar yang tersangkut pada salah sebatang pokok di situ. Mustahil cebisan itu dari 70 tahun dahulu. Aku pasti pokok-pokok itu belum wujud lagi pada masa itu. Cebisan ini baru sahaja tercarik di sini. Kain itu sangat tebal. Bukan seperti yang dipakai oleh orang-orang zaman sekarang. Lebih seperti kain belacu merah. Warnanya yang pudar juga membuatkan kain itu kelihatan luar biasa tuanya. Ah, tidak mungkin orang di zaman itu masih hidup sampai sekarang!

Petang itu, Pak Ngah membuat pengumuman memaklumkan bahawa pihak berwajib tidak dapat membawa jentera berat menghampiri kawasan tanah runtuh itu. Jadi, kerja-kerja membuka semula jalan itu hanya boleh dilakukan menggunakan tenaga manusia dan jentera kecil. Ia mungkin akan mengambil masa yang lebih lama.

Di rumah Mustafa, aku duduk sambil membelek-belek cebisan kain tadi. Kelihatan jelas benar sebahagian dari kain itu pernah terbakar. Adakah satu kebetulan, cebisan kain itu berada beberapa meter dari tapak sebuah rumah yang pernah terbakar lebih 70 tahun dahulu? Kain itu tampak luar biasa tuanya. Seperti ada seseorang yang masih memakai baju sama yang dipakainya 70 tahun dahulu, kembali semula ke situ. Atau, mungkin bukan kembali? Mungkinkah pemilik kain itu berjalan keluar dari situ?

Tiba-tiba kedengaran suara raungan Mustafa dari arah dapur. Bergegas aku menuju ke arahnya. Aku lihat lelaki tua itu terduduk pucat di atas lantai dapur itu. Kata Mustafa, dari luar tingkap itu, dia terlihat seseorang sedang berjalan ke arahnya. Wajah orang itu hitam sehitam-hitamnya.

“Sum…sumpahan tu! Dia dah datang pada aku!”

“Pakcik nampak orang tu dekat tingkap mana?”

“Ting…tingkap tu. Nasib baik aku sempat tarik.” Kata lelaki tua itu terketar-ketar menuding.

“Ting…tingkap tu?”

Lelaki tua itu kemudian terpinga-pinga. Seakan-akan dia langsung tidak ingat akan apa yang baru dilaluinya tadi. Selepas menutup semua pintu dan tingkap, aku membaringkan lelaki tua itu di dalam biliknya. Yang paling merunsingkan aku adalah, yang ditunjuk oleh lelaki tua itu tadi bukannya tingkap yang tertutup, tetapi pintu dapur yang terbuka luas! Aku fikir mungkin lelaki tua itu cuma berhalusinasi.

Di dalam bilik lelaki tua itu, aku terlihat dua bilah parang panjang bersarung, digantung kemas pada dinding. Parang-parang itu tampak begitu tua. Mungkin sama tuanya dengan kain yang aku jumpai semalam. Mungkin warisan keluarga Deli.

Malam itu, aku berbaring di ruang tamu rumah Mustafa. Walaupun mataku terasa berat untuk terus dibuka, namun, entah kenapa hatiku merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan rumah itu. Seakan-akan ada sesuatu yang bersembunyi betul-betul di hadapan mataku. Aku menarik nafas dalam-dalam, cuba untuk mewarasi fikiran. Telingaku dari tadi asyik berdesing. Entah kenapa. Mungkin kerana terlalu sunyi….

Sangat-sangat sunyi.

Puas aku memasang telinga. Langsung tidak kedengaran bunyi cicak, cengkerik atau apa jua bunyi sekalipun. Seakan-akan deria pendengaranku terhalang oleh sesuatu. Tapi kenapa?

Jam sudah menunjukkan pukul sembilan pagi ketika aku terjaga dari tidur. Entah bila masanya aku tertidur, aku pun tak tahu. Dalam keadaan sedikit mamai, aku berjalan masuk ke dalam bilik Mustafa untuk memeriksa keadaannya. Suatu bau hanyir menusuk ke dalam hidungku ketika aku membuka pintu bilik itu. Namun, tiada kelibat Mustafa.

Di kebun belakang rumah itu, aku terlihat Mustafa sedang terbongkok-bongkok menilik sesuatu di atas tanah.

“Pakcik? Pakcik buat apa?”

“Semalam, di sinilah aku nampak lelaki tu sedang berjalan. Kau tengok ni.”

Kelihatan beberapa bentuk tapak kaki tidak berkasut di atas tanah itu.

“Takkan orang ni tak pakai kasut, pakcik?”

“Macam mana kalau ini bukan orang? Mustahil dia masih hidup!”

“Siapa masih hidup, pakcik?”

“Argono! Pemilik rumah yang terbakar itu.”

“Dia dan isteri kan hilang lepas kejadian tu? Kenapa tiba-tiba dia nak datang ke sini?”

“Sumpahan tu. Macam mana kalau Argono bersumpah untuk m******h keturunan ketiga-tiga orang yang m**i dalam rumahnya dulu? Termasuk keturunan bapa aku.”

“Aduh, pakcik, cukuplah dengan cerita sumpahan ni. Benda tu dah jadi 70 tahun lepas! Kenapa dia tak balas dendam awal-awal lagi? Tak rasional!”

“Kau dengan fikiran rasional kau! Ini Kampung Alor, kau tahu tak? Tak ada apa yang mustahil dalam kampung ni.” Kata lelaki tua itu merenungku dengan wajah sedikit meluat.

Tanpa menjawab, aku berpaling berjalan masuk semula ke dalam rumah. Tiba-tiba langkahku terhenti di muka pintu dapur itu. Aku terhidu sesuatu yang hanyir. Sama seperti dalam bilik Mustafa tadi. Dari ekor mataku, aku seakan-akan terlihat seseorang sedang berdiri di hujung dapur itu, memandangku. Apabila aku berpaling, tidak ada sesiapa di situ. Bau hanyir itu pun hilang tiba-tiba. Mungkin khayalanku sahaja.

Tiba-tiba Mustafa masuk tergesa-gesa. Tangan tuanya menggenggam lemah sebilah parang panjang. Matanya liar memandang setiap sudut dapur itu.

“Eh, pakcik, kenapa ni? Siap dengan parang.”

“Tapak kaki tu.”

“Kenapa dengan tapak kaki tu?”

“Kau tengok sendiri!” Katanya sambil berlalu ke arah ruang tamu.

Aku melangkah keluar untuk memerhati semula tapak-tapak kaki di atas tanah kebun itu. Kali ini dengan lebih teliti. Aku ekori setiap langkahnya. Langkah tapak kaki itu membawaku terus ke pintu dapur semula. Siapa pun pemilik tapak kaki itu, dia berada di dalam rumah itu sekarang!

Tiba-tiba terdengar kuat bunyi sesuatu berderai dari dalam rumah. Cepat-cepat aku berlari masuk semula ke dalam rumah itu. Sesampainya aku di ruang tamu, aku terlihat Mustafa sedang berdiri terketar-ketar merenung dinding ruang itu. Dinding di mana sebelumnya digantung sebentuk bingkai gambar yang kini telah bersepai di atas lantai.

“Pakcik, macam mana bingkai ni boleh pecah?”

“A…aku nampak dia. Aku dah nampak dia!”

“Dia? Dekat mana?”

Perlahan-lahan lelaki tua itu berpaling ke belakangnya. Seakan-akan memandang sesuatu yang tiada di situ.

“Aku nampak bayang-bayang dia berdiri di belakang aku tadi. Tiba-tiba bingkai ni jatuh ke lantai.”

Aku tunduk mengutip serpihan-serpihan kaca itu. Lelaki tua itu berjalan perlahan lalu melabuhkan punggungnya di atas kerusi rotan ruang tamu itu. Tampak lelah. Aku menunjukkan riak wajah tenang kepadanya. Namun, di dalam hatiku memang merasakan ada sesuatu yang tidak kena.

Tanah runtuh di hilir kampung. Cebisan kain merah yang aku jumpai. Kejadian di dapur semalam. Bau hanyir dan susuk hitam yang aku nampak tadi. Sekarang, ini pula! Seakan-akan ada sesuatu yang cuba untuk menghampiri kami.

Petang itu, aku lihat Mustafa sedang mengasah-asah parangnya di atas pangkin. Wajahnya sugul memikirkan sesuatu.

“Pakcik buat apa ni?” Soalku risau.

“Kalau dia nak datang, biar dia datang. Aku bersedia.”

“Pakcik, tak ada sesiapa yang akan datang. Ini kepercayaan karut!” Kataku cuba untuk menyedapkan hatinya.

“Lagi sekali kau kata aku mengarut, aku tetak kau pakai parang ni!” Lelaki tua itu menghalakan mata parang ke arah aku. Aku berundur menjauhi lelaki tua itu.

“Aku yakin! Sekarang, aku betul-betul yakin yang bapa aku dan kawan-kawannya semua pembunuh! Sekarang, dendam mangsa mereka dibalas pada keturunan-keturunan mereka! Aku bersedia untuk menghadapi dendam itu!” Mustafa tiba-tiba meletakkan bilah parang itu pada lehernya sendiri.

“Pakcik! Sabar pakcik! Bagi saya parang tu. Jangan buat macam ni. Kita orang Islam!”

“Dendam yang aku simpan selama berpuluh tahun kini akan selesai!” Tiba-tiba nada percakapan Mustafa berubah. Matanya merah merenungku. Satu senyuman kaku terukir pada wajahnya. Ini bukan Mustafa!

Bau hanyir yang aku hidu tadi, tiba-tiba muncul semula. Ini betul-betul berlaku! Aku memejamkan mata membaca ayat Kursi dengan penuh yakin.

Tiba-tiba terdengar suatu dengusan garau betul-betul dari belakang telingaku;

“Kau baca apa, budak?” Tanya suara itu.

“Si…siapa kau?” Tanyaku tergagap. Tidak berani berpaling.

“Kau tahu aku siapa!”

“Betullah kau yang m******h anak-anak Faris!?”

“Mereka keturunan Deli. Keturunan pembunuh!”

“Kalau macam tu, apa bezanya kau dengan Deli!? Pembunuh!” Jerkahku sambil meluru ke arah Mustafa lalu merampas parang panjang tadi dari tangan lelaki tua itu. Aku berpaling melihat empunya suara itu.

Sesusuk tubuh hitam tidak berambut berdiri di hadapanku. Memakai baju berselempang berwarna merah dengan kesan terbakar, sama seperti kain yang aku jumpai semalam. Tanpa berfikir, aku menghayunkan parang itu laju ke arahnya. Argono menepis hayunan itu dengan mudah. Seakan-akan tenagaku langsung tidak setanding dengannya.

“Kail cuma sejengkal, kau berani melawan aku!?” Argono mencapai leherku lalu menghempaskan tubuhku ke atas lantai. Parang tadi terlepas dari tanganku. Kepalaku berpinar menahan gegaran.

“Zainuddin!” Mustafa memanggilku dari atas pangkin. Wajahnya sudah kembali normal.

“Pakcik! Dia Argono!” Aku meraung. Argono berpaling merenung wajah Mustafa dengan penuh kebencian.

“Jangan apa-apakan budak tu, Argono! Aku yang kau mahukan! Aku keturunan Deli!” Rayu Mustafa. Argono melangkah mendekati lelaki tua itu. Parang tadi aku lihat sudah berada di bawah pangkin. Fikiranku buntu. Tiada apa yang dapat aku lakukan. Argono akan m******h lelaki tua itu.

Argono tiba-tiba berubah menjadi sekepul asap hitam lalu meresap ke dalam tubuh lelaki tua itu. Mata Mustafa kembali bertukar merah. Dia mencapai parang dari bawah pangkin lalu berjalan perlahan ke arahku.

“Pakcik, ini saya pakcik! Zainuddin!”

Mustafa menghayunkan parang panjangnya ke arahku. Aku melompat mengelak lalu berlari masuk ke dalam bilik tempat lelaki tua itu tidur semalam. Aku terlihat sebilah lagi parang panjang tergantung pada dinding bilik itu. Aku mencapai parang itu lalu berpaling menghadap pintu. Menantikan Mustafa yang sudah dirasuk Argono.

Mustafa berjalan tenang ke arahku. Aku berundur rapat ke dinding di belakangku. Aku terperangkap. Satu-satunya jalan adalah dengan m******h orang tua di hadapanku itu.

“Mari, budak. Apa kau tunggu lagi? Tusukkan parang itu ke dalam dadaku!” Kata Mustafa dalam suara garau Argono. Tangannya didepangkan.

“Pakcik, mengucap pakcik. Jangan biarkan syaitan ni kawal pakcik!”

Mustafa tiba-tiba ketawa berdekah-dekah.

“Kau bercakap dengan siapa? Si keturunan kotor ini dah jadi milik aku!”

Suasana di dalam rumah itu tiba-tiba menjadi luar biasa sunyinya. Langsung tiada bunyi lain selain dari bunyi dengusan nafas Mustafa. Kesunyian itu aku rasakan seperti menusuk ke dalam fikiranku membuatkan telingaku berdesing. Cukup untuk membuatkan aku gila!

Tiba-tiba aku terdengar pintu hadapan rumah itu dihempas terbuka. Seorang lelaki pertengahan umur yang berjanggut melangkah masuk ke dalam bilik itu. Matanya merenung tajam wajah Mustafa yang semakin hitam seakan-akan dibakar dari dalam.

“Siapa kau?” Tanya Mustafa keras.

“Aku juga keturunan Deli! Mari! B***h aku!”

“Mustahil! Selain lelaki gila di dalam penjara itu, keturunan Deli yang tinggal cuma Mustafa!”

“Aku Ja’afar! Bapa Faris.”

“Kau…kau dah m**i!”

“Kalau aku dah m**i, macam mana aku boleh berdiri di sini, syaitan bodoh!?” Jerkah lelaki itu berani.

Mustafa menghunuskan parang panjangnya ke leher Ja’afar. Ja’afar menepis parang itu sebagaimana Argono menepis hayunan aku tadi. Tangan Ja’afar memcengkam kepala Mustafa lalu mengunci lengan lelaki tua itu. Lelaki tua itu terperangkap tidak mampu bergerak. Ja’afar membisik-bisikkan sesuatu ke dalam telinga bapanya itu. Terbit sekepul asap hitam dari dalam mulut lelaki tua itu. Terdengar suara Argono meraung kesakitan. Sejenak kemudian, asap itu berkumpul menjadi sesusuk tubuh hitam. Mustafa tercungap-cungap dalam tangan Ja’afar. Parang panjang di dalam tangannya terlepas jatuh ke atas lantai.

“Ja…Ja’afar! Macam mana kau ada di sini, nak?” Tanya Mustafa terkejut melihat anaknya itu.

“Panjang ceritanya, ayah. Budak, kau tolong bawa ayah aku keluar. Biar aku hadapi Argono!” Kata Ja’afar kepadaku.

Kulihat Argono sedang membetul-betulkan urat lehernya. Mungkin kerana cengkaman Ja’afar tadi. Aku mencapai lengan Mustafa lalu menariknya keluar dari bilik itu. Sebelum melangkah keluar, aku sempat menghulurkan kedua-dua bilah parang panjang tadi kepada Ja’afar. Kini, aku hanya melihat pertarungan itu dari bukaan pintu bilik Mustafa.

“Kau pun dah ada pendamping ya, cucu si pembunuh?” Tanya Argono kepada Ja’afar.

“Aku tak sebodoh kau, Argono. Menghambakan diri pada makhluk itu!”

“Kau tak kenal aku siapa! Datuk kau m******h isteriku. Merampas hidupku!”

“Kau takkan percaya sebanyak mana aku tahu tentang kau, Argono!” Kata Ja’afar lalu menghayunkan kedua-dua bilah parang panjang itu ke tubuh Argono. Argono cuba untuk menepis hayunan parang-parang itu sebagaimana dia menepis hayunanku tadi. Namun, ternyata tenaga Ja’afar lebih kuat. Mulut Ja’afar terkumat-kamit menyebut baris-baris mantera yang lunak bunyinya. Tubuh Argono tercampak ke belakang. Argono bangkit lalu membuka mulutnya besar, menembakkan bertubi-tubi kepulan asap hitam ke arah Ja’afar. Ja’afar cuba mengelak, namun kepulan-kepulan asap itu terlalu banyak. Tubuh Ja’afar rebah terketar-ketar menahan kesakitan. Argono menyebut beberapa patah mantera yang kelihatannya membuatkan kesakitan yang dirasai Ja’afar semakin bertambah.

Ja’afar bagaikan tidak dapat mengawal ketaran pada tubuhnya. Argono tersenyum bangga melihat keadaan Ja’afar. Mulut Ja’afar terketar-ketar menyebut nama-nama Allah. Memohon agar kesakitannya itu dikurangkan. Sejenak kemudian, ketaran pada tubuh Ja’afar beransur hilang. Perlahan-lahan, Ja’afar kembali berdiri merenung Argono. Terpegun Argono melihatkan keadaan itu. Dalam keadaan tenang Ja’afar melafazkan beberapa k***t ayat suci Al-quran lalu dihembuskannya pada kedua-dua bilah mata parang panjangnya. Wajah Argono kelihatan gerun. Cepat-cepat dia menarik keluar sebilah pedang yang diperbuat daripada asap hitam dari dalam perutnya. Wajah Ja’afar tenang melihat pedang hitam itu.

“Kau sangkakan kuasa sihirmu itu dapat mengatasi ilmu yang diturunkan Allah kepada hamba-hambanya? Kau silap, Argono.”

Argono berlari ke arah Ja’afar dengan mata pedangnya dihalakan ke arah dada lelaki itu. Ja’afar menghayunkan kedua-dua bilah parangnya, mengharapkan agar mata parang itu dapat menembusi tubuh Argono kali ini. Pedang hitam Argono berlaga dengan parang-parang Ja’afar. Bunyi yang dihasilkan tidak kedengaran seperti besi bertemu besi, sebaliknya seperti derakan api yang marak membakar. Kedua-dua bilah parang Ja’afar bertukar merah akibat dibakar asap hitam pedang itu. Melihatkan keadaan parangnya itu, Ja’afar mengambil kesempatan lalu menghayunkan parang itu ke arah leher Argono.

Terpancut d***h panas dari leher Argono. Kepalanya terpisah dari badan lalu jatuh berdebuk di atas lantai kayu bilik itu. Asap hitam yang tebal berkepul-kepul keluar dari leher Argono. Suatu raungan dahsyat kedengaran, namun bukan dari mulut Argono, sebaliknya dari kepulan asap hitam tadi yang bergerak keluar dari celahan tingkap yang tertutup. Tubuh Argono terkulai tidak lagi bernyawa.

Ja’afar terduduk bersandar pada dinding. Mustafa berjalan perlahan-lahan menuju ke arah anaknya itu.

“Ja’afar. Kau masih hidup, nak?” Kata lelaki tua itu lalu merangkul anaknya.

“Ya, ayah. Maaf, saya lewat.”

“Ta…tapi kau m**i dalam kereta yang terbakar! Aku sendiri yang lihat jenazah kau ditanam dulu.”

“Itu bukan saya, ayah. Saya gunakan jenazah orang yang telah m**i terbakar untuk menggantikan saya. Saya palsukan kematian saya sendiri.”

Menurut cerita Ja’afar, dia bekerja sebagai seorang pegawai penyiasat polis suatu ketika dahulu. Pada suatu hari, dia terdengar ibu dan bapanya bercerita tentang Deli, datuknya. Berdasarkan apa yang diceritakan oleh ibu bapanya itu, Ja’afar dapat menangkap bahawa Deli dan kawan-kawannyalah yang membakar rumah itu. Argono dan Kesuma pula mangsa mereka. Cerita tentang bagaimana Argono m******h ibu bapa Kadir dan Adan meyakinkan Ja’afar bahawa suatu hari nanti, keluarganya juga akan menghadapi perkara yang sama.

Dia mula menyiasat perkara itu sejak dari Faris kecil lagi. Sehinggalah pada suatu hari, dia berjaya mencari kubur Kesuma jauh di dalam hutan Kuala Langat. Di sebelah kubur itu, Ja’afar terlihat sesusuk tubuh hitam sedang duduk bertapa. Tidak sedar akan kehadirannya. Namun, dia langsung tidak dapat mendekati kubur itu. Seakan-akan ada satu daya ghaib yang menghalangnya. Tahulah Ja’afar bahawa itulah Argono yang sedang bertapa untuk membalas dendamnya kelak.

Beberapa tahun selepas itu, Argono bangkit dari tidurnya lalu menyerang Ja’afar dan isterinya ketika dia sedang memandu pulang ke Kampung Alor. Isteri Ja’afar nahas di dalam kemalangan itu, namun Ja’afar terselamat. Sejak itulah Ja’afar merasakan bahawa dia perlu memalsukan kematiannya agar Argono tidak lagi mencarinya. Ja’afar mengembara selama bertahun-tahun demi mencari asal-usul sihir yang digunakan oleh Argono itu dengan niat untuk mengalahkannya. Apabila Ja’afar mendapat tahu bahawa Pawang Busu, pemilik asal makhluk hitam di dalam tubuh Argono itu berasal dari Tanah Jawa, dia mengembara ke Indonesia demi mendapatkan ilmu melawan sihir makhluk itu.

Ja’afar masih berasa sedih atas kegagalannya menyelamatkan anak-anak Faris. Ketika dia pulang ke tanah air, Argono sudahpun menguasai fikiran Faris dan isterinya. Berkali-kali dia cuba untuk mendekati rumah itu, namun, sihir yang diletakkan Argono pada rumah Faris terlalu kuat. Mungkin kerana rumah itu sendiri sudah ada penghuni lain yang telah membantu Argono.

Menurut Ja’afar, Argono cuba untuk meletakkan sihirnya ke atas rumah bapanya itu semalam. Ja’afar berjaya melindungi rumah itu dari sihir Argono. Sebab itulah suasana rumah itu menjadi begitu sunyi semalam. Kata Ja’afar, itulah kesannya apabila mantera yang dibacanya melindungi sesebuah rumah itu. Namun, ketika itu Argono sudah pun berjaya menjejakkan kaki ke dalam rumah itu. Walau sebanyak mana pun mantera pelindung yang dibacanya, dia perlu menunggu Argono memunculkan diri. Itu sahajalah caranya untuk dia dapat melihat Argono yang pandai bersembunyi.

“Ayah, sekarang semuanya sudah selamat. Argono sudah tak ada lagi.”

“Faris macam mana? Faris masih dalam penjara!”

“Maaf ayah, saya tak mampu selamatkan Faris. Mungkin hanya Zainuddin sahaja yang mampu buktikan pada dunia bahawa Faris tidak bersalah.”

Begitulah bagaimana tanggungjawab untuk menyelamatkan seorang lelaki ‘gila’ bernama Faris Bin Ja’afar diletakkan di atas bahuku. Bahu seorang wartawan gagal yang hampir m**i, tanpa idea.

Aku bertolak pulang ke Kuala Lumpur keesokan harinya. Segala catatan dan rakaman yang aku rekodkan, aku serahkan kepada pihak polis. Ja’afar dan Mustafa menjadi saksiku. Selama berbulan-bulan pihak polis dan mahkamah mendalami segala catatan dan rakaman yang aku serahkan kepada mereka. Akhirnya, sembilan bulan kemudian, Faris dibebaskan dari segala pertuduhan. Jenazah Argono pula masih berada di dalam simpanan pihak polis. Berdasarkan laporan mereka, ketika Argono m**i, usianya sudah mencecah 105 tahun.

-Tamat-

Dinding bilik sejuk yang menyimpan tubuh Argono tiba-tiba berkeriut kuat. Muncul kepulan asap hitam yang entah dari mana, meresap perlahan ke dalam celah-celah pintu bilik itu. Asap hitam itu seakan-akan datang untuk mendapatkan semula tubuh tuannya yang malang itu. Tubuh yang di dalamnya tersimpan sebentuk hati yang hitam dibakar dendam.

P/s: InshaAllah ketujuh-tujuh kisas berkaitan Tujuh Pintu ini akan dibukukan. Sesiapa yang sudi beli, saya akan beritahu caranya nanti. Kepada yang tak sudi nak beli, boleh baca di FS sahaja. Saya tak kisah. Saya cumalah seorang pencerita. Menulis bukan kerana wang.

P/ss: Terima kasih admin FS yang tak jemu-jemu publish cerita saya.

.

Ahmad Rusydi
Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 3]

27 comments

    1. start crita ni, tajuk nya tujuh pintu. ada banyak kesinambungan, inc cerita pawang busu,
      kira yang berkaitan kampong alor la.
      aku agak cerita ” tragedi kampong alor” yg psal mee daging manusia pon under writer #ahmad rusydi jugakkk,

  1. My favourite writer! Cerita yg x pernah membosankan. Insha Allah den beli sbg tanda sokongan! Keep it up!

  2. terbaaaikkk crita nie….
    mula-mula baca #TujuhPintu memang tak paham.. tapi bila penulis buat sambungan ke-2, baca balik yang pertama baru paham…
    Jalan cerita yang best.. tak pening baca…

    tapi nak tanya laa.. cerita ni kisah benar ke??

  3. Dinding bilik sejuk yang menyimpan tubuh Argono tiba-tiba berkeriut kuat. Muncul kepulan asap hitam yang entah dari mana, meresap perlahan ke dalam celah-celah pintu bilik itu. Asap hitam itu seakan-akan datang untuk mendapatkan semula tubuh tuannya yang malang itu. Tubuh yang di dalamnya tersimpan sebentuk hati yang hitam dibakar dendam – ada sambungan ke yg ini??

    buat la sambungan dan lg better buat novel..klu buat novel boleh buat cite panjg lg.. nnt buat page FB utk brthu bila kish tu akn dikeluarkan.

    1. macam akan ada kan? mungkin la kot tu, sbb tu nak dibukukan, so ending kot ada dalam buku je nnti, hoho

  4. #AhmadRusydi tolong teruskan menulis.
    ramai dah peminat awak ni..
    jalan cerita dah level Ramli Awang Murshid..
    kipidap bro

    1. Betul tu #Kakak Kau.. saya pun terfikir benda yang sama..hampir mcm ramli awg murshid da..mmg berpotensi besar buat saya ketagih mmbaca kisah yg writer ni tulis..

  5. best kisah ni. kalau diolah semula dengan lebih teliti dan dipanjangkan sket, konpem bole laris punya kalau buat buku. sila update cara2 camna nak beli nnti ye.

    BTW kisah jaafar tu mcm mana?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.