WulanSuri

“Aku bersumpah akan menjaga keturunanmu, Suri.” Wulan menghela nafas terakhirnya.


05 November 2017

Keadaan jalan raya dihadapan pusat membeli belah City Square agak sibuk dengan kenderaan yang bertali arus. Mungkin kerana waktu tersebut merupakan waktu kemuncak orang pulang kerumah. Hani membuntuti langkah Irfan dihadapannya. Moodnya petang itu agak tidak baik, Irfan juga begitu. Masing-masing diibaratkan seperti timebomb yang bila-bila masa sahaja akan meletup.

“Jalan tu cepat sikit boleh tak?” Irfan menaikkan sedikit suara seraya memandang Hani dibelakangnya sekilas. Adik sepupunya itu seakan sengaja menduga sabarnya yang sudah semakin menipis.

“Yang abang ngah asyik nak marah-marah Hani kenapa?” soal Hani sedikit membentak sambil mencampakkan aiskrim yang baru suku dimakan. Hatinya jadi panas. Langkah Irfan yang melintas jalan langsung tidak diturutinya.

Saat itu juga dia terpandang seorang wanita berbaju kurung pesak gantung. Berdiri betul-betul ditengah-tengah jalan raya yang sibuk itu.

“Makcik! Ketepi!!!!” jeritan Hani bergema.

Tinn!!!! Skreetttttttt……

Irfan tergamam. Kejadian itu berlaku dihadapan matanya dalam sekelip mata. Seluruh sendi tubuhnya terasa melembik tidak menyokong badan saat matanya menangkap susuk tubuh Hani yang sudah terkulai diatas jalan raya.


Hani terpisat-pisat sendiri cuba menerima biasan cahaya yang menerjah pandangan. Anak matanya dipicing bagi menyelesakan diri. Taman permainan. Dia kini sedang berada disebuah taman permainan yang sunyi. Tidak ada kelibat kanak-kanak yang bermain sebagaimana selayaknya sebuah taman riadah seperti itu. Langkahnya mula diatur meninjau keadaan sekeliling.

“Hani…”

Dia berpaling kearah datangnya suara tersebut.

“Si..siapa kau?”

“Nama aku Wulan” wanita itu mengukir senyum.

Wulan. Ya, nama wanita itu Wulan. Seorang wanita cantik walau hanya mengenakan sepasang baju kurung pesak gantung yang kelihatan agak lusuh dan dipadankan dengan sehelai selendang nipis menutupi kepalanya. Suaranya lunak menyapa telinga, senyumannya menawan.

Hani diam sejenak. Seingatnya dia tidak pernah mendengar mahupun mengenali sesiapa yang mempunyai nama seperti itu. Malah, wanita dihadapannya itu juga tidak pernah dilihatnya.

“Hani dekat mana ni?” pandangannya ditebar ke sekeliling. Serasa dia sering melihat kawasan tersebut.

“Kampung kau. Kampung kita.”

Kampung? Bagaimana tiba-tiba sahaja dia boleh berada dikampung? Siapakah wulan sebenarnya? Pelbagai lagi persoalan mulai menyesak benaknya.

“Aku adalah penjagamu. Kau disini atas kehendak Tuhan.”

“Penjaga?”

Wulan tidak terus menjawab soalan yang diajukan. Langkahnya diatur menuju ke arah sebuah buaian yang terletak berhampiran sepohon pokok Angsana yang tumbuh merimbun.

“Kau membesar didepan mata aku, Hani. Segala yang kau lalui, aku menyaksikannya.”

“Saka?” Hani menyoal lagi.

Wulan menggeleng. Masih lagi dengan senyuman yang belum cair dari seulas bibirnya.

“Aku juga pernah hidup sebagai manusia suatu ketika dahulu. Tetapi kini, aku adalah penjaga kau. Itu sumpahku.”

Hani terdiam seketika. Cuba mencerna kata-kata Wulan. Langkahnya diatur mendekati Wulan seraya melabuh duduk diatas buaian bersebelahan dengan Wulan berayun santai sambil disapa bayu petang yang berpuput lembut menampar kulit wajah.

“Wulan manusia?”

“Suatu ketika dahulu. Tetapi kini, aku bukan lagi manusia. Kau juga kini tidak berada dialam manusia.”

“Macam mana Hani hendak balik?”

“Hanya Tuhan yang akan menjemputmu. Aku tidak ada kuasa untuk menghantar kau pulang ke alam manusia.” Tutur Wulan lagi. Nadanya sedikit mendatar.

“Berapa umur Wulan?” Hani cuba menukar topik perbualan. Sedikit sebanyak, dia sedar akan takdir yang telah ditetapkan untuknya walau pelbagai persoalan memberat dibenaknya saat ini. Tetapi kewujudan Wulan lebih menarik perhatiannya.

“300 tahun.”

“Kenapa Wulan cakap, Wulan penjaga Hani?” soal Hani lagi.

“Itu sumpahku pada nenek moyangmu.”

“Boleh Wulan ceritakan kenapa,” pinta Hani berterus terang.

“Kerana aku tidak punya susur galur keturunanku,” ringkas jawapan yang diberikan Wulan.

Hani melontar pandangannya ke tengah kawasan lapang dihadapan mereka. Sekadar duduk melontar pandangan jauh ketengah padang rumput yang menghijau.

“Wulan, boleh bawa Hani balik ke tempat asal Hani?” perlahan Hani menyoal. Sekadar mencuba nasib, sedangkan awal tadi Wulan sudah memberitahu bahawa dia tidak punya kuasa untuk menghantarnya pulang.

“Kau berehatlah dulu,” ujar Wulan seraya berlalu meninggalkan Hani bersendirian duduk dibuaian itu.


Hani sekadar berdiri melihat tubuhnya yang terlantar lemah. Disisinya masih ada Irfan yang tidak pernah culas menemaninya. Dia berkalih ke arah pintu wad saat mendengar daun pintu bilik tersebut ditolak dari luar. Senyuman terukir saat matanya menangkap susuk tubuh lelaki yang sedang berjalan mendekati katilnya. Nazril, tunangnya datang melawat.

Namun senyumannya mati saat melihat ulah kedua lelaki dihadapannya itu. Terasa seperti keduanya saling membenci. Irfan bangun dari duduknya dan seraya terus berlalu keluar dari ruang wad tersebut manakala Nazril hanya berdiri memerhatikannya.

“Hani, jauhi dia,” datar Wulan bersuara namun cukup tegas memberi amaran. Dari pandangannya juga seakan dia tidak menyukai Nazril.

Tidak lama kemudian, sekali lagi daun pintu ditolak dari luar. Kelihatan mak serta kakaknya tiba. Tiada raut ceria yang terlakar diwajah keduanya. Saat masing-masing bertembung mata dengan Nazril, keadaannya juga sama seperti mana saat Irfan memandang Nazril.

Hani kelam. Tidak faham mengapa ahli keluarganya seakan tidak menyukai Nazril sedangkan lelaki itu adalah tunangnya. Wulan disebelahnya juga seakan tidak menyukai Nazril. Apa yang telah dilakukan Nazril yang dia tidak tahu?


Hambatan dari mahkluk hitam itu cukup untuk melemahkannya. Langkah kakinya sudah tidak mampu untuk diteruskan lagi. Dia kelelahan mencuri nafas.

Haa~ Haa~ Haa~

“Kau takkan boleh lari.” Suara makhluk tersebut bergema. Hani berpaling kebelakang. Hampir luruh jantungnya saat terpandang susuk makhluk berjubah hitam dengan hud dikepala itu berdiri cuma selang lima langkah darinya.

“Apa yang kau nak?”

“Kau milik aku Hani!” Haa~ Haa~ Haa~

Hani menyanggah tubuhnya pada tembok dinding untuk menyokong tubuh yang lemah. Diberanikan diri memandang makhluk tersebut.

“Siapa kau? Apa yang kau nak dari aku?” soalnya.

Lambat-lambat hoodie yang menyembunyikan wajah mahkluk berjubah hitam itu dibuka. Saat matanya mengecam pemilik diri disebalik pakaian tersebut senyuman terukir lebar. Wajah yang lelah berubah ceria.

“Naz, rupanya. Kenapa takutkan Hani sampai macam ni?” tuturnya. Suaranya jelas kedengaran lega.

Hani mula bergerak mendekati Nazril yang sedang berdiri memandangnya.

“Jangan kau dekati dia!!!” selajur Wulan muncul mengacut Nazril dengan sehelai selendang. Sekadar menjarakkan lelaki itu dari Hani.

Tubuh Nazril sedikit terundur akibat acutan Wulan. Tajam pandangan Wulan menikam pandangan Nazril.

“Wulan! Dia tunang Hani!!!” Hani menjerit membela Nazril. Pada fikirannya, mungkin Wulan tidak tahu siapa akan gerangan lelaki tersebut.

Wulan tidak langsung mengendahkan Hani. Gerak langkahnya masih lagi mara mengacut Nazril. Dia tidak berniat untuk memulakan pertelingkahan dengan lelaki siluman itu. Belum tiba masanya lagi.

Nazril tersenyum sinis selajur mula mengeluarkan tawa garaunya.

“Masa kau akan tiba. Dia milik aku!” tutur Nazril.

“Sumpah aku menjaganya. Kau akan berdepan dengan aku!!!” tegas Wulan membalas.

Nazril berundur dua tapak sebelum berpaling dan menghilang dibalik pekat malam.

“Wulan buat apa ni? Tahu tak dia tunang Hani? Kenapa Wulan serang dia?” bertubi-tubi soalan yang keluar darinya. Saat itu, sememangnya dia rasa tidak puas hati dan marah. Hani menjeling geram kearah Wulan.

Wulan hanya tersenyum nipis. Dia sedar, amarah Hani itu selayaknya kerana gadis itu tidak mengetahui perihal yang sebenar. Lelaki yang disangka tunangannya itu cumalah siluman dari makhluk berjubah hitam yang punya niat tidak baik terhadap dirinya.

“Berehatlah.” Ringkas Wulan berkata. Dia terus berlalu menghilang atau lebih tepat memerhatikan jagaannya itu dari jauh. Kemunculannya hanya sesekali disaat ancaman bahaya mula mendekati gadis itu.


Hani berjalan mendekati Wulan. Selama dia mengenali wanita itu, Wulan bukanlah seorang yang banyak cakap. Perbualan antara mereka juga hanya berkisarkan dari setiap persoalan yang diajukan. Dari pandangan Hani, Wulan sengaja tidak mahu beramah mesra dengannya walau dia cuba sedaya mungkin untuk tidak membataskan hubungan mereka. Hani sedar, dalam keadaan sekarang, hanya Wulan yang dia percaya walaupun kemunculan wanita itu masih menjadi tanda tanya.

“Wulan,” tegur Hani lembut.

“Duduklah, Hani.”

Dia melabuh duduk disebelah Wulan diruang langgar rumah kayu milik Wulan. Dia tidak pasti sejak bila terdapatnya rumah kayu tersebut yang betul-betul berhadapan dengan taman permainan itu. Entah, mungkin dia yang tidak perasan barangkali.

“Boleh Hani tanya sesuatu?”

Wulan sekadar mengangguk. Masih tersenyum.

“Kenapa Wulan serang Naz?”

“Dia bukan tunang kau. Dia cuma makhluk siluman.”

Hani diam. Kata-kata Wulan itu diraguinya.

“Jauhilah dia. Bahaya melingkari kau selagi kau dengan dia,” tambah Wulan lagi.

Hani semakin tidak faham. Bahaya apa yang dimaksudkan Wulan? Selama ini, seingatnya Nazril tidak pernah memberi sebarang ancaman terhadap dirinya.

“Maksud Wulan, jauhi Nazril?” soal Hani meminta keastian dia tidak mahu membuat kesimpulan sendiri pada sesuatu yang tidak jelas pada pemahamannya.

Wulan mengangguk lagi. Kali ini dikalih pandangannya menatap seraut wajah Hani. Kasihan terbetik dihatinya. Hani tidak tahu apa yang sedang terjadi. Kerana segalanya terhijab dibalik mata kasar seorang manusia.

“Kau akan tahu semuanya bila sampai masanya nanti.”

“Kenapa Wulan tak jelaskan semuanya sekarang?” desak Hani lagi.

“Kerana kau takkan mampu menerima semua yang akan aku katakan. Akal manusia lebih terdorong pada sesuatu yang punya bukti,” terang Wulan datar.

Hani hanya diam menghela nafas. Apa yang dikatakan Wulan itu ada benarnya.


Hani duduk berayun diatas buaian. Saban petang dia disitu. Hanya sekadar duduk memerhati tingkah Wulan. Mahkluk berjubah hitam itu kembali muncul dihadapannya. Hani termengkalan diatas buaian, tidak bergerak ke mana-mana.

 

Wulan menghampiri, tenang berdiri berhadapan dengan makhluk tersebut. Perhitungan akan dimulakan. Hani sekadar menjadi pemerhati.

“Zaharah, apa yang kau nak?” ujar Wulan. Nada suaranya masih tenang.

Haa~ Haa~ Haa~

“Urusan aku, budak tu. Bukan kau!” makhluk yang dipanggil Zaharah itu bersuara kasar.

“Dia jagaanku. Lepaskan dia, Zaharah.”

“Ahh!!” Zaharah pantas menerjah menyerang Wulan.

Seketika berlaku pertarungan diantara mereka berdua. Saat Zaharah menyerang, Wulan mengelak dan kemudian membalas serangan terhadap lawannya. Ada ketikanya kedua-dua mereka jatuh tersungkur. Berjeda sekadar mencari rentak sebelum kembali menyerang. Begitulah berulang-ulang menyerang serta mengelak.

Wulan merenggut kuat kain selendang yang melilit kedua kaki mahkluk berjubah hitam tersebut hingga menyebabkan ia jatuh terlentang. Suara raungan yang terzahir bergema memecah sunyi.

“Zaharah, dia tidak ada salah pada kau. Seluruh keluarganya juga tidak bersalah,” tutur Wulan. Dia berdiri tidak jauh dari tubuh makhluk berjubah hitam yang sedang mengerekot cuba untuk bangkit.

“Tuan Habib yang bersalah. Dan kau adalah dari susur galurnya, keluarga Hani tidak pernah bersalah, Zaharah. Lepaskan mereka kerana mereka dah lama ikhlas dengan kekejaman seluruh keturunanmu,” tambah Wulan lagi.

Ya, selama ini dia yang menjaga keturunan Suri. Bermula dari Mutiara sehinggalah Hani, begitu juga dengan keluarga Tuan Habib. Mereka semua dalam pemerhatiannya.

“Si..siapa kau sebenarnya?” soal makhluk berjubah hitam itu.

Wulan senyum nipis.

“Aku Wulan. Moyangmu, Tuan Habib membunuh aku untuk menghapuskan satu-satunya saksi hidup. Moyangmu juga yang telah membunuh Suri, sahabatku. Janganlah kau teruskan perbuatan kejam moyangmu Zaharah,” jelas Wulan tenang.

Mahkluk berjubah hitam itu sudah berdiri walau tidak sekekar seperti awalnya. Dalam sekelip mata dia berlari menyerang Hani yang menjadi pemerhati.

Hani jatuh terduduk dek terjahan Zaharah. Belum sempat Zaharah menyerang gadis itu, Wulan bertindak pantas. Dia pantas mengilas kain yang digunakan sebentar tadi untuk merenggut leher makhluk berjubah hitam itu. Dalam regangan kain tersebut dia menguatkan renggutan sehingga makhluk tersebut sedikit terkakai-kakai.

“Aku sudah meminta kau melepaskan mereka. Tapi nampaknya kau tidak mahu mengalah.” Wulan mendekati makhluk tersebut.

“Dendammu ini akan menghancurkan dirimu sendiri Zaharah!” tegas Wulan. Kukunya mula memanjang dan kuku yang tajam tersebut mula merobek tubuh makhluk berjubah hitam itu.


Hergh!!!

Hani tersentak. Matanya membulat dengan nafas yang mencungap. Pandangannya pada ruang bilik tersebut sangat asing. Bebola matanya meliar ke sana sini cuba mengecam.

“Alhamdulillah Hani dah sedar,” ujar Puan Laila. Bergegas dia keluar mendapatkan doktor yang merawat anak bongsunya itu.


Hani berjalan mendekati Nazril yang sedang duduk menantinya. Kawasan taman rekreasi tersebut tidak ramai pengunjung. Mungkin kerana cuaca yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini membuatkan masing-masing berkira-kira untuk keluar beriadah.

Nazril seperti biasa, tidak lekang dengan senyuman.

“Kenapa tak bagi Naz jemput? Kan leceh kita nak bergerak sampai dua kereta?” soal Nazril lembut. Masih seperti kebiasaannya.

Hani menarik nafas dalam sebelum menghelanya perlahan. Soalan Nazril dibiar lalu dibawa angin petang.

“Siapa aunty Zaharah?”

“Aunty Zaharah? Makcik Naz, kenapa tanya?”

“Apa yang aunty Zaharah dah suruh Naz buat?” soal Hani lagi.

Ya, tujuan dia untuk bertemu dengan Nazril disini adalah untuk mengetahui hal yang sebenar dari lelaki itu. Dia sudah mendengar semuanya dari keluarganya dan kini tiba giliran Nazril pula memberi penjelasan padanya. Dia tidak mahu berat sebelah dalam membuat keputusan. Dia tidak mahu tersalah menghukum.

“Kenapa Hani tanya semua ni?” soal Nazril kembali. Dia sudah dapat membaca kemana arah soalan yang diajukan Hani itu.

“Apa salah Hani?”

“Naz cuma tak nak hilang Hani.” Datar Nazril berkata.

“Sampai sanggup guna minyak siam pada Hani? Naz, aniaya Hani! Apa salah Hani pada aunty Zaharah? Pada Naz? Patutlah semua orang tak sukakan Naz,” luah Hani kecewa.

Dia tidak sangka selama ini Nazril sanggup menganiaya dirinya sedemikian rupa. Pertama kali bertemu Nazril, dia ikhlas menerima lelaki itu namun keikhlasannya dibayangi niat buruk Nazril terhadap keluargnya. Dna dia dijadikan mangsa tanpa dia tahu sebab musabab dendam lelaki itu.

Nazril meraup kasar wajahnya. Ya, dia sudah tersilap langkah, tersalah cara. Niatnya pada awal cuma sekadar untuk membalas dendam pada keluarga Mak Laila, iaitu mak Hani. Dendam yang sudah lama berpekung dipundaknya. Dendam yang tercipta kerana sebuah fitnah.

Fitnah yang mengatakan mak Lailalah punca arwah datuknya meninggal. Dia yang pada masa itu hanya berumur enam belas tahun dalam diam memasang dendam terhadap keluarga Mak Laila dan sasarannya adalah Hani. Hanya dengan menggunakan Hani sahaja dia dapat melihat Mak Laila hidup sengsara. Dan dengan bantuan aunty Zaharah, dendamnya hampir berjaya. Namun, entah dimana silapnya. Dendam yang selama ini tertanam berubah menjadi tunas sayang. Sehinggakan dia tidak sanggup kehilangan Hani.

“Naz minta maaf.”

Sekali lagi Hani menghela nafas. Cuba bertenang. Dia sudah menerima dengan seikhlasnya apa yang berlaku.

“Tak apalah, semua orang buat salah. Hani dah maafkan Naz, bertaubatlah. Dosa syirik tu berat. Soal kita, Hani serah pada takdir,” selesai berkata-kata Hani terus melangkah beredar.


(Imbas Semula)

Hilaian sang pontianak bergema. Tuan Habib terkalih-kalih memandang dari segenap sudut. Dia tahu, makhluk itu sedang mengacutnya. Sedang berkeliaran disekelilingnya.

“Tunjukkan dirimu. Jangan berselindung sebagai pengecut! Aku tidak takut padamu!!!” lantang Tuan Habib bersuara.

Hee~ hee~ hee~ serentak dengan hilaian itu muncul satu susuk tubuh yang cukup dikenalinya. Tuan Habib terundur dua tapak kebelakang.

“Su..Suri. Kau dah mati. Kau dah mati!”

Suri tersenyum merenung tajam wajah lelaki separuh abad itu.

“Kau takut?” soal Suri.

“Tak! Aku tak takut dengan syaitan sepertimu!” balas Tuan Habib.

“Kau juga syaitan! Kau bunuh aku! Kau bunuh keluargaku!” Suri membentak seraya mengubah wujudnya menyerang Tuan Habib dari segala sudut sehingga lelaki itu terkulai tidak bernyawa lagi.

……….

Wulan sudah tidak mampu untuk bergerak lagi. Tubuhnya semakin lemah. Tikaman dari Tuan Habib diperutnya membuatkan dia kehilangan banyak darah.

“Suri…” senyuman terukir saat matanya menyapa kelibat Suri muncul.

Sahabatnya itu datang merapatinya dengan linangan air mata.

“Suri, jangan berdendam lagi.” ujar Wulan datar.

Dia sedar, kekecohan yang terjadi dikampungnya itu adalah kerana ulah Tuan Habib, orang kaya Kampung Beringin Rimbun yang tamak dan bertunjangkan nafsu serakah. Dia juga tahu, huru-hara yang tercetus dek sang pontianak adalah ulah Suri.

“Mutiara…” Suri bersuara bertanyakan tentang anaknya.

“Dia selamat dengan mak. Suri, jangan berdendam lagi. Kasihan Mutiara.”

Wulan menarik nafas dalam. Dia diambang sakaratulmaut sambil diperhatikan Suri, sahabatnya. Keadaan mereka sama seperti saat-saat terakhir Suri.

“Aku bersumpah akan menjaga keturunanmu, Suri.” Wulan menghembuskan nafas terakhirnya.

Sayup-sayup suara tangisan Suri kedengaran disetiap pelosok kampung. Para penduduk seorang pun tidak berani melangkah keluar rumah, bimbang jikalau terserempak dengan sang pontianak itu.

Keesokkan harinya, Kampung Beringin Rimbun gempar dengan kematian Tuan Habib dan Wulan yang agak tragis. Melihat dari keadaan Wulan dan Tuan Habib, pelbagai andaian yang terbit dibenak penduduk kampung. Masing-masing punya pendapat sendiri. Namun semua itu hanya berlegar disekitar mereka sahaja. Perihal tentang apa yang melanda kampung mereka tidak akan disebarkan demi menjaga nama baik.

“Wulan, Suri. Aku harap semuanya selesai disini sahaja. Semoga roh kalian tenang disana.” Bisik Soleh sebelum melangkah beredar dari tanah perkuburan.

Dia terlewat sedikit untuk menyelamatkan Wulan. Tetapi dialah satu-satunya saksi kepada apa yang terjadi malam itu. Dan besar harapannya agar keadaan kembali tenang seperti sediakala.

……….

-TAMAT-

Ini adalah sebuah cerita benar yang melibatkan sebuah dendam. Watak, perwatakan serta tempat terpaksa aku fiksyenkan untuk menjaga privasi individu yang terlibat. Dan hampir 90% dari cerita asal aku terpaksa ubah agar setiap situasi yang berlaku tidak terlalu jelas. Kerana hingga hari ini, individu yang terlibat masih dalam rawatan pemulihan..

Tiada lagi iklan menganggu,kini 1 unit iklan sahaja dalam web FS. Web Makin laju. Jika rasa iklan menarik perhatian anda, mohon view untuk support web FS. TQ
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Support FS

28 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.