TUNANGAN

Tajuk : TUNANGAN
Oleh : Lotus

Tahun 2021

Samantha merenung riak air sungai yang mengalir tenang. Air sungai di tebingan yang cetek dan jernih memperlihatkan batu-batuan sungai yang tersusun secara semulajadi. Samantha duduk di tepi jeti sambil kakinya bermain air sungai yang sejuk. Suasana hening, budak-budak yang riuh terjun ke sungai tadi sudah tidak kelihatan. Barangkali jari dan bibir masing-masing sudah kebiruan dan kecut, atau kerana perut sudah berkeroncong menyebabkan mereka bergegas kembali ke rumah panjang.

Gadis yang berkulit cerah dan mulus itu mengeluh sayu, merenung ke tengah sungai. Sesungguhnya rindu pada yang sudah pergi ke alam fana itu amat berat rasanya. Entah apa yang diharapnya. Apakah dia mengharap dapat melihat imbasan bayang-bayang yang dirindui dari riak sungai itu? Entahlah…….

Tahun 1999
Teroleng-oleng perahu yang dinaiki bila Samantha berdiri secara mengejut. Terpancar gembira di wajah, senyumnya lebar menampakkan gigi. Ayahnya cuma tersenyum. Perahu yang dikendali semakin merapat ke tebing sungai namun tidak mampu merapat ke jeti memandangkan paras sungai yang cetek.

Tanpa menunggu ayahnya, Samantha melompat keluar dari perahu. Sempat pula dia melambai ke arah ayahnya sebelum memecut berlari ke rumah panjang. Dia tidak sabar lagi. Rindunya kepada ibu melebihi dari segala-galanya. Walaupun sudah empat tahun Samantha tinggal di asrama sekolah semenjak dari darjah satu, tetaplah dia tidak betah. Cuti penggal sekolah adalah musim yang ditunggu-tunggu oleh Samantha yang ketika itu baru berumur sepuluh tahun.

“Indai!” Lantang suara Samantha memanggil ibunya yang sudah menunggu di kaki tangga rumah panjang. Terlerai rindu bila memeluk pinggang ibunya. Beberapa orang wanita yang baru pulang dari berhuma padi ketawa melihat ulah anak itu.

“Oh, Antha…. Sudah besar panjang pun manja dengan ibu,” Usik mereka. Samantha hanya tersengih sambil mendongak memandang ke arah ibunya yang juga ketawa kecil. Cantik sungguh ibu, puji Samantha dalam hati. Dia berharap bila besar nanti dia juga cantik seperti ibunya walaupun warna kulitnya tidak secerah ibunya.

Namun, benarlah kata orang. Hidup ini bukan berkisar sekitar pelangi yang indah sahaja. Rentak hidup Samantha berubah dirundung duka. Segalanya bermula ketika cuti penggal itu juga.

Seperti kebiasaan penduduk rumah panjang itu, mereka mandi di sungai kerana tiada kemudahan air paip. Petang itu, Samantha dan ibunya ke tebingan sungai untuk mandi. Samantha menyelam sepuas-puasnya di air yang jernih itu. Sesekali kedengaran ibunya melarang dia berenang agak jauh ke tengah. Sudah berkali juga ibunya memanggil untuk balik semula ke rumah panjang. Namun Samantha memekakkan telinga. Kelihatan ibunya mengambil tempat untuk duduk di jeti, menunggu Samantha yang masih belum ingin pulang.

Tiba-tiba Samantha berdiri tegak di tebingan yang cetek. Tiada angin bertiup. Air sungai pula beriak dengan amat perlahan, seolah-olah berhenti mengalir. Tiada bunyian alam. Hening, dan kemudiannya berdesing. Samantha tersentak lantas berlari mendapatkan ibunya. Ibunya kelihatan hairan melihat perlakuan Samantha namun tidak bertanya. Samantha yang tiba-tiba menggigil sejuk segera mengajak ibunya pulang. Dia terlihat ibunya mengimbit bungkusan plastik hitam bersama. Namun dia tidak memperdulikannya, mungkin tadi dia tidak perasan ibunya ada membawa bungkusan plastik itu. Dan esoknya, hidupnya berubah selama-lamanya.

“Dom, manang dari Badau dah tiba.”

Terkelip-kelip mata Samantha melihat neneknya berbisik kepada ayahnya. Dia tidak faham, kenapa keluarganya tiba-tiba gundah. Malah seluruh penduduk rumah panjang juga resah. Dia pula sudah beberapa hari merajuk. Ibunya sudah berjanji hendak membawanya ke pekan hujung minggu lepas. Namun sekarang dia seolah tidak diperdulikan. Lebih sedih lagi, ibunya juga tidak mengambil kisah tentangnya lagi. Semuanya bermula selepas kejadian aneh ketika dia mandi di sungai pada minggu lepas.

Ayahnya mengeluarkan barangan dari plastik hitam dan ditunjukkan kepada seorang lelaki tua yang dipanggil manang tadi. Terpesona pula Samantha melihat lelaki tua itu. Kelihatan tatu berwarna hijau urat berselirat di lengan dan lehernya. Samantha pasti, kakinya juga bertatu namun ditutupi seluar panjang. Manang itu tersedar Samantha memandangnya. Dia tersenyum kecil kepada Samantha sebelum memberi tumpuan kepada ayahnya yang sedang sibuk menyusun barang-barang di depan manang itu.

Suasana hening seketika, manang tua itu memandang barang-barang di depannya. Kelihatan beberapa barang perhiasan tradisional wanita seperti sugu tinggi, marik empang, setimbun kecil duit syiling lama, dua utas gelang tembaga dan juga sebentuk cincin emas.

Manang itu memandang Samantha dengan sayu sebelum berkata sesuatu kepada ayahnya dan juga ahli keluarganya yang lain. Terpinga-pinga Samantha apabila melihat neneknya meraung, menangis sambil memukul dadanya sendiri. Wajah ayahnya merah padam, sementara tuai rumah pula kelihatan menenangkan datuknya.

Samantha diserang rasa panik dan takut. Dia memandang ke pintu bilik ayah dan ibunya. Dia menahan rasa nalurinya untuk berlari mendapatkan ibunya. Ibunya pula semenjak minggu lepas berkurung di dalam bilik sahaja, tidak ingin berjumpa dengan sesiapa termasuk dirinya. Keadaan ibunya tidak terurus selepas membawa pulang barangan di dalam plastik hitam itu. Makan minum sudah tidak diperduli, hanya termenung merenung jendela bilik.

Semenjak itu, bersilih ganti manang tiba. Untuk mengubat ibu yang sakit, kata ayahnya. Ya, mungkin ibu sakit. Tubuh ibu semakin kurus dan tidak bermaya. Hendak duduk pun terpaksa dipapah. Yang lebih hairan lagi, setiap hari nenek dan datuknya menyapu timbunan pasir yang tiba-tiba ada pada setiap pagi. Di atas lantai, depan pintu, lebih lagi di lantai bilik ibu dan ayahnya.

Sebulan kemudian, Samantha mengalami mimpi yang pelik. Dia berada di tebingan sungai. Kelihatan berpuluh perahu dihias indah memenuhi perairan sungai itu. Ramai lelaki dan wanita berada di dalam perahu-perahu itu. Masing-masing memakai pakaian tradisional. Lelaki dan wanita sama segak dan cantik. Dalam kehairanan, Samantha terpesona dengan suasana itu. Sekali sekala kelihatan libasan beberapa ekor buaya, walaupun gerun Samantha bertahan berada di situ. Malah tiada siapa pun yang pedulikan dia.

“Antha…..,” Dengan perasaan terkejut, Samantha berpaling. Sudah lama dia tidak mendengar suara yang gemersik itu. Bertambah kaget pula Samantha. Ibunya yang sudah berminggu pucat lesi dan kurus, kelihatan amat cantik sekali di dalam mimpinya. Penuh perhiasan di tubuh ibunya menambahkan lagi keanggunannya sebagai seorang wanita umpama puteri dari kayangan.

Tanpa berlengah Samantha mendapatkan ibunya. Ketika ibunya mendepangkan tangan, Samantha segera memeluk ibunya dengan erat. Tanpa dapat ditahan, air matanya mula merembes keluar. Ibunya mencium dahi serta mengelap air mata yang mengalir di pipi Samantha.

“Antha, kadang-kadang kita tidak mampu mengubah takdir. Sekeras mana pun kita berusaha, takdir itu sudah terikat mati. Lapangkanlah dadamu, anak,” Terkelip-kelip mata Samantha ketika sekali lagi dahinya dicium. Sungguh dia tidak faham apa yang disampaikan oleh ibunya.

Samantha mendongak merenung ibunya. Di sebelah ibunya ada seorang lelaki yang berbadan sasa yang tadi tiada berada di situ. Juga berpakaian penuh tradisional. Tidak pernah lagi Samantha melihat seorang lelaki yang segak dan kacak seperti itu. Lelaki tersebut tidak memandangnya, namun memegang bahu ibunya. Samantha berasa sedih dan sayu tiba-tiba. Dia seolah-olah tahu, inilah kali terakhir dia mendengar suara ibunya.

Suasana yang riuh mengejutkan Samantha dari mimpi yang aneh itu. Ayahnya yang sudah berada di sisinya tidak segan silu menangis. Ayahnya ingin berkata sesuatu namun suara tersekat di kerongkong. Samantha memandang wajah ayahnya dengan tenang lalu mengelap air mata ayahnya seperti yang dilakukan oleh ibunya di dalam mimpi tadi. Samantha tahu, ibunya sudah pergi meninggalkan mereka berdua di dunia ini.

Samantha tidak bercerita kepada sesiapa tentang mimpinya. Di hari ke tiga selepas ibunya meninggal, manang tua yang penuh tatu di badannya pun tiba untuk memberi penghormatan terakhir kepada ibunya. Hanya kepada manang itu saja Samantha bercerita, entah kenapa dia berasa senang meluahkan rasa kepada orang tua itu.

“Bunsu baya,” Ujar manang itu sambil mengangguk-anggukkan kepalanya. “Antha, kena ingat di alam ini bukan kita saja yang ada. Mahkluk lain juga wujud tapi tidak kita sedari,” Manang itu menarik nafas dengan dalam sebelum menyambung percakapan. “Aki minta maaf sebab tidak mampu menolong ibumu, nak.”

Tahun 2021
Awan petang mula berarak, kelihatan bayang langit di permukaan air sungai. Samantha tahu, tidak lama lagi senja akan berlabuh. Namun dia betah duduk di jeti itu. Cuti kerja yang dipohon berbaki dua hari lagi. Esok dia akan kembali ke lubuk rezekinya.

Kisah ibunya bertunang dengan jelmaan buaya menjadi agak terkenal di serantau negeri selepas itu. Malah ditokok tambah untuk menyedapkan cerita. Namun keluarganya tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya pasrah, dan lama-kelamaan kisah itu menjadi kisah hiburan saja bagi kebanyakan orang.

Samantha bangun dan meregangkan badan. Walaupun hatinya berat namun dia perlu pulang ke rumah panjang sebelum ayahnya risau. Lama manapun masa bergulir, rindu itu tetap memberati jiwanya. Rindu yang tidak bertepi, tidak berpenghujung.

Baru sahaja Samantha ingin melangkah, dia terlihat sesuatu yang berkilau di hujung jeti. Dengan rasa ingin tahu, Samantha mendekati dan terlihat sebentuk cincin emas berbatu nilam terletak elok di situ. Samantha yakin cincin itu tiada di situ tadi, dan juga sangat yakin itu juga bukan kepunyaan mana-mana penduduk rumah panjang di situ.

Samantha mengetapkan bibirnya seketika sebelum menyepak cincin itu jauh ke sungai sebelum melangkah pulang.

TAMAT..

Glosari
Indai = Ibu
Manang = Pawang
Aki = Datuk

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

4 thoughts on “TUNANGAN”

  1. Apabila kamu percaya kuasa makhluk sebegitu pasti ia akan menghantui sepanjang hidup mu, tp jika kamu percaya pd pencipta mu yakni Allah swt dan mengharapkan belas ihsan drnya pasti Allah swt tidak akan mengecewakan mu.

    Reply
  2. MENARIK….KISAH MCM NI ADA DI SARAWAK DULU MASA SKOLAH SERAM PUN ADA APABILA DGAR ORNG BECERITA MASA TU TAKUT SANGAT DGAN AIR AIR SUNGAI…SAYA SBNARNYA PUN ADA JUGA KISAH TUNANGAN NI TAPI VERSI SAYA PULA YG LELAKI YG DITUNANG OLEH BNDA TU MUJUR DAPAT DISELAMATKAN HAMPIR SAJA DIA DIBAWA PERGI OLEH BNDA TU…BTOLAH APA ORNG CAKAP BAHAWA DIDUNIA INI KITA BERKONGSI TEMPAT DGAN BNDA2 MCM TU KAN. BTW YOUR STORY SO NICE SERONOK SAYA MEMBACA KEEP IT UP OK.

    Reply

Leave a Comment