Van Jenazah

Kelibat van jenazah makin kerap kelihatan di jalan raya dan di paparan berita. Fikiran aku selalu melayang kepada dua peristiwa aneh berkaitan van jenazah yang aku hadapi beberapa tahun lepas. Pertamanya semasa aku berada dalam darjah 5 dan kedua semasa aku sedang melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di Shah Alam…

Kisah Pertama

Aku ikut serta dalam satu van jenazah semasa urusan transportasi jenazah dari rumah ke tapak perkuburan. Jaraknya dalam 5km dan jalannya sedikit berbukit. Tidak sedar macam mana aku boleh berada bersama memandangkan aku masih kecil dan kebanyakkan kanak-kanak sebaya aku hanya di tinggalkan di rumah sahaja. Yang aku ingat semasa jenazah diangkat ke dalam van, aku berada di pintu dan mungkin aku telah meminta untuk ikut sama.

Oleh kerana saiz aku yang dirasakan tidak larat untuk menutup pintu, aku disuruh untuk masuk dahulu. Makanya, aku duduk betul di tepi keranda jenazah sambil aku memerhatikan sekeliling ruangan tersebut. Kelihatan wajah-wajah sugul dan sembab akibat terlalu banyak menangis. Namun mereka cuba untuk menutupi rasa sedih mereka dengan lamunan jauh. Pandangan aku larikan ke deretan kenderaan yang mengikuti. Lampu isyarat kecemasan dipasang dan aku nampak beberapa orang yang aku kenal turut ikut serta.

Van bergerak amat perlahan. Seperti membawa muatan yang terlalu berat. Terlalu perlahan untuk aku yang biasa dengan kelajuan. Namun aku hanya diam dan tidak berhenti-henti membaca al-Fatihah untuk jenazah. Kini pandangan aku terlekat di keranda. Aku sorotkan kembali semua kenangan aku bersama arwah. Riak muka arwah sangat garang, tetapi arwah seorang yang baik hati. Seorang yang cool juga jika dikenali lebih dekat. Dia juga disayangi oleh semua orang yang mengenali.

Sedang aku ralit dalam kenangan, tiba-tiba bunyi dentuman menghentikan lamunan. Bunyi itu kedengaran dari atas van. Laju mata aku melihat ke sana, namun tiada apa. Tidak lama kemudian, van berhenti bergerak sebelum sempat selesai mendaki bukit. Kami semua terdiam, tetapi tidak bertanya. Pemandu van kini turun dan memaklumkan bahawa enjin tidak dapat dihidupkan. Mereka memutuskan untuk menunda van tersebut hingga ke tanah perkuburan.

Oleh kerana laluan berbukit, ini lebih menyukarkan. Kereta tunda yang pertama turut rosak. Selepas itu, kami semua yang dibelakang van jenazah ini diarahkan untuk turun. Aku sempat berjalan mengiringi beberapa ketika sebelum aku ikut menumpang kereta yang paling belakang sekali. Malam itu aku rasakan sangat panjang. Banyak yang dalam fikiran aku tetapi tiada siapa untuk aku bercerita mahupun bertanya.

Walaupun aku menaiki kereta paling belakang, aku antara yang terawal tiba di tanah perkuburan itu. Jenazah itu tiba tidak lama kemudian dan upacara pengebumian itu berlangsung sehingga lewat tengah malam. Sungguh malam itu sangat panjang. Aneh sekali, usai pengebumian enjin van itu hidup semula. Mengaum seperti singa tatkala dihidupkan. Laju meluncur keluar dan meninggalkan tempat itu. Aku pulang dan semua persoalan aku hilang begitu saja. Pengalaman itu terlalu unik dan orang yang tidak menyaksikannya tidak akan dapat memahami. Aku simpan cerita dan menguncinya dengan rapi. Lupa.

Maju beberapa tahun kehadapan, aku melihat filem Munafik dan babak mereka dalam van jenazah itu seperti membuka kembali memori aku ke malam itu. Seperti sama cuma tiada babak van tergolek. Aku cuba bertanya balik dengan beberapa orang yang turut serta tetapi mereka hanya diam. Terus menoktahkan semua tanya.

Al-Fatihah untuk arwah, semoga semua amalan beliau diterima oleh Allah SWT.

Kisah Kedua

Kisah ini pendek sahaja. Berlaku di atas lebuhraya dalam perjalanan pulang ke kampus bersama kawan sepengajian. Kami bertolak dari Kedah ke Selangor selepas Asar dengan menaiki kereta M. Bergilir-gilir kami memandu dan mengambil giliran untuk rehat. Walaupun merehatkan diri di kerusi penumpang, aku selalu cakna dengan jalan. Aku perasan ada satu van jenazah yang sama-sama menuju kearah yang sama. Situasi biasa atas lebuhraya. Kami tetapkan untuk berhenti solat di sebuah perhentian. Dan terus menyambung perjalanan semula tanpa membuang masa.

Kali ini, aku mengambil alih pemanduan dengan rakan aku mula nyenyak dalam tidur. Tidak lama, aku mula melihat kelibat van jenazah itu semula. Eh, tak mungkin van yang sama. Perlahan van itu berada di lorong tengah. Aku menekan pedal minyak dan memotong van berkenaan. Jauh aku tinggalkan di belakang, dan aku mulai fokus ke depan jalan yang gelap. Radio aku kuatkan sedikit kerana aku mulai rasa bosan dan ikut menyanyi kecil lagu-lagu yang dipasangkan di radio.

Nampaknya pemandu van itu turut bosan. Dia sempat memotong aku dan terus masuk ke laluan depan kereta yang aku pandu. Semasa memotong, aku ternampak satu kelibat. Jelas bayangan putih ditingkap belakang van berkenaan. Badannya terus menghadap belakang, seolah-olah mengunci pandangan pada aku. Perasaan bercampur pelik dan takut. Aku biarkan lama van itu mendahului jalan sebelum memotong sekali lagi.

Tatkala ini, rakan aku sudah sedar dan menegakkan kerusi. Aku khabarkan pada dia mengenai kejadian tadi. Semasa dia mematahkan kata-kata aku dengan mengatakan yang itu semua hanya bayangan, van tadi sekali lagi memotong dan kami berdua melihat tajam ke arah belakang van. Kelibat itu masih di sana.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Luta

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 13 Average: 4]

1 thought on “Van Jenazah”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.